Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,120
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

Murid-murid tadika beransur pulang setelah sesi persekolahan tamat.   Aku, Cikgu Miza dan dua orang pembantu tadika masih sibuk menguruskan persiapan bagi sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

“Surat jemputan untuk ibu bapa dah buat ke, Yuri?”

“Dah.  Tunggu cetak dan edar je kepada mereka.”  Aku menjawab pertanyaan Cikgu Miza.

“Kerja, kerja jugak.  Perut pun kena isi.”

Kak Juriah, pembantu tadika menatang dulang berisi minuman dan pisang goreng. 

“Makanlah.  Panas-panas lagi ni,” pelawa Kak Juriah.

Cikgu Miza menuangkan teh ‘o’ panas lalu disua kepada aku.  Aku menyambut dengan ucapan terima kasih.  Goreng pisang dan teh ‘o’ panas memang gabungan tepat untuk dinikmati bersama.

“Dah dapat ke bilik sewa, Yuri?”  Cikgu Miza menyoal.  Semua mata tertumpu ke arahku.

“Belum lagi.  Susah juga rupa-rupanya nak cari yang sesuai.  Ada yang bagus, jauh pula.  Ada yang sewanya murah, tapi transport pula payah,” adu aku.

“Laaa… kenapa tak cakap awal-awal.  Jiran Kak Ju ada nak sewakan bilik bulan lepas, tapi dah penuh.  Baru aje kelmarin budak tu masuk.”

“Ya ke, Kak Ju?  Bukan rezeki sayalah tu.” 

Aku mengeluh perlahan.  Untuk mengharungi satu hari lagi di rumah itu aku rasa sudah tidak mampu.  Tindakan Pak Teh semakin berani.  Tidak sampai satu minggu tinggal di situ bermacam-macam hal telah berlaku.

“Yuri, jauhnya termenung.  Ingat kat buah hati ke?” usik Cikgu Miza apabila melihat aku mengelamun jauh.

“Saya manalah ada buah hati, cikgu.  Tak ada yang sudi.  Hahahaha.”  Aku cuba senyum walaupun hambar.  Hakikatnya aku sedang memikirkan hal lain.  Hal yang melibatkan maruah aku sendiri.

“Yuri cantik, muda lagi tu.  Tak lama lagi adalah tu,” giat Kak Juriah pula disambut dengan anggukan oleh yang lain.  Aku tersenyum nipis.  Kalaulah mereka semua tahu apa yang sedang bergolak dalam kepala aku ketika ini. 

“Baiklah, semua dah kenyang nampaknya.  Jom, kita sambung kerja.  Karang lambat pula dapat balik.”

Kerja-kerja menghias kelas dan memasang bendera tamat pada jam 3.00 petang.  Aku menggeliat bagi membetulkan urat saraf yang tersimpul. Masa terasa lambat berlalu.  Kalau balik pun tak ada apa nak dibuat.  Dibuatnya Pak Teh ada kat rumah, alamatnya aku sendiri yang sengaja menempah bala.

Jadi nak pergi mana?  Aku bukan tahu sangat selok-belok di KL.  Fikir punya fikir aku merewang saja di Jaya Jusco Au2, Keramat.  Ada panggung wayang pula.  Nak menonton wayang ke tidak?  Macam tak seronok pula bila pergi seorang diri begitu. 

Sudahnya aku ke tingkat dua untuk mencuci mata.  Puas berpusing-pusing perut pula berkeroncong minta diisi.  Aku turun semula ke tingkat bawah dan menikmati roti Subway bersama air.  Orang yang lalu-lalang tidak aku hiraukan.

Setelah beberapa jam di situ,  aku bercadang menaiki teksi untuk pulang memandangkan malam semakin menjengah tirainya.

“Assalamualaikum.”

