Home Novel Cinta Bertaut kembali
Bertaut kembali
Miss cactus
29/10/2019 10:47:44
2,544
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

TERBIAS resah di wajah gadis kesayangannya. Hari yang tidak mahu dia tempuhi, hadir juga. Inilah perngorbanan yang harus dia lakukan demi kebahagiaan mereka berdua di kemudian hari. 

“Mawar akan tunggu saya, kan?” Digenggam kemas tangan gadis pujaan hatinya.

Mawar mengangguk. Senyuman yang terukir tiada manisnya seperti pertemuan mereka sebelum ini. 

“Mawar sedih?” Redup pandangan matanya pada Mawar. 

Mawar menyeka air matanya yang sudah mula mahu gugur.

“Jangan sedih Mawar, hati Dany hanya untuk Mawar. Cinta Dany pada Mawar terlalu kuat. Hati Dany tak akan sesekali berpaling. Ini janji Dany pada Mawar.” Dany mengangkat tangannya seperti sedang bersumpah, tanda dia benar-benar maksudkan setiap bait-bait perkataan yang keluar daripada bibirnya.

Mawar menggeleng perlahan. Tangan Dany segera ditarik turun.

“Kita sama -sama berjanji Dany tapi Dany kena ingat, hidup kita ni sentiasa berputar pada takdir.”

Daniel menarik nafasnya. Wajah gadis yang sangat dicintainya, direnung dalam.

“Dany akan sentiasa berdoa, supaya dipanjangkan jodoh kita berdua. Dany pun nak Mawar berdoa, doa yang sama seperti Dany. Kita sama-sama jaga hati kita antara satu sama lain ya?” Matanya tidak mampu untuk beralih daripada wajah yang sangat disayanginya ini.

Bagaimana dia harus meninggalkan gadis ini? Kalau bukan kerana demi masa depannya, tidak akan sesekali dia meneruskan permintaan papa dan mamanya untuk menyambung pelajaran di luar negara. Hatinya resah sebenarnya mahu berpisah sebentar dari gadis ini tapi dikuatkan juga hatinya. Pernah dia meminta izin daripada papa dan mamanya untuk memperisterikan Mawar sebelum berangkat ke luar negara tapi papa dan mamanya tidak mengizinkan. Mereka mahu Daniel menjadi seorang manusia yang berjaya dahulu sebelum menjadi seorang suami. Lagi pun usianya terlalu muda untuk mengalas tanggungjawab untuk menjadi seorang suami. Dirinya sendiri pun masih lagi menerima elaun dari papa. Macam manalah nak menyara Mawar. Tambahan pula Mawar masih ada ayah dan ibu. Besar tanggungjawab yang harus dipikul Daniel.

“Mawar akan sentiasa jaga hati Mawar untuk Dany. Mawar hanya cintakan Dany seorang saja. Mawar doakan Dany berjaya. Mawar akan tunggu Dany.” Mawar cuba memaniskan senyumannya biar pun jelas nampak kesedihan di wajahnya.

“Dany harap lima tahun tu akan berjalan dengan cepat. Dany janji, Dany akan balik jumpa Mawar bila Dany ada masa. Ingat ya sayang, Dany cintakan Mawar seorang saja. Jaga hati Dany yang ada pada Mawar tu baik-baik ya?” Dikeluarkan seutas rantai lalu diberikan kepada Mawar.

Mawar memandang wajah Dany. Dahinya berkerut sedikit.

“Rantai ni Dany beli dengan duit gaji pertama Dany masa kerja dekat kilang. Dany berhasrat nak beri pada bakal isteri Dany.”

Makin berkerut wajah Mawar. Dia bukannya isteri Daniel. Mereka hanya merupakan sepasang kekasih sahaja.

“Dany hanya nak kan Mawar saja sebagai isteri Dany. Jadi, Dany nak Mawar simpan rantai ni. Ini tanda Dany benar-benar mahukan Mawar sebagai isteri Dany.” Ditarik tangan Mawar. Diletakkan seutas rantai yang tertulis namanya pada Mawar.

“Mawar pakai ya. Biar Daniel sentiasa dekat di hati Mawar.

Mawar menekup bibirnya. Sungguh sebak dia rasakan saat ini. Daniel benar-benar    

Ikhlas padanya. Sungguh tulus cinta lelaki ini padanya. 

    “Andai kata satu hari nanti Mawar kecewakan Dany, Mawar nak Dany janji jangan bencikan Mawar.” Mawar menunduk menyapu sisa air mata yang masih berada di wajahnya.

    “Dany tak mampu nak benci Mawar. Cinta Dany terlalu berlebih sehingga tidak mampu menabur kebencian pada Mawar. Dany percayakan Mawar. Kita jaga janji kita ni ya sayang.” Kedua-dua tangan Mawar digenggamnya. 

    Mawar membalas genggaman Daniel. Dia mengangguk sedangkan di dalam hatinya bergolak dengan pelbagai masalah yang sudah muncul. Kuatkah dia untuk menghadapinya sendiri di sini? Bukan tidak mahu menceritakan pada Daniel tapi dia tidak mahu menganggu pemergian Daniel dan juga harapan papa dan mama Daniel. Mereka terlalu baik padanya. Langsung tidak memandang rendah pada hidupnya yang sangat miskin ini. 

    Daniel memandang sepuasnya wajah yang akan dirinduinya selepas ini. Perasaan yang tidak enak di hatinya dibuang jauh-jauh. Dia hanya mahu menyerikan dengan sesuatu yang indah saja pada hari pertemuan terakhir mereka sebelum dia berangkat ke luar negara.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss cactus