Home Novel Seram/Misteri Kifayah (Sudah Terbit)
Kifayah (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 17:55:59
250
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

"DIA dipaksa bertelanjang? Kau biar betul?" soal Angela kepanikan.

"Sumpah! Aku tak tipu. Siap kena seluk punggung!" balas Christine.

"Di lapangan terbang mana?"

"Chicago O'Hare."

"Bila terjadi semua ni? Kenapa sekarang baru kau nak buka cerita?" rungut Angela.

"Dua tahun lepas rasa-rasanya. Semenjak tu, sepupu aku, Josephine dah serik tak mahu naik kapal terbang. Trauma! Aku bukan saja-saja nak takutkan kau. Aku cuma nak ingatkan kau supaya tak berkelakuan mencurigakan."

"Eh, kejap! Setahu aku, penumpang lelaki yang sering jadi sasaran petugas sekuriti. Suspek pengganas dan seumpamanya."

"Woi! Jaga sikit mulut kau. Jangan sebut perkataan tu di sini. Sensitif. Sia-sia nanti kita ditarik ke tepi," bisik Christine keras.

"Maaflah, aku tak sengaja," bisik Angela pula sambil memandang ke sekeliling.

Berharap agar perbualan sensitif mereka tidak sampai ke telinga mana-mana petugas sekuriti.

"Bab pengganas tu betullah kata kau. Lazimnya lelaki. Cuma pada zaman sekarang, banyak kes gadis muda jadi keldai dadah. Terutamanya dari rantau kita."

"Oh, macam tu. Sekarang kau dah sah-sah buat aku gelabah, bongok!"

"Hisy, kau jangan buat gila! Nampak macam menyorok sesuatu nanti. Giliran kita dah dekat."

Pinat yang sedang resah berdiri di belakang pasangan gadis itu hanya mampu menelan liur. Mendengar aliran dialog Inggeris berloghat Filipina. Dia bukan sengaja mahu memasang telinga, tetapi suara Angela dan Christine yang terlalu kuat. Seolah-olah pernah tertelan mikrofon sewaktu bayi. Pinat dan dua orang gadis itu baru sahaja turun dari pesawat yang sama. Mereka bertiga duduk sebaris di dalam kabin tadi. Hanya mula berkenalan di udara.

Angela dan Christine memasuki UK sebagai pelancong. Kembara jelajah Eropah mereka berdua selama seminggu akan bermula dari sini. Berbeza sekali dengan misi Pinat yang jauh daripada bersifat santai. Bersama-sama segerombolan penumpang sekabin yang baru turun, masing-masing terpaksa beratur menanti giliran melepasi kastam di London Heathrow.

Bahagian imigresen tiada isu buat Pinat, meskipun staf lelaki di sebalik kaunter Border Control langsung tidak peramah. Setakat yang Pinat biasa dengar, konon-kononnya lelaki British adalah tanda aras ukuran lagak budiman. Gentlemen. Indah khabar daripada rupa.

Ini julung kali Pinat menaiki kapal terbang. Apatah lagi meninggalkan tanah air. Tanpa sebarang teman, kelana ditempuhi secara solo. Sudahlah tiket pun diterima pada saat akhir. Tidak sempat dia membuat persiapan mental. Malam sebelum bertolak, Pinat gagal melelapkan mata walaupun sepicing. Begitu juga sepanjang dia berada di atas pesawat. Payah benar hendak tidur tatkala pelbagai anggapan negatif datang bertamu.

Adakah pesawat yang sedang dinaikinya betul? Hala tuju sepatutnya ke UK, tetapi majoriti penumpang pula berwajah Asia Selatan. Aneh.

Apa akan terjadi andai butiran visa pada pasportnya ada kesilapan cetak yang Pinat terlepas pandang? Bolehkah dia melepasi sempadan UK nanti?

Bagaimana pula nasib Pinat sekiranya tiada sesiapa datang menjemputnya dari lapangan terbang? Siapa yang harus dia hubungi kelak?

Lebih seriau lagi, mengapa pesawatnya sering bergegar? Mungkinkah mereka akan terhempas? Andai terjatuh di laut, Pinat tidak reti berenang!

Jauh di sudut hati, Pinat kerap berfantasi sepanjang perjalanan agar pesawatnya berpatah balik. Atas apa jua alasan, dia tidak peduli. Yang penting sampai semula di KLIA. Namun, angan-angannya tidak kesampaian. Pesawat Malaysia Airlines telah selamat mendarat di London.

Pinatjelas tidak tahu membawa diri langsung. Dia hanya mengikut arus deras penumpang-penumpang lain. Selepas ini, Pinat perlu menaiki pesawat domestik pula. Penerbangan sambungan tiada maknanya jika dia tersangkut di kastam. Walaupun yakin dia tiada menyeludup apa jua bahan terlarang, mengapa tubuhnyasecara aktif cuba mensabotaj?

Urgh! Perbualan dua gadis Filipina di hadapannya sangatlah tidak membantu!

Bintik-bintik air sudah terbentuk pada dahi Pinat. Ketiak mula berlecak membilas saki-baki deodoran kelmarin. Nafasnya kencang. Dan makin kencang seiring gilirannya yang terus berganjak secara berdikit.

Seorang lelaki berkulit putih baru sahaja dilepaskan tanpa bagasinya diperiksa. Tinggal lagi tiga orang sebelum giliran Pinat. Semakin ke hadapan, dia mula perasan dengan kehadiran anjing-anjing penghidu.

Pinat tiba-tiba terasa seperti mahu terkucil. Air kencing spontan beralih ke hujung pundi, meronta-ronta minta dilepaskan. Sempatkah jika Pinat berlari ke tandas sekarang? Tetapi jika dia tinggalkan barisan sekarang kala gilirannya hampir tiba, bukankah tindakan itu lebih mencurigakan?

Hajat dibatalkan.

Tapak sepatunya mula menggendang lantai. Usaha Pinat menahan kencing. Aksi ini juga mencurigakan. Dia berhenti setelah tersedar. Payah, tetapi dia tetap cuba. Dia kembali meneliti situasi barisannya.

Seorang wanita tua berkulit putih telah dilepaskan. Begitu juga dengan Christine. Tiba sahaja giliran Angela, gadis Filipina gelabah itu ditarik ke tepi. Lantas bagasinya digeledah. Tidak semena-mena, Pinat terjangkit gelabah.

"Next!" laung petugas gerbang kastam dengan suara lantang.

Mata petugas itu bertemu mata Pinat. Perlukah Pinat berpura-pura pengsan?

Tidak perlu berpura-pura pun. Dia memang sudah terasa bagai hendak pitam. Andai malaikat maut mahu mencabut nyawanya, ini detik paling afdal.

Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.