Home Novel Thriller/Aksi ELOPE
ELOPE
Zulfati Hanis
5/11/2012 21:54:24
17,558
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2 (Gadis menangis)

Tiba-tiba terdengar letupan dan kereta Myvi pink yang sedang Shima pandu tiba-tiba hilang kawalan. Shima cuba mengawal dan sebaik mungkin dia cuba membehentikan keretanya.

Setelah berjaya memberhentikan keretanya di tepi jalan. Shima melangkah keluar dari kereta untuk memeriksa apa yang menyebabkan keretanya hilang kawalan tadi.

“Ya ALLAH….” Shima memegang dahinya. Tayar depannya meletup. Terus kempis. Shima mengaru kepalanya yang tidak gatal. Bawak kereta memang dia tahu. Tapi untuk menukar tayar kereta yang pancit dah lupa. Terakhir dia belajar tukar tayar pun masa masuk kelas memandu 5 tahun lalu.

“Aduh apa aku nak buat ni? Mana aku tahu nak tukar tayar kereta. Waktu-waktu macam ni pulak tayar nak pancit,” omel Shima sendirian sambil matanya menjeling jam di tangan kanannya. Dah lewat petang. Shima mengeluarkan handphone dari tas tangannya.

“Helo Ah Fatt, saya punya kereta pancit. Boleh tolong hantar orang tukar tak?” pinta Shima sewaktu menghubungi Ah Fatt, pomen yang dia sering berurusan.

“You ada dekat mana?”

“Mmm…..” Shima menoleh memandang sekeliling untuk melihat dia berada di mana. “Dekat dengan itu kondo Sri Cempaka, jalan Ampang,” jawab Shima tatkala terpandang papan tanda yang tertera di tembok kondominium Sri Cempaka.

“Okay…okay…..nanti saya hantar orang,” ujar Ah Fatt.

Shima mengukir senyum. “Thanks Ah Fatt.”

Sementara menanti kedatangan orang Ah Fatt, Shima kembali semula ke dalam kereta dan membuka sedikit tingkap kereta. Dia duduk bersandar sambil melelapkan matanya.

Telinganya menangkap suara sedang orang menangis. Amat dekat sekali tangisan itu dengan halwa telinganya sehingga menganggu lelapnya. Shima membuka kelopak matanya. Shima terloncat sedikit dari duduknya kerana terkejut bila ada seorang gadis sedang menangis di dalam keretanya.

“Awak ni siapa? Macam mana boleh masuk?” soal Shima bila mampu mengawal rasa terkejutnya.

“Tolong saya,” rayu gadis itu yang masih menangis. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

Shima mengaru kepalanya. Serasanya tadi dia sudah kunci pintu kereta dan hanya membuka sedikit tingkap bagi memberi udara masuk ke dalam sahaja. Macam mana gadis ini dapat masuk ke dalam?. Soalan itu berlegar di fikiran Shima.

“Tolong saya,” sekali lagi gadis itu merayu.

“Tolong? Tolong apa?”

“Tolong saya Shima,” pinta gadis itu dengan suara yang sayu.

Shima membulatkan matanya. “Macam mana awak tahu nama saya?” soal Shima yang mulai merasa tidak selesa dengan kehadiran gadis misteri ini. Dia pasti inilah pertama kali dia bertemu dengan gadis ini dan semestinya dia tidak tahu namanya. Tapi hairan macam mana gadis misteri itu tahu namanya.

“Shima kena tolong saya. Sejuk sangat. Saya tak tahan lagi. Tolong saya,” pinta gadis misteri itu penuh merayu.

“Apa yang awak cakap ni? Saya tak faham,” kata Shima yang kebinggungan.

“Tolong saya. Saya kesejukan,” sekali lagi gadis misteri itu merayu.

“Tuk…tuk…tuk…” Shima terkejut bila tiba-tiba cermin keretanya di ketuk dari luar. Kelihatan seorang lelaki cina sedang berdiri di sisi keretanya.

Bila Shima menoleh semula ke sebelah kirinya, dadanya berombak laju. Gadis misteri itu sudah tiada. Mata Shima melilau memandang sekeliling. Sah gadis itu dah tiada di dalam keretanya.

Dalam keadaan terpinga-pinga Shima membuka pintu kereta. Dia keluar dengan seribu persoalan di dalam kepalanya. Siapa gadis itu dan ke mana dia menghilang.

“Helo, Ah Fatt hantar saya. Tolong bukak bonet kereta,” ujar lelaki cina itu.

Tanpa membantah Shima menekan butang bonet keretanya. Lelaki cina itu memulakan kerja menukar tayar. Sementara itu Shima masih tercari-cari jawapan pada persoalan yang berlegar difikirannya.


Shima menghempaskan badannya yang keletihan di atas sofa panjang. Dijulurkan kakinya sambil tangan kanannya diletakkan di atas dahinya.

Relax giler nampak!” Mimi menegur sebaik dia keluar dari arah dapur.

Namun Shima masih tetap seperti tadi. Otaknya masih melayang memikirkan kejadian di dalam kereta tadi.

Mimi meletakkan mangkuk mee bandungnya di atas meja kopi. Keningnya berkerut memandang rakan serumahnya ini.

“Kau ni apa hal sejak balik duk termenung macam orang mati laki aje ni?” sinis sindiran Mimi.

“Hummm…..” Shima hanya mengeluh panjang.

“Tengok tu. Orang tanya dia bantai mengeluh pulak. Woi! Cakaplah apa masalah kau ni,” Mimi menjatuhkan tangan Shima yang diletakkan di atas dahinya.

Shima menoleh memandang Mimi. “Tadi kereta aku pancit.”

“Laaa…kereta pancit pun kau menung sampai macam ni sekali!” Mimi mengeleng-geleng sambil tersenyum-senyum.

“Bukan itulah,” bidas Shima.

“Habis tu?” pantas Mimi bertanya.

Shima bingkas bangun dan duduk mengadap Mimi.

“Masa aku tengah tunggu pomen datang, aku lelap kejap mata ni. Masa aku baru nak terlelap tiba-tiba aku dengar suara orang menangis dekat kat telinga ni. Bila aku bukak mata aku tengok ada perempuan kat sebelah aku tengah menangis. Terkejut aku,” kata Shima.

“Kau kenal ke?” Mimi bertanya lagi.

“Tak. Aku tak kenal pun,” jawab Shima mengeleng.

“Kau tak kunci kereta ke?”

“Kunci.”

Mimi terdiam. Dia memandang Shima dengan pandangan antara percaya tak percaya sahaja. Mimi merasakan sejak kebelakangan ini Shima benar-benar berubah. Ada sahaja cerita seram yang menghantui dirinya kebelakangan ini.

“Shima, kau mimpi tak kot?” akhirnya Mimi membuat kesimpulan begitu.

Pantas Shima mengeleng. Dia yakin dia tidak bermimpi. Gadis itu benar-benar berada di dalam keretanya tadi.

“Tak. Aku yakin perempuan tu memang ada dalam kereta aku tadi. Cuma bila aku cakap dengan pomen kejap dia tiba-tiba hilang. Ke mana aku pun tak tahu,” jawab Shima penuh yakin.

“Ikut kau lah. Nak mee bandung tak?” ujar Mimi yang malas untuk terus berdebat dengan Shima.

Shima mengeleng. “Tak mahulah. Aku nak masuk mandi dulu.”

Sebaik menuturnya Shima lantas bangun perlahan-lahan dan melangkah menuju ke bilik tidurnya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.