Home Novelet Komedi/Romantik Komedi EDISI DETIK TERINDAH : Kursus Jatuh Cinta!
EDISI DETIK TERINDAH : Kursus Jatuh Cinta!
Aurian
31/10/2013 11:58:00
19,165
Kategori: Novelet
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4 : Pernantian Tiada Penghujung
Pesan penulis : Pembaca sila ke kotak Senarai Bab di atas dan click Bab1, Bab 2 untuk membaca awal kisah ini. Kemudian click Bab 3 dan Bab 4 untuk bacaan seterusnya..

4. Pernantian Tiada Penghujung

Hari demi hari, malam berganti malam, minggu berganti bulan. Mainan hati dan perasaan tidak berpenghujung. Camelia mula merasa, menanti buah tak gugur memang sia-sia. Mustahil dia akan berjumpa lagi jejaka yang entah datang dari mana itu. Camelia menghembus nafas dan membanting badan pada tilam. Fikirannya menerawang pada kursus kahwin yang dia hadiri hampir tiga bulan lepas. Sekilas dia teringat pada Ijaz.

“Sayang pergi ambil kursus tu kat sana, abang ambil kat sini. Kita ambil asing la...”

“Tapi saya teringin nak pergi dengan bakal suami saya...” Camelia merengek, berharap Ijaz akan menurut kemahuannya.

“Jauh kan, takkan abang nak turun Shah Alam semata-mata nak pergi kursus tu. Penat, nak kerja lagi...” sanggah Ijaz.

Akhirnya Camelia mengalah. Rupa-rupanya jauh itu hanya alasan. Hakikatnya Ijaz pergi kursus tu dengan orang lain. Malahan menikah dengan perempuan lain! Camelia mencengkam rambutnya, ‘Geramnya, dasar penipu, buaya!’

Hari pertama berada di kursus itu dengan alasan menemani Siti, hati Camelia bagai di carik-carik. Dia asyik membayangkan alangkah bahagianya Ijaz datang kursus itu bersama bakal isterinya, bergelak ketawa dan menyulam bahagia. Tetapi pada hari kedua segala-galanya berubah. Ketika menatap wajah lelaki itu, pak ustaz yang manis. Hati Camelia terusik. Rupanya bukan Ijaz seorang yang mampu menyentuh hati Camelia. Mungkin kerana lelaki itu punya persamaan dengan Ijaz. Badan tegap, kulit sedikit tan yang manis menawan, mengingatkan dia pada Ijaz. Camelia menggeleng, bukan, dia lebih baik dari Ijaz, senang cakap lebih handsome dari Ijaz, malahan personalitinya lebih menawan, sopan, misteri, dan pastinya punya pegangan agama yang lebih baik dari Ijaz. Camelia tersenyum, ‘Kalau ditakdir kita tak akan bertemu lagi, akan ku semat sedetik kenangan itu ke sanubari. Agar jadi kenangan paling indah dalam hidup ini...’

“Hoi minah jiwang!! Macam tak betul je tersengih sorang-sorang!”

Camelia terperanjat sambil mengurut dada. "Kurang asam kau, nasib baik aku tak ada sakit jantung.”

“Eiii, rimas betul la aku tengok kau ni... daripada berkurung, mengelamun dalam bilik ni, baik pergi mengaji ke. Pegi kelas tafsir ke...”

“Kelas tafsir?, Ustaz Abu Zar dah balik ke?”

“Dah berzaman ustaz balik dari Mekah tau. Kau tu, sebelum ustaz pegi haji lagi kau dah tak datang kelas dia kan. Asyik menangis, meraung frust dengan Ijaz tu…” Siti mula membebel. Dia tak sedar Camelia dah keluar dari bilik.

“Oii, kau nak pergi mana?”

“Bersiap, aku nak pergi jumpa ustaz Abu Zar. Ada urusan hidup dan mati!”

“Ceh! Hidup mati konon . Jom la sekali, malam ni ada majlis Qatam Al-Quran, sempena Maal Hijrah.”

“O.k” Camelia melaung dari bilik air.

……………………………………………………………………

“Ustaz ingat tak dulu, ustaz pernah tanya saya, saya dah kahwin belum. Saya kata belum. Lepas tu Ustaz nak kenalkan saya dengan kawan ustaz tapi saya tolak...”

“Ya, ya saya ingat…” Ustaz Abu Zar mengangguk.

“Saya cakap kat ustaz saya dah ada kawan kan. Lepas tu ustaz kata ‘saya takut dia tinggal kamu,’ Kan kan?”

Ustaz Abu Zar hanya menganguk. Dia jadi gusar melihat wajah Camelia makin keruh.

“Kenapa mulut ustaz masin, dia betul-betul dah tinggalkan saya... huwaaaaa!!”

“Ya Allah, benarkah? Kasihan kamu. Sabar-sabar...” Wajah Ustaz Abu Zar kaget melihat Camelia mula menangis.

“Macam mana ustaz tau dia akan tinggalkan saya?”

“Macam ni la, benda ni banyak jadi. Orang lelaki, dalam satu masa, tak semestinya suka dengan seorang perempuan saja. Ini saya tahu sangat, ramai orang lelaki macam ni.”

Aduh pedih sungguh rasanya mendengar kenyataan ustaz. Tapi ada benarnya... Lelaki yang setia sukar dicari, tetapi masih wujud!

“Jadi macam mana dengan kawan ustaz yang ustaz nak kenalkan tu...?”

“Hai... hari tu kan kamu dah tolak. Sekarang kamu sudah terlambat, kawan saya dah bertunang. Sudah habis...” Ustaz Abu Zar senyum mengena... Wajah Camelia makin muram.

“Ala ustaz tak ada orang lain ke?”

“Nanti saya carikan kamu. Saya juga akan doakan kamu dapat jodoh yang soleh, yang baik ya...”

Wajah Camelia sedikit cerah. “Jazakumullah khairan kathiran ya Ustaz…” Camelia minta diri dengan langkah riang. Ustaz Abu Zar menggeleng kepala.

………………………………

5. Detik Pertemuan ke Dua.

Bacaan Al-Quran berkumandang sepanjang Majlis Qatam sempena Maal Hijrah di surau pusat pengajian Islam itu. Syair Qasidah didendangkan sebagai penutup majlis. Pengunjung hari ini lebih ramai dari hari biasa. Camelia dan Siti turun dari surau bersama orang ramai yang berpusu turun. Siti tidak melihat kelibat Camelia yang baru sebentar tadi berada di depannya. Dia pantas turun ke bawah mencari.

“Kau pargi mana?” pantas Siti memaut lengan Camelia.

“Lelaki tu... Lelaki tu...”

“Siapa?” dahi Siti berkerut.

“Yang kita jumpa kat kursus Kawin tu. Aku nampak dia tadi, sumpah aku nampak dia…” Camelia berpusing ke kiri dan kanan mencari.

“Laa… tak habis lagi pasal mamat hari tu…” Siti menggaru kepala yang tak gatal.

“Betul…” Camelia berpaling ke arah cafeteria. Dia hampir terlanggar seseorang.

“Maaf…” kata-kata Camelia mati. Mulutnya ternganga. Lelaki itu di depannya. Ya, benar-benar di hadapan mata. Wajah lelaki itu kelihatan terkejut. Anak matanya kaku merenung Camelia. Mulutnya sedikit terbuka. Saat ini, dunia terasa berhenti berputar, suara riuh rendah orang ramai di cafeteria menghilang. Camelia dan lelaki itu terjeda, kaku di hadapan satu sama lain. Dengup jantung juga tidak tersapa. Siti juga ternganga di sebelah Camelia. Sayup-sayup Camelia terdengar..

“Din!”

“Cam!”

“Din, wei orang nak lalu la...” Seorang lelaki menarik lengan jejaka idaman Camelia. Mata lelaki itu terbuntang , tidak berkelip merenung wajah Camelia. Halkumnya bergerak-gerak. Spontan badannya terpaling ditarik rakannya. Dan dia beredar, jauh, makin menjauh..

“Adikk, makcik nak lalu masuk café ni…” beberapa orang makcik sudah berbaris di belakang Camelia.
“Maaf ye makcik... kawan saya ni memang macam ni…” Siti lantas menarik tangan Camelia paksa dia beranjak..

“Nama dia Din... Din... Cuma tiga huruf tu je aku tahu! Setelah berbulan menunggu, dengan sebakul doa lagi...”

“Hei, jangan nak merungut macam tu... berdosa...”

“Astagafirullah al azim…” Camelia meraup muka.... "Tapi, aku dah terlepas dia lagi… Ada lagi ke peluang ke tiga?” Camelia sebak, air matanya hampir luruh.

“Siapa suruh berdiri kat tengah pintu! Memang la orang marah... habis tak sempat cakap apa... Sengal...” Siti geram, takkan la mereka nak menyusul jejaka itu hingga ke bahagian lelaki.

Hati Camelia makin sarat kecewa lagi hampa. Mungkin lebih sakit dari ditinggalkan Ijaz.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.