Salam diberi sebaik tombol pintu dipusing.  Ruang tamu terang-benderang dengan cahaya lampu kalimantang yang menyala.  Mata melingas ke segenap ruang.  Agaknya mereka semua di dalam bilik. 

Masuk ke bilik aku membelek-belek telefon pintar.  Entah bila, bateri telefon aku habis.  Puas aku mencari wayar pengecas.  Barulah aku teringat, aku tertinggal wayar pengecas itu di dalam laci meja di tadika.  Aku mencuba nasib ke ruang tamu.  Manalah tahu ada pengecas yang tidak digunakan.  Aku berlalu ke bilik air dan  meninggalkan telefon pintar di ruang tamu untuk dicas sementara aku mandi.

“Lewat kau balik, Katy?  Banyak kerja ke?” 

Katy merebahkan tubuh ke katil.  Tangannya diletakkan ke dahi.  Mata dipejam rapat.  Penat benar gayanya.

“Banyak juga.  Hujung bulan macam ni la.  Kena buat audit akaun.  Selagi tak siap, selagi tulah sakit kepala,” rungut Katy dengan lemah.

Aku mendekati Katy yang terbongkang kepenatan.

“Dah nak Maghrib ni.  Tak elok tidur masa ni.  Pergilah mandi dulu.  Lepas tu kalau nak tidur, tidurlah.”

“Kasi aku lima minit je nak lelap.”

“Cakap je lima minit.  Lepas tu terlajak sampai tengah malam.  Maghrib pun terbabas.”  Aku mula membebel gaya emak orang.  Katy menekup telinga dengan bantal.  Aku geleng kepala lalu menarik tangannya dengan kuat hingga dia terduduk.  Matanya masih lagi terkatup rapat.

“Pergilah mandi, Khatijah binti Hussin!   Tak baik lengah-lengah.”  Tuala milik Katy diserkup ke kepalanya, lantas badan Katy ditolak keluar.

Usai mengerjakan solat fardhu Maghrib, aku ke ruang tamu untuk mengambil semula telefon pintar.  Sepupu-sepupu Katy sedang menonton TV.  Aku menegur mereka bersama senyuman.

Aku tidak jadi melangkah ke bilik bila melihat Mak Teh sedang bertungkus-lumus di dapur menyiapkan makan malam.  Aku perjudikan nasib untuk menegur Mak Teh.  Tidak wajar rasanya kalau aku berlalu begitu saja.

“Masak apa tu, Mak Teh?”  Aku memberanikan diri bertanya. 

Mak Teh menjeling saja tanpa berhasrat untuk menjawab.  Aku menelan liur payau.  Hampa lagi.

“Nak Yuri bantu?”

“Tak payah!  Aku tak suka orang luar usik dapur aku.”

Pap!  Rasa seperti disepak ke muka.  Aku berani cakap muka aku sekarang ini mesti merah padam.  Malu berinci-inci tebalnya.

“Saya masuk bilik dulu, Mak Teh.”  Aku meminta permisi berbasa-basi.

“Aku masak untuk aku anak-beranak je, tahu.  Faham-fahamlah sendiri.”  Bagai disembur minyak panas kata-kata Mak Teh membakar telingaku.

“Eh, tak apa.  Saya pun dah kenyang.  Saya dah makan dulu sebelum balik tadi.” 

Katy ke dapur dengan berbaju kelawar.  Lengan baju disinsing hingga ke siku untuk membantu Mak Teh.

“Dah siap pun.  Panggil Pak Teh kamu ajak makan.” 

Memang tak pernah berlembut agaknya Mak Teh ni bila bercakap.  Asyik nak herdik-herdik orang saja.  Nasib ibu tak begitu.

Belumpun sempat dipanggil, Pak Teh keluar dari bilik dan berjalan terkengkang-kengkang.  Aku menahan ketawa yang mungkin meledak bila Pak Teh melemparkan pandangan benci kepadaku.   Sedikitpun aku tak hairan.  Dia juga yang cari pasal.  Mendapatlah balasannya.

