Home Cerpen Seram/Misteri ANAK PATUNG NANA
ANAK PATUNG NANA
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
31/5/2015 17:05:56
7,629
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aidid mengangkut satu kotak yang berisi dengan pakaian-pakaian ke dalam rumah itu dengan pantas. Peluh berjejeran mengalir membasahi wajahnya. Cepat-cepat Aidid meletakkan kotak tersebut di atas lantai kondominium itu. Berat. Lenguh urat-urat lengan Aidid mengangkat barang-barang yang banyak begitu. Betullah kata orang, berpindah itu memang memenatkan. Aidid menyeka peluh di dahi dengan belakang tangannya. Itu merupakan kotak terakhir yang perlu diangkat oleh Aidid. Aidid menarik nafas lega.

“Dah habiske bang?”

Aidid berpaling ke arah suara itu. Rossa memandang ke arah kotak terakhir yang diangkut oleh suaminya sambil menatang segelas air epal sejuk. Dihulurkan gelas tersebut kepada suaminya. Aidid menyambut gelas tersebut sambil tersenyum memandang Rossa.

“Alhamdulillah dah habis. Yang ni last. Lega sikit rasanya.”

Rossa tersenyum senang memandang Aidid. Selepas ini, tugas beralih kepada dia pula untuk mengemas barang-barang tersebut di dalam kondominium itu. Aidid menjenguk ke bahagian dapur kondominium itu. Dia tidak nampak kelibat anak perempuan tunggalnya sejak dari tadi lagi. Ke mana pula Qalisya menghilang, gumamnya.

“Qalisya mana?”

Rossa mendongak ke arah suaminya. Tangannya ligat mengeluarkan pasu-pasu porselin daripada kotak di bahagian hujung ruang tamu kondominium itu. “Dia tidur tadi, penat sangat agaknya.” Aidid melabuhkan punggungnya di atas sofa sambil menghidupkan televisyen di ruang tamu itu. Sesekali angin sejuk penghawa dingin menyentuh kulitnya. Damai sekali.

“Lepas ni kita kemaskan bilik Qalisya dulu ya. Selesa sikit dia nak tidur,” cadang Aidid. Rossa mengangguk perlahan sambil tekun mengelap pasu porselin kesayangannya dengan berhati-hati. Aidid hanya tersenyum lebar memerhatikan tingkah Rossa yang sememangnya obses dengan pasu bunga porselinnya itu.

Mereka sekeluarga menikmati hidangan makan malam di luar malam itu. Aidid sengaja mengajak mereka makan di luar kerana kasihankan Rossa yang tidak berhenti-henti membersihkan kondominium mereka seharian. Pasti Rossa keletihan, fikir Aidid. Mereka menikmati hidangan makan malam itu dengan penuh selera. Sesekali kedengaran suara Rossa bertelingkah dengan Qalisya yang agak gopoh menjamah hidangan. Sudahnya, Qalisya menarik muncung panjang tanda protes terhadap Rossa. Aidid hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua tanpa bersuara.

“Qalisya, sebelum tidur tu gosok gigi dulu ya. Jangan lupa tukar baju dan basuh kaki,” Rossa mengingatkan Qalisya sebaik mereka melangkah masuk ke dalam kondominium itu. Qalisya menganggukkan kepala sambil berlari masuk menuju ke kamar tidurnya.

Qalisya memetik suis lampu di dinding berhampiran pintu masuk kamarnya dengan pertolongan bangku kecil di dalam bilik itu. Seketika, bilik itu menjadi terang. Qalisya menyusun langkah menuju ke meja komputernya perlahan-lahan. Langkahnya terhenti di penjuru katilnya.

Apa ni, fikir Qalisya.

Sepasang kaki kecil terjulur keluar daripada bawah katilnya. Qalisya membongkokkan badannya dan menarik kaki tersebut keluar. Sebuah anak patung berambut panjang yang diikat tocang berada di dalam tangan Qalisya. Qalisya ketawa gembira. Comelnya, gumam Qalisya. Qalisya meletakkan anak patung tersebut di sebelah bantal di atas katilnya. Hatinya girang. Dia mendapat sebuah anak patung yang sangat comel. Qalisya mencapai tuala yang disangkut pada penyangkut baju di tombol almarinya lalu menuju ke bilik air. Sekujur tubuh kecil berdiri kaku memerhatikan gerak geri Qalisya. Raut wajah yang suram menghiasi wajah yang pucat tidak berdarah itu.

