Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,083
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

LANGKAH terasa berat.  Seperti ada sebongkah batu besar yang terikat di kaki.  Aku paksakan diri untuk keluar dari situ.  Pintu bilik Melor ditutup rapat.  Tanpa menutup TV, aku memasuki bilik tidur dengan perasaan berkecamuk.  Dada berdebar kencang dengan nafas yang tidak sekata.

Apa tadi tu?  Sukar untuk aku meneka.  Aku berselubung dalam selimut sehingga peluh memercik di dahi.  Telinga dipasang sekiranya ada bunyi-bunyi aneh yang kedengaran.  Aku berdoa, walau apa jua benda yang menggangguku, segera pergi.  Aku bukanlah seorang yang berani.  Jumpa lipas pun terjerit-jerit macam kena rasuk.

Telefon!  Aku baru teringat akan telefon pintar yang tertinggal di sofa.  Nak ambil ke tidak?  Di saat-saat genting begini, telefon amat penting bagiku.  Sementelahan, ia satu-satunya penghubungku dengan dunia luar.

Perlahan-lahan kaki menyentuh lantai.  Aku berjalan menghampiri pintu lalu dikuak sedikit.  Kepala dijengul keluar.  Sepantas kilat aku berlari mendapatkan telefon pintar dan mencapai alat kawalan jauh tv.  Ketika mahu memasuki bilik, pandanganku terpaku pada satu bayang yang laju memasuki bilik air.

Ujian apakah ini?  Aku mula memikirkan hal yang bukan-bukan.  Adakah rumah ini berhantu atau mempunyai misterinya yang tersendiri?  Takkanlah aku kena cari rumah lain.  Deposit lagi.

Aku terlena dalam selimut sehinggalah bunyi guruh yang kuat menyentakkan tidurku.  Jam menunjukkan ke angka 6.00 pagi.  Nampaknya aku terlajak tidur hingga bunyi alarm jam pun aku tidak sedar.  Usai solat Subuh dan bersiap ala kadar, aku mengunci pintu utama.  Tiba-tiba jiran di hadapan rumah membuka pintu.

“You baru pindah ke?” Terjengul wajah seorang nyonya di sebalik pintu gril.

“Ya, auntie.  Saya baru pindah minggu lepas,” jawabku tersenyum.

“You duduk rumah sana?” soalnya lagi dengan dahi berkerut.  Jari telunjuk dituding ke pintu rumahku.

“Ya, kenapa?”

“Rumah tu dah lama kosong.  Siapa yang bagi you sewa?”  Banyak pula soalan nyonya tersebut.  Aku pula yang rasa tak sedap hati.

“Tapi Melor dah menyewa kat sini dah lama,” jelasku lagi.

“Melor?  Siapa Melor?  Rumah tu memang lama kosong.”  Suaranya semakin meninggi.  Pelik juga rasanya.  Takkan dia tak pernah lihat Melor keluar masuk rumah kami selalu.

“Amma… cakap sama siapa?” satu suara bertanya dari dalam rumah.  Seorang wanita yang berbaju kemeja dan skirt hitam pendek separas lutut menjenguk keluar.  Wajahnya dimaniskan.

“Hai, cari siapa?” tanya wanita tersebut.  Aku menggaru kepala yang tak gatal.

“Bukan, tadi auntie bersembang dengan saya. Saya jiran puan yang duduk kat depan sana.  Mata wanita itu mengekori arah jari telunjukku.

“Oh, you jiran baru?  Saya Stacy, ini amma saya, Ah Ming.  Tapi amma saya sudah tua.  Dia nyanyuk sikit,” terang Stacy ramah.

“Nama saya Yuri,” aku membalas sopan.  Peramah juga orang Kuala Lumpur di sini.  Nampaknya tidak semua warga KL bersikap mementingkan diri sendiri.

Oh!  Auntie ni dah nyanyuk.  Patutlah dia tak tahu siapa Melor.  Aku menarik nafas lega.  Hampir saja aku berfikir yang bukan-bukan.

“Eh, saya pergi dulu.  Dah lewat ni.”  Stacy mengangguk dan aku tergesa-gesa menuruni anak tangga.

AKU memberi salam sebaik saja memasuki rumah.  Bakul berisi baju-baju kotor sudah penuh.  Dengan malas, aku mengangkut bakul berkenaan ke dapur dan kesemua pakaian kotor disumbat ke dalam mesin basuh.  Hampir tiga puluh minit kemudian, aku ke dapur semula untuk menyidai baju.

Sehelai demi sehelai bajuku digantung di penyidai.  Namun ada sesuatu yang aneh.  Atau, itu cuma perasaan aku saja?  Sehelai baju dalam milikku tiada, atau lebih tepat lagi hilang.  Puas aku menyelongkar di dalam mesin basuh sekiranya ada yang tersangkut, ternyata tiada apa yang tertinggal. 

Malas untuk berfikir panjang, aku masuk ke bilik dan menukar baju.  Tadi Katy ada beritahu hendak singgah ke rumah.  Kenalah aku ke kedai membeli bahan-bahan untuk memasak.  Masak mi goreng sajalah.  Katy suka makan mi goreng udang.

“Yuri, kan?”

Aku kenal suara itu, suara Kak Nab, merangkap pemilik kedai runcit.

“Ya, saya,” jawabku berbasa-basi.

“Hari tu tak sempat kita bersembang lebih lama,” ujar Kak Nab.  “Awak tinggal di blok mana?” sambung Kak Nab lagi.  Aku mencuci tangan di sinki selepas memasukkan udang ke dalam plastik berwarna merah.

“Sana tu, kak.  Blok paling hujung.” 

Timbul tanda tanya dalam hati, kenapa Kak Nab bersungguh-sungguh hendak tahu di mana aku menyewa.

“Oh!  Dengan siapa?”  Kak Nab memasukkan barang-barang yang aku letakkan atas kaunter ke dalam beg plastik yang lebih besar.  Sebelah tangannya lagi menekan-nekan alat kalkulator.

“Berdua dengan kawan.”  Acuh tak acuh aku menjawab. 

Bukannya apa, aku tidak selesa berceloteh akan hal-hal peribadi secara terperinci.  Bukannya kita tahu niat seseorang itu terhadap kita.  Sikap menaruh syak wasangka dan berjaga-jaga itu perlu, lebih-lebih lagi jika tinggal berjauhan dengan keluarga. 

“Maaflah kalau akak buat kamu tak selesa.  Akak memang macam ni, Yuri.  Cuma akak nak pesan, tinggal kat situ hati-hati sikit.  Yalah, blok tu banyak warga asing.  Kamu tu pula perempuan.  Kamu faham maksud akak, bukan?”  Berjela pesanan dari Kak Nab kepadaku.  Aku cuma mampu mengangguk.

“Saya balik dulu, kak.  Kawan nak datang rumah ni, nak masak dulu.” 

Langit berubah mendung dalam sekelip mata.  Awan semakin berarak laju menutupi langit biru.  Cahaya suria mengintai di sebalik kepulan awan lantas semakin sirna ditelan gugusan awan gelap.  Langkah kaki diayun laju-laju.  Plastik barang turut bergoyang-goyang mengikut rentak langkahku.

Dalam rintik hujan yang semakin lebat, lensa mataku terpaku pada sebuah teksi yang aku kenali, milik Pak Teh.  Apa dia buat di sini?  Kelibat Pak Teh tiada di dalam teksi.  Mungkin Pak Teh sedang menunggu pelanggan di situ.  Aku harap dia tak nampak aku di sini, dan tidak tahu pun aku menyewa di sini.  Aku tak mahu pisang berbuah dua kali.

Anak tangga dipanjat laju-laju.  Sesekali aku menoleh ke belakang.  Mana tahu, Pak Teh tiba-tiba saja muncul.  Anak kunci dicucuk ke dalam tombol dan segera aku meloloskan diri ke dalam rumah.  Aku memegang dada yang berdetak laju.  Rasa macam nak pitam pun ada.  Selepas menyalin baju, aku ke dapur menyiapkan bahan-bahan memasak.  Jarum jam sudah menginjak ke angka 6.00 petang.  Sekejap lagi mungkin Katy sampai.

“Bau apa ni?”  tanya Katy sebaik saja aku membuka pintu. 

Senyumannya melebar tatkala memandangku.  Dia tiba lewat tidak seperti yang dijanjikan kerana hujan lebat dan terpaksa meredah kesesakan lalu lintas.

“Mi goreng,” jawabku sepatah.

Tas tangan diletakkan di atas kerusi.  Katy masih lagi tersengih seperti kambing yang baru makan rumput. 

“Aku faham!  Kau duduklah dulu.  Aku bawak mi tu ke depan,” ujarku seraya menggeleng.

“Kau dah solat belum?” soalku kerana azan Maghrib baru saja berkumandang dari masjid berdekatan.

“Aku cuti.”

“Oh!  Sama pula kita.” 

Bekas mi goreng beserta pinggan dan sudu aku letakkan di atas meja kopi.  Katy sudah bersiap-sedia menghadap makanan.  Bertuah punya kawan!  Mata Katy membulat bila melihat juadah di depan mata.  Beberapa ekor udang terselit di sebalik mi goreng yang aku hias dengan bawang goreng dan telur dadar.

“Kalau aku lelaki, dah lama aku pinang kau, Yuri.  Kau memang cukup memahami isi hati aku.  Hahaha,” ketawa Katy dari ruang tamu.

“Beranganlah kau.  Jemput makan, ni je aku mampu masak.”

Pinggan berisi mi goreng udang aku suakan kepada Katy yang sudah menjilat bibir.

