Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
38,844
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

KERETA yang dipandu oleh Farid laju meluncur di atas jalan raya. Sebaik sahaja mendapat panggilan daripada orang bawahannya yang melaporkan tentang satu kes kehilangan seorang remaja perempuan di sebuah rumah perlindungan, dia terus bergegas ke tempat kejadian. Farid memberikan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Dia sempat menjeling ke arah Hartini yang sibuk membalas mesej di telefonnya.

“Bukan kau kata kau kena masuk office ke tengah hari ni? Kenapa kau ikut aku?” tanya Farid kepada Hartini sambil matanya memandang ke hadapan.

“Aku nak ikut kau ke rumah perlindungan itulah. Nak nak cari maklumat pasal kehilangan budak perempuan tu. Lagipun aku dah mesej ketua akuyang aku tak masuk office tengah hari ni,” ujar Hartini sambil memeriksa perakam suara yang akan digunakan nanti.

Farid hanya menggelengkan kepala. Dia sudah faham sangat dengan perangai temannya itu. Tidak pernah berlengah-lengah dalam mendapatkanmaklumat. Hartini akan melakukan apa sahaja untuk mencari kebenaran untuk dia tulis di dalam artikelnya. Dia masih ingat lagi ada suatu ketika wanita itu siap berkhemah di balai polis semata-mata ingin mendapatkan maklumat dari mereka. Farid tersengih-sengih apabila mengingati perangai gila temannya itu.

Akhirnya mereka tiba di rumah perlindungan Puteri Chempaka. Sewaktu mereka memasuki perkarangan rumah perlindungan itu, beberapa buah kereta polis terparkir di situ. Di halaman rumah perlindungan itu dibanjiri dengan beberapa orang penduduk di kawasan perumahan yang berdekatan.Hairul yang merupakan jurukamera Hartini sudah lama berada di situ. Hartini terus memberi mesej kepada jurukameranya supaya terus ke rumah perlindungan itu sebaik sahaja dia mendapat berita mengenai kesitu dari Farid.

Seorang detektif menghampiri Farid sambil membisikkan sesuatu kepada lelaki itu sebelum membawa inspektor muda itu ke dalam rumah perlindungan itu. Hartini turut mengikut Farid masuk ke dalam rumah perlindungan itu untuk berjumpa dengan pengetuanya. Hartini tertoleh-toleh mencari kelibat Tuan Jailani kalau-kalau pengasas rumah perlindungan itu berada di situ. Mungkin dia boleh menemu bual lelaki tua itu berkenaan dengan kes kehilangan yang berlaku di rumah perlindungannya.

Rumah perlindungan Puteri Chempaka itu menempatkan hampir 30 orang penghuniyang terdiri daripada anak-anak gelandangan yang berusia sekitar enam hingga 17 tahun. Anak-anak di dalam rumah perlindungan itu dijaga dan diberikan pendidikan sama seperti anak-anak di luar sana. Segala pembelanjaan bagi pendidikan anak-anak itu ditanggung sepenuhnya olehTuan Jailani sendiri. Anak-anak di dalam rumah perlindungan itu hidup seperti satu keluarga. Mereka menjalani aktiviti harian mereka bersama-sama.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Puan Aslinda sedang duduk di sofa sewaktu disoal siasat oleh seorang detektif. Hartini mengecam wanita itu kerana pernah melihatnya sewaktu di majlis ulang tahun galeri milik Tuan Jailani. Hartini melihat beberapa orang budak menyorok ditepi dinding sewaktu siasatan sedang dijalankan. Detektif yang menemubual pengetua rumah perlindungan itu bangun lalu menghampiri Farid apabila melihat tuannya berada di situ. Detektif itu sempat memberi tabik hormat kepadanya.

“Tuan, saya baru sahaja menyoal pengetua rumah perlindungan ini tentang mangsa yang hilang itu. Mangsa dikenali sebagai Siti Maryam binti Abdullah. Berumur 14 tahun. Merupakan seorang anak yatim piatu. Mangsa masuk ke rumah perlindungan ini dua tahun yang lepas selepas lari dari rumah sebab di dera oleh keluarga angkatnya. Ini gambar mangsa,” terang detektif itu sambil menyerahkan sekeping gambar kepada Farid.

Detektif itu juga menunjukkan laporan polis yang pernah dibuat oleh rumah perlindungan itu apabila mendapati Siti Maryam pernah menjadi mangsa dera oleh keluarga angkatnya. Farid terangguk-angguk membaca butiran maklumat tentang mangsa yang hilang itu. Hartini mengendeng-ngendeng Farid untuk mendapatkan butiran tersebut. Inspektor muda itu hanya tergeleng-geleng kepala lalu menyerahkan butiran itu kepada Hartini. Dia menghampiri pula Puan Aslinda yang masih lagi bermurung di sofa.

“Puan...boleh puan terangkan kepada saya macam mana puan menyedari kehilangan Siti Maryam?” tanya Farid sambil merenung tepat ke anak mata wanita berusia 40-an itu.

Puan Aslinda mengesat hingus yang meleleh menggunakan tisu sebelum membalas pertanyaan pegawai polis itu. Dia masih lagi sedih dengan kehilangan salah seorang anak jagaannya di rumah perlindungan itu.

“Sebenarnya rakan sebilik Maryam yang mula-mula sedar Maryam hilang dari rumah ni. Pada mulanya dia ingat Maryam tidur kat bilik rakan lain pada malam tadi. Sebab itu dia tak endahkan sampailah masa nak makan sarapan pagi tadi. Dia tengok Maryam tak turun sekali sarapan. Diaterus tanya dengan rakan yang lain tentang Maryam. Tapi semuanya tak nampak Maryam dari malam tadi. Terus dia laporkan kat salah seorang kakitangan rumah perlindungan ini tentang Maryam.” Puan Aslinda terdiam. Dia mengelap air mata yang mengalir ke pipi.

“Sebelum buat laporan polis kami semua ada cari Maryam kat sekeliling kawasan ni tapi tak jumpa. Nak kata dia ke sekolah, hari ni sekolah tutup. Lagi pun pemandu van kami beritahu yang dia tak ada hantar sesiapa keluar pagi ni,” sambungnya lagi.

“Sebelum Maryam hilang dia ada tak tunjuk sebarang kelakuan yang tak normal?” tanya Farid lagi.

“Tak ada pulak. Rakan-rakan dia pun cakap sebelum Maryam hilang dia berkelakuan seperti biasa. Tak ada pulak tunjuk tanda-tanda nak lari rumah ke apa...” balas Puan Aslinda pula.

“Macam mana dengan kawalan keselamatan kat tempat ni? Siapa yang jaga?”

Previous: BAB 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.