Home Novelet Komedi/Romantik Komedi EDISI DETIK TERINDAH : Kursus Jatuh Cinta!
EDISI DETIK TERINDAH : Kursus Jatuh Cinta!
Aurian
31/10/2013 11:58:00
19,093
Kategori: Novelet
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab Akhir : Jika Ditakdir Bersatu
Pesan penulis : Pembaca sila ke kotak Senarai Bab di atas dan click Bab 1, Bab 2 untuk membaca awal kisah ini. Kemudian click Bab 3, Bab 4, dan Bab Akhir untuk bacaan seterusnya..

Bab Akhir : Jika Ditakdir Bersatu

Seminggu telah berlalu sejak kejadian bertemu dengan jejaka itu di majlis Maal Hijrah 1435. Bermakna sudah seminggu tahun baru dilalui bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Sudah seminggu juga hati Camelia rawan dan gelisah. Ya tahun baru ini sepatutnya lebih meriah disambut oleh umat islam. Bukan meriah berseronok, tetapi meriah dengan amal ibadat dan azam yang mulia. Inilah masanya merangka masa hadapan. Azam Camelia tahun baru ini ialah; cepat-cepat kahwin! Bukankah mendirikan masjid itu perbuatan mulia. Persoalannya di sini, nak kawin dengan siapa?. Camelia tak sabar-sabar menunggu esok hari. Tak sabar-sabar dia nak ke kelas tafsir ustaz Abu Zar yang hanya seminggu sekali itu. Berharap dia akan ketemu lagi lelaki itu buat kali ke tiga. Kali ini dia tidak akan terlepas peluang lagi. Kalau perlu, culik dia pun Camelia sanggup!

Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit. Camelia senyum senang melihat nama Ustaz Abu Zar tertera. Pasti ada perkara penting, jika tidak ustaz tidak akan mesej ingin berjumpa. Dan Camelia boleh agak ianya perihal jodoh yang dia minta ustaz carikan... Senyum Camelia lenyap, bagai mana kalau ustaz ada calon buatnya? Bagaimana dengan Din, kekasih hatinya itu. Kalau dia tolak calon ustaz, pastikah dia akan berjodoh dengan Din? Bertegur dengan lelaki itu pun belum pernah!

‘Ah, ini semua permainan perasaan yang tak berkesudahan! Jadi realistik sikit Cam, jangan nak berangan kosong!' Camelia menepuk pipinya dengan kedua tapak tangan. Esok dia akan datang awal ke kelas tafsir. Dia harus berjumpa tok gurunya Ustaz Abu Zar, pilihan seorang ulama pasti barakah.

……………………………………………..

“Saya ada pilihan untuk kamu, anak murid saya yang baru…”

“Baru? Anak murid baru?” Camelia macam tak percaya. Hatinya sudah berbunga-bunga. Din, jejaka idamannya itu hanya pertama kali dia lihat berada di sini semasa majlis Maal Hijrah. Maka, kemungkinan besar dia adalah anak murid ustaz Abu Zar yang baru. Camelia mula meraup wajah, hatinya mula berbuah harapan. Tinggal tunggu gugur saja buah itu.

“Ya, dia baru juga keluar dari belajar pondok di Kedah. Dia berada di sini kerana sambung degree engineering dekat UiTM. Dalam masa sama sambung belajar agama dengan saya. Dia juga anak murid kawan saya yang ada sekolah pondok kat Kedah tu...”

Penerangan Ustaz Abu Zar buat hati Camelia makin cair... ‘Aduhai bakal suami aku ni, lengkap sungguh menuntut ilmu dunia dan akhirat sekaligus, patutlah tak sempat cari calon isteri.’

“Dia pun sudah berkerja di syarikat rakan dia. Saya rasa dah mampu juga kalau nak beristeri. Tetapi memandangkan dalam masa yang sama dia masih belajar, saya harap kamu tak kisah kalau bersederhana dulu Camelia...” Ustaz Abu Zar mengangguk-angguk pada Camelia. Sengih Camelia makin melebar. Jangan kata sederhana, Din punya pasal makan pasir pun tak apa. Kemas betul profile Din kalau nak dibuat calon suami mahupun calon menantu. Mak ayah Camelia pun pasti senyum lebar.

“Dekat sini pun dia dah jadi salah seorang ustaz yang mengajar mengaji. Dia juga akan jadi imam dan bilal...”

“O.k, o.k ustaz, saya faham, saya nak tahu nama dia siapa?” Camelia tidak mahu larut dalam angan-angan dan impian tak bertepian. Makin banyak kehebatan lelaki ini dia dengar, makin dia jatuh cinta, bagaimana jika bukan orang yang diharapkan?

