Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
110,299
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15


“KENAPA tak beritahu nak datang?” tanya Puan Fauziah, ramah. Terkejut dengan kehadiran Farid di pejabatnya.

“Kebetulan lalu kawasan ni. Itu yang singgah,” balas Farid. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi berserta senyuman di bibir.

Puan Fauziah menganggukkan kepala. 

“Aunty sibuk ke?” Farid berbasa-basi.

“Tak ada. Sekejap lagi aunty ada meeting,” jawab Puan Fauziah.

“Iya ke? Sorry aunty. Farid datang tak kena masa,” kesal Farid.

“Eh! Tak adalah Farid.”

Farid tersenyum. Kesal atas tindakannya datang ke pejabat Puan Fauziah. Entah kenapa hatinya meronta memintanya berjumpa dengan Nurin Natasya.

“Alang-alang Farid dah datang ni, apa kata Farid tengok pakaian Farid sekali. Dah nak hampir siap,” cadang Puan Fauziah.

Farid berfikir sejenak. Memang itu niatnya yang sebenar. Berjumpa dengan Nurin Natasya.

“Farid?” Puan Fauziah memanggil.

“Baiklah, aunty!” Farid bersetuju. Dia tersenyum.

“Kalau macam tu, aunty panggil Nurin ke sini,” suara Puan Fauziah. Dia mencapai gagang telefon dan bersedia untuk menelefon Nurin.

Farid hanya memandang. Dia berdebar-debar.

“Puan!”

Suara seseorang mematikan tingkah laku Puan Fauziah yang sedang mendail. Dia menghalakan mata ke arah yang memanggil.

“Haa, Nurin. Masuk!” arah Puan Fauziah sebaik sahaja wajah Nurin menyapa mata.

“Maaf! Saya ingat tadi tak ada tetamu,” kesal Nurin lalu menapak masuk ke dalam bilik. Rasa kesal atas tindakannya yang tidak mengetuk pintu sebelum masuk. Sesusuk tubuh lelaki yang sedang membelakanginya dipandang sekilas.

“Saya baru nak panggil Nurin ke sini,” beritahu Puan Fauziah.

“Oh! Iya ke? Kenapa?” balas Nurin. Dia tersenyum kepada bosnya itu.

“Farid datang nak tengok baju,” kata Puan Fauziah pula.

Nurin terkejut. Dia menoleh dan wajah Farid menyapa mata.

Farid turut sama menoleh. Dia tersenyum kepada Nurin.

“Aunty tinggalkan Farid dengan Nurin. Farid beritahu Nurin kalau ada yang tak kena dengan pakaian tu nanti,” suara Puan Fauziah. Dia bangun dari duduk. 

“Baiklah, aunty.” Farid menganggukkan kepala.

Nurin berkerut dahi. Dia terpinga-pinga. 

“Aunty keluar dulu,” kata Puan Fauziah lalu beredar dari situ sebaik sahaja mencapai briefcase. Bahu Nurin disentuh lembut berserta senyuman di bibir.

Nurin hanya memandang. Sungguh, dia masih tidak faham dengan apa yang sedang berlaku. 

“Ehem…” Farid berdehem seraya bangun dari duduk.

Nurin tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Farid.

“Kita jumpa lagi.” Farid tersenyum manis.

Nurin memandang senyuman Farid. Senyuman yang sama. Tahi lalat dan lesung pipit yang sama. Hati Nurin berkata-kata. 

“Nurin Natasya.” Farid memanggil dalam nada lembut. Gadis itu sedang leka memandang wajahnya.

Nurin mematikan pandangan. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Rasa kesal atas tindakannya sebentar tadi.

Farid hanya memandang. Dia tersenyum melihat tingkah laku Nurin. 

“Dia istimewa,” sebut Farid, perlahan.



“KALAU Encik Farid dah berpuas hati, kita stop di sini saja,” suara Nurin sehabis sahaja perbincangan. Sungguh, dia ingin menamatkan perbincangan mereka secepat yang mungkin. Tidak mahu berlama dengan Farid dalam bilik pejabatnya.

“Dah masuk lunch hour. Apa kata kita keluar makan bersama?” cadang Farid. Berharap, Nurin bersetuju dengan cadangannya.

“Saya ada kerja yang perlu disiapkan. Maaf!” tolak Nurin. Dia bangun dari duduk.

Farid turut sama bangun dari duduk. Tingkah laku Nurin yang sedang mengemas fail dipandang.

“Saya akan cuba siapkan seminggu sebelum tarikh majlis pertunangan Encik Farid dan Cik Dahlia,” suara Nurin lagi. Wajah Farid di hadapan dipandang seketika.

Farid hanya mendengar. Pandangan Nurin dibalas. 

“Kita bersurai?” Nurin bertanya. Rasa kurang enak dengan pandangan Farid.

“Awak tak sudi nak keluar makan dengan saya, Cik Nurin?” Farid bertanya. Ada nada kecewa pada ayatnya itu.

“Encik Farid nak apa sebenarnya?” Nurin pula bertanya. Dia mendengus ringan.

“Saya nak kenal dengan awak,” jawab Farid dalam nada lembut.

“Saya, Nurin Natasya binti Nazaruddin. Pereka fesyen di sini.”

“Itu saya dah tahu.”

“So? Apa lagi yang Encik Farid nak tahu tentang saya?” Nurin bersuara tegas. Pandangannya tajam ke wajah Farid.

“Kita keluar makan sama, boleh?” Farid mencuba buat kali yang ketiga. Berharap Nurin menerima pelawaannya itu.



“TERIMA kasih!” ucap Farid sebaik sahaja pelayan meletakkan minuman buat dia dan Nurin. Senyuman diberikan kepada pelayan tersebut.

Nurin hanya melihat. Senyuman yang sama. Mustahil dia lupa bagaimana senyuman dan wajah Afiq. Lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya sebelum ini.

“Nurin!” Farid memanggil sekali gus mematikan pandangan Nurin.

Nurin sedikit tersentak. Dia tersenyum nipis.

“Saya mintak maaf  kalau saya mendesak awak keluar bersama,” kesal Farid. 

“Siapa awak yang sebenarnya?” tanya Nurin sekadar ingin tahu. Walaupun dia sudah tahu siapa Farid yang sebenarnya.

“Farid Aiman!” balas Farid, senafas.

“Sebelum ni kita pernah kenal?”

Farid sekadar menggelengkan kepala.

“Mustahil! Mustahil kita tak pernah kenal sebelum ni.”

“Maksud awak, Nurin?” Farid kurang faham.

“Awak mengingatkan saya pada seseorang.” Nurin berkata sinis.

“Siapa?” Farid bertanya. Ingin tahu.

“Mustahil awak tak tahu.”

Belum sempat Farid membalas, pelayan datang membawa makanan untuk mereka berdua. Dia memerhatikan tingkah laku pelayan yang sedang menghidangkan makanan.

Nurin tersenyum sinis. Farid buat-buat tidak kenal. Penipu! Bentak Nurin dalam hati. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia beredar dari situ.

“Kita kat mana tadi?” Farid bertanya selepas sahaja pelayan beredar dari situ.

“Cik Dahlia tahu kita keluar sama?” Nurin bertanya. Menolak pertanyaan Farid.

Farid sekadar menggelengkan kepala. Memang dia sengaja tidak mahu memberitahu Dahlia akan kedatangannya ke Butik Mahligai Impian.

“Kalau macam tu, lepas makan kita balik. Saya tak nak ada apa-apa isu kemudian nanti,” suara Nurin. Tanpa menunggu, dia menjamah makanan yang sudah dihidang.

Farid tidak membalas. Dia memandang tingkah laku Nurin yang sedang menjamah makanan. Wajah Nurin diperhatikan dalam diam. 

“Awak dah kahwin?” tanya Farid, tiba-tiba.

Nurin yang mendengar mematikan tingkah laku. Dia mengangkat wajah lalu memandang ke wajah Farid. Pertanyaan Farid berlegar-legar dalam minda ketika ini.



“AWAK dah kahwin, Nurin?” Farid bertanya buat kali yang kedua. Dia memandang ke wajah Nurin. Menanti jawapan daripada gadis itu.

Nurin menyambung suapan makanan ke dalam mulut. Pertanyaan Farid dibuat endah tak endah sahaja. Bagi dia, Farid tidak perlu tahu latar belakangnya.

“Nurin Natasya,” seru Farid, lembut. Senyuman meniti di bibir.

Nurin mematikan tingkah laku. Senyuman Farid dipandang. 

“Nur…”

“Encik Farid tak perlu nak sibuk tahu saya dah kahwin ke tidak. Tak ada kena-mengena dengan Encik Farid.”

Farid berkerut dahi.

“Lagipun Encik Farid dah nak bertunang. So, jaga pandangan, batas dan tutur kata Encik Farid especially pada perempuan.”

Tergelak Farid mendengarnya. 