“Kenapa Pak Teh jalan macam tu?” soal Katy tanpa berlapik.  Mulutnya terlopong.  Buruk benar agaknya gaya jalan Pak Teh.  Sekali pandang, macam orang utan pun ada.  Sabar Yuri, jangan ketawa kat sini.

“Ada bisul tumbuh kat peha aku.  Kau apa tahu?”  Marah betul Pak Teh bila berasa diri diejek.  Tahu pun marah.  Ingat tahu menggatal aje.

“Yuri, jom makan sekali.”  Aku berpaling seketika sebelum menjawab, “Aku dah makan tadi.  Kenyang lagi.”

Katy menggangguk faham.  Nasib baik dia tak paksa aku macam beberapa hari lepas.  Kalau tak, jenuhlah aku menghadap muka kelat laki bini tu.

Aku merebahkan badan ke katil.  Baru terasa betapa nikmatnya dapat baring di tilam yang empuk setelah penat berkerja.  Patutlah ibu selalu berkurung dalam bilik tiap kali balik kerja.  Memang penat setelah hampir seharian membanting tulang.  Meskipun aku bekerja dalam suasana dingin penyaman udara.

Lupa pula.  Aku nak cari rumah sewa sebenarnya.  Kalau tak dapat rumah sewa, bilik kecil pun jadilah.  Asalkan aku tak duduk kat sini dah.  Aku buka aplikasi Mudah.my.  Ruang-ruang kriteria pencarian seperti lokasi, jumlah sewa dan jenis rumah aku isi dengan lengkap.  Banyak juga iklan rumah sewa di sekitar lokasi yang aku pilih.

Hampir dua puluh minit aku mencari, masih tiada yang sesuai.  Ada yang minta deposit dua bulan.  Aku mana mampu.  Tapi kalau terdesak, terpaksalah aku tebalkan muka pinjam dengan ibu.  Ibu sajalah satu-satunya harapan aku.

Aku tak tahu lama mana aku terlelap.  Sedar-sedar, telefon pintar aku melekap ke muka.  Sedih betul sejak jadi hamba gajet ni.  Nak tidur sampai terlupa baca doa tidur.  Sebaliknya, digantikan dengan gajet yang membuat manusia leka.

Lampu bilik pun dah terpadam.  Bunyi Katy berdengkur dengan kuat impak kerja kerasnya di pejabat tadi jelas kedengaran.  Nak tidur semula, tapi mata tak berapa mengantuk.  Aku sambung melayari aplikasi Mudah.My yang tergendala.

“Saranghae, Lee Min Ho!”

Opocot!  Terduduk aku dengan pengakuan cinta tak rasmi Katy kepada Lee Min Ho.  Mengigau rupa-rupanya minah ni.  Itulah, baca lagi majalah E-Pop, sampai terbawa-bawa dalam mimpi.  Aku tersengih lucu.

Aku dah hampir berputus asa.  Dah masuk tiga hari aku cari iklan sewa rumah, tapi gagal juga.  Menyerah?  Perkataan menyerah tidak pernah ada dalam kamus hidup aku.

Kelopak mata hampir separuh ditutup.  Tiba-tiba, mataku membuntang membaca iklan rumah sewa yang baru disiarkan.

Bilik untuk disewa kepada perempuan Melayu sahaja
termasuk api air

hubungi Puan Joyah 01111-2552525

Bilik yang luas
Single ataupun nak share bilik pun boleh

roomate berdua sahaja

Sewa bilik biasa RM175 seorang (sharing room) deposit RM175

Jalan Wangsa Maju, Seksyen 2

Kemudahan bilik
- 1 katil single (bilik biasa)
- Kipas syiling
- Almari pakaian 2 pintu
- share mesin basuh
- share dapur peti ais
- share living room tv
- bil elektrik dan air
- tempat parking

Jarak
-  10 minit berjalan kaki ke stesen LRT Putra Wangsa Maju’

Aku mencium skrin telefon pintar berkali-kali.  Doaku dikabulkan jua oleh-Nya.   Nombor telefon Puan Joyah aku simpan siap-siap dalam senarai kenalan.  Esok aku akan telefon Puan Joyah untuk membuat rundingan.  Lambat-lambat nanti melepas. 