Rossa menutup pintu rumahnya dengan tergesa-gesa. Dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja pagi itu. Mujur Aidid tiada mesyuarat hari ini. Lantaran itu, tugas menghantar Qalisya ke sekolah diserahkan kepada Aidid. Selepas memastikan pintu sudah dikunci, Rossa mengatur langkah menuju ke lif yang terletak di hadapan rumahnya. Langkah Rossa terhenti apabila berpapasan dengan jirannya yang keluar sambil membimbit dua plastik sampah. Seulas senyuman manis terukir di bibir Rossa sebagai tanda perkenalan dan disambut mesra oleh jirannya. Kedua-dua mereka cepat-cepat masuk ke dalam lif sebaik pintu lif terbuka.

“Baru pindah ke sinike?”

Rossa tersentak dengan soalan tersebut setelah masing-masing membatukan diri di dalam lif itu. “Ye kak, baru je pindah semalam.”

“Panggil je akak, Kak Liza. Kak Liza dah lama duduk kat sini,” sambungnya lagi mesra.

“Oh, saya Rossa. Ada masa lapang nanti jemputlah datang ke rumah ye kak,” pelawa Rossa berbasa basi. Kak Liza mengangguk sambil tersenyum.

Ting!

Bunyi loceng di dalam lif tanda pintu akan terbuka menarik penglihatan mereka. Seketika kemudian, pintu lif terbuka dan mereka melangkah keluar daripada perut lif itu. Kak Liza berpusing menghadap Rossa. Kelihatan air muka Kak Liza seperti serba salah sahaja. Rossa memerhatikan Kak Liza dengan raut wajah kehairanan.

“Kenapa Kak Liza?”

Kak Liza memandang Rossa sebelum memulakan ulas bicara. “Errr… Kak Liza nak pesan, kalau jumpa anak patung dalam rumah tu jangan ambil. Kalau boleh, buat tak tau je,” pesan Kak Liza.

Anak patung? Rossa berfikir sendirian. Tiba-tiba matanya terpaku pada jam di pergelangan tangannya.

“Alamak Kak Liza, saya dah lambat! Terima kasih atas nasihat tu, lainkali kita berbual lagi ya,” Rossa meminta diri sambil berlari-lari anak menuju ke tempat parkir keretanya. Kak Liza menganggukkan kepala sambil memerhatikan langkah Rossa yang kelam kabut itu. Dia mengharapkan Rossa tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

Qalisya terbaring kepenatan di atas katilnya setelah pulang dari sekolah. Dia berpaling menghadap ke kiri dan terpandangkan anak patung comel yang dijumpainya semalam. Diraih anak patung tersebut ke dalam pelukannya sambil tersenyum senang.

“Itu anak patung saya.”

Qalisya berpaling ke arah suara yang muncul tiba-tiba daripada belakangnya. Pantas dia bingkas bangun sebaik melihat seorang gadis kecil berwajah pucat lesi berdiri di sisi katilnya.

“Awak siapa? Macamana awak masuk dalam bilik saya?” soal Qalisya ketakutan. Ditilik-tilik wajah pucat itu sambil mengintai ke daun pintu biliknya yang tertutup kemas. Papake yang bagi dia masuk, soal Qalisya di dalam hati.

“Itu anak patung saya,” jawab gadis tersebut dengan riak wajah tenang. Tangannya diunjukkan ke arah anak patung di dalam pelukan Qalisya. Qalisya memandang ke wajah anak patung itu sebelum mengalihkan pandangannya ke wajah pucat gadis itu.

“Tapi saya jumpa anak patung ni kat situ,” tungkas Qalisya sambil melihat ke arah penjuru katil itu. Gadis itu tetap berdiri tegak tanpa perasaan. Seketika, air mata jernih mengalir daripada birai mata gadis itu dan jatuh membasahi lantai marmar bilik itu. Qalisya kaget. Rasa kasihan menjentik tangkai hatinya. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke arah gadis kecil itu.

