Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
46,527
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 4

“Ayah, boleh Nadia ajak Munirah datang ke majlis hari jadi ayah minggu depan?” tanya Nadia sambil meletakkan dagunya pada meja ayah di bilik guru. Mata Nadia dikelip-kelipkan. Ayah tergelak melihat telatah Nadia.

“Boleh. Kamu dengan abang yang anjurkan majlis mestilah boleh ajak sesiapa,” kata ayah sambil tersenyum. Nadia bersorak gembira setelah menerima kebenaran ayah untuk mengajak Munirah.

“Terima kasih ayah. Nadia pergi ajak Munirah sekarang juga.” Nadia bergegas keluar dari bilik guru.

“Birthday kamu ke, Nal? Sudah tua rupanya kamu,” sampuk Cikgu Liew sambil menyinsing lengan bajunya ke atas.

“Tua sudah Liew. Tunggu nak dapat cucu tapi lambat lagi,” sambung Cikgu Zainal bersahaja. Cikgu Liew tergelak mendengar.

Jam menunjukkan 1:08 tengah hari. Rata-rata cikgu mula mengemaskan barang mereka untuk pulang ke rumah. Sedang Cikgu Zainal mengemas buku-bukunya ke dalam beg, Cikgu Zainal terpandang sepucuk surat.

Surat itu diambil. Cikgu Zainal membelek-belek surat itu. Tiada nama penerima mahupun nama pengirim.

“Liew, ini surat kau ke?” tanya Cikgu Zainal sambil menunjukkan surat itu kepada Cikgu Liew. Cikgu Liew hanya menggelengkan kepalanya. Cikgu Zainal kehairanan.

Sampul surat itu dibuka perlahan-lahan. Sehelai kertas yang dilipat dua dibuka. Bukan tulisan. Tetapi sehelai kertas yang dicetak. Berkerut dahi Cikgu Zainal membacanya.

‘Mata aku bengkak tengok kau. Hati aku sakit tengok kau. Jaga-jaga.’

“Hati bengkak pergi jumpa doktor pakar hati. Tak pun tak perlu tengok aku lagi. Apa masalah dia ini?” gumam Cikgu Zainal sendirian.

***

Petang pada hari jadi ayah,

“Paksu jangan lupa datang ya. Jangan lupa bawa hadiah untuk ayah,” pesan Nadia kepada Nazafi melalui telefon rumahnya. Gagang telefon diletakkan kembali ke perumah telefon.

“Kamu ini Nadia, tak malu sungguh. Ada ke pergi minta paksu bawakan hadiah untuk ayah,” sindir Nabil dari jauh.

“Biarlah. Nadia cuma pesan saja. Bukan paksa pun,” kata Nadia sambil menjelirkan lidahnya kepada Nabil.

“Eh, serupalah!”

Tiba-tiba Nabil memandang Nadia dengan fokus. Tidak berkelip mata. Nadia kehairanan.

“Apa yang serupa?” tanya Nadia bingung.

“Muka Nadia bila buat macam itu, sama dengan.. sekejap. Bagi abang ingat balik,” ayat Nabil tergantung. Nabil segera kembali ke biliknya mengambil sesuatu.

Nadia turut mengikuti Nabil dari belakang. Tidak lama kemudian Nabil terpacak berdiri di depan Nadia. Dibelakangnya ada sesuatu. Nadia cuba mengintai.

“Sama macam ini!”

Figura raksasa Bazob diletakkan bersebelahan muka Nadia. Nadia membuntangkan matanya.

“Abang ni!” Nadia memukul Nabil bertalu-talu tanpa henti. Nabil pula ketawa tidak henti-henti. Air matanya hampir mengalir akibat ketawa. Nadia mengembungkan pipinya. Mukanya ditarik.

“Apa bising-bising ni? Nabil buat apa dengan adik?” tanya ayah seraya keluar dari bilik tidurnya. Nadia segera berlari ke arah ayah.

“Ayah, abang sama kan Nadia dengan alien tu,” adu Nadia sambil menyembabkan mukanya ke perut ayah. Ayah hanya tergelak lalu mengusap rambut Nadia.

“Kamu ni Nabil, kamu kan abang,”

Tok! Tok! Tok!

“Assalamualaikum!”

Belum sempat ayah memulakan sesi nasihat, pintu rumah diketuk. Nadia terus meluru ke arah pintu. Nabil turut berlumba dengan Nadia.

Rumah teres setingkat itu mampu menjadi sebuah trek lumba lari sekiranya mahu. Sebut saja nak bikin apa, petik jari saja, semua dibolehkan.

Pintu rumah dibuka. Kelihatan Aiman dan Farah sedang berdiri menunggu. Nabil segera menjemput rakan-rakannya masuk. Nadia tercari-cari kelibat Munirah. Ingin sahaja Nadia melangkah masuk,

“Nadia!”

Sebuah kereta jenama Toyota Camry berhenti di depan rumah Nadia. Nadia terus berlari mendapatkan Munirah.

“Munirah!”

“Macam dah lama tak jumpa. Padahal pagi tadi jumpa dekat sekolah,” omel Nabil sambil melihat Nadia berlari-lari anak mendapatkan Munirah.

“Sibuklah abang!” jerit Nadia dari jauh. Munirah segera menyejukkan Nadia yang sedang membara.

“Awak ini Nabil. Suka sangat sakat Nadia. Kesian pula saya tengok Nadia,” tegur Farah. Nabil hanya tersengih.

Aiman dan Nabil sibuk memasang alat muzik di sudut ruang tamu. Farah pula membantu ayah menyediakan makanan dan minuman. Nadia dan Munirah sedang menghias ruang tamu dengan belon-belon yang ditiup dan gelung kertas warna-warni.

“Band kamu nak buat persembahan? Baru beberapa hari berlatih dah berhajat buat persembahan. Hebat!” puji ayah sambil melihat Nabil dan Aiman sedang membetulkan tali gitar mengikut not muzik dan beberapa drum.

“Hari ini istimewa sedikit. Apa salahnya. Betul tak Aiman?” kata Nabil sambil menyandarkan gitar pada dinding.

“Saya cuma tunaikan permintaan Nabil sahaja, cikgu,” jawab Aiman selamba. Nabil segera menyiku Aiman. Aiman sempat mengelak sambil menjelirkan lidah.

“Cikgu, ais dah habis,” ujar Farah dari dapur.

“Abanglah ni. Hari-hari buat ice blended milo. Habis ais dibuatnya,” sampuk Nadia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Nabil memandang sinis ke arah Nadia.

Tok! Tok! Tok!

“Nabil pergi tengok siapa datang,” arah ayah. Nabil bergegas berlari ke arah pintu.

Nazafi sedang membimbit sebuah plastik berisi beberapa botol jus minuman yang masih sejuk. Pintu dibuka perlahan. Nazafi memakai baju berlengan panjang dan memakai topi hitam sedang memandang Nabil.

“Paksu!”

Nadia yang mendengar nama paksu dipanggil segera meninggalkan Munirah dan berlari ke arah Nazafi. Matanya tampak ceria melihat susuk tubuh Nazafi.

“Nah, buah tangan.” Nazafi menyerahkan bungkusan plastik itu kepada Nabil. Nadia mengajak Nazafi masuk ke dalam rumah.

“Ayah, ais tak perlu kot. Paksu bawa air. Sejuk lagi ni,” ujar Nabil sambil meletakkan botol-botol jus ke atas meja. Ayah hanya mengangguk.

Nazafi segera menghulurkan tangan bersalam dengan ayah. Mata Nazafi terlihat sudut ruang tamu yang berubah menjadi sudut busker barangkali.

“Nabil, kamu cuba nak malukan abang ke macam mana?” soal Nazafi sambil menunding jari ke arah sudut busker itu.

“Eh, mana ada!” Nabil segera menafikan. Aiman dan Farah terus menceritakan hal sebenar bahawa Nabil berhajat melakukan persembahan sempena hari jadi ayah.

Kring! Kring!

Ayah segera mendapatkan telefon pintarnya di bilik. Nama ‘Cikgu Hidayah’ terpapar. Tanpa melengahkan masa, ayah menjawab panggilan itu.

“Nal, tolong saya! Ada orang yang mencurigakan ikut saya dari sekolah lagi,” kata Cikgu Hidayah cemas.

“Apa? Kamu dekat mana sekarang?” tanya ayah risau. Ayah mengangguk faham setelah mengetahui posisi Cikgu Hidayah. Panggilan dimatikan. Ayah segera bersiap dan keluar dari bilik.

“Ayah nak pergi mana?” tanya Nadia apabila melihat ayah berjalan laju ke arah pintu.

“Ayah nak jumpa kawan sekejap. Nazafi, tolong jaga budak-budak ya,” pesan ayah sebelum meninggalkan mereka semua.

“Abang Nazafi, kita buat latihan sebelum persembahan sempat saja bukan?” tanya Farah yang baru sahaja selesai menghias kek coklat.

“Bagus idea kamu. Ayuh anak-anakku, kita berlatih sebelum persembahan,” arah Nazafi kepada mereka bertiga.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna