Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
28,282
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 14

Madrasah Agung

SHAFI baru sahaja selesai menunaikan solat sunat Duha. Dia berdiri di serambi musolah di madrasah sambil menikmati suasana persekitaran yang nyaman. Pokok-pokok yang menghijau, kicauan burung yang merdu – sungguh mendamaikan. Di tangannya tergenggam seutas tasbih berwarna putih. Ia dibilang mengikut kalimah yang terlafaz di bibirnya.

“Sudah tiba waktunya kau harus memenuhi takdirmu, nak.” Kiai Jabar yang baru sahaja selesai membaca Surah Ar-Rahman menapak mendekati anak asuhannya itu.

“Apakah takdirku bukan di sini, bapa?” Shafi menoleh dengan seraut wajah yang tenang.

“Takdir kita ada di mana-mana, anakku. Ingat, setiap inci perjalanan hidup kita sudah tersurat.” Kiai Jabar menepuk-nepuk bahu Shafi. Wajahnya masih bercahaya walaupun usia semakin memanjat kehidupannya.

“Aku seperti mengejar takdir, bapa.” Wajah Shafi berkerut.

“Anakku, selagi ada masa senggangmu, gunakanlah sebaik-baiknya kerana suatu masa, pasti akan datang masa sempitmu.” Kiai Jabar tetap dengan nada suaranya. Lembut dalam berbicara. Tutur katanya penuh sopan.

“Insya-ALLAH, bapa. Aku akan memenuhi takdirku.” Shafi mengukir senyuman sebagai pemanis wajah.

“Insya-ALLAH. Ingat anakku, sampaikan dakwah walaupun satu ayat.”

“Baik, bapa.” Shafi menjabat tangan ayah angkatnya itu sebelum berlalu menuju ke arah kediaman mereka. Jauh di sudut hati, dia amat memahami semua inti pati bicara gurunya itu.

SHAFI memerhatikan suasana kamarnya dengan hati yang cukup tenang. Di sinilah dia membesar. Di sinilah dia mengerjakan solat malam serta ibadah-ibadah lain dengan bersaksikan sejadah yang dihadiahkan oleh bapa asuhannya. Segala kemanisan dan kepahitan hidup terlakar di sini, dan yang paling penting imannya terbina di madrasah ini.

Shafi mengemas pakaian sepersalinan sahaja. Tidak dilupakan seutas tasbih berwarna putih. Shafi kemudian membuka satu lipatan kain, terserlah sebilah keris peninggalan orang tuanya. Dia mengusap lembut permukaan keris itu. Rindunya terhadap kedua orang tuanya semakin menghimpit hati. Bagaikan ombak yang menghempas ganas pantai. Dua elemen yang sering kali digunakan oleh penyair-penyair terdahulu untuk menunjukkan kesetiaan seseorang.

“Aku akan terus mencarimu, kerana syurgaku ada di telapak kakimu, ibu.” Dalam rindu terpacu satu semangat dan azam di hatinya.

“Biar betapa jauh, aku akan sabar mencarimu. Andai kata engkau telah tiada, maka doaku akan mengiringmu.” Shafi bermonolog.

WAKTU beranjak mengikut ketetapan-Nya. Pemergian Shafi sudah dicanangkan kepada penghuni madrasah itu. Dan selesai sahaja solat subuh, Kiai Jabar berserta para jemaah berselawat ke atas nabi dan berzikir memuji ALLAH. Shafi yang telah mengimamkan solat pada Subuh itu mengetuai bacaan kalimah-kalimah penyubur hati itu.

Para jemaah juga diberikan pengisian dengan ceramah keagamaan daripada Kiai Jabar. Mereka khusyuk sekali mendengar kata-kata penghulu mereka di madrasah itu. Bukan setakat keindahan Islam itu, tetapi pendekatan dan caranya menyampaikan sangat menambat hati. Dia selesai memberikan ceramah setelah fajar mula menyinsing dari pergunungan.

