Home Novel Thriller/Aksi Dia... Aariz Iktizar
Dia... Aariz Iktizar
Angel_k20
21/10/2020 11:57:19
20,987
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

Siapa mamat galah yang dipanggil Handsome oleh si gatal itu? Persoalan itu benar-benar mengganggu ketenteramannya hari ini. Jantungnya berdebar kencang lain macam sebaik saja matanya bertembung dengan lelaki tinggi tersebut. Mata lelaki itu... ada riak tenang di sebalik matanya.

"Kau dah kenapa Khayra?" Khayra mengetuk kepalanya dengan pen.

Serius, dia sudah tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada kerjanya pada petang itu. Fail-fail klien yang baru sampai ke meja kerjanya dipandang sepi. Jiwanya kosong, hatinya resah. Lagi haru, lengannya kirinya sejak dari tadi berasa pedih padahal tidak ada luka walau sedikit pun. Sakit sangat seperti terkena api!

Dalam keadaan seperti itu, kotak memorinya melayang pada kejadian kebakaran rumahnya 15 tahun lepas. Kerana dia yang terlalu nakal ketika itu, habis sebuah rumahnya rentung tidak bersisa. Sesalnya menggunung, tetapi apakan daya semuanya telah terjadi.

Pada hari kejadian kebakaran, cikgu di sekolahnya ada mengajar peribahasa. Peribahasa itu berbunyi, marahkan nyamuk kelambu dibakar. Cikgu mata pelajaran Sains pula ada juga mengata bahawa nyamuk sukakan kegelapan. Wah, itu suatu info yang menarik bagi dirinya yang sukakan cabaran dan eksplorasi ilmu.

Namun, dek dangkalnya fikiran serta perasaan ingin tahunya membuak-buak, dia yang ketika itu berusia 12 tahun mengambil keputusan untuk melakukan eksperimen. Pada waktu malam ketika ibu dan ayahnya keluar ke rumah jiran sebelah yang selang sebuah rumah untuk menghadiri kenduri tahlil, dia mula melakukan eksperimennya.

Semua lampu dalam rumahnya ditutup dan pintu serta tingkap rumah dikunci kemas kecuali tingkap biliknya. Gelap gelita. Hanya sebatang lilin dinyalakan dan cahaya pun sebam sahaja. Tujuannya hanyalah satu iaitu mengenal pasti adakah betul nyamuk suka keadaan gelap.

Jika telahan cikgu sainsnya itu salah, dia akan bertapa di dalam kelambu sementara menunggu ibu dan ayahnya pulang. Takutlah pula mahu berjalan dalam gelap. Namun, seperti yang dijangka, tidak lama selepas itu bunyi nyamuk mula berdegung di telinganya. Melihatkan si nyamuk yang berlumba-lumba tidak tahu malu ingin menghisap darahnya, hatinya tersenyum.

Jiwanya teruja. Omongan daripada cikgu sainsnya memang benar iaitu nyamuk sukakan kegelapan. Lalu, tanpa berlengah lagi dengan lilin dipegang di tangannya, dia memasuki kelambu. Hayunan api lilin meliuk lintuk sesuai dengan gerak langkah si pemegang batangnya, namun amat malang nasib si pemegang apabila dia tersadung bantal golek.

Lilin yang dipegang terus tercampak ke hujung kelambu. Kelambu yang diperbuat daripada kain jenis nilon itu serta-merta disambar api. Pada mulanya, kecil saja apinya tetapi disebabkan kepanikan melanda, dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit meminta tolong.

Semakin lama, api semakin marak lalu turut menyambar kain langsir dan merebak pula sampai ke siling. Asap tebal memenuhi bilik dengan api menyala-nyala melahap ganas dinding rumahnya yang hanya diperbuat daripada papan. Meraung merintihlah dia memanggil ibu dan ayah namun malangnya tiada siapa menyahut. Dia keseorangan!

"Cik, Cik!" Satu suara kuat berserta goncangan pada bahu menyedarkannya daripada memori silam.

Matanya berasa basah. Entah bila masa dia menangis, dia tidak sedar. Apa yang dia tahu sekarang ialah sakit pada lengannya semakin mencengkam dan menggila. Menggigil dirinya menahan kesakitan yang seolah-olah menyiat-nyiat kulit lengannya iaitu tempat yang sama di mana api yang marak membakar menyambar lengannya lalu membakar rakus sehingga menyebabkan tahap kelecuran 80%.

"Cik, Cik okey?" panggil lagi si empunya suara dengan nada bimbang.

"Cin... Cindy... sakit..." Akhirnya, Khayra membuka mulut dengan tangisan semakin melebat. Tangannya memegang kejap tempat yang sama dia menerima tisu kulit daripada pesakit yang kematian otak pada 15 tahun yang lepas.

"Jom, saya bawa Cik ke hospital," ajak Cindy lalu memapah Khayra yang kelihatan lemah seperti kain buruk.

Khayra... seperti biasa dia membenci keadaan ini.

---------


"Dark, kau okey tak ni?" tanya Light prihatin.

Muka partnernya pucat seperti tidak berdarah dengan nafas juga dihela perlahan dan terputus-putus lagak orang semput. Mereka berdua sekarang sedang berehat di kerusi batu berhampiran garaj kereta. Setelah pulang dari pejabat Dato' Sani, di situlah tempat lepak mereka berdua sebelum masing-masing mengundur diri pulang ke kediaman sendiri.

"Aku okey," jawab Aariz sambil mengurut dada.

Sesekali, kedua-dua belah tangannya ditelangkupkan lalu dibawa ke hidung. Sedaya upaya teknik pernafasan segera yang diajar oleh doktor diaplikasikan dalam situasi ini.

"Kau macam tak okey, Dark!" tekan Light lagi.

Sejujurnya, dia pelik apabila Aariz kelihatan sihat walafiat saja pagi tadi. Tetapi, selepas keluar dari restoran tiba-tiba rakannya itu menjadi seperti ini. Aariz ini setahunya sihat dan selalu bertenaga macam bateri Eveready baru yang selalu muncul di kaca TV.

"Aku okey, Light. Jangan risau," balas Aariz pula.

Sedaya upaya dia cuba berlagak biasa di depan Light, tetapi malang keadaannya sekarang tidak dapat menipu mata helang partnernya. Light dilihat sangat bimbang seperti seorang ibu bimbangkan anaknya. Dalam diam, dia cuba bersabar dengan dirinya sendiri. Senyuman hambar ditarik perlahan, sesuram hatinya dalam mengenangkan diri yang dirasakan sangat lemah dalam menangani kondisi diri.

Huh, sudah lama dia tidak merasakan kesakitan seperti ini. Kali terakhir kesakitan yang menjalar pada dadanya dirasakan pada 15 tahun lalu sebelum menerima organ daripada pesakit yang kematian otak. Ah, dadanya sesak, nafasnya semput. Oksigen pula keluar masuk ke dalam paru-parunya seperti paksa rela saja.

Uhuk! Uhuk!

Aariz terbatuk-batuk dalam helaan nafas yang semakin memberat. Kenapa? Kenapa selepas melihat gadis yang dipanggil Cik Amra, kondisinya terus merundum seperti ini?

"Allah..." rintih Aariz perlahan. Dadanya berasa seperti terbakar dek kekurangan oksigen.

"Dark!" panggil Light, gusar. Dark di matanya tidak pernah jatuh sakit. Apa yang berlaku dalam restoran itu sebenarnya?

"Aku bawa kau ke hospital," putus Light lalu tanpa menghiraukan tegahan Aariz, dia memapah tubuh partnernya itu lalu menyandarkannya di kerusi hadapan.

Dark, jangan tunjuk kuat boleh tak? Dia sayang Dark sebagai sahabat sejati yang selalu menolongnya ketika dia dalam keadaan terdesak. Enjin kereta Toyota Camry milik Aariz dihidupkan lalu tanpa berfikir panjang lagi, pedal minyak ditekan sehabis rapat. Masa menghambat, jiwa tertambat. Apa yang pasti, Dark mesti selamat!

--------


"Kau orang tahu tak, dekat wad kecemasan tadi kecoh tau dengan kehadiran serentak dua orang pesakit," ujar salah seorang jururawat di kaunter wad kecemasan.

"Ala, biasalah tu. Apa yang nak digosipkan sangat?" sahut ketua jururawat yang bertag nama 'Julia'.

"Ish Kak Julia ni, kalau biasa-biasa memanglah kita orang takkan gosip pun," balas jururawat kedua pula.

"Habis tu, apa yang luar biasanya?" selar Julia pula. Hish anak buahnya yang dua orang ini, memang kalau sehari tidak bergosip tidak sah hidup.

"Akak tahu tak... mereka berdua tu didiagnos dengan Phantom Pain. Okey yang itu biasa. Tapi yang luar biasanya, kedua-duanya pernah menerima organ dan tisu di hospital ini. Lagi luar biasa kak... mereka menerima organ dan tisu tu daripada penderma yang sama 15 tahun dulu," terang jururawat pertama tadi. Bersungguh benar dia memberitahu info yang diterimanya daripada rakan jururawat yang mengendalikan kes pesakit berdua itu.

"Ooo..." Kak Julia memuncungkan mulutnya. Apa yang nak dihairankan, 15 tahun dulu ramai saja penderma dan penerima organ memandangkan hospital itu mengambil bahagian dalam mempromosikan kesedaran akan kepentingan pendermaan organ.

"Siapa nama dua orang tu?" tanyanya pula sambil tangan ligat menyusun fail.

"Kalau tak silap... yang perempuan namanya Nur Amra Khayra dan yang lelaki pula Muhammad Aariz Iktizar," jawab jururawat kedua lalu memandang kepada ketuanya.

Namun, wajah si ketua jururawat bernama Julia itu serta-merta berubah kelam. Berkerut seribu dengan diri terkejung keras dan mata terbuntang luas. Nama itu! Perlahan-lahan, tangannya meletakkan fail lalu kakinya deras membuka langkah seribu ke arah bilik doktor dengan menjerit sebaris nama.

"Kak Maria!" jeritnya lantang.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.