“Teh tarik satu, nasi goreng ayam satu.”

Mamak berkumis melentik mengangguk seterusnya berlalu setelah menerima pesanan.  Suasana Restoran Ali Maju yang terletak di Taman Sri Rampai agak sesak dengan orang ramai. 

Aku mengisi perut terlebih dahulu sebelum memulakan misi.  Setelah meneliti senarai kenalan dan nama Puan Joyah muncul di skrin, aku menekan butang panggilan.  Puan Joyah tak angkat pula.  Aku mencuba lagi untuk kali kedua, tetap juga hampa.

Teh tarik sudah tinggal separuh gelas.  Tiba-tiba ada mesej masuk melalui aplikasi WhatsApps.  Puan Joyah!  Katanya sedang sibuk.  Aku terus ke agenda utama.  Menurut Puan Joyah masih ada satu bilik kosong yang belum disewa.  Setelah membuat rundingan dan kata sepakat tercapai,  aku terus meminta nombor akaun Puan Joyah untuk membayar deposit sepertimana yang dinyatakan.

“Amboi, makan sorang-sorang nampak!”  Macam kenal saja suara ini.  Suara Katy.

“Kau buat apa kat sini?”

“Aku kebetulan lalu di sini, lepas tu nampak kau lepak sorang-sorang.  Kebetulan tekak ni terasa kering.  Aku singgah ajelah.  Kau dah makan ke belum?”  tanya Katy seraya matanya jatuh kepada gelas teh tarik yang sudah tinggal sedikit.

“Aku baru je lepas makan,” jawabku. 

Mamak berkumis tadi datang ke meja kami untuk mengambil pesanan Katy.

“Aku ingat kau belum makan lagi, baru je nak belanja kau makan.”

“Ala… ruginya.  Kau belanja teh tarik ajelah.  Macam tak cukup je segelas.”  Aku tersengih dengan muka sepuluh sen. 

“Bisa diatur.”  Usai membuat pesanan, Katy memandang wajahku lama.

“Ada tahi cicak ke kat muka aku?” tanya aku selamba.  Raut wajah Katy yang serius bertukar ceria.  Dia ketawa terbahak-bahak sampai nampak gigi.

“Kau ni,  ke situ pula.  Yuriana, aku nak minta maaf kat kau,” ujarnya kesal. 

“Raya lambat lagilah.  Tiba-tiba je minta maaf.”  Perbualan kami tergendala apabila makanan Katy tiba di meja.  Mamak misai melentik tersengih memandang kami.

“Aku serius ni.  Aku malu dengan kau pasal Mak Teh dan Pak Teh.  Aku tahu kau tak selesa.  Lama dah aku nak cakap benda kat kau.  Tapi aku malu.”  Katy bersungguh-sungguh meminta maaf.  Aku pula yang jadi segan.  Aku tahu niat dia baik.  Aku tak salahkan dia pun.

“Sudahlah, Katy.  Kau tak perlu minta maaf dengan aku pun.  Kau tak salah apa-apa dengan aku.”

“Tapi aku….”

“Aku faham niat kau tu, lagipun aku dah ada rancangan aku sendiri”  Aku memintas kata-kata Katy.

“Maksud kau?” 

Aku tersenyum.  Inilah masanya.  Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.  Tetapi, ada sesuatu yang mengganggu fikiranku ketika melihat muka Katy sekarang ini.  Sakit pula hati aku.  Rasa macam nak tumbuk saja muka dia.









Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas