Home Novel Thriller/Aksi Proksi
Proksi
NaimTamdjis
30/5/2013 10:32:09
18,989
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
UKM 96-99

BAB 2

Imbas Kembali Kenangan Belajar Di Universiti Tahun 1996-1999

Setelah berjaya mendapat keputusan yang bagus di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1995, aku menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Kuala Pilah di Negeri Sembilan selama setahun. Di sana juga aku mendapat keputusan yang begitu cemerlang. Pointer 3.5 secara keseluruhan. Aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Aku memilih Universiti ini kerana kawan baikku di Matrik iaitu Amran yang berasal dari Perlis [1] mempengaruhi aku supaya belajar bersama dengannya di sana walaupun sebenarnya aku nak belajar di Universiti Utara Malaysia dan ambil jurusan perniagaan di sana. Aku pilih UUM supaya aku berada dekat dengan keluarga. Tiap-tiap minggu boleh balik kampung. Boleh cari duit sampingandengan menoreh atau membanting padi. Tapi Amran ni cakap dekat dengan keluarga tak jantan la. Sampai bila nak duduk bawah ketiak mak. Tercabar la aku beb. Akhirnya, aku mengikutinya belajar di sini.

Seperti dijangkakan, permohonan aku memasuki universiti ini dalam bidang pentadbiran perniagaan diterima. Amran juga mendapat tempat di universiti yang sama tetapi dalam bidang Kimia. Malah, kami juga mendapat kolej kediaman yang sama iaitu Kolej Ungku Omar. Sementara menunggu kemasukan ke universiti dalam masa 4 bulan lagi, aku bekerja sambilan di Kilang Hitachi yang terletak di Kulim bersama Amran. Kami duduk di asrama pekerja yang disediakan. Ketika inilah aku berkenalan dengan mat-mat motor, belajar skil-skil merempit, tengok lumba haram setiap hujung minggu. Tapi masa ini aku takde motor lagi. Cuma Amran sahaja yang ada motor.

Jun 1996, aku mendaftar masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Pakcik aku yang menghantarkan aku dan keluarga aku ke sini. Maklumlah, keluargaku tidak mampu membeli kereta. Aku beruntung kerana mendapat tajaan biasiswa penuh dari Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menampung kos pengajian dan hidupku di sini. Kalau nak mengharapkan ayah dan mak memang tak mampu. Budak sekarang beruntung. Adapelbagai bantuan kewangan disediakan. Pelajar dahulu hanya mengharapkan pinjaman atau biasiswa MARA, JPA atau kerajaan negeri. Kalau tak, mak bapak akan bergolok bergadai untuk menampung perbelanjaan anak.

Selepas pendaftaran pelajar, kami menghadiri sesi orientasi selama seminggu. Macam-macam aktiviti yang dibuat sepanjang minggu tersebut. Meredah kampus la, aktiviti kokurikulum la, persembahan pelajar, majlis bacaan ikrar, motivasi dan sebagainya. Paling aku bengang apabila semua pelajar baru perlu mendapatkan tandatangan dari abang-abang senior Pemudah Cara atau disebut PC di Kolej. Macam-macam karenah.

Macam-macam ‘peel’ abang senior ni bila kita nak minta tandatangan mereka. Ada yang disuruh menyanyi, buat helikopter la, sebut ikrar rukun negaradan disuruh membeli air pun ada. Kalau abang fakulti Pengajian Islam akan suruh kita samada mengaji, baca Yassin sampai habis ataupun mengalunkan Azan. Disebabkan ketika itu aku freshie lagi, masih bodoh-bodoh, jadi buat la apa yang disuruh. Janji dapat tandatangan. Paling teruk aku kena adalah dengan abang senior bernama Azman. Aku dan Amran disuruhnya mencuci jamban sampai berkilat. Puas kami menyental.

Sejak mula sesi orientasi lagi, aku tertarik dengan seorang minah ni. Namanya Azila Mohd Rahim. Dia satu kumpulan dengan aku semasa sesi orientasi peringkat kolej. Belajar satu fakulti dengan aku tapi dalam jurusan pemasaran. Cantik. Orang Kelantan tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur. Senyuman dan kepetahannya berucap memikat aku.

Selepas sesi orientasi tamat, kelas pun bermula. Aku pun apa lagi mulalah masuk jarum mengayat si Azila ni. Mula-mula menjadi teman sekelas, jadi teman belajar di perpustakaan, meleret pula sebagai teman makan bersama dan seterusnya teman outing. Masa ini aku dah ada motor Honda EX 5. Beli hasil duit aku kerja kilang. Maka pertengahan semester tersebut sahlah aku bercintan dengan si Azila ni. Ketika itu baru aku tahu bahawa dia ni anak orang kaya. Ayahnya ada perniagaan borong kurma dan produk makanan dari timur tengah.

Amran pun dapat juga pikat seorang awek. Habis semester satu, keputusan yang keluar sangat bagus. Kelas pertama. Tapi bak kata pepatah ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Ketika semester kedua, berlaku satu perkara yang mengubah cara hidup dan personaliti aku di universiti ini.

{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{

Permulaan semester 2 hubungan aku dengan Ila ok. Ila ialah panggilan manja aku kepada Azila. Tetapi masuk bulan kedua hubungan kami mula renggang. Aku mulanya buat tidak tahu saja. Mungkin Ila sibuk dengan pelajaran dan aktiviti persatuan. Tapi satu hari secara tidak sengaja aku terlihat dia keluar menaiki kereta dengan senior kami Halili. Mulanya aku buat tak endah. Mungkin mereka ada hal atau kerja. Maklumlah, mereka berdua berada dalam persatuan yang sama. Tapi kalau dah 2-3 kali aku terlihat benda yang sama angin la aku. Hubungan kami juga mula dingin. Kami dah jarang belajar atau keluar bersama. Ada saja alasan dia bagi untuk tidak berjumpaku. Satu petang aku bawa Ia ke Tasik Bandar Baru Bangi untuk mendapatkan kepastian .

“Ila abang tengok sejak semenjak dua menjak ni macam menjauhkan diri dari abang…kenapa?” tanyaku kepada Ila yang duduk di kerusi menghadap tasik. Aku hanya berdiri.

“Eh! Taklah abang… Ila sibuk dengan assignment. Lagipun Ilakan aktif dengan persatuan pelajar universiti. Mesyuarat sana-sini. Ini pun lari-lari nak jumpa abang,” Ila memberi penjelasan.

“Sibuk dengan persatuan atau sibuk dengan abang senior Halili tu?” dugaku. Ila memandangku

“Kenapa abang cakap macam tu? Tak baik tau cakap macam tu.”

“Alah… ingat abang ni buta ker? Dah berapa kali tau nampak Ila keluar naik kereta ngan abang Halili tu. Kemain mesra lagi nampak,” aku menyatakan ketidaksenangan hatiku melihat Ila keluar dengan Halili dengan kereta berdua-duan. Sakit mata aku.

“Abang salah faham ni. Ila kan satu persatuan dengan dia. Malah dia mentor Ila. Kami keluar pun atas urusan persatuan. Takkan tu pun salah kot” jelas Ila.

“Berbincang sampai di Taman Tasik. Berdua-dua setiap masa di dalam bilik persatuan? Begitu?” tanyaku marah.

“Itu semua fitnah. Abang tak payah percaya cakap-cakap orang. Mereka tu jeles sebab Abang Halili jadi mentor Ila. Abang Halili kata Ila mempunyai bakat sebagai pemimpin,” sanggah Ila.

“Abang nampak Ila selalu keluar malam dengan Halili. Hari tu abang terserempak Ila kemain mesra, berpegangan tangan dengan Halili kat Mines. Jauh buat aktiviti persatuan sampai ke Mines. Berpegangan tangan pulak tu.” Aku memang melihat Ila berpegangan tangan dengan Halili. Aku sengaja menyembunyikan diri melihat perlakuan mereka.

“Ila sebenarnya…Ila,” jelas kedengaran getaran suaranya. Ha! Dah kantoi. Ingat aku ni buta?

“Ila!!!! Boleh tak berterus-terang dengan abang. Tak payah la nak berahsia sangat. Satu kampus dah tahu Halili tu mengurat Ila. Abang pun dah nampak dengan mata sendiri. Sampai bila Ila nak menipu abang !!!” Ila menangis teresak-esak. Aku hanya membiarkan sahaja.

“Baiklah. Ila berterus-terang dengan abang. Kalau itu yang abang mahukan. Ila rasa hubungan kita ini tidak dapat diteruskan. Ila dah jatuh cinta dengan Halili. Maafkan Ila.” Akhirnya Ila mengaku.

“Tapi kenapa Ila?” Aku ingin menndapatkan kepastian.

“Sebab Halili mewahkan Ila dengan bermacam-macam hadiah. Abang apa yang ada? Makan pun kadang-kadang Ila yang bayar.” Penjelasan itu membuat aku terduduk. Tahulah aku yang selama ini Ila suka dibelai dengan kemewahan. Dengan aku apa yang ada. Keluar pun naik moto cabuk. Kalau dengan brader tu dapatlah naik proton Wira. Aku mengaku kalah. Tak guna teruskan hubungan ini jika pihak yang satu lagi dah tak sudi.

“Baiklah kalau itu yang Ila mahukan, abang memang tidak Abang lepaskan Ila. Abang sedar diri abang ni orang kampong. Budak miskin. Sudahlah Ila Jom, abang hantarkan Ila balik.” Walaupun hati ini masih bengkak dengan penjelasan Ila, tapi aku pun ada peri kemanusiaan juga. Ikutkan hati, nak saja aku tinggalkan dia kat situ.

Malam itu aku betul-betul sedih mengenangkan saat-saat indah aku dengan dia dan perasaan aku yang benar-benar terluka dengan perlakuan Ila. Malah, sampai satu peringkat aku mengalirkan air mata. Kata-kata Ila mengenai kemiskinan diriku menguris perasaan. Tiba-tiba pintu aku dibuka. Amran masuk ke bilikku.

“Oi! Apa termenung lagi? Macam orang mati bini jer. Selalu dah terpacak kat bilik aku pukul 9 ajak pi makan,” Amran bertanya. Aku yang sedang berbaring termenung menghadap cermin memandang Amran.

“Aku memang tengah frust menonggeng la ni, Amran,” kataku lemah.

“Aik! Kau gaduh ke dengan Ila?” tanya Amran.

“Bukan setakat gaduh jer…dah berpisah pun” jawabku dengan nada kecewa.

“Kenapa?” Amran duduk di kerusi.

“Ila dah dapat gading bertuah… si Bro Halili tu. Mentang-mentang aku ni bawak motor cabuk jer…miskin…sampai hati dia.”

“Oh…jadi betullah gosip tentang mereka berdua tu yer.”

“Bukan setakat gossip je. Memang betul pun. Malah aku nampak dengan mata kepala aku sendiri, si Ila berpegangan tangan dengan Halili tu. Panas hati aku, Amran. Petang tadi aku jumpa Ila untuk kepastian. Ila mengiakannya dan minta aku lepaskan dia. Aku lepaskanlah dia petang tadi,” jelasku.

“Ala… lama-lama kau dapat lupakan Ila tu. Banyak lagi awek kat universiti ni, bro… Bunga bukan sekuntum. Dah, jom makan. Aku belanja kau Sate Kajang. Pastu kita ronda-ronda Bandar Kajang. Kita bergumbira… takyah payah lah ingat dua orang umat tu.” Aku mengangguk bersetuju dan bangun untuk bersiap mengikut Amran keluar makan.