“Macam budak-budak dapat gula-gula,” gurauku.

“Sedap tak?” aku bertanya kepada Katy yang sudah menghabiskan hampir separuh mi goreng di dalam pinggannya.  Lapar betul nampaknya.

“Sedap!  Aku nak tapau boleh?” Katy buat muka sedih lagi.  Padahal dah menambah dua kali, masih lagi meminta bekal untuk dibawa pulang.

“Boleh.  Ada banyak lagi kat dapur tu.”

“Yuri, kawan kau mana?” Katy bertanya dengan mulut penuh. 

“Balik kampung.  Nama dia klasik tahu, Melor,” beritahuku tanpa disoal Katy.

“Melor?  Macam dalam drama Melayu dulu-dulu je.”  Katy ketawa kuat.

Tanpa diduga, sayup-sayup suara ketawa yang mengajuk suara Katy bergema dalam rumah.  Wajah Katy bertukar pucat.

“Kau dengar tak?” Katy sudah merapatkan tubuhnya kepadaku.  Tangannya memeluk erat lenganku yang baru ingin menyuap mi goreng ke dalam mulut.

“Dengar, ala… gema ketawa kau aje tu.” 

Aku pun tak pasti sebenarnya bunyi apa, sama ada benar-benar gema suara Katy, ataupun ada suatu suara ghaib yang lain.  Entahlah, aku malas nak fikir banyak. 

“Ya ke?  Meremang bulu roma aku ni.  Lain macam je rumah ni.”  Katy mendongak ke siling dan memutarkan pandangannya ke segenap ruang rumah.  Aku cubit pehanya apabila tubuh sekeping milik Katy semakin merapat kepadaku.

“Sakitlah!” rungut Katy sambil menggosok-gosok pehanya.

“Dah tu, yang kau menyendeng baik punya dekat aku ni kenapa?  Aku nak makan ni.”

Katy mengengsotkan tubuhnya menjauhiku.  Namun, matanya masih lagi ligat melihat ke sana-sini.

Dum!

Opocot, mak kau!”  latah Katy dengan kuat.  Tubuhku kembali menjadi mangsa pelukan Katy.  Lemas aku dibuatnya.

“Ka… Katy.  A… aku tak… boleh… bernafas!” kataku putus-putus.   Lengannya yang kecil kemas memeluk dadaku sehingga aku sesak nafas.

Sorry, aku tak sengaja!  Menyeramkanlah rumah kau, Yuri.”  Muka Katy berubah kemerahan.  Aku agak, Katy mungkin terkencing jika tinggal di sini.

“Biasalah.  Kawasan rumah ni kan sunyi.  Bila bunyi pintu ditutup, atau dihentam angin, mesti berganda-ganda kuatnya.” 

Aku memberikan teori sendiri yang tidak relevan.  Dalam masa yang sama aku cuma menyedapkan hati sendiri.

“Tapi, Yuri.  Dekat sangat bunyi tu.”  Tak habis-habis lagi Katy merengek.  Tubuhnya terketar-ketar menahan takut.  Diasak oleh kejutan demi kejutan dalam satu masa, sudah pasti Katy dilanda ketakutan yang amat sangat.  Aku pun takut juga, tapi aku buat bodoh saja. 

“Tak adalah, rumah sebelah tu.  Tak pun rumah di tingkat bawah,” pujuk aku lagi.

Aku menguatkan laras bunyi tv yang memaparkan berita jam 8.00 malam dengan harapan dapat mengalih perhatian Katy yang dilanda ketakutan.

Satu jam kemudian, Katy meminta diri untuk pulang.  Ketika mahu ke dapur untuk mencuci pinggan, pintu di bahagian beranda iaitu tempat menyidai baju kelihatan renggang.  Semasa memasak tadi pintu tersebut bertutup rapat.  Aku membuat cubaan membuka dan menutup pintu berulang kali.  Ternyata kondisinya masih elok.  Kuncinya juga berfungsi dengan baik.  Pelik!

Entah kenapa jiwaku meronta-ronta memaksa aku melontarkan pandangan keluar.  Cahaya bulan yang tersebar membuatkan pokok-pokok pisang begitu menyeramkan.  Ketika anak mata cuba dialih, satu kelibat putih dilihat sedang berselindung di sebalik pelepah pokok-pokok pisang tersebut.

Dum!

Aku menghempas daun pintu sekuat hati.  Dalam minda sudah sarat dengan bayangan-bayangan momok yang menakutkan.  Apa jua surah yang aku ingat aku baca dalam hati dengan mata terpejam.  Dalam satu hari saja, jantungku kuat berdegup sekaligus mengepam darah semakin laju sehingga tubuh dibasahi keringat.

Aku menarik selimut menutupi seluruh badan.  Bunyi tapak kaki seseorang di luar pintu semakin dekat.   Tiba-tiba pintu bilikku ditolak dari luar.



Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas