Home Novel Seram/Misteri Kifayah (Sudah Terbit)
Kifayah (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 17:55:59
245
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

ENTAH berapa ramai penyerang hendapnya tadi. Suara langsung tidak kedengaran. Tiba-tiba sahaja kepalanya diserkup dengan fabrik kasar seakan-akan guni kecil. Kedua-dua tangannya turut diikat di belakang badan dengan zip tie sebelum dia dihumban masuk ke dalam sebuah kenderaan. Van mungkin. Sewaktu cubaan meloloskan diri, dia dapat merasakan ruang gerak terlalu luas untuk disifatkan sebagai kereta.

Dia terus meronta-ronta. Segala lontaran soalan dari mulutnya tidak diendahkan sama sekali. Hanya satu respons yang diterima. Ia berupa hentakan kuat di belikat. Dia memahami maksud di sebalik respons itu. Mulutnya segera dikunci. Sungguhpun resah mahu tahu ke mana dia sedang dibawa, hatinya memilih untuk mengalah buat masa sekarang.

Setiapkali kenderaan yang dipandu deras membelok tajam, dia terpelanting menghentam dinding. Dari satu sisi ke satu sisi lain dia terbang. Gagal menstabilkan diri. Galau emosi dan sakit yang perit nyaris membuatkan dia menangis. Namun, diatetap bertahan. Dia anak jantan. Kepalanya yang botak ligat memproses angkara siapa kemelut ini. Motif dan pelaku sukar diteka memandangkan dia memang banyak onar dengan pelbagai pihak.

Lama-kelamaan, dia dapat merasakan perubahan mendadak pada tekstur jalan. Lonjakan kadar gegaran menandakan jalan bertar sudah lama mereka tinggalkan. Pacuan kenderaan juga beransur perlahan. Bunyi unggas hutan dari luar mula jelas kedengaran seiring surutnya deraman enjin. Kesudahan cerita jarang berakhir bahagia di lokasi terpencil sebegini. Paniknya jadi berganda.

Akhirnya, enjin kenderaan mati. Dia dipapah keluar dengan lembut. Layanan kali ini lebih bertamadun berbanding awal tadi. Bahagian ini membuatkan dia sedikit terganggu. Tiba-tiba, kedengaran bunyi pagar besi diseret menggelongsor pada landasan. Ngilu yang amat disebabkan rintangan roda-roda karat. Sekali gus memberikan pembayang baharu terhadap maklumat lokasi.

'Gudang? Bengkel? Rumah penyembelihan?' teka suara hatinya.

Cahaya terang-benderang dari sebalik pagar mula menerobos masuk serkup kepalanya. Bunyi keriut gelongsor terhenti. Terasa tolakan lembut yang memaksanya kembali berjalan. Setelah beberapa langkah merentas lantai simen, betisnya ditendang dari arah belakang. Lantas memaksanya melutut. Serentak itu juga, serkup di kepala dicabut.

Ambilmasa untuk dia memfokuskan retina semula. Suasana terlalu cerah dek penangan lampu sorot. Refleks silau memacu dirinya untuk menunduk. Peluh pada dahi yang meleleh masuk ke mata gagal ditepis ekoran tangannya yang kekal terikat. Pedih sekali.

Sebaik sahaja fokus matanya menjadi jelas, benda pertama yang dilihat ialah sepasang sepatu kulit hitam berkilat. Perlahan-lahan dia memberanikan diri untuk menengadah. Dia menelan liur. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang bukan wajah asing.

Rambut merah lebat dengan potongan rapi disisir ke tepi. Kaca mata yang berbingkai tebal. Biseps dan dada luas yang lebih lemak berbanding otot itu meregang seksa kemeja putih sendat yang sedang dipakai. Di bawah pusat, sepucuk revolver terselit di pinggang seluar slek.

Inilah Guv'nor. Ketua geng Oakwood Chiefs. Serta-merta dia faham akan tujuan dia diseret ke mari.

Matanya kembali dipejam selepas Guv'nor menekan hujung revolver ke tempurung kepalanya. Nafasnya melonjak kencang menanti detik ajal. Wajah insan-insan tersayang mula terbayang.

BAM! 

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.