Home Novel Cinta Bertaut kembali
Bertaut kembali
Miss cactus
29/10/2019 10:47:44
2,428
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

    HASHIM berdecit geram. Dia kalah lagi. Baki duit di dalam beg duitnya dipandang. Hanya tinggal dua keping not 50 ringgit. Maknanya hampir 500 ringgit dia sudah habiskan untuk berjudi pada malam ini tapi langsung tiada hasil. Mahu meminta pada Mawar lagi, memang tidak dapatlah. Sudah habis duit anaknya itu disapu. Duit untuk membeli ubat isterinya juga, habis digunakan untuk berjudi.

    “Kalah lagi ke Pak Hashim?” Malik mendekati Hashim. Wajahnya menyengih aje. Bukannya dia tidak tahu tentang Hashim. Satu kampung sedap bercanang mengenai lelaki kuat berjudi itu. Menangnya boleh dikira dengan jari.

    “Bukan rezeki aku. Aku ingat boleh menang. Sial pula nasib aku malam ni.” Daun terup dicampak kasar. Dia sudah tidak berminat mahu terus berjudi. Papa kedanalah dia malam ini kalau dia terus berjudi. Terus saja diangkat punggungnya dari kerusi meninggalkan meja judi. Lagi lama di situ, mahu kering terus dia malam ini. Silap-silap bertambah hutangnya.

    Malik segera mengejar langkah Hashim. Ada nasib yang mahu dicubanya. Mana tahu niatnya tercapai kali ini.

    “Saya baru menang sepuluh ribu Pak Hashim.” Malik tersengih lagi. Melihat pula wajah Hashim yang teruja itu menambahkan sengihan di wajahnya. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya saat ini. 

    “Bagi aku sikit.” Tanpa ada rasa malunya dia meminta pada Malik. Kalau dapat bolehlah dia sambung berjudi. Malu juga dilekehkan kawan-kawan judi yang lain tadi.

    “Boleh. Pak Hashim nak semua pun boleh tapi ada syaratnya.” Malik tersenyum jahat. Bab duit dia tiada masalah. Kiri kanan poket seluarnya sentiasa mewah dengan wang. Banyak kerja haramnya yang menjadi.

    “Kalau bab nak kahwin dengan Mawar tu, aku tak boleh buat apa-apalah. Dia tak mahu. Aku paksa pun, Mawar tetap berkeras. Apa aku boleh buat.” Hashim mengeluh kasar. Pelbagai cara sudah digunakannya untuk memaksa Mawar berkahwin dengan Malik tapi sehingga kini masih tidak berjaya. Sehingga satu tahap, dia sendiri sudah malas mahu memaksa Mawar lagi. 

Malik mendekatkan wajahnya pada Hashim. Dia berbisik pada telinga Hashim.

“Kau gila ke? Aku tak jahat lagi nak buat anak aku macam tu.” Buntang biji mata 

Hashim pada Malik. Ikutkan hati mahu saja ditumbuk wajah Malik.

    “Terpulanglah pada Pak Hashim. Saya tak rugi apa-apa. Duit ni saya boleh aje habiskan berjudi di sini malam ni. Kalau menang, bertambah kayalah saya malam ni.” Malik tersenyum sinis. Sengaja dia layangkan sampul coklat tebal itu di mata Hashim. Kalau dengan cara itu saja dia mampu mendapatkan Mawar, dia akan lakukannya. Mahu berpegang pada janji konon. Dia akan pastikan janji yang sering terucap di bibir Mawar itu terlerai. Dia akan memusnahkan segalanya. Berani Mawar memandang sepi pada cintanya.

    “Kalau aku bagi, duit tu semua hak aku?” Seumur hidup, ini kali pertama dia bakal mendapat duit sebanyak itu. Nak merasa duit Datuk Razak tak sempat sebab Mawar sudah mengoyakkan cek yang diberi Datuk Razak. 

    Malik tersenyum lebar. Dia hanya mengangukkan kepalanya. Mana mungkin dilepaskan peluang mendapatkan Mawar. Lama dia menunggu untuk memiliki gadis itu.

    “Aku nak kau janji akan kahwin dengan dia?” 

    Malik menaikkan ibu jarinya. Tidak sabar dia mahu memiliki Mawar. Biar dengan cara kotor sekali pun. Asalkan Mawar menjadi miliknya.

    Kunci rumah dan duit di dalam sampul bertukar tangan. Malik terpejam membayangkan tubuh Mawar yang akan dimilikinya sebentar nanti. Tidak sangka malam ini tuahnya berganda. 

    “Aku tak masuk campur kalau orang kampung tangkap kau.” Hashim memberi peringatan. Hilang rasa serba salahnya pada anak sendiri. Duit yang diberi Malik lebih mengujakan dirinya.

    Malik hanya tersenyum. Rumah Mawar terlalu jauh dari jiran tetangga yang lain. Yang ada berdekatan pun hanyalah rumah seorang lelaki tua yang pekak telinganya. Dia yakin sangat, malam ini akan menjadi malam bahagianya bersama Mawar. Akan dia takluki Mawar agar terus terikat mati dengannya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss cactus