“Saya minta maaf… Baiklah, saya bagi balik anak patung awak. Janganlah nangis,” pujuk Qalisya. Air mata tetap mengalir di birai mata gadis itu. Tetapi gadis itu tidak bersuara. Qalisya menghulurkan anak patung tersebut kepada gadis itu. Gadis itu menyambutnya dengan linangan air mata. Qalisya serba salah.

“Nama saya Nana…” sambung gadis itu. Esak tangisnya beransur hilang. Tangannya mengusap-usap kepala anak patung itu.

“Nama saya Qalisya. Rumah awak kat mana?” soal Qalisya. Pucatnya muka dia, gumam Qalisya sendirian.

Nana menatap mata Qalisya. Esak tangisnya bersambung semula. “Saya takde rumah…”

Qalisya terdiam. Fikirannya berputar. “Emmm… awak tinggal dengan saya jelah nak? Mama dan papa saya mesti tak marah,” pelawa Qalisya riang.

Nana menggelengkan kepalanya. “Mama dan papa awak mesti tak suka saya tinggal kat sini. Kita mesti tak boleh jadi kawan.”

“Eh, mama dan papa saya baik. Mesti mereka tak marah punyalah,” bantah Qalisya.

Nana mencapai tangan Qalisya. Matanya menatap tajam ke mata Qalisya. “Boleh tak awak janji dengan saya, jangan bagitau mama dan papa awak yang saya tumpang dalam bilik awak?”

Qalisya membalas pandangan Nana. Seketika dia mengangguk perlahan sambil tersenyum. Nana turut tersenyum. Qalisya gembira kerana dia telah mendapat kawan baru dan Nana juga gembira kerana akhirnya dia mempunyai seorang teman baru.

Rossa berhenti di hadapan pintu bilik Qalisya. Telinganya ditekapkan ke pintu bilik Qalisya. Dia terdengar Qalisya seperti sedang berbual dengan seseorang. Jelas. Tetapi tiada suara yang menyambut setiap tutur kata Qalisya. Rossa membuka pintu bilik Qalisya perlahan-lahan. Gelap.

Perlahan-lahan Rossa memetik suis lampu bilik Qalisya. Suasana gelap bertukar terang. Matanya menyorot ke arah katil Qalisya. Qalisya sedang tidur lena sambil memeluk sebuah anak patung. Kening Rossa berkerut. Seingatnya, Qalisya tidak pernah memiliki anak patung sebegitu. Mungkin Aidid baru belikan agaknya, gumam Rossa. Rossa menutup kembali lampu bilik tersebut setelah membetulkan selimut yang membaluti tubuh Qalisya.

Qalisya membuka matanya perlahan-lahan sebaik dia mendengar pintu bilik itu ditutup. Dia berpusing menghadap Nana yang berbaring di sebelahnya sambil tersenyum. Nana turut tersenyum memandangnya.

“Mama saya tak marahkan?”

Nana mengangguk perlahan-lahan sambil tersenyum lebar. Qalisya ketawa kecil sebelum melelapkan mata. Nana memandang Qalisya sepi. Air mata menuruni tubir matanya. Dia takut Qalisya juga akan meninggalkannya sendirian di situ seperti orang lain.

Rossa menyapukan mentega kacang ke atas roti sebelum menghulurkannya kepada Qalisya. Qalisya menyambut roti tersebut sambil tersenyum gembira.

“Terima kasih mama.”

Rossa tersenyum senang mendengar olahan Qalisya. Qalisya anaknya yang bijak dan bersopan santun. Aidid menarik kerusi meja makan itu sambil membawa senaskhah surat khabar. Dia meletakkan surat khabar tersebut ke atas meja sebaik sepinggan bihun goreng disuakan kepadanya oleh Rossa.

“Hari ni kita pergi jalan-jalan nak tak?” Aidid memberi cadangan sambil memandang wajah Qalisya. Rossa menganggukkan kepala sambil tersenyum. Sudah lama mereka tidak meluangkan masa bersama Qalisya.

“Tak mahulah papa. Hari ni Qalisya nak duduk rumah je. Nak baca buku,” tolak Qalisya. Aidid dan Rossa saling berpandangan. Aneh. Qalisya adalah manusia yang paling gembira kalau diajak keluar berjalan-jalan.

“Qalisya, betulke ni?” soal Rossa sambil anak matanya memandang tepat ke wajah Qalisya. Qalisya mengangguk senang. Aidid merenung Qalisya sebelum membuang pandangan ke arah Rossa yang turut kehairanan dengan sikap Qalisya.

Qalisya menutup pintu biliknya perlahan-lahan. Langkahnya diatur berhati-hati menuju ke meja komputernya. Dia ingin mengejutkan Nana yang sedang duduk menghadap komputernya. Dia ketawa kecil sambil menutup bibirnya.

“Hah!” Qalisya menyergah Nana sambil menepuk bahu Nana. Nana terkejut dengan sergahan Qalisya sambil memegang dadanya. Seketika, tawa meletus daripada bibir kedua-dua gadis kecil itu.

“Nana, awak tak laparke? Kalau awak lapar, saya boleh ambilkan makanan,” pelawa Qalisya. Sudah puas dia mengajak Nana untuk bersarapan dengan keluarganya pagi tadi, tetapi Nana enggan. Nana menggelengkan kepalanya.

“Saya tak lapar. Kalau saya lapar saya bagitau awak ya?”

Qalisya tersenyum memandang Nana. Mereka kemudiannya asyik bermain dan berbual sesama mereka di kamar itu.

Rossa berpatah balik ke hadapan bilik Qalisya. Dia mengesan sesuatu yang pelik sejak akhir-akhir ini. Qalisya kerap dilihat berbual sendirian. Hatinya risau melihat keadaan itu. Rossa menekapkan telinganya ke daun pintu bilik Qalisya. Dia cuba mendengar apa yang sedang dibualkan oleh Qalisya ketika itu.

“Anak patung ni cantikkan? Siapa yang belikan untuk awak?” suara Qalisya jelas kedengaran seperti sedang berbual-bual.

“Oh, pandai ibu awak pilih. Mama dan papa saya pun selalu belikan anak patung untuk saya. Bolehlah kita main sama-sama!”

Rossa sudah tidak tahan dengan setiap apa yang dia dengar. Pantas dia menolak daun pintu tersebut dengan kasar. Qalisya tersentak dengan tindakan Rossa. Rossa menerpa masuk ke dalam bilik Qalisya. Matanya melilau ke segenap ceruk bilik itu. Dipandangnya muka Qalisya dengan renungan yang tajam.

“Qalisya cakap dengan sapa tadi? Bagitau mama!”

Qalisya ketakutan dengan riak menyinga di wajah Rossa. Perlahan-lahan dia meraih anak patung Nana ke dalam pelukannya. “Qalisya tak cakap dengan sapa-sapa…”

“Jangan tipu mama! Mama dengar tadi. Ni anak patung ni, mana Qalisya dapat? Papa bagike?” soal Rossa bertubi-tubi.

Qalisya menggeleng laju. Dibiarkan soalan Rossa tergantung di situ. Matanya melirik perlahan ke arah Nana yang berdiri di hujung katil bersebelahan dengan mamanya. Mama tak nampak Nanake? Qalisya menutup matanya rapat-rapat.

“Apa yang kecoh-kecoh ni?” soal Aidid yang masuk ke bilik Qalisya setelah mendengar suara riuh rendah Rossa.

“Papa…” Qalisya berlari mendapatkan Aidid dan bersembunyi di belakang Aidid. Tangannya masih memeluk erat anak patung itu. Nana hanya memerhatikan kaku.

“Abang, Rossa dah bagitau abangkan, Qalisya selalu cakap sorang-sorang. Tu anak patung tu, abangke yang belikan?” soal Rossa sambil jarinya dihalakan ke arah anak patung itu.

Aidid menarik Qalisya yang ketakutan itu untuk berhadap dengannya. Matanya melirik ke arah anak patung di tangan Qalisya. Dia tidak pernah membelikan anak patung tersebut untuk Qalisya. Dia mengusap kepala anaknya lembut sebelum bersuara.

“Qalisya, kat mana Qalisya dapat anak patung ni?”

Qalisya memandang wajah Aidid tepat ke mata. Dia menundukkan penglihatannya ke lantai selepas beberapa ketika beradu pandang dengan Aidid. “Patung ni kawan Qalisya punya…”

“Siapa kawan Qalisya?” soal Aidid lembut. Dia tidak mahu Qalisya menjadi anak yang takut untuk meyatakan kebenaran di tempat yang sepatutnya. Qalisya melirikkan matanya ke arah Nana. Nana menggelengkan kepalanya perlahan-lahan. Qalisya bagaikan dipukau.

“Kawan Qalisya kat sekolah. Dia suruh Qalisya jaga.”

Nana tersenyum memandang Qalisya. Aidid menarik Qalisya ke dalam pelukannya sambil mengusap-usap belakang Qalisya. Rossa memerhati dengan riak muka tidak berpuas hati dengan jawapan Qalisya. Dia tahu Qalisya berbohong.

“Awak jangan berkasar sangat dengan Qalisya,” tegur Aidid kepada Rossa yang sedang menyisir rambut di hadapan meja solek di dalam bilik tidur mereka. Rossa memandang Aidid melalui pantulan cermin besar di hadapannya. Perlahan-lahan dia berpusing menghadap Aidid.

“Saya bukannya berniat nak berkasar dengan Qalisya, abang. Tapi saya dengar dia bercakap seorang diri. Tak kira masa.”

Aided menarik nafas panjang yang kemudiannya dihela perlahan-lahan. “Imaginasi awak agaknya tu. Dahlah, tidurlah. Dah lewat malam ni.”

Rossa mendengus kasar. Ditariknya selimut menutupi kepalanya sebelum mengiring membelakangkan Aidid. Merajukla tu, bisik Aidid perlahan. Aidid membiarkan Rossa sejuk sendiri.

Aidid melangkah menuju ke dapur sebelum dia berpatah balik ke bilik Qalisya. Dia memicingkan telinganya.

“Awak bagi anak patung ni dekat saya? Betulke? Yeay!”

“Mestila saya suka!”

Dahi Aidid berkerut. Qalisya bercakap dengan siapa? Sekilas dijelingnya ke arah kamar tidurnya. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Rossa sebentar tadi. Aidid membuka pintu bilik Qalisya pantas. Lampu dipasang dan bilik itu menjadi terang benderang. Qalisya dilihatnya sedang tidur pulas di atas katilnya. Aided menarik nafas dalam. Perlahan-lahan ditutupnya pintu bilik itu semula.

Qalisya menjenguk ke bawah katilnya. Dia menggamit Nana untuk naik semula ke atas katil. “Papa dah pergi,” dia berbisik kepada Nana. Nana hanya memerhatikan daun pintu bilik itu sayu.

Rossa melangkah masuk ke bilik Qalisya dengan segera. Nafasnya turun naik menahan lelah akibat berlari. Dia melilau di dalam bilik Qalisya. Seketika matanya menangkap sebuah anak patung yang disandarkan di tepi bantal Qalisya. Rossa meraih anak patung tersebut dan berlari keluar.

“Makcik, ke mana makcik nak bawa anak patung saya tu?”

Rossa melompat ke belakang akibat terlalu terkejut. Matanya bulat memandang wajah pucat lesi milik gadis kecil di hadapannya itu. Tangannya terketar-ketar memegang anak patung berambut tocang itu.

“Makcik, boleh tak makcik bagi balik anak patung saya?” pinta gadis kecil itu sambil menghulurkan tangannya ke arah Rossa. Gadis kecil itu bergerak perlahan-lahan mendekati Rossa.

Rossa menjerit nyaring sambil membuka langkah seribu tanpa berpaling ke belakang lagi. Dia segera mencampakkan anak patung tersebut ke bawah kondominium itu. Anak patung itu jatuh tergeletak di atas lantai kolam renang yang terletak di tengah-tengah bangunan kondominium daripada ketinggian 15 tingkat. Nana memandang sayu ke arah anak patung itu. Air matanya mengalir lesu.

Rossa menekan loceng di hadapan sebuah pintu kondominium di situ. Seketika pintu itu dibuka. Kak Liza terjengul di muka pintu. Diperhatikan muka Rossa yang lencun dibasahi peluh. Kak Liza segera membuka pintu rumahnya dan mempelawa Rossa masuk. Rossa masuk tanpa berlengah. Dia merasa tidak selamat untuk berada di dalam rumahnya sendiri.

“Kak Liza, boleh tak saya nak pinjam telefon? Saya nak telefon suami saya.”

Kak Liza menghulurkan telefon bimbitnya kepada Rossa. Rossa menyambut telefon itu dengan terketar-ketar. Dia mendail nombor telefon suaminya dengan pantas. Corong telefon ditekapkan ke telinganya.

“Hello abang. Abang, boleh tak abang balik cepat? Jemput Qalisya kat sekolah. Jangan bagi dia balik sorang.”

“Kenapa ni Rossa?” Aidid menyoal kehairanan.

“Abang, abang jangan banyak tanya. Abang jemput Qalisya. Kita kena keluar dari rumah itu bang,” balas Rossa dengan perasaan tertekan. Seketika telefon itu diserahkan kembali kepada Kak Liza yang memandangnya hairan.

“Kenapa ni Rossa?”

“Kak Liza, saya tertekan. Saya selalu nampak anak saya bercakap sorang-sorang dalam bilik,” terang Rossa.

“Ada tak dia main dengan satu anak patung yang berambut tocang?” soal Kak Liza. Rossa memandang muka Kak Liza sebelum menganggukkan kepalanya.

“Saya buang anak patung tu kak. Saya dengar anak patung tu menangis tadi.”

Kak Liza melabuhkan punggungnya di kerusi bertentangan dengan Rossa. Pandangannya dihalakan ke arah Rossa. Rossa mesti tahu cerita sebenar, bisik Kak Liza.

“Rossa, sebenarnya rumah yang Rossa sewa tu ada ceritanya…”

Bulat anak mata Rossa memandang Kak Liza. “Cerita apa Kak Liza?”

Kak Liza menarik nafas panjang. “ Dua tahun yang lepas, ada sebuah keluarga tinggal di situ. Mereka ada seorang anak perempuan. Nana namanya. Nana budak yang baik, bersopan santun. Comel pulak tu. Satu hari Nana hilang. Puas kami semua mencari Nana. Ibu Nana dah jadi macam sasau. Akhirnya kami jumpa Nana kat dalam kolam renang. Tapi, Nana dah takde. Hasil siasatan polis, Nana dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam kolam renang itu. Anak patung tu memang kesayangan Nana. Lepas kejadian tu, keluarganya jual kondominium tu dan berpindah ke tempat lain. Mereka tertinggal anak patung Nana. Tapi Kak Liza tahu, anak patung tu memang sengaja ditinggalkan sebab ayah Nana tak mahu ibu Nana terus-terus tertekan. Sejak itu, ramai yang keluar masuk kondo tu sebab tak tahan dengan gangguan. Ada yang hilang anak mereka berhari-hari, tetapi anak mereka ditemui selamat.”

Rossa tergamam mendengar cerita itu. Terbayang di matanya raut wajah gadis kecil yang penuh rasa sayu itu. Raut wajah yang pucat lesi. Dadanya berombak kencang.

Aidid tiba di rumah setengah jam kemudian. Kak Liza menggamit Aidid ke rumahnya sambil menceritakan apa yang telah berlaku. Aidid menerpa masuk mendapatkan Rossa.

“Mana Qalisya?” soal Rossa setelah dia melihat Aidid masuk tanpa Qalisya.

“Abang dah pergi sekolah Qalisya tadi, tapi cikgu dia cakap Qalisya dah balik. Puas abang cari.”

Rossa mula menangis. Mana Qalisya? Rintih hati Rossa sayu.

Qalisya berjalan beriringan dengan Nana. Tangan mereka bertaut erat. Sesekali tawa meletus daripada mulut kecil mereka. Mereka berjalan menuju ke kondominium Qalisya.

“Mama saya suruh awak datang jemput saya?”

Nana mengangguk perlahan sambil memandang ke hadapan. Qalisya tersenyum senang. Pasti mama suka kat Nana, bisik Qalisya sendiri.

“Awak nak tak datang kat rumah saya?” soal Nana tiba-tiba sebaik mereka tiba di hadapan kondominium 21 tingkat itu. Qalisya menunjukkan riak hairan.

“Hari tu awak cakap awak takde rumah?”

Nana tersenyum sumbing. “Saya ada rumah, tapi rumah saya sejuk sangat. Saya takut awak tak suka.”

“Eh, saya suka rumah awak. Bolehlah saya main dengan anak patung awakkan?”

