Home Novel Seram/Misteri PROJEK SERAM GUA (JIN)
PROJEK SERAM GUA (JIN)
Eqbal Mohaydeen
23/8/2019 23:39:40
12,235
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

KARIM memikul guni berisi ubi kayu dan pisang dari kebunnya sendiri. Mujur juga lokasi kebunnya sedikit jauh dan tersembunyi daripada jangkauan tentera Jepun.Tetapi dia sedar, lambat-laun penjajah itu pasti akan menemuinya juga. Laluan hutan disusurinya berhati-hati. Sesekali mata melirik serata arah. Bimbang pergerakannya sedang diperhati oleh tentera Jepun atau juga tali barut Jepunyang terdiri daripada orang Melayu sendiri.


Saat mengenangkannya, Karim meludah. Hatinya membengkak. Tali barut Jepun jauh lebih celaka daripada penjajah itu sendiri! Sanggup menjadi barua orang asing dan menganiaya bangsa sendiri. Dalam hatinya menyumpah seranah, telinganya menangkap bunyi dedaunan kering dipijak orang. Lekas Karim membongkokkan tubuh. Guni diletakkan atas tanah. Jantungnya berdebar-debar. Parang yang terselit di antara seluar dan pinggang digenggam kemas hulunya.


Seandainya tenteraJepun yang muncul untuk menangkapnya akan ditentang mereka habis-habisan. Dirinya juga bukan kosong sebaliknya berisi dengan ilmu persilatan. Alang-alang dirinya bakal mati diseksa dalam tahanan Jepun, lebih baik dia mati kerana melawan penjajah bangsat itu!


Dedaunan dihadapannya bergoyang-goyang dirempuh sesuatu. Pergerakannya terlalu pantas hingga sukar dijangkau Karim. Sebentar kemudian dedaunan di kiri, kanan dan belakang tubuhnya pula dirempuh laju sebelum ia menghilang. Karim bersiap siaga dengan sebarang ancaman yang muncul mendadak. Lama ia menanti sebelum kedengaran suara lelaki mengerang kesakitan.

 

Karim tercari-cari arah suara itu muncul sebelum mengatur langkah. Suara itu muncul di sebalik rimbunan semak. Tangan Karim perlahan-lahan menolak dedaunan yangmenghalang pandangan. Satu susuk tubuh terlungkup. Tergeletak-geletak seolah-olah sedang bertarung dengan sakaratul maut. Pantas Karim mendapatkan lelaki itu. Terbuntang mata Karim sebaik sahaja merapati. Darah membasahi sekujur tubuh. Kaki kanan dan tangan kirinya putus. Seolah-olah dibaham binatang buas. Segera dia menolak tubuh lelaki itu hingga tengadah.


“Allahuakbar! Apadah jadi, Jalis?” soal Karim sebaik sahaja mengenali lelaki itu.


Jalis terbatuk-batuk memuntahkan darah. Pakaian yang dikenakan bercerai-berai. Dadanya berobek-robek seperti dicakar harimau.


“Jepun yang lakukan padakau?” tanya Karim.


“Lari... Karim.Lari... ” Terketar-ketar Jalis bertutur sebelum tergeletak.



PINTU  rumah ditolak keras. Safar dibaringkan di lantai. Karim terduduk dan ternganga merengap melepaskan lelah. Salmah dan ibunya muncul dari dalam bilik. Merekaterperanjat besar melihat jasad yang terbujur di ruang tamu itu. Salmah berlari menutup pintu rumah yang terpelahang. Sempat meliar pandang ke luar rumah,bimbang jika kepulangan suaminya itu diekori sesiapa.


“Apa sebenarnya yang berlaku, bang?” soal Salmah cemas.

  

Karim menggeleng. Bajunya yang dilumuri darah Jalis ditanggalkannya.


“Bawakan aku sebekas air danjuga kain bersih. Darahnya perlu dihentikan,” ujar Karim.


Tanpa berlengah,Salmah menurut. Darah di seluruh tubuh Jalis dibersihkan Karim. Kain diikat kuat bagi menebat bahagian tubuh yang mengalirkan darah. Che Bayu merapati Jalis yang terbaring tidak sedarkan diri. Perlahan-lahan duduk bersila bersebelahannya. Wanita berusia 76 tahun itu meneliti kecederaan nelayan lelaki itu. Wajahnya bertukar gusar.


“Kenapa sekarang perlu dia muncul?” Che Bayu berbisik perlahan tetapi masih mampu didengari  Karim dan Salmah.


“Siapa yang muncul,ibu?”soal Karim.


“Bukan hanya Jepun musuh yang harus kita tentang,” jawab Che Bayu. Jawapannya menambahkan kerutan di dahi Karim.


“Apa maksud ibu sebenarnya?” tanyaKarim lagi.


Che Bayu tidak lagi menjawab. Bibirnya terkumat- kamit membacakan sesuatu. Lalu dihembus keubun-ubun Jalis.

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.