Home Novel Cinta Bertaut kembali
Bertaut kembali
Miss cactus
29/10/2019 10:47:44
695
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

    SAMPAI saja di lapangan terbang KLIA, Daniel segera mencari teksi. Dia perlu segera pulang ke rumahnya. Dia mahu menatap jasad papa dan mamanya biar pun dua tubuh itu tidak bernyawa lagi. 

    Sampai saja di rumah, Mak Seri pembantu rumah papanya memberitahu, jenazah papa dan mamanya telah dibawa untuk dikebumikan. Segera Daniel mendapatkan kunci keretanya. Jika sempat, dia mahu menatap wajah terakhir papa dan mamanya.

    Di kala hatinya serabut memikirkan Mawar yang tiba-tiba menyepi tanpa khabar berita, dia dikejutkan dengan berita kemalangan papa dan mamanya. Dia perlukan Mawar saat ini. Dia berharap Mawar berada di sana. 

    Daniel mengeluh lega bila melihat jenazah papa dan mamanya yang masih belum ditanam. Segera dia mendekati. Dia mahu menatap wajah kesayangannya buat kali terakhir. Hampir gugur air matanya melihat wajah papa dan mamanya. Sekelip mata dia menjadi anak yatim piatu.

    “Encik Daniel, boleh kita teruskan?” tanya Pak Kalil pemandu peribadi Datuk Razak.

    Daniel hanya memberi anggukannya. Matanya meliar mencari wajah yang sangat dirinduinya. Dia perlukan Mawar. Dia tiada sesiapa lagi. Papa dan mama sudah meninggalkan dirinya bersendirian di dunia ini.

    Hampa hatinya bila kelibat Mawar langsung tidak terkesan pada matanya. Daniel cuba bersangka baik. Mungkin Mawar mahu hadir tapi keadaan yang tidak mengizinkan. Dia tahu Mawar perlu menjaga ibunya yang lumpuh.

    “Sabarlah Encik Daniel. Kita doakan semoga datuk dan datin ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Doa dari Encik Daniel sangat diperlukan mereka.

    Daniel  menyeka air matanya. Dia harus kuat. Yang pergi tetap akan pergi. Dia akan teruskan impian papa dan mamanya untuk melihat dia berjaya. 

    “Mawar tak datang pakcik?”

    Pak Kalil hanya memberi senyuman hambarnya. Tidak usahlah dia bercerita tentang apa yang telah terjadi. Biarlah menjadi rahsia. Mawar sudah selamat bergelar seorang isteri. Dia sendiri yang membawa majikannya pergi ke majlis pernikahan Mawar dua hari yang lepas. Sedih dia melihat Mawar namun apa yang mampu dia lakukan. Kalaulah Daniel mengetahui apa yang telah papa dan mamanya lakukan pada Mawar, mungkin langsung tiada doa Daniel pada mereka berdua. Dia nampak semuanya. Betapa kejamnya Datin Liza menghina Mawar. Tidak cukup dengan itu, Datuk Razak siap menjadi saksi untuk pernikahan Mawar. Sengaja menambahkan duka di hati wanita itu. 

“Dia tahu tak papa dan mama…?” 

Melihat gelengan Pak Kalil, tahulah dia Mawar sendiri masih belum menerima berita tentang pemergian papa dan mamanya.

Segera dia menghubungi Mawar tapi taliannya sepi saja. Berkali-kali dia mencuba sehingga Pak Kalil sendiri menarik telefon bimbit dari tangan Daniel.

“Kita balik dululah Daniel. Semuanya telah selesai. Kita nak buat tahlil untuk arwah malam ni. Pasal Mawar tu…” Tidak sempat Pak Kalil bercerita Daniel mencelah.

“Saya perlukan Mawar. Dia saja satu-satunya yang saya ada. Dia kekuatan saya pakcik.”

Pak Kalil terdiam. Kalaulah Daniel tahu, hari ini, hari majlis persandingan Mawar berlangsung, pasti kecewa lelaki itu. Beratnya dugaan yang terjadi di dalam hidup anak arwah majikannya ini.

“Saya nak ke rumah Mawar. Pakcik selesaikan apa yang patut. Saya janji akan ada malam nanti. Maaf pakcik. Saya betul-betul perlukan Mawar.” Daniel segera berlari ke arah keretanya. 

Pak Kalil cuba mengejar langkah Daniel tapi apalah dayanya. Sudahnya, dia hanya mampu memandang kereta Daniel yang sudah bergerak pergi. Di dalam hati, dia berdoa, agar Daniel kuat untuk menerima segalanya.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss cactus