“Seperti saudara semua sedia maklum, pertemuan pasti ada perpisahan. Kebahagiaan pasti terselit kedukaan. Kita diberikan kehidupan, dan akan disudahi dengan kematian. Saudara kita sudah memenuhi takdirnya di sini, jangan ditangisi pemergian Shafi. Kita di tanah jantung ini, harus menegakkan syiar Islam dengan sebaik-baiknya. Dan dia berpergian kerana itu.” Kiai Jabar merenung satu persatu wajah para jemaah. Dari riak wajah. Isi hati amat mudah untuk dibaca.

“Kemarilah, nak.” Kiai Jabar beralih pandang ke arah Shafi. Dia lantas bangun dan menuju ke depan para jemaah.

“Salam sejahtera ke atas kalian semua. Wahai saudaraku, tiada perkara yang lebih besar dalam kehidupan kita kecuali ketentuan ALLAH. Siapa dan di mana pun kita, jangan pernah berpisah dengan iman walau seinci pun. Kalau kita terlalai, segeralah bertaubat kepada ALLAH. Dan pemergian saya kali ini adalah untuk mencari keredaannya.” Shafi membukukan sahaja perasaan sedihnya di dalam hatinya.

“Apakah tiada pilihan lain, selain daripada meninggalkan madrasah ini, Shafi?” seorang jemaah bertanya.

“Ini adalah ketentuan ALLAH, saudaraku. Dan sesungguhnya perancangan ALLAH itu sangat hebat di sebalik perancangan manusia.” Jemaah tadi tertunduk menahan sebak.

“Bagaimanakah caranya supaya hubungan kita sentiasa dirahmati ALLAH walaupun kita berjauhan?” seorang lagi jemaah bertanya.

“Wahai pencinta agama, walau di mana pun kita berada, jangan lupa untuk kita saling mendoakan sesama umat. Semoga ALLAH akan mengukuhkan silaturahim kita semua.” Shafi mengulas senyuman sebagai pemanis wajah.

Keheningan subuh membalut suasana seketika. Bayu terasa mencengkam tulang. Aliran udara di perbukitan itu jauh meresap mendakap damai. Matahari yang sudah menampakkan dirinya tersenyum riang. Kicauan burung berkumandang. Alam seolah-olah bertasbih memuji ALLAH. Demi bumi dan langit serta seluruh hamparannya. ALLAH itu Tuhan yang maha Esa.

“Ada sesiapa di antara kalian yang aku pernah sakiti?” Shafi bertanya dengan riak wajah yang penuh dengan ketenangan. Semua jemaah hanya berdiam.

“Jika ada, aku sedia menerima qisas yang setimpal dengan perbuatan aku terhadap engkau.” Shafi menatap semua wajah para jemaah yang berada di situ. Tidak lama kemudian, seorang jemaah berdiri.

“Saudara pernah cerderakan aku. Ketika kita melakukan latihan silat, saudara Shafi pernah memukul belakangku.” Jemaah itu bercakap dengan nada yang lemah.

“Maha suci ALLAH. Tuhan yang maha adil terhadap hamba-hambanya. Andai demikian aku akan minta saudara memukul belakangku seperti mana aku memukul belakang saudara dahulu.” Kemudian, Shafi berdiri dan bersedia untuk di qisas oleh jemaah tadi. Orang itu pun menuju ke depan.

“Pada hari itu, aku tidak memakai baju. Tetapi masih menutup aurat.” jemaah itu mendekati Shafi. Dia segera menanggalkan baju yang dipakainya sehingga paras di atas pusat. Dia sangat faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘adil’.

“Silakan untuk melaksanakan qisas tersebut, saudara. Semoga ALLAH mengampuni segala kesalahan kita.” Shafi segera duduk membelakangi para jemaah dengan tujuan untuk di qisas.

Suara para jemaah riuh rendah. Tindakan seorang jemaah itu tadi ternyata mengejutkan semua pihak. Keikhlasan Shafi untuk di qisas sangat menyentuh perasaan semua yang ada kala itu. Tika terkecuali Kiai Jabar, ternyata perpisahan ini penuh dengan duka.

Jemaah yang ingin melakukan qisas itu pun merapatkan dirinya ke belakang Shafi. Tangannya kaku. Rasanya seperti tidak sampai hati memukul anak muda yang selalu menjadi imamnya di musolah ini.

“Sudah bersedia, wahai saudaraku”

“Demi ALLAH yang maha mengasihani hamba-hambanya. Lakukanlah agar aku terlepas daripada bebanan dosa.” Shafi redha. Dia hanya menguntum seulas senyuman. Senyuman yang lahir dari hati yang ikhlas.

Dalam suasa hening itu, Shafi merasakan seolah-olah ada titisan yang membasahi belakangnya. Dia berasa hairan lalu berpaling ke belakang dan mendapati jemaah yang ingin melakukan qisas tadi menangis tanpa suara. Hanya hatinya sahaja yang meraung mengisi palung hati yang pilu.

Dengan tidak semena-mena, jemaah itu memeluk Shafi dari belakang. Ketika inilah dia menumpahkan semua kesedihan yang dia simpan dalam hati. Suaranya tersekat di halkum kerana tidak diluahkan. Hanya air mata sahaja yang menjadi tanda hiba di hatinya.

Shafi jadi sebak. Dia sepenuh hati menahan amukkan jiwanya. Perasaan sedih bergayut di sanubari. Sesungguhnya air mata adalah tanda kelembutan jiwa. Hati seorang pencinta.

“Usah ditangisi pemergian kita, wahai saudaraku.”

“Berapa lamakah kau berpergian, Shafi?” jemaah itu tadi meleraikan pelukannya.

“Maha suci ALLAH. Hanya Dia yang mengetahui ketentuanku. Kita bertemu dan berpisah kerana ALLAH wahai saudaraku sekalian.” Shafi mengenakan semula pakaiannya lantas berpaling menghadap para jemaah.

“Kenapa tidak dilaksanakan sahaja qisas itu?” Shafi merenung jemaah tadi.

“Maha suci ALLAH yang maha mengampuni hamba-hamba-Nya. Aku langsung tidak menyimpan perkara itu di dalam hati.” Jemaah tadi lantas beristighfar berulang kali.

“Semoga ALLAH meningkatkan ketakwaan kita, saudara.” Shafi lantas bersalam-salaman serta berdakap-dakapan dengan para jemaah. Saling merapatkan hubungan silaturahim yang telah rapat. Kiai Jabar hanya menguntum senyuman.

Shafi melangkah tenang menuju ke pintu utama. Pemergiannya pada pagi ini ditemani dengan alunan zikir dan Asma Al-Husna yang dikumandangkan oleh para jemaah. Shafi berhenti melangkah, dia kemudian menoleh ke belakang seraya tersenyum. Dia menatap wajah-wajah saudara seperjuangan yang senasib dengannya, akhirnya pandangan Shafi terhenti kepada Kiai Jabar. Semoga ALLAH merahmati kita semua. Hati Shafi berkata-kata. Shafi meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kayuhan langkah yang diikuti zikrullah.

Shafi berhenti di tepi sebatang sungai yang di payungi oleh pepohon rendang. Shafi memandang ke arah matahari. Sekarang adalah waktu duha. Dia kemudian menuju ke arah sungai dan mengambil air wuduk. Sumber air yang berasal dari mata air sangat menyegarkan apabila diusap ke muka. Sesudah itu, lelaki pencinta agama itu segera menunaikan solat sunat duha.

Setelah selesai, Shafi menadah tangan ke langit. Berdoa dengan penuh khusyuk dengan harapan agar ALLAH memakbulkan segala luahan hatinya. Dia tenggelam dalam doa :

Ya ALLAH, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikannya adalah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu,kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya ALLAH, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaan-Mu,limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Sesudah itu, Shafi segera mensyukuri segala nikmat ALLAH dengan lafaz alhamdulillah. Sesungguhnya waktu duha itu waktu yang dibuka segala pintu rahmat. Selain itu, pintu rezeki juga berada di waktu ini. Sebagaimana yang sentiasa dipesan oleh Baginda Rasulullah agar tidak memberatkan tulang untuk melaksanakan solat sunat duha walaupun hanya dua rakaat.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.