Nana menganggukkan kepala sambil memimpin Qalisya menuju ke kolam renang di kondominium itu. Qalisya mengikut jejak Nana perlahan-lahan. Riak wajahnya sarat dengan rasa hairan. Nana tinggal kat sinike, hatinya bergumam sambil matanya memerhati ke sekitar kawasan kolam renang itu. Senja semakin berlabuh. Langit sudah mula dilitupi awan berwarna jingga.

Nana memberhentikan langkahnya menghadap kolam renang itu. Pandangannya dihalakan ke dasar kolam renang tersebut. Qalisya melihat hairan.

“Mana rumah awak?”

“Tu…” Nana menghalakan jari telunjuknya ke dasar kolam tersebut. Qalisya tidak mengerti.

“Awak janji nak ikut saya balik rumah sayakan?” soal Nana kepada Qalisya. Qalisya memandang Nana. Dia mengangguk perlahan-lahan. Nana tersenyum. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangannya ke arah Qalisya. Qalisya menyambut huluran tangan tersebut.

BUMMM!!!

Seketika, percikan air kelihatan melimpah ke pinggir kolam renang itu. Basah.

Rossa berlari menuju ke lif seperti orang kurang waras. Hatinya kuat mengatakan Qalisya ada di situ. Di kolam renang itu. Aidid dan Kak Liza berlari mengejar Rossa daripada belakang. Lif dirasakan bergerak terlalu perlahan. Rossa mengetuk-ngetuk dinding lif tersebut dengan kuat. Geram! Aidid memeluk Rossa untuk menenangkannya. Rossa menangis tersedu-sedu di dalam pelukan Aidid. Dia tidak mahu membayangkan apa-apa yang buruk. Qalisya satu-satunya anak mereka.

Mereka berlari menuju ke kolam renang sebelum telinga mereka menangkap bunyi sesuatu jatuh berdebur ke dalam kolam renang itu. Aidid pantas mempercepatkan langkahnya. Pengawal keselamatan turut berlari ke situ sebaik sahaja diterpa oleh Kak Liza yang memohon bantuan segera.

“Qalisya!!!” jerit Aidid sebaik melihat beg sekolah Qalisya terdampar di situ. Rossa menjerit nyaring. Qalisya sudah mendap ke dasar kolam renang dewasa itu. Kak Liza menahan Rossa yang menjerit seperti orang hilang akal apabila melihat Qalisya tertiarap di dasar kolam renang itu. Aidid pantas terjun ke dalam kolam renang untuk mendapatkan Qalisya. Pengawal keselamatan mula mengeluarkan walkie-talkie bagi mendapatkan bantuan daripada pengawal keselamatan yang lain. Keadaan menjadi hingar bingar.

Aidid mendapatkan Qalisya yang terdampar di lantai kolam renang. Matanya bulat memandang raut wajah seorang gadis kecil yang pucat lesi di dalam kolam renang itu. Pantas diraih Qalisya ke dalam pelukannya dan segera di bawa ke atas untuk mengelakkan Qalisya daripada terus lemas.

Aidid menarik nafas panjang sebaik wajahnya mencecah ke permukaan air. Dia mengangkat tubuh Qalisya dan disambut oleh pengawal keselamatan yang menunggu di tepi kolam renang. Bantuan pernafasan segera diberikan kepada Qalisya oleh pasukan paramedik yang tiba di kondominium itu. Qalisya bernasib baik kerana berjaya diselamatkan pada waktu yang tepat. Rossa menangis nyaring sambil memeluk Qalisya. Aidid turut memeluk Qalisya sambil memohon maaf kepada Rossa kerana tidak mempercayai kata-katanya sebelum itu. Aidid bertekad untuk membawa keluarganya keluar dari kondominium itu. Kondominium itu tidak sesuai untuk Qalisya dan Rossa.

Setahun kemudian…

Adriana bernyanyi riang sambil menari di hadapan meja solek di kamar itu. Langkahnya berhenti sebaik melihat sepasang kaki kecil menjulur keluar daripada bawah katilnya. Dia menundukkan badannya dan mencapai anak patung itu. Anak patung berambut tocang itu menarik perhatiannya. Adriana tersenyum riang.

“Itu anak patung saya.”

Adriana berpusing ke belakang sebaik disapa oleh suara itu. Seraut wajah pucat lesi menyambut pandangan Adriana…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.