Home Novel Thriller/Aksi Dia... Aariz Iktizar
Dia... Aariz Iktizar
Angel_k20
21/10/2020 11:57:19
21,043
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 3

Aariz memberhentikan keretanya di parkir rumah banglo mewah setinggi tiga tingkat milik Dato' Sani. Pemanduannya dari Darul Hikmah di Bentong mengambil masa dua jam sahaja untuk sampai ke rumah majikannya ini. Jam tangan Casio G-Shock GBD100-1 di pergelangan tangannya dikerling sekilas sebelum pistol Glock MOS 19 yang disimpan di bawah kerusi pemandu diambil lalu disisipkan ke gun holster di pinggang.

Jaket hitam yang tersarung di kerusi hadapan bahagian penumpang juga diambil lalu dipakai dengan kadar segera. Tidak lupa juga, cermin mata hitam dan juga topi sudu turut diletak elok di kepala. Akhir sekali, topeng muka hitam yang direka khas bagi menapis habuk dan asap berbahaya dipakaikan ke muka. Dia alah pada dua benda itu. Sekali pandang, penampilannya hari ini seperti artis yang ingin mengelak daripada diserbu peminat.

"Dark, akhirnya muncul pun kau," tegur seorang lelaki yang turut sama berpakaian sepertinya. Namun, lelaki itu tidak memakai topeng muka dan itu yang membezakan mereka berdua sebagai bodyguard bersenjata Dato' Sani.

"Light," sahut Aariz lantas melagakan penumbuknya dengan buku lima lelaki itu.

"Dato' dah siap ke?" tanyanya pula.

"Macam biasalah Dark, orang tua tu kalau bersiap kalah bini dia," jawab Light. Ada nada selaran dalam jawapannya.

"Kau ni tak baiklah, Light!" gelak Aariz seoktaf nada. Tidak mahulah dia ketawa terbahak-bahak mentertawakan perangai siput sedut tambah miang majikannya itu.

"Betul apa aku cakap? Dasar orang tua... haih. Cuba kau tengok Fify tu, rasanya boleh berjanggut kucing tu tunggu tuan dia bersiap," cemuh Light lagi.

"Sabar itu separuh daripada iman, Light," tegur Aariz. Kawannya yang seorang ini tidak boleh dibiarkan hanyut dalam kegeraman, jika tidak semakin parah jadinya sindrom 'mak nenek' yang dihidapinya.

"Yalah, ustaz," balas Light lalu terus mendiamkan diri.

Sejujurnya, tidak kuasa dia mahu berhujah dengan Dark, si jejaka tampan berkulit putih setinggi 180 cm itu. Jika diajak berdebat, lebih baik dia mengangkat bendera putih siap-siap dek mulut si Dark ini boleh tahan pedas dan petah juga dalam berhujah.

"Tu, si bunga dah keluar," kata Aariz lalu ketawa kecil. Pantas tangannya membukakan pintu kereta Mercedes-Benz hitam metalik milik usahawan itu lalu mempersilakannya masuk dengan penuh hormat.

"Good morning my sunshine berdua," tegur Dato' Sani sambil melangkah penuh ayu ke arah Aariz dan Taqi, atau lebih dikenali sebagai Light.

"Morning, Dato'," balas Aariz dan Taqi serentak. Meremang bulu roma mereka berdua mendengar suara lembut si majikan, seram sungguh.

Namun begitu, sapaan selamat pagi daripada mereka berdua itu tidak lagi terus dijawab dek Dato' Sani. Usahawan itu lebih suka memboloskan dirinya ke dalam kereta dek alasan biasa, penat berjalan dari pintu utama rumah menghala ke garaj. Dia kan si bunga dengan berbaju sut pink, kasut putih, dan rambut disikat rapi ke belakang. Sekali pandang, macam pondan pun ada. Tetapi itulah, lembut jangan disangka lemah, sekali menjerit habis terkeluar suara jantan!

"Dato', ada nak singgah di mana-mana tak sebelum jumpa Cik Amra?" tanya Aariz dengan tenang di kerusi pemandu. Masa masih berbaki lagi setengah jam sebelum perjumpaan dengan pegawai pemasaran syarikat pengiklanan yang dikenali sebagai Cik Amra.

"Ya, singgah di kedai bunga dan belikan aku bunga ros merah untuk cik adik cantik tu," jawab Dato' Sani dengan matanya masih terfokus pada cermin kecilnya di tangan. Sejak dari tadi, tangannya ligat membetulkan rambut yang disisir rapi bagaikan tidak puas dengan penampilannya.

"Baik, Dato'," jawab Aariz lalu menghidupkan enjin kereta.

Keberadaan Light yang statik tercatuk di atas motor sambil menunggu masa untuk superbike berjenama Ducati itu ditunggang dikerling sekilas melalui cermin sisi. Wah, cemberutnya wajah lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang itu!

Aariz hanya mampu menggeleng kepala melihatkan ulah partnernya dalam badan perisikan bukan kerajaan yang dikenali sebagai BRIN (Biro Risikan Intelektual Negara) itu. Nasib kaulah Light kena menjadi partner aku, si Dark. Kata ketuanya Tuan Walid, Light dan Dark adalah pasangan sekerja yang paling sesuai untuk misi kali ini. Entah, telan sajalah suruhan ketuanya.

--------


"Aku dah cakap, mesti orang tua pondan tu akan lambat punya," omel Khayra sambil meramas-ramas kertas dokumen perjanjian. Huh, nasib saja kertas itu dibuat dalam lima salinan sebagai spare barannya. Dikeronyok empat, ada lagi baki satu salinan. Jika disediakan satu salinan saja, memang buang karan sajalah dia kena mencetak semula surat perjanjian tersebut.

"Maaf Cik, Cik mahu order apa?" tanya seorang pelayan.

"Air kosong. Letakkan ais banyak-banyak, thanks," jawab Khayra malas.

Dia perasan saja wajah pelayan yang melihatnya dengan riak tidak percaya. Air kosong saja? Huh, bukanlah dia tidak mampu untuk berbelanja di restoran mewah ini, tetapi apakan daya marahnya sangat membara sekarang. Sesekali jam tangan Casio SHEEN pink cair yang bertatahkan kristal Swarovski itu ditenung dalam. Cis, Dato' Sani sudah terlewat setengah jam!

Kertas surat perjanjian hanya ada satu saja lagi yang elok ditahan agar tidak dikeronyok. Siap kau orang tua... kalau aku bilang tiga kau tak muncul juga, memang kertas tu aku bakar sekali dengan restoran mewah milik kau ni! Hatinya mendongkol geram.

"Satu... dua..." bilang Khayra perlahan.

"Ti..." Dia berkira mahu menekan perkataan 'ga' tetapi belum sempat perkataan itu ditekan, tiba-tiba sejambak bunga ros merah muncul di depan matanya.

"Hai, Sweety," bisik satu suara lunak penuh lemah gemalai di tepinya telinganya. Geli geleman, automatik tangannya tanpa dapat dikawal terus membenamkan buku limanya ke hidung si pembisik.

Dush!

"Adoi!" Terkeluar suara jantan si pemilik suara lembut tadi.

"Kau lambat Dato'!" sembur Khayra garang. Figura Dato' Sani yang memegang hidungnya dek dihinggapi penumbuk sulungnya tidak dihiraukan. Apa yang penting, si pondan buaya daratan ini perlu diajar!

"Ala, sorry la Sweety. Ini yang membuatkan aku semakin suka kau, Cik... Amra... Khayra. Hihihi," gelak Dato' Sani sambil menekup mulut.

'Sewel!' sumpah Khayra di dalam hati.

Ya Allah, apalah dosanya dipertemukan dengan manusia dua alam tak kenang dek untung ini? Fizikal lelaki tetapi dalaman perempuan, katanya. Tapi yang hairannya, boleh pula si orang tua ini berkahwin dan beranak pinak. Tidak takut kepada Allah ke manusia ini? Lelaki tetapi sengaja berlagak sebagai wanita!

"Cepat sign kontrak tu. Aku nak balik," kata Khayra dengan kasar. Jika tidak kerana bosnya yang memaksa agar menerima klien seperti Dato' Sani, memang sampai kiamat dia tidak akan bekerjasama dengan si lelaki lembut itu. Kecelaruan mental betul dibuatnya!

"Okeylah... alah garangnya Sweety abang. Hehehe," gelak Dato' Sani lagi lalu menarik lembut kertas kontrak. Laju saja tangannya menandatangani surat perjanjian kerjasama antara syarikatnya dengan syarikat pengiklanan Khayra.

'Abang? Memang minta kaki si jantan keparat ni!' bisik hati Khayra keras.

Kala ini, ringan saja kakinya berasa ingin menyinggah ke muka berkerutu milik si tua di depannya. Namun, niatnya dibatalkan apabila matanya lebih cekap menangkap kehadiran figura seorang lelaki tegap yang baru masuk ke dalam restoran lalu menunduk hormat kepada Dato' Sani.

"Dato', semuanya dah sedia," kata lelaki itu dengan tenang.

"Okey, ikut seperti pelan kita ya Handsome," balas Dato' Sani tanpa berpaling kepada lelaki itu. Tangannya lebih ligat menandatangani berhelai-helai kertas yang perlu diturunkan tandatangan.

"Baik, Dato'," akur si lelaki lalu berundur dua langkah ke belakang lalu memusingkan badannya untuk keluar dari restoran. Namun, sempat matanya melirik kepada muka cemberut Khayra.

'Nice, girl. Kau memang lain daripada yang lain,' bisik hatinya lalu senyuman nipis diukir di sebalik topeng.

Matanya dilirik lagi kepada si gadis, tetapi kali ini mata mereka berdua bertembung. Namun, masing-masing segera melarikan pandangan ke arah lain dek arus elektrik terasa terlebih dahulu merenjat hati dan perasaan. Tajam, tetapi tajam lagi isyarat yang ditunjukkan oleh organ dan tisu yang diterima oleh mereka berdua pada 15 tahun lepas.

Kau... adalah aku. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.