“Pandai juga awak membebel. Kelakar saya dengarnya. Tapi, nampak comel!”

Nurin memandang tajam ke wajah ketawa Farid. Ikutkan hati, mahu diterkam lelaki di hadapannya itu.

“Tak salah kalau saya ambil tahu tentang awak, Nurin.”

“Salah!”

“Selagi saya tak bertunang atau berkahwin, saya ada hak untuk memikat sesiapa saja perempuan termasuklah awak.”

“What?!”

Farid ketawa. Dia bangun dari duduk. Wajah Nurin dipandang seketika.

“Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segala-galanya termasuklah jodoh. Mana tahu kan kita berjodoh?” 

Seusai menuturkannya, Farid beredar dari situ. Sempat dia mengenyitkan mata kepada Nurin berserta senyuman di bibir.

“Aku tak akan kembali pada kau, Afiq!” kata Nurin seraya menggenggam erat tangan. Dia bangun dari duduk lalu beredar dari situ. Mustahil dia akan menerima Afiq kembali dalam hidupnya selepas apa yang telah terjadi.



FARID tersenyum. Pertemuannya dengan Nurin meniti di tubir mata. Dia ketawa mengingati tingkah laku Nurin. Gadis itu seorang yang comel dan istimewa. Entah kenapa dia berasa senang bersama dengan Nurin. 

Farid masih lagi berfikir. Dia teringatkan sesuatu. Lantas, dia menarik laci meja kerjanya lalu mengeluarkan sebentuk key chain. Nama yang terukir di key chain tersebut dipandang.

“Nurin Natasya!” sebut Farid kemudian. 

Key chain di tangan masih dipandang. Entah kenapa fikirannya asyik memikirkan tentang Nurin. Disebabkan rasa ingin tahu, dia telah meminta Liza mencari maklumat tentang Nurin.

Namun, tidak banyak maklumat yang Liza perolehi. Sekadar maklumat biasa tentang Nurin. Maka dari itu, dia akan cuba menghampiri Nurin sekali gus mengetahui tentang latar belakang gadis itu. Pasti ada yang istimewa pada gadis bernama Nurin Natasya.

“Kenapa aku asyik fikirkan pasal dia?” soal Farid pula.

Deringan telefon mematikan lamunan pendek Farid. Dia mencapai telefon lalu memandang nama di skrin.

“Ya, awak!” balas Farid sebaik sahaja salam disambut.

“Malam nanti kita jumpa boleh?” 

“Jumpa?”

“Nak bincang pasal majlis.”

Farid berfikir sejenak.

“Awak!” panggil Dahlia dari hujung talian.

“Hurm… Baiklah!” balas Farid selepas berfikir.

“Kita jumpa tempat biasa,” suara Dahlia lalu mematikan talian.

Farid menghela nafas ringan. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. 

“Kenapa aku tak rasa teruja dengan majlis pertunangan tu?” tanya Farid kepada dirinya sendiri. Persoalan yang sering berlegar-legar dalam minda. 

Farid memandang jam di laptop. Dia perlu menghadiri mesyuarat pada pukul 4.00 petang nanti. Ada baiknya dia bersiap sedia untuk ke mesyuarat.

Bunyi mesej masuk mematikan tingkah laku Farid yang sedang mengemas fail. Dia mencapai telefon bimbit lalu membuka kotak mesej.


Aku tahu siapa kau yang sebenarnya.


Farid berkerut dahi. Apa maksud mesej itu?


Aku akan pastikan kau terima balasan atas perbuatan kau yang lepas.


Semakin berkerut dahi Farid membacanya. Siapa yang menghantar mesej itu? Bunyi mesej yang ketiga menyapa gegendang telinga. Dia membuka kotak mesej lalu membacanya.


Kau tak akan terlepas!


“Siapa ni?” soal Farid, merengus. Dia cuba mendail nombor yang tertera di kotak mesej. Dia perlu tahu siapa yang menghantar mesej itu. Berkali dia mencuba namun panggilannya tidak berbalas.

“Encik Farid!” panggil Liza, tiba-tiba.

Farid terkejut. Dia menoleh ke arah yang memanggil.

“Meeting dah nak start,” beritahu Liza pula.

Farid memandang jam di dinding. Sudah menghampiri ke pukul 4.00 petang. Hampir dia terlupa dengan mesyuarat tersebut akibat memikirkan kiriman mesej itu.

“Baiklah Liza,” balasnya selepas itu.

Liza mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Seperti ada yang tidak kena dengan Farid melihatkan riak pucat di wajah pemuda itu. 



Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.