{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{

Seminggu selepas perpisahan aku dengan Ila, aku memutuskan untuk berpindah kolej kediaman. Aku iklankan tawaran untuk menukar bilik secara suka sama suka. Aku bertukar kolej bukan kerana apa. Sakit hati aku melihat telatah Ila dan Halili. Kadang-kadang aku cuba mengelak daripada bertembung dengan mereka. Lagipun aku berbulu dengan si Halili ini yang juga merupakan ketua blok kediaman aku. Panas je hati kalau bertembung dengan dia. Akhirnya, tiga hari selepas aku iklankan di papan kenyataan, ada respon. Budak Kolej Burhanuddin Helmi tidak mahu duduk dengan teman sebilik dia sekarang. Aku tanya kenapa? Dia kata abang senior teman sebilik dia kuat menghisap rokok. Aku tak kisah. Setakat rokok apalah sangat. Aku boleh tahan lagi. Tapi kalau bertembung dengan Halili atau Ila lagilah aku bengkak.

Tiga hari kemudian aku sudah berpindah bilik. Teman bilik aku yang baru ni tua dua tahun daripada aku (dia ambik STPM). Namanya Osman Bin Jailani, panggil je bro Os. Berasal dari Johor Bharu . Ambil jurusan Sains Politik dan telah berada di tahun kedua. Orangnya tinggi lampai, berambut kerinting dan kulitnya agak gelap.

Setelah seminggu aku duduk sebilik dengan abang Os ini, aku dapati dia ini memang kuat merokok. Bangun tidur hisap rokok dulu, pergi jamban pun merokok, naik moto pun merokok, malam tengah main permainan komputer pun merokok. Malam-malam selalu keluar entah ke mana, dekat subuh baru balik. Sembahyang terus out la.Aku pun tak pernah tengok dia belajar. Dia ini orang kuat pro-mahasiswa, kira pembangkang la.Satu malam minggu, entah macam mana dia mengajak aku makan di luar. Aku ingat dekat rupanya kedai makanan laut dekat Serdang. Aku disuruhnya membawa motor aku sendiri.

“Aku tengok hari tu kat tasik, bukan main hebat skill yang kau tunjuk dengan kawan si Amran... buat Willy la... Superman la” tanya sambil aku enak menjamu selera.

“Eh... takdelah, bang. Suka-suka jer. Release tensen” jawabku.

“Mana kau belajar? Gaya dah macam mat rempit sejati” tanya abang Os.

“Dengan mat-mat motor masa saya kerja kilang sementara kat Kulim dulu,” jawabku jujur. Akupun hairan kenapa abang Os beria-ria hendak tahu dunia rempit aku.

“Patutlah... Jom, test. Dari sini sampai pintu masuk universiti. Siapa sampai dulu kira menang,” abang Os mencabarku.

“Boleh gak bang.... Saya pun dah lama tak pecut ni.” Lalu selepas makan kami pun mengambil motor dan memulakan aksi kami. Aku menunjukkan segala ilmu yang aku tahu dalam mengambil selekoh, memecut dan menghadapi rintangan angin. Walaupun motor aku tak power, motor standard berbanding motor abang Os yang telah diubahsuai, tetapi aku tetap dapat memberi cabaran yang sengit kepada abang Os . Tapi akhirnya abang Os menang. Aku hanya tercicir beberapa meter sahaja.

“Bagus skill ko. Walaupun moto kau tak power,” puji abang Os sebaik sahaja kami sampai di kolej.

“Eih! Biasa je bang... Abang lagi power, depan pak guard pun buat willy.” Aku kagum dengan keberaniannya. Pak guard pun terkebil-kebil je tengok aksi abang Os.

“Biasalah... dah menang kan, kena la buat aksi hero sikit. Kau tahu tak kenapa aku selalu keluar malam? Aku pi merempit dengan budak Kajang. Release tension. Nanti malam minggu ni aku ajak ko ye,” abang Os menjelaskan kenapa selama ini dia selalu keluar malam. Patutlah... merempit rupanya.

“Okla,” kataku ringkas tanpa berfikir panjang. Janji dapat melupakan Ila. Sejak hari itu, boleh dikatakan tiap-tiap malam minggu aku merempit mengikut abang Os. Merempit buat tekanan putus dengan Ila dan tekanan belajar aku hilang. Akhirnya, semester itu pointer aku turun sedikit tapi masih lagi di atas 3.

{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{{

Tahun 1998, tahun kedua aku belajar di sini. Bulan kedua semester itu akan diadakan pilihanranya kampus. Aku panas hati apabila mendapat tahu abang Halili akan bertanding dan seterusnya akan merebut kerusi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Abang Halili akan mewakili Gabungan Mahasiswa yang pro kepada kerajaan. Paling aku bengkak apabila mendapat tahu Ila juga turut bertanding bagi merebut kerusi fakulti mewakili Gabungan. Dijangkakan kalau Azila menang kerusi tersebut, dia akan dilantik sebagai Setiausaha Agung MPP Universiti.

Abang Os yang tahu kisah pahit aku dengan mereka ini menawarkan diri untuk memastikan mereka berdua kalah. Lagipun, dia penyokong tegar Pro-Mahasiswa. Dia juga mahu memastikan calon presiden daripada pihaknya iaitu saudara Amir merangkap teman sekelasnya, menang. Maka, aku yang sebenarnya ahli Pro Gabungan bertindak keluar parti dan menyertai Pro Mahasiswa. Abang Os, aku dan beberapa orang ahli Pro Mahasiswa yang ekstrem telah membentuk satu pasukan perang saraf atau gerakan bawah tanah.

Antara tindakan yang kami lakukan adalah mengoyakkan calon poster Pro Gabungan yang dilekatkan di sekitar kampus terutama gambar mereka berdua. Kertas-kertas manifesto mereka yang diletakkan di fakulti atau masjid diambil. Selain itu, kami juga membuat provokasi setiap kali calon gabungan berceramah. Kami juga turut menyebarkan gambar mesra abang Halili dan Ila tiga hari sebelum hari pengundian.

Amran yang menjadi calon fakulti bagi Pro Gabungan agak marah bila mendapat tahu aku menyokong Pro Mahasiswa dan cuba sabotaj calon partinya. Pada satu sesi ceramah di Kolej Ibu Zain, beliau telah menarik aku ke belakang pentas.

“Apa yang kau buat ni Jo? Sabatoj parti aku,” Azman melampiaskan ketidakpuasan hatinya.

“La... kau takkan tahu apa yang Halili dan Ila buat kat aku selama ni. Pastu jadi calon MPP. Sakit hati aku ni tahu tak? Inilah masanya aku balas dendam.” Jelasku.

“Tapi ini melibatkan parti aku tahu tak! Boleh menjejaskan peluang aku nanti. Lagipun, kau dulu pro gabungan jugak kan? Kenapa kau berubah?”

“Sejak melaun dua ekor itu bertanding, aku dah keluar. Aku masuk pro mahasiswa. Kau jangan takutlah. Kami sabotaj Halili dengan Ila, bukan kau. Kau nak ke Halili tu jadi presiden? Takkan kau tak tahu Halili tu macam mana. Ada masalah moral. Makan duit peruntukan,” aku menjelaskan lagi ketidakwajaran Halili dipilih menjadi ketua.

“Dah parti aku cadangkan dia sebagai presiden, aku nak buat macam mana. Sebagai antara bakal pemimpin parti, kenalah ikut kehendak majoriti.” Azman juga tidak senang dengan pemilihan parti tetapi terpaksa akur untuk menjaga periuk nasinya sendiri.

“Beb... walau apapun, selagi dua orang tu bertanding, aku akan tetap sabotaj. Aku akan menggagalkan usaha Halili nak jadi presiden,” kata aku, tekad.

“Kalau begitu kata kau, aku nak kata apa lagi. Jangan salahkan aku tak bertegur sapa. Assalamualaikum.” Amran lantas meninggalkanku. Aku hanya tersenyum...

Paling aku suka adalah penyebaran gambar mereka sedang bermesra di dalam kereta yang diambil oleh kawan mat rempit abang Os yang diupah untuk mengekori mereka. Gambar tersebut disebarkan oleh aku dan penyokong kami pada akhir kempen. Kiranya hari tersebut memang kecohlah satu kampus. Batang hidung Ila langsung tak nampak. Malam itu, di hari terakhir kempen di Pusanika, abang Halili menafikan sekeras-kerasnya orang di dalam gambar itu adalah dirinya. Kumpulan kami yang berada di belakang penonton, seperti biasa membuat provokasi hingga pengawal keselamatan universiti terpaksa menghalau kami keluar. Biasalah... calon pro kerajaan mesti mendapat kelebihan dan perlindungan daripada pihak universiti.

Esoknya keputusan yang diumumkan memperlihatkan Pro Mahasiswa memenangi pilihanraya kampus. Dari 21 kerusi dipertandingkan, Pro Mahasiswa menang 13 kerusi manakala Gabungan pula menang 8 kerusi . Paling aku puas hati kekalahan Abang Halili dan Ila. Abang Halili kalah teruk dengan hanya meraih seribu undi berbanding lawannya, saudara Amir yang mendapat 4800 undi bagi pertandingan kawasan satu. Kami meraikan kemenangan dengan merempit sekitar kampus dan bersorak. Paling mengejutkan aku perlantikan Abang Os sebagai Bendahari, satu jawatan yang boleh diisi walaupun tidak bertanding, manakala aku penolongnya. Lingkuplah duit MPP macam ni nanti.

Pada mulanya, Amran yang telah dipilih sebagai calon dan penyokong tegar Pro Gabungan langsung tidak bercakap denganku apabila mengetahui penglibatan aku di dalam mensabatoj calon-calon Gabungan. Dia memenangi kerusi di Fakulti Sains dengan majoriti mudah. Hasil lobi aku dan abang Os, Amran dilantik sebagai Setiausaha Agung kami. Lagi pula, aku tahu Amran mempunyai bakat untuk memimpin, pandai berpidato persis Anwar Ibrahim dan mesra kepada sesiapa sahaja. Seminggu selepas perlantikan tersebut Amran mengumumkan keluar dari Pro Gabungan. Kami berbaik dan bercakap semula seperti biasa.

Jadi, semakin sibuklah aku pada tahun tersebut. Sudah ada jawatan dalam MPP. Merempit dan melepak lagi. Duit banyak Sebagai ahli MPP, aku diberi elaun RM300 sebulan dan penginapan percuma. Pelajaran aku mula merosot sebab sibuk bermesyuarat sana sini. Banyak kelas aku ponteng. Ulangkaji apatah lagi sebab selalu keluar malam. Aku juga sibuk berpolitik bersama abang Os dan pemimpin Pro Mahasiswa yang lain untuk menyingkirkan Abang Halili daripada beberapa jawatan yang dipegangnya kini. Akhirnya, atas tekanan daripada kami, Halili melepaskan semua jawatan yang dipegangnya seperti Presiden Pro Gabungan dan Presiden Kelab Persatuan Pelajar. Alasannya, mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Aku puas!!!!! Pada akhir tahun kedua, keputusan akhirku turun kepada 2.90. Ok lah tu. Abang Os lagi teruk. 2.10 je.

Apabila berlaku krisis kepimpinan negara pada September tahun 1998, aku, Abang Os dan geng-geng Pro Mahasiswa yang kebanyakannya penyokong tegar Anwar Ibrahim, kecuali aku kerana aku sebenarnya penyokong Dr Mahathir turun ke Kuala Lumpur untuk melakukan rusuhan. Malah, kami juga turut disertai oleh geng-geng motor abang Os. Nasib baik tak kena tangkap. Kalau tak, kena buang universiti.


Next: UKM 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.