Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,743
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

BAB 15

Imbas kembali: New York, 2009

JIRANsebelah rumah ini memang pelik orangnya. Jarang sekali keluar rumah. Jarang sekali juga nampak mereka bermesra. Yang selalu dia dengar adalah kata-kata benci dan cemuhan dari si suami yang selalu pulang lewat malam. Si isterinya pula memang tidak selalu keluar rumah. Kadang-kadang dia terfikir juga, ada kemungkinan si isteri dilarang dari keluar rumah.

Hari ini dia tidak putus asa untuk cuba saling mengenal dengan jiran sebelah rumahnya ini. Mereka orang Melayu. Dia juga orang Melayu. Bukan mudah nak bertemu dengan orang yang asal-usulnya sama di New York ini.

“Nanti malam I balik lambat. Tak payah nak tercegat kat depan pintu tu lagi.” Si suami dengan nada kasarnya mula keluar dari banglo yang dia dan isterinya tempati. Lelaki itu sempat lagi membetulkan tali lehernya di hadapan pintu rumah. Manakala rupa isteri masih belum lagi kelihatan.

Dia seperti biasa tertinjau-tinjau dari halaman rumahnya ke dalam rumah pasangan suami isteri tersebut. Manalah isterinya? Tak pernah sekali pun aku bertegur sapa dengannya. Apalah pemalu sangat sampai asyik duduk memerap dalam rumah saja? This is NY! Kenalah bersosial sikit dengan orang sekeliling.

“Assalamualaikum encik! Dah nak ke tempat kerja ke?” Dia memberanikan diri untuk menegur si suami. Tudungnya yang ala-ala makcik kampung itu dibetulkan bahagian muncung hadapannya.

“Hmm..” Sepatah itu saja balasan si suami.

Dia mencebik dan sempat mengumpat di dalam hati. Dasar Melayu lupa diri! Sombong kemain kau ya! Mat Salleh celup!

“Maafkan suami saya cik..” Tiba-tiba suara halus yang kedengaran dari balik pintu rumah jirannya itu mencelah.

Terkedu dia dibuatnya. Lalu sepasang mata miliknya mula mencari pemilik suara halus tersebut. Habis pokok dan pasu yang bersusun di taman dipijaknya. Namun semuanya tidak berhasil. Dia hanya mampu melihat dari jauh sebatang tubuh milik gadis itu yang menyorokkan dirinya di balik pintu. Gadis itu tersenyum sambil perlahan-lahan menutup pintu rumahnya.

Dia terpempan. Setelah hampir lima ke enam bulan berjiran, inilah kali pertama mereka berbicara walaupun tidak dapat bertemu secara dekat. Namun dia yakin dan pasti, itu bukanlah kali terakhir dia menjumpai gadis bersuara halus itu lagi.

***

“ASFA! You dah siap tak?”

Nadya menjenguk ke dalam bilik bacaan Asfahan Redza di tingkat bawah rumah tersebut. Kelihatan kekasihnya sedang sibuk meneliti beberapa kertas lukisan yang tersusun di atas meja.

“Eh?” Asfahan sempat mengangkat kepalanya sejenak dan kemudian menumpukan semula konsentrasi pada kertas-kertas lukisan yang ditatapnya tadi. “Tak dengar bunyi loceng pun? Macam mana boleh masuk?” tanya Asfahan tanpa memandang ke wajah Nadya.

“Pintu rumah tu… tak berkunci! You ni kan macam tak terurus je I tengok. Bilik bacaan bersepah, pintu rumah tak berkunci… dah tiba masanya you ni berkahwin!” Nadya tergelak kecil. Dia mula mendekati Asfahan dan duduk di atas meja kayu yang menjadi tempat Asfahan bekerja.

“Haih… awal you sampai? Belum pun pukul lima petang lagi.” Asfahan cepat-cepat menukar tajuk bicara. Takut nanti dia memberi harapan palsu pula pada Nadya. Matanya sempat mengerling pada jam tangan yang menunjukkan detik pukul 4.30 petang.

“Alaa lagi setengah jam je…” rengek Nadya. Dalam pada itu, matanya meliar ke seluruh ceruk bilik bacaan tersebut. Di mana mungkin Asfahan menyimpan sijil perkahwinannya? “Apa kata kalau you siap-siap cepat?”

“Siap? I dah siap dah ni…”

“Eh? Macam ni siap ke? Pakai t-shirt putih simple macam ni untuk keluar date? Come on sayang… handsome-handsomelah sikit.” Nadya mula melakonkan ulahnya. Peluang untuk mencari sijil perkahwinan itu harus dicari. Sungguhpun dia tahu perkara ini amat berisiko untuk dilakukan.

