Home Novel Seram/Misteri QARIN
QARIN
Illya Abdullah
3/1/2015 15:47:47
51,850
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 2

FARIS menyental kemeja putih yang berlumuran darah itu di sinki bilik airnya. Kesan darah itu masih tidak mahu hilang. Dia mulai resah. Resah kerana semakin dibasuh semakin banyak darah merah itu mengalir. Hairan dengan situasi tersebut, Faris tiada cara lain selain membakar kemeja putihnya itu. Jalan terbaik bagi Faris. Faris bersandar pada sofa setelah membersihkan diri dengan wajah gelisah. Dia tidak sedar bila dia berada di lorong gelap yang sunyi dengan kemejanya yang berlumuran dengan darah. Cukup misteri.

Aku tak boleh ingat apa yang berlaku. Sakit kepala aku memikirkannya. Selepas aku kalah dan kes pembicaraan Puan Salimah, aku terus pulang ke pejabat. Kemudian, macam biasa aku pulang ke rumah. Aku tidur di sofa sebab kepenatan, tetapi macam mana aku boleh berada di lorong gelap itu? Aku betul-betul tak boleh ingat apa yang berlaku. Aku bunuh orangkah? Tidak mungkin? Faris bermonolog sendiri.

Kemejanya saja yang berlumuran darah tetapi tidak kedua-dua belah tangannya. Tiada senjata pembunuhan ditemui bersama. Apa yang dilalui sekarang adalah satu perkara yang luar biasa. Faris jadi takut. Faris takut dirinya menjadi mangsa keadaan. Mana tahu jika ada orang yang tidak berpuas hati mengenakan dia dengan ilmu hitam.

Sudahnya Faris tidak dapat melelapkan mata hingga ke subuh. Dia ke pejabat guamannya juga walau dalam keadaan mata yang sembam.

“Encik Faris… are you okay?” Nana menegur lembut.

“Saya okay.” Faris membalas dengan senyuman.

“Tapi bawah mata Encik Faris tu..” Nana membuat isyarat tangan.

“Saya tak dapat tidur malam tadi.”

“Kenapa Encik Faris tak ambil m.c saja?” Usul Nana.

“Kalau saya duduk di rumah rasanya lagi saya stress.”

Nana menggeleng perlahan. Faris kuat bekerja. Jarang mengambil cuti.

“Sesekali apa salahnya berehat panjang. Makanlah angin dengan girlfriend ke?”

Faris tersengih.

“Tunggu saya berkahwin dengan girlfriendsaya baharulah saya bercuti makan angin. Masa tu saya akan ambil cuti panjang.”

Nana ketawa kecil.

“Betul juga kata Encik Faris tu. Dah sah tiada masalah nak angkut ke mana-mana. Isteri sendiri kan. Cepat-cepat Encik Faris ajak girlfriend Encik Faris kahwin.” Nana sememangnya tahu akan perhubungan Faris dengan Nadia.

“Tahu pun awak.”

Faris melangkah masuk ke bilik pejabatnya. Dua hari yang lepas dia ada menerima kes

terbaru. Kes jenayah yang melibatkan seorang model jelita. Faris membuka kot lalu diletakkan disangkutkan pada kerusinya. Faris duduk sambil menyelak fail yang sudah tersedia.

Segelas nesface panas sudah terhidang di dada meja. Bibir Faris melakr senyuman nipis. Air tersebut pastinya disediakan oleh Nana.

“YOU jangan buat cerita kelakar dengan I.” Nadia bermain dengan straw di dalam gelas minumannya. Puas didesak baharulah Faris sudi makan tengahari bersamanya. Jika tidak Faris hanya duduk di pejabatnya menghadap kerja. Lelaki itu lebih kerap menumpukan perhatian dalam bidang kerjanya dari dia. Pejabat guaman itu seperti ‘isteri’ pertama pada Faris.

“I tak reka-reka cerita.” Kenapa Nadia langsung tidak mempercayai cerita dia?

Sukar benar untuk dia menyakinkan Nadia. Semua ceritanya dikatakan karut dan merepek.

Bila dia diam, Nadia akan mendesak-desak agar dia berkongsi masalah dengannya. Nadia hanya menunjukkan sikap keprihatinannya untuk seketika.

“You stress sangat kut. Kerja you tu berat sangat. I suruh you kerja dengan papa I you tak mahu. You nak juga teruskan profesion you sebagai lawyer. Jadi lawyer ni bahaya juga, if ada yang tak puas hati dengan you, you boleh jadi mangsa mereka. I takutlah jika perkara tak baik berlaku pada you. Berhenti sajalah.” Nadia tidak begitu berkenan dengan kerjaya yang dipilih oleh Faris. Ada tikanya Faris terlalu sibuk hingga tiada masa untuk mereka berdua.

“I tak berminat dengan dunia perniagaan. I suka kerjaya yang mencabar.” Acapkali dia mengulang ayat yang sama bila Nadia mahu dia berhenti sebagai peguam.

‘Tapi you jarang menang kes kan?” Nadia merenung wajahnya. Senyuman di bibir Nadia sudah tidak semekar di awal pertemuan tadi.

“Itu bukan soalnya.” Menang atau kalah itu ikut nasib juga. Wang ringgit turut memainkan peranan utama. Kebenaran juga boleh dijual beli. Yang miskin selalu menjadi mangsa si kaya. Dunia ini masih penuh dengan penindasan.

Faris melepaskan keluhan berat. Nadia langsung tidak mahu memahami dirinya. Nadia berbeza dengan Asmida yang digelar hantu libray itu. Asmida bila diajak berbicara gadis itu tidak lokek memberikan pendapat tersendiri.

“Faris... you ikutlah saranan I. You perlukan rest. Kita pergi holiday.” Nadia memaut jemari kasar Faris. Faris segera menarik jemarinya semula.

“Emmm… I tak boleh. You pergilah dengan rakan-rakan you.” Kalau dia ikut Nadia bercuti pun bukan boleh menyelesaikan masalah yang memeningkan kepala dia. Dia akan tambah sakit kepala melayan kerenah Nadia.

Nadia mula menarik muka masam.

“You selalu buat I macam ini. Sibuk you tu 24 hours. Langsung tiada masa untuk I. Apa salahnya you ambil cuti sehari-dua. Kita enjoy just untuk release tension.” Desis Nadia. Kenapalah Faris keras kepala sangat? kalau tidak cukup dia boleh sponsortempat penginapan.

“Nad… I bukan tak mahu luangkan masa dengan you. Please… I promise I akan curi masa I untuk you.” Faris memujuk.

Tiada garis senyuman terukir di bibir Nadia. Riak muka Nadia semakin kelat.

“I sudah muak dengan janji you.” Kemarahan dalam hati Nadia tidak mampu dibendung lagi. Faris asyik mengelak.

Nadia angkat punggung dan menarik tas tangannya. Kalau lama dia menghadap Faris, lebih lama mereka akan bertegang urat. Faris menarik nafas panjang. Dia tidak bertindak mengejar langkah Nadia. Dibiarkan sahaja Nadia dengan rajuknya itu.

‘Perempuan sama saja Faris.”

Faris tersentak. Dia menoleh kiri dan kanan. Pelanggan-pelanggan lain kelihatan berborak sesama sendiri. Dahinya berkerut. Siapa yang empunya suara. Pendengarannya masih tidak rosak lagi. Dia yakin dia dalam keadaan sedar dan bukan bermimpi.

“heheheee…”

Suara tawa halus seakan berbisik pada gegendang telinga Faris. Bulu tengkuk Faris meremang.


FARIS tidak dapat menumpukan perhatian pada fail-fail kes di dada meja. Dia masih memikirkan empunya suara misteri yang berbisik pada telinganya itu. Suara siapa? Hantu? Faris menggigit hujung batang pennya. Tabiat yang sukar dipisahkan darinya sejak kecil lagi. Tak hantu pastinya saka. Argh! mengarut saja.

“Encik Faris…” Nana pembantunya meluru masuk tanpa sempat mengetuk pintu terlebih dahulu.

“Kenapa ni?”

Riak muka Nana seperti seseorang yang sedang mendapat khabar berita yang mengejutkan.

“Encik Faris, tengok ni.”

Nana menghulurkan surat khabar kepada Faris. Bola mata Faris membulat besar membaca tajuk kecil di dada surat khabar terbabit.

‘SEORANG AHLI PERNIAGAAN BERGELAR DATO’ MATI DIBUNUH!’

Faris segera membuka helaian muka surat untuk membaca keseluruhan berita terbabit. Gambar pembunuhan yang dipaparkan cukup mengerikan. Dada mangsa dirobek dan jantungnya direbus. Faris menelan air liur. Mual anak tekaknya. Kejam!

“Ngeri. Pembunuh tu tikam berkali-kali sampai nampak isi perut mangsa kemudian dada mangsa dirobek. Jantung mangsa direbus.” Suara Nana. “Malang betul nasib Dato’ Kamarudin tu. Menang di court tapi kena bunuh pula. Pasti ada orang yang tak puas hati dengan dia. Buat jahat dibalas dengan kejahatan.”

Faris menutup helaian berita itu. Dia bersandar pada kerusinya. Dia tidak berani memberikan sebarang komen terhadap pembunuhan Dato’ Kamarudin. Tawa Dato’ Kamarudin masih jelas kedengaran pada gegendang telinga Faris ketika perbicaraan tamat dan berpihak kepada lelaki itu. Dato’ Kamarudin cukup angkuh dan bongkak. Lelaki itu turut memandang rendah pada keupayaannya.

“Dato’ tu memang patut mati!

Dia mendengar lagi suara itu. Faris cuba berlagak selamba di hadapan Nana. Dia yakin Nana tidak mendengar suara misteri itu.

“Dah ajal dia.” Itu saja kata-kata yang keluar dari mulutnya.

Riak wajah Faris terus berubah apabila melihat bayangan hitam di belakang Nana. Bayangan hitam itu kelihatan tersengih dengan mata kemerahan-merahan.

“Orang jahat macam ni tak perlu kita kasihan. Terbela juga nasib Puan Salimah tu.” Terjuih bibir Nana. Nana meluat melihat reaksi Dato’ Kamarudin ketika memang kes perbicaraan tersebut. Dato’ Kamarudin main duit. Saksi semua disuapkan dengan duit. Kalau ikut pertuduhan Dato’ Kamarudin boleh dihukum penjara dan sebatan.

“Emmm… ya-ya…”

“Encik Faris okay?”

“Saya okay. Nana… boleh awak buatkan saya Horlicks panas.” Faris tidak mahu reaksinya mula disedari oleh Nana.

No problem.”

Nana melangkah keluar dari bilik Faris. Bayangan hitam di belakang Nana itu sudah tidak kelihatan lagi. Faris membuka cermin matanya. Dia memicit-micit dahi. Adakah matanya tersalah pandang? Atau memang benar dia berhalusinasi?

ASMIDA menerima mesej dari Faris. Dia tidak membalas mesej-mesej tersebut. Faris hanya bertanya khabar dan mengajak untuk bertemu. Tiada yang penting. Fikiran Asmida melayang pada perkara lain. Hatinya masih tertanya-tanya pada mimpi aneh yang kerap mengganggu tidurnya saban malam. Malam tadi dia bermimpi seorang lelaki mati dibunuh. Lelaki yang sama wajahnya dengan gambar yang terpapar di helaian muka surat khabar ini.

Wajah pembunuh yang melakukan pembunuhan itu tidak jelas dalam mimpi Asmida. Kabur. Asmida tidak dapat memastikan pembunuh itu sama ada lelaki atau pun perempuan. Apa yang dia nampak hanyalah darah dan tawa yang menyeramkan.

“Hi, As. sorang je?” Johendry menarik kerusi duduk berhadapan dengan gadis itu.

Asmida mencerlung Johendry dengan wajah masam.

“Kau ada nampak aku berdua ke?”

“Manalah tahu kalau kau berdua dengan ‘teman hantu’ kau itu.”

“Dia ada kat sebelah kau.” Sinis bicara Asmida berbaur sindiran.

“Mana-mana?” Johendry melingas kiri dan kanan kemudian melambakkan tawanya. Makin sakit hati Asmida dengan tingkah Johendry. Johendry masih mempersendakan dia.

“Aku simbah muka kau dengan milo panas ni nanti,” gerutu Asmida. Cawan milonya sudah diangkat.

“Janganlah, nanti tak hensem muka aku dah.”

“Perasan!”

Asmida tidak lagi bercerita tentang mimpi-mimpinya kepada Johendry. Dia sudah muak dengan sikap Johendry yang selalu memperlekehkan cerita-ceritanya. Sengaja dia bersikap acuh tidak acuh dengan Johendry. Dia sedang memboikot lelaki itu.

“Berita apa yang menarik perhatian kau tu?”

Johendry menarik surat khabar milik Asmida. Tingkahnya itu membuatkan Asmida merengus kecil.

“Seorang ahli perniagaan bergelar dato’ mati dibunuh dengan kejam.” Johendry membaca tajuk utama pada helaian surat khabar itu. Kes pembunuhan tersebut seakan menarik minat Johendry untuk membaca berita yang tertulis itu hingga garisan pengakhiran.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.