Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
95,869
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

Istana Kayangan, Kota Amuriah

RAJA BAYTIZAN dikejutkan oleh satu pusaran angin kecil yang bergerak di ruang kamarnya. Pedang yang disangkut kemas di dinding dihunus. Langkahnya seperti orang yang akan memulakan pertarungan. Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang berselubung hitam. Gerak-gerinya membuatkan Raja yang dianggap agung itu curiga.

“Siapa kau?” Soalan spontan yang akan ditanya jika seseorang itu tidak dikenali.

“Nampaknya usiamu semakin menghakis ingatanmu, Raja Baytizan.” Lelaki tadi hanya mencebik.

“Siapa kau sebenarnya, beta tidak mengenali kau. Beta rasa kau juga bukan dari kelompok rakyat jelata di sini.” Raja Baytizan bertambah curiga.

“Aku makhluk bernyawa panjang, Raja Baytizan.”

“Beta tidak pernah mendengar nama itu, orang tua!” Raja Baytizan mula marah kerana lelaki itu seperti mempermainkannya. Lelaki berselubung hitam tadi membuat satu putaran. Apabila putaran itu berhenti, dirinya sudah bertukar menjadi seorang yang sangat gagah. Keterampilannya seperti seorang pahlawan terdahulu. Pakaian serta senjatanya kelihatan berkilau. Mukanya tampak tegas. Tiada senyuman yang bergayut di bibirnya. Raja Baytizan hanya terduduk di birai katil sambil mulutnya terlopong.

“Ka… kau!” suaranya tersekat di halkum.

“Aku datang menagih janji, Baytizan.” Kali ini, tiada lagi gelaran “Raja” ketika lelaki itu menyebut nama Raja Baytizan.

PANGERAN ARING dan Bagaro yang telah diterbangkan di sebuah gua telah tersedar daripada tidur. Urat-urat otot seperti ditarik-tarik. Badan mereka menjadi lesu kerana lama tidak digerakkan. Sudah tiga hari mereka tertidur kerana keletihan. Kecederaan yang dialami tempoh hari tidak meninggalkan bekas. Mereka bangun dan memerhatikan suasana persekitaran. Tempat yang jarang dikunjungi manusia. Sunyi dan sepi, sesepi hati mereka berdua. Sepi daripada sisa kebaikan.

“Kita pergi ke mana sekarang, Pangeran?” Bagaro buntu.

“Akalmu sangat pendek, Bagaro. Kita adalah bekas pembesar istana Kerajaan Langkasuka. Aku rasa, kita bijak mencari akal.” Pangeran Aring seperti ada satu perancangan yang sangat rapi.

“Ya! Bekas pembesar Kerajaan Langkasuka yang membelot dan menjadi orang kanan Kerajaan Siam sekarang. Bagaimana kalau kita menyusup masuk ke sana?” Bagaro terkial-kial.

“Hahaha... ternyata kau semakin bijak Bagaro, kita kembali ke sana dan serang kerajaan itu secara halus.” Biar jatuh empayar pemerintah terkutuk itu, dendamku masih membara. Hanya darahnya sahaja yang dapat memadamkannya. Pangeran Aring perih mengenang kisah silamnya, mereka berdua dipecat daripada sistem pemerintahan kerajaan Langkasuka atas faktor keselamatan. Amukan dendamnya semakin berkobar-kobar. Membuak bak lahar gunung berapi, dan ia tinggal menunggu bilakah lahar itu akan meletus.

“Kerajaan Langkasuka amat jauh, kita akan keletihan jika berjalan kaki.” Bagaro seperti tidak bersemangat.

“Bodoh! kita makhluk berkuasa Bagaro, kita minta pertolongan lelaki itu.” Maksud Pangeran Aring ialah lelaki berselubung hitam itu.

“Bagaimana caranya, Pangeran?” Bagaro terpinga-pinga.

“Kita seru, ia pasti akan datang. Gunakan darah.” Pangeran Aring secara tiba-tiba menghunus pisau belati dan menoreh pergelangan tangan Bagaro. Bagaro hanya meraung kesakitan. Darah mula tersembur daripada uratnya yang terputus.

“Wahai tuan yang berkuasa, datanglah jika benar kau berkuasa, muncullah jika benar kau gagah perkasa, demi darah yang aku persembahkan!” Selesai melaungkan kata-kata itu, Pangeran Aring mula meratib. Menyebut-nyebut perkataan yang sukar difahami. Yang pasti, itu adalah cara memuja syaitan Laknatullah.

Angin mula bertiup kencang, debu dalam gua itu berpusar. Kemudian kepulan asap hitam mula kelihatan berlegar-legar di dalam gua itu. Sesekali kepulan asap itu membentuk kepala binatang, kemudian ia berhenti di atas seketul batu besar lalu beransur menjelma menjadi jasad menyerupai manusia. Lelaki berselubung hitam itu berdiri angkuh sambil mencebik. Pangeran Aring dan Bagaro lantas menyembah. Lelaki itu ketawa terbahak-bahak.

“Bangkitlah...Aku suka cara kau menyeruku, Pangeran. Hahaha…” Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Keangkuhannya melangit.

“Terima kasih, lelaki hebat.” Pangeran Aring mengampu.

“Kau di mana sebelum ini, aku perlukan bantuanmu!” Pangeran Aring membentak-bentak.

“Aku ada di mana-mana, Pangeran. Aku akan menerbangkan kamu berdua ke kawasan jajahan Langkasuka.” Lelaki berselubung hitam itu melayang lembut sebelum mendarat ke hadapan Pangeran Aring dan Bagaro.

“Bagaimana kau tahu yang kami ingin ke sana?” Bagaro hairan.

“Hahaha... Aku makhluk yang paling hebat di alam semesta, justeru aku tahu apa yang kamu inginkan. Bahkan masuk dalam hati manusia pun aku dapat, hahaha…” Lelaki itu terus menyemai keangkuhannya. Dan itulah yang menyebabkan kaumnya diusir dari syurga suatu masa dahulu. Ya, kerana sifat sombong!

“Kalau begitu, bawalah kami ke sana.” Pangeran tidak sabar.

“Sujudlah kalian berdua kepadaku, tutup mata dan yakinlah yang aku adalah sesembahan kamu berdua.” Lelaki itu merentangkan tangannya ke hadapan. Pangeran Aring dan Bagaro segera mengikuti arahannya. Lantas lelaki itu membuat pusaran, kemudian bertukar menjadi kabus hitam.

Dalam sekelip mata sahaja mereka bertiga sudah ghaib. Merentas ruang yang dicipta oleh lelaki terkutuk itu. Cara ini pernah digunakan oleh jin dan ifrit ketika Nabi Sulaiman berkehendakkan Singgahsana Ratu Balqis dibawa ke Istananya sebelum baginda bangkit dari tempat duduknya. Namun, seorang alim yang arif mengenai kitab yang telah berjaya membawanya dalam sekelip mata. Sesungguhnya, kuasa yang paling kuat dan jitu adalah kuasa yang dipohon daripada ALLAH. Kuasa yang diperoleh melalui ‘doa’. Doa itu satu keajaiban. Melalui doa, kita dapat berhubung dengan ALLAH tanpa sebarang perantaraan. Daripada Dia kita datang, hanya kepada-Nya sahaja kita layak kembali.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.