“Hmm, tunggu kejap. Jangan sentuh lukisan-lukisan ni. I tukar baju kejap je tau!” pesan Asfahan yang kemudiannya keluar dari bilik tersebut.

Sebaik saja kelibat Asfahan hilang dari pandangan, Nadya melompat ke arah susunan fail yang menimbun di sebelah meja. Dia membelek satu persatu fail tersebut. Tiada! Semuanya fail berkenaan syarikat dan urusan berkaitan dengan pelanggan.

Nadya kemudian beralih ke rak-rak buku yang tersusun rapi. Dia hanya melihat dari jauh tanpa menyentuh buku-buku tersebut. Rasanya tak mungkinlah Asfahan menyimpannya di celah-celah tulang buku ini. Tak logik langsung dan ia juga memakan masa untuk meneliti satu persatu rak yang tersergam indah itu.

“Kalau aku jadi Asfahan… kat mana tempat yang paling selamat untuk menyimpan sijil penting macam tu? Ahh otak cepat berfikir! Cepat!” Nadya bermonolog seraya mengetuk-ngetuk kepalanya. Biar neuron-neuron bergabung!

Pandangannya beralih kembali ke meja kayu yang menjadi tempat Asfahan menyiapkan hasil kerjanya. Mata Nadya dipicingkan ke arah laci-laci yang bersambung dengan meja tersebut. Salah satu daripada laci itu mempunyai lubang kunci.

Tanpa berlengah, laci itu ditarik buka untuk melihat isi dalamnya. Walaubagaimanapun, sekali lagi usahanya tidak berhasil. Laci tersebut berkunci! Mana pulalah Asfahan menyimpan anak kuncinya? Nadya serabut.

Perasaannya juga semakin bertambah yakin yang ada kemungkinan Asfahan menyimpan sijil itu di dalam laci ini. Mana lagi tempat yang lebih selamat selain menyimpannya ke dalam laci yang berkunci? Sesuatu yang berkunci itu sudah pasti ada rahsia di dalamnya!

“Nadya! You buat apa kat bawah meja I tu?”

Bam! Kepala Nadya terhantuk ke meja. Aduh, malang nasib aku!

“Tak.. tak.. I cuma nak bersihkan bilik you ni je,” jawab Nadya sambil menggosok-gosok kepalanya. Robot ke apa si Asfahan ni? Cepat betul bersiap. Pergilah mandi sekali ke, letak minyak wangi banyak-banyak ke…

“Bersihkan? Dahlah, jom kita pergi…” ajak Asfahan sambil berjalan keluar dari bilik tersebut.

Nadya tergopoh-gopoh membontoni Asfahan dari belakang.

‘Cis! Kena mintak pertolongan Jason lagilah nampaknya ni!’ rungut hati Nadya.

***

“FA buatkan Jelita kopi… Minumlah. Masih panas lagi ni,” kata Arifah sambil meletakkan secawan kopi Peranchis ke atas meja.

Kopi yang dibancuh Arifah dihirup perlahan. Belum puas dia menikmati pekatnya kopi itu, panasnya dahulu menggigit bibir Jelita. Ouch! Cawan itu diletakkan semula ke meja. Jelita menongkat dagunya sambil memuncungkan wajah.

“Minum lagi kopi tu… nanti hilanglah sakit kepalanya. Kau ni banyak fikir sangat Jelita. Nanti lama-lama boleh kena penyakit darah tinggi tau. Yang sudah tu sudahlah…” ujar Arifah yang juga memegang secawan kopi di tangannya. Dia kemudian duduk di kerusi bersebelahan dengan Jelita.

“Kau ni Fa… apa yang sudah? Bagi aku semua ni baru je bermula.” Kopi yang kepanasannya mulai menurun itu dihirup kembali. Kali ini barulah dia dapat merasa betapa pekat pahitnya rasa kopi buatan Arifah. Tak letak gula ke?

“Bermula? Aku rasa sudah-sudahlah. Tak perlu kau berdendam sangat dengan si Asfahan tu. Apa kata kalau kau ambil pendekatan untuk berbaik-baik? Maksud aku, bersemuka dengan dia dan cuba beritahu dia apa yang kau rasa dan apa yang kau nak. Then, aku rasa barulah hati kau akan tenang. Kalau tak, kau terus akan macam ni sampai bila-bila. Asyik je dirundung bayang-bayang masa lepas,” jelas Arifah.

Jelita tidak setuju dengan apa yang dituturkan Arifah. Baginya, tiada kompromi untuk lelaki seperti Asfahan Redza!

“Dahlah! Tak payah nak sembang pasal dia. Kalau aku cakap apa pun, kau tetap juga nak menangkan dia.”

“Ini bukan soal menangkan siapa-siapa tapi…”

“Tapi apa?” Jelita mula meninggikan suara. Sakit kepala pula kembali menyengat. “Stop it lah. Kau buat aku sakit kepala.”

“Cuba kau tenangkan diri kau dengan bersolat. Mendekatkan diri dengan ALLAH. Baca Al-Quran... Kau sejak akhir-akhir ini dah jauh berbeza dari dulu.” Arifah masih berlembut. Dia risau dengan apa yang dilihat dalam diri Jelita semenjak dia berubah seperti sekarang.

Sewaktu dia mula berkenalan dengan Jelita, gadis ini seorang yang pemalu dan taat pada suruhan agama. Tidak pernah tinggalkan solat, malah sentiasa mensyukuri dengan apa yang dia ada. Namun sejak tragedi itu, Jelita menjadi manusia yang khilaf dan sentiasa menyalahi TUHAN atas segala apa yang berlaku.

Tarbiah Arifah membuatkan Jelita terdiam buat beberapa ketika. Dia sedar akan kekurangan dirinya kini namun hatinya bagaikan semakin jauh dari hal-hal yang disebutkan Arifah tadi. Entah mengapa dia merasakan dirinya yang dahulu itu sudah mati dan inilah dirinya yang baru. Sikap baru, persekitaran baru dan wajah yang baru.

“Kau bercakap macam Ikhlas,” kata Jelita. Dia kemudian bangun dan membawa cawan kopinya ke sinki untuk dibasuh.

“Bercakap tentang Ikhlas… kau ni betul-betul ke cintakan dia? Ataupun kau sekadar nak memperdaya dia juga? Aku tak sanggup… tak sanggup tengok dia tersenyum dan ketawa atas sandiwara cinta yang kau hamparkan buat dia ni. Kalau kau tak cintakan dia, lebih baik…” Kata-kata Arifah terhenti. Dia takut jikalau Jelita dapat mengesyaki sesuatu dari sikap prihatinnya yang melambung terhadap Ikhlas.

“Aku cintakan dia. Dia lelaki yang baik dan memang aku nak kahwin dengan dia. Tapi sekarang bukan masa yang sesuai. Kau pun tahu yang aku masih isteri orang. Jadi Ikhlas harus bersabar,” luah Jelita.

“Tapi bersabar sampai bila? Fa rasa lebih baik Jelita selesaikan segala urusan Jelita dengan Asfahan secepat yang mungkin. Ikhlas dah merancang nak kahwin dengan kau.”

“Dah rancang nak kahwin?” Jelita berpaling ke arah Arifah. Kening kanannya diangkat tinggi. “Macam mana kau tahu? Aku tak pernah pun bagitahu kau pun yang dia memang rancang nak kahwin dengan aku.”

Arifah mengetap bibirnya kuat. Air liur pula ditelan perit. “Aku mengagak je.”

Anyway kau dari mana eh tadi? Tiba-tiba je datang ke rumah aku ni?” tanya Jelita lagi.

Sekali lagi Arifah terpempan dengan pertanyaan Jelita. Memang sulit keadaannya jikalau kita mencintai kekasih rakan baik kita sendiri.

***

LA SOPHIA yang terletak di Golbourne Road, London menjadi tempat pilihan Nadya untuk menikmati makan malam bersama Asfahan. Restoran ini merupakan satu-satunya restoran di sini yang menyediakan makanan Peranchis yang halal.

Asfahan dan Nadya memilih meja yang berdekatan dengan jendela. Langsir restoran yang bercorak mewah serta dindingnya yang diwarnakan emas dan perak itu menimbulkan aroma romantis di hati Nadya namun sebaliknya pula dengan Asfahan. Asfahan sedang berdepan dengan gelora di hatinya. Antara hendak diluah ataupun disimpan dengan begitu saja.

‘Ah, tapi sampai bila pulak nak menyimpan perasaan cinta yang melimpah ruah ni? Kalau terlambat melepas!’ getus hati Asfahan. Dia yakin suatu masa nanti Nadya akan mengetahuinya juga. Bilamana dia dan Jelita akan bersatu nanti, semua orang akan tahu juga. Jadi sampai bila?

Selepas membuat pesanan makanan, Nadya mula melingkarkan tangannya ke jemari Asfahan. Dia ingin mengembalikan saat bahagia mereka sewaktu mereka hangat bercinta dulu. Terimbau-imbau pula kenangan pertama kali dia bertemu dengan Asfahan Redza di parti masquerade hampir tiga tahun dahulu.

“Nad…” Asfahan mula menarik tangannya dari terus dipegang Nadya. Dia merasa tidak selesa. “Sebenarnya I ada perkara yang dibincangkan dengan you.”

“Perkara apa?” Nadya terasa lain dengan sikap Asfahan. Kekasihnya tidak pernah serius seperti ini. Sejak pulang dari Cappadocia, Asfahan telah berubah menjadi seorang yang dingin terhadapnya.

“Tentang kita.”

“Kenapa dengan kita? You nak melamar I ke?” tebak Nadya. Dia mula mengulum senyuman kecil.

“Bukan. Tentang perhubungan kita yang I rasa semakin berantakan.”

Nadya terdiam seketika. Berantakan? Maksudnya, semakin retak? “Bila masa hubungan kita berantakan?”

“Sekarang ni I rasa kita dah tak sefahaman macam dulu. You mungkin tak rasa begitu. Tapi I mula merasakan yang hati I ni… hati I ni semakin jauh dari perasaan yang dulu I rasakan terhadap you. Cinta kita semakin hambar dan tiada penghujungnya, Nadya,” kata Asfahan sambil menoktahkan kata-katanya dengan hirupan air kosong yang disediakan di atas meja. Lega. Terkeluar juga ayat-ayat itu dari mulutnya.

“No!” Nadya mula meninggikan suaranya. Dia sedar akan kehadiran orang sekeliling yang memandang, namun dia tidak kisah. Hatinya terluka. Sampai hati Asfahan buat begini kepadanya. Setelah sekian lama dan terlalu banyak pengorbanan yang dia lakukan, Asfahan memang tidak pernah menghargai satu pun darinya!

“Bantahlah ataupun marahlah mahupun salahkanlah I sebanyak mana pun. I dah tak kisah. I rasa hubungan kita sampai disini saja.” Berat hatinya dengan tindakan yang dilakukan. Tapi ia adalah apa yang dia harus lakukan. Dia tidak lagi mencintai Nadya. Hatinya kini terpaut kepada Jelita.

“You kejam! Kejam sangat-sangat Asfahan. I cintakan you dengan sepenuh hati I. I sanggup menipu dengan papa you demi kesenangan hidup you. But this is what I get?! How could you? Tegar sungguh hati you ya!” Airmata mulai merembes keluar dari kolam mata Nadya. Hatinya memang benar-benar terluka. Dia tidak menyangka Asfahan sanggup meninggalkannya.

“Nad…” Asfahan mencengkam kedua-dua telapak tangan Nadya. Dia cuba menenangkan gadis itu. Pengunjung restoran mula memandang serong terhadapnya. Lelaki yang membuatkan seorang gadis menangis! Kejam sungguh lelaki itu.

“Apa lagi yang tak cukup pada I? You beritahu I! Semua yang tak ada pada isteri you tu ada pada I kan? You yang kata dulu kan? Cuba you beritahu dengan I, kenapa kita perlu berpisah?” Suara Nadya masih berserak. Airmata yang meleleh ke pipi juga masih belum berhenti.

“Bukannya kerana kelemahan you, Nad. Tapi kerana…” Asfahan memandang ke bawah. Patutkah dia tahu? “I cintakan orang lain.”

Nadya menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian menangis dengan lebih kuat. Habis tisu yang tersedia di atas meja digunakannya untuk mengelap airmata. “Cinta orang lain? Siapa perempuan yang hebat sangat tu? Kat mana you kenal dia? Bila you bercinta dengan dia?!” tanya Nadya bertubi-tubi.

“Dia… I kenal dia masa kat Cappadocia. She’s nice, beautiful… I tak tahu… macam nak gambarkan dia. Namanya Jelita.” Tergagap-gagap Asfahan dibuatnya. Nadya memang benar sedang naik angin!

What? Kat Cappadocia? Patutlah… patutlah you asyik mengelamun lepas tu dingin dengan I.” Nadya mengelap airmata pantas. Dia berhenti menangis. “Dah, I nak balik. Don’t ever try to say sorry to me! I takkan berpisah dengan you. Dan I akan pastikan si Jelita tu akan menyesal sebab cuba rampas you daripada I!”

Nadya bangun dari kerusi yang didudukinya. Dia terus menuju ke pintu keluar restoran dan mula menahan teksi.

“Eh Nad! Tunggu! Biar I hantarkan you.”

Asfahan mengejar Nadya dari belakang. Saat Nadya masuk ke dalam perut teksi yang ditahannya, Asfahan menarik lengan Nadya.

“Lepas! Kalau tak I jerit panggil polis,” ugut Nadya.

Asfahan terpaksa membiarkan Nadya pergi. Hatinya juga sedih dengan tindakan melulu yang diambilnya. Entah betul, entah tidak. Entah Jelita akan menghargainya ataupun tidak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.