Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 16 : Semangat Jhaznarul semakin pulih

Selepas berubat dengan Ustaz Shafiee, Jhaznarul kelihatan lebih bersemangat dan lebih bertenaga dari sebelumnya. Syukur Alhamdulillah. Begitulah doa yang mereka panjatkan kepada yang Maha Pencipta. Jhaznarul juga telah diberi cuti beberapa hari dari menghadiri kelas dek kerana kesakitannya yang luar biasa.

Pada malam itu, mereka buat potluck di taman yang berhadapan dengan rumah sewa masing-masing. Sudah lama tidak bersama dengan buah hati masing-masing sejak Jhaznarul ditimpa sakit dan sering meracau melihat roh nenek tua mahupun Mamu Arries.

Ketika sedang berhadapan dengan hidangan yang tidak seberapa tetapi telah dimasak sendiri oleh kaum Hawa, Era Kasmiran melorongkan pandangannya ke arah Jhaznarul yang kelihatan bersemangat menghabiskan nasi tomato yang berada di dalam pinggannya.

“Kau apa khabar Jhaz?” Era Kasmiran sesudah memulakan pertanyaannya pada Jhaznarul yang kadang-kadang muncul di kelas dan kadang-kadang hilang begitu sahaja. Hilangnya bukan suka-suka tahu, hilangnya apabila diri seakan-akan dirasuki melihat roh nenek tua yang berada di mana-mana sahaja. Akibat dari itu, teman-teman serumahnya yang lain turut tidak menghadirkan diri demi menjaga Jhaznarul. Perkara ini sudah pun dimaklumkan pada pensyarah mereka dan mereka bernasib baik sekali pensyarah-pensyarah di Kolej Imansyah cukup memamahi. Syukur.

“Alhamdulillah. Aku dah okey. Sejak mengamalkan benteng diri yang diajar oleh Ustaz Shafiee, aku dah boleh tidur dengan aman. Tak ada lagi gangguan di dalam rumah. Aku harap ia akan berkekalan sehingga ke luar rumah pun. Aku dah tak tahan berhadapan dengan semuanya tu.” Jhaznarul kelihatan jujur dalam melafazkan kata.

“Syukur, alhamdulillah. Sejak kau sakit, Risyam pun turut sakit tau. Kau tengoklah keadaan dirinya yang semakin cengkung. Makan pun tak berselera sebab asyik teringