Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
59,700
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
BAB 3

Sunsuron Tambunan, Sabah

MUKIM Tambunan disimbahi cahaya rembulan yang baru sahaja bangkit setelah matahari sujud di ufuk barat. Banjaran Kroker yang tinggi, diselubungi bayu malam. Suhu di kawasan itu boleh menjangkau pada lapan belas darjah selsius tatkala malam. Dan lebih sejuk pada musim tengkujuh. Tidak hairanlah kalau kulit para gadis kelahiran Tambunan putih melepak. Mereka dicantikkan oleh keajaiban alam dan anugerah ILAHI.

Permukiman Kampung Sunsuron seperti sebuah lembah yang terlindung di sebalik bukit-bukit tinggi. Kawasan itu teramat nyaman dan mendamaikan jiwa. Pemandangan perkampungan sawah padi di Tambunan memang terlalu indah kerana dikelilingi banjaran gunung di sebelah kiri dan kanan. Malah, julukan yang paling terkenal bagi daerah itu ialah ‘The West of Switzerland’.

Dahulu, lembah ini tidak bernama. Selepas diteroka, lembah itu dinamakan ‘Gombunan’ yang diambil sempena nama seorang pahlawan yang juga pemimpin salah satu suku kaum pada masa itu. Mereka ialah puak ‘Nunukragang’ yang berhijrah ke kawasan itu. Tidak lama kemudian, ketua mereka yang bernama Gombunan dibunuh oleh puak ‘Tonsudong’yang terkenal jahat dan ingin merampas kawasan penempatan mereka.

Walau begitu, Puak Tonsudong akhirnya tewas apabila puak Gombunan dibantu oleh puak Tamadon. Kemudian, nama tempat itu ditukar daripada ‘Gombunan’ menjadi Tambunan atas peristiwa beberapa abad lalu yang ditinggalkan jauh melalui aliran masa dalam sejarah peradaban mereka.

Tambunan - gabungan nama dua puak iaitu Gombunan dan Tamadon. ‘Tam’ diambil sempena nama puak Tamadon. Manakala ‘Bunan’ pula diambil sempena nama puak Gombunan.Dan kini, tempat itu dinamakan Tambunan dan cerita mengenai asal-usul kawasan itu diwarisi melalui cerita dari zaman ke satu zaman yang baharu melalui naratif sejarah.

MAHAIRAH – Gadis negeri di bawah bayu yang berketurunan suku kaum Dusun. Berkulit cerah dan berwajah anggun menawan. Dia seorang gadis yang lemah-lembut dan peramah sesuai dengan adat dan keturunan suku kaum mereka yang mementingkan pertalian sesama kaum dan bangsa lain.

“Belum tidur, Mahairah?” Ibunya Rosiah membuka pintu kamarnya. Mahairah segera berpaling. Novel Petaka Nyawa yang sedang dibacanya, diletakkan di atas meja setelah ditandakan dengan penanda buku.

“Belum mengantuklah, mama.” Mahairah bermanja-manja dengan ibunya.

“Sumandak nda buli tidur lewat bah.” (Anak dara tidak elok tidur lewat) Ujar Rosiah yang menggunakan bahasa sukuan masyarakat Sabah.

“Sekejap lagi, Ira tidurlah mama.” Jawabnya.

“Aki-aki cakap, kalau sumandak yang suka tidur lewat dan lewat bangun besoknya, nanti terkawin dengan lelaki rambut putih.”(Orang tua-tua cakap, kalau anak dara suka tidur lewat dan bangun lambat esoknya, nanti dapat jodoh dengan lelaki tua).” Rosiah mengusik anak dara suntinya. Mahairah hampir tergelak dengan usikan itu.

“Alah mama ni, suka betul kasi kena orang. Calon pun ndada lagi.” (Mama ni, suka sangat mengusik pasal jodoh. Calon pun belum ada lagi).” Ujar Mahairah yang tersenyum-senyum. Dia geli hati apabila ibunya mengusik sedemikian rupa.

“Eyalah, esok Ira kena tolong mama jaga kedai lagi.” Ujar Rosiah yang menggunakan bahasa standard masyarakat Sabah. Dia merupakan seorang guru taska. Dan sebagai pewaris bahasa ibunda, dia pasti akan bertutur dengan Mahairah walaupun sekali-sekala kerana bimbang bahasa suku kaum mereka hilang secara perlahan.

Kala inilah mata Mahairah terangkat ke atas. Dia membisu daripada kata apabila terlihat ‘sesuatu’ sedang bersama mereka. Dia hendak teriak, namun suaranya tersekat di rengkungan. Badannya serta-merta menggeletar lalu dia rebah ke lantai. Rosiah yang terkejut dengan kejadian itu segera menerpa sambil memanggil suaminya yang berada di bilik sebelah.

“Abang!” Suara Rosiah hampir menjerit memanggil suaminya. Hamid yang terkejut, segera menerpa masuk di kamar anak perempuannya.

“Nokuro?” (Kenapa ni?)” Tanya Hamid yang sudah pun sampai di bilik itu.

“Tidak tahu, Mahairah tiba-tiba rebah dari kerusi.” Rosiah kelihatan agak panik.

Selepas itu, Rosiah mengambil air suam yang diletakkan di dalam satu bekas. Dia membasahkan sebuah tuala kecil dan mengusap-ngusap wajah anaknya yang tampak berkeringat. Suami isteri itu dihambat kejutan dan kerisauan yang teramat.

Untuk kesekian kalinya, Mahairah dihimpit dengan situasi sukar. Seperti hidupnya terbuka hijab. Di sebalik langsir yang mengunjur ke luar bilik, sepasang mata sedang mengintai mereka. Sedang pembunuhan di Hutan Tambunan kian menggila. Pemangsa yang rakus. Nyawa adalah taruhan.

Petaling Street, Kuala Lumpur

KEADAAN di Kota Raya itu sangat sibuk pada hujung minggu. Ia merupakan salah satu tempat di bumi Kuala Lumpur yang dipenuhi ragam manusia dari setiap sudut dunia. Ada orang tempatan, pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan tidak kurang juga PATI yang menjadi buruan pihak berkuasa.

Petang ini, Malik hanya bersiar-siar di Jalan Petaling Street. Kawasan dagangan di situ dimonopoli oleh kaum Cina, pedagang dari India dan selebihnya orang Melayu. Dia sengaja ke situ untuk membeli beberapa buah kraf tangan dan mengisi hujung minggunya yang terluang.

“Lukisan ini berapa harganya?” Tanya Malik kepada seorang peniaga Cina. Dia tertarik dengan seni tangan yang sungguh beralun itu.

“RM60.” Peniaga Cina itu acuh tak acuh. Sebenarnya dia lali dengan ragam pengunjung yang tidak serius dalam bertanya dan akhirnya mereka tidak membelinya.

“Mahal juga. Tapi tak apalah, saya nak yang ini.” Malik mengunjuk sebuah lukisan dan melihat di sekitar kawasan itu. Dia rambang mata.

Malik menghentikan pandangannya apabila terlihat di sebuah cermin yang berada di depannya. Dua orang anggota Polis sedang mengintai dirinya. Dia berasa hairan. Dengan pantas, dia meninggalkan tempat itu tanpa membeli lukisan itu. Niatnya dibatalkan serta-merta.

“Maaf, saya tidak jadi membeli lukisan itu.” Peniaga Cina separuh umur itu terpempan. Malik segera berpaling dan menapak dari situ. Sebelum berlalu, dia sempat memandang dengan menggunakan hujung matanya. Memang sah, dia diekori oleh Polis.

Pergerakannya dipercepatkan. Apabila sampai di simpang satu lorong. Dia segera membuka jaket berwarna hitam yang dipakainya lalu mencampak ke dalam tong sampah dan mengenakan cermin mata hitam berjenama lalu berjalan seperti biasa menuju ke Stesen LRT Pasar Seni. Fikirannya berserabut.

Malik begitu terkejut apabila melihat gambarnya ditampal di dinding stesen LRT itu dengan kenyataan ‘Lelaki dikehendaki Polis – Pembunuh Berepisod.’ Malik masih mengenali wajahnya walaupun kelihatan agak berbalam-balam.

Melihat situasi itu, dia pantas berpatah balik menuju ke bawah dan mendapatkan kereta yang diparkir di sebelah Central Market. Sekarang barulah dia tahu kenapa dia diekori. Persoalannya, kenapa dia dituduh menjadi pembunuh? Itu fitnah semata-mata!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.