“Oh, nanti malam ni dia datang, kamu boleh risik mana satu orangnya. Atau kamu mahu terus buat majlis takruf?”

“Takpe ustaz, saya tengok dulu, siapa namanya?” Camelia tak sabar.

“Hafiz, Ustaz Hafiz…”

Pangggg... Camelia rasa melayang. Tubuhnya terasa longlai... Impian terus berkecai... angan-angan tak pernah bertepian. ‘Siapa suruh idealistik sangat!’ gumam Camelia, marah pada diri sendiri.

“Kenapa Camelia?” Ustaz Abu Zar punya kelebihan membaca hati. Dia pantas menangkap kecewa berlagu di dada Camelia...

“Kalau saya tak berkenan, atau tolak, ustaz tak marah kan?” suara Camelia kedengaran serba salah.

“Kenapa pulak kamu nak tolak. Dia baik, ilmu pun ada, pandai. Anak murid Ustaz Abu Zar juga… Tak ada yang kurang. Kita kena cari orang yang boleh sabar dengan kita, ikhlas terima kekurangan dan kelebihan kita. Yang bukan setakat temankan kita kat dunia, tapi temankan kita di akhirat juga Camelia.”

“Saya faham, cuma saya takut saya tak terbuka hati. Bukankah kalau kita nak kahwin kita kena suka orang tu dulu ustaz?”

“Tak semestinya...”

…………………………………………..

Atas alasan itu juga Camelia bertekad untuk ‘menyekodeng’ siapakah anak murid baru ustaz ini. Kalau dia tak setaraf dengan Din sekalipun, sedikit kualiti yang ada pada Din pun dah cukup. Sebenarnya kualiti yang dimaksudkan adalah dari segi paras rupa. Kualiti lain Camelia tak tau, sebab dia belum kenal Din pun! Lelaki yang bernama Hafiz ini Camelia mahu lihat dahulu dan pertimbangkan. Camelia takut Din, hanyalah angan-angan dan impian semata.

Hari ini tak jauh berbeza dari majlis yang lepas. Terlalu ramai orang yang memenuhi surau. Sahabat Ustaz Abu Zar yaitu beberapa orang ulama dan sekumpulan pelajar tahfiz datang berkunjung. Camelia mahu masuk dari pintu utama berpatah ke pintu belakang kerana orang ramai yang sesak. Sebentar lagi selepas solat maghrib, barulah pengajian tafsir oleh ustaz Abu Zar bermula. Camelia rasa gusar, dengan orang seramai ini, bagaimana dia mahu melihat siapa Hafiz. Matanya juga melingas mana tau terlihat Din. Jika Din datang, urusan Camelia akan bertambah mudah. Dia pasti akan memilih Din. Tapi, adakah Din akan memilih dia?.

‘Arghhh! Kenapa lah kusut sangat hidup aku ni... Pening! Pening. Masa ni lah semua nak datang sekaligus...’

“Hoi, kelas nak mula dah, duduklah. Dari tadi asyik perati belah lelaki je. Kat surau ni segan la sikit.” Siti mencubit peha Camelia. Camelia mendengus geram, kalau tak sebab ramai orang pasti sudah kena luku Siti nih.

“Kau kenal tak ustaz Hafiz yang mana satu?”

“Mana aku tahu, kau tanya la orang lain...”

Camelia bersabar hingga kelas tafsir berakhir. Usai solat jemaah isyak, syair Qasidah dimulakan. Syair puji-pujian pada Rasullullah s.a.w merdu didendang seorang kanak-kanak dari kumpulan pelajar tahfiz. Syair disambung oleh seorang lelaki, merdu sekali. Ya hanana… ya hanana… rasa cinta pada Rasullullah s.a.w menyerap ke jiwa. Camelia mencuit seorang makcik yang selalu di lihat di sini. Dia tahu makcik itu juga belajar mengaji dengan ustaz Abu Zar. Maka dia mungkin kenal ustaz Hafiz.

“Ustaz Hafiz? Itu yang sedang berqasidah tu. Ini suara dia lah ni…”

Dada Camelia berderau, ya Allah merdunya… Camelia cuba memanjangkan leher mengintai orang yang mengalunkan syair indah. Gagal, sekumpulan pelajar tahfiz dan jemaah lelaki menghalang pandangan. Camelia bangun mendekati pengadang buluh yang memisahkan bahagian lelaki dan wanita. Dia menolak pengadang itu, memanjangkan kepala. Dia masih gagal melihat ustaz Hafiz. Camelia berdiri pula di sebalik pengadang.

“Psss.. hoi, kau buat apa?” Siti mendekati Camelia.

“Diam la, aku nak tengok kejap.” Camelia sudah nampak kumpulan qasidah yang berada di tengah jemaah. Malangnya susuk orang yang mengalun qasidah masih terhalang. Dia menolak penghadang lagi dengan harapan dapat melihat dengan lebih jelas.

“Bummmm…prakk...!!” pengadang itu jatuh melepek ke lantai. Nyaris terkena seorang jemaah lelaki. Spontan semua orang, ya, semua orang dari jemaah lelaki dan wanita berpaling. Camelia yang terdedah berdiri tegak dan kaget. Orang yang bersyair juga terdiam. Camelia terjeda dengan mata terbeliak dan mulut ternganga melihat berpuluh pasang mata merenungnya.

“Ya, jemaah wanita juga mahu berqasidah?” soal Ustaz Abu Zar memecah kebuntuan.

“Ya, ya betul ustaz, nanti kami akan tubuhkan kumpulan qasidah muslimah pulak...” jawab Camelia tergagap dengan wajah tunduk dan memerah. Dia terkocoh-kocoh mengangkat penghadang buluh kembali berdiri.

Ustaz Abu Zar hanya menggeleng kepala sambil ketawa. Jemaah lelaki juga tersenyum-senyum. Pengalun syair kembali menyambung qasidah. Siti yang menyorok di tepi, menutup mulut menahan tawa. Apabila penghadang berjaya di naikkan, Camelia terduduk.. “Ya Allah, malunya...”

“Kalau aku jadi kau, aku terus fed up nak berlaki...” hilaian tawa Siti makin menjadi-jadi. Wajah Camelia mencerut, bungkam...

Selepas tamat majlis, semua jemaah berpusu ke cafeteria menjamu selera dengan pelbagai juadah secara percuma. Setiap minggu pengajian, pasti ada yang bersedekah menyediakan makanan untuk jemaah. Bau harum nasi biryani tersapa pabila melangkah masuk ke cafeteria. Camelia terus duduk di meja cafe, manakala Siti beratur mengambil makanan yang di hidang secara buffet. Camelia tidak mahu makan, seleranya mati. Mungkin kerana malu akibat kejadian tadi. Atau kerana beban perasaan yang mencengkam. Wajahnya monyok dan muram. Dari duduknya dia melihat sekumpulan jemaah lelaki bersama Ustaz Abu Zar turun dari lif. Camelia masih tak putus asa.

“Makcik, makcik kenal tak yang mana satu ustaz Hafiz?” soal Camelia pada seorang makcik yang sedang makan di meja sebelah.

“Ustaz Hafiz, kenal... Ha, itu ustaz Hafiz...” tuding makcik itu pada kumpulan bersama Ustaz Abu Zar yang baru melangkah masuk ke cafeteria. Camelia pantas menoleh.

“Yang mana satu? Ramai tu...”

“Yang pakai jubah putih tu la...”

“Makcik, hampir semua pakai jubah putih,” macam nak bergaduh saja bunyi suara Camelia.

“Laa.. tu ha, yang ada mafla hijau kat bahu, betul-betul belakang Ustaz Abu Zar.”

Mata Camelia pantas menangkap wajah orang yang di maksudkan. Mulut Camelia terlopong. Matanya menyorot tiap langkah lelaki yang tersenyum riang berbual dengan rakannya. Tidak sedetik pun mata Camelia berkelip. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Benar-benar tidak percaya.

“Itulah ustaz yang baru, Ustaz Hafizzudin...” sayup-sayup suara makcik kedengaran.

“Siapa nama dia makcik?” air mata Camelia mula menitis, masih tak lepas memandang susuk yang tinggal kelihatan belakang badan.

“Hafizzudin...”

Nama itu bergema seluruh alam. ‘Hafizzudin...’ bisik hati Camelia. Air matanya makin menderas.

“Makcik… dia bakal suami saya...”

“Iyakah? Alhamdulillah syukur, orang nya segak. Suaranya mengaji dan berqasidah sangat merdu. Bersyukurlah, kamu sangat beruntung...”

Air mata Camelia terus menerus mengalir. Bukan air mata sedih seperti selalunya. Tetapi air mata terharu dan bersyukur. Ini satu keajaiban. Ini satu yang tak terduga. Maka, nikmat Tuhanmu yang mana satu kah yang kamu nafikan?. Air mata Camelia terus-terusan menderas. Siti menghampiri dengan sepinggan nasi dan air.

“Kau ni kenapa, kena sampuk ke?” dia menggelang kepala melihat wajah Camelia yang basah lencun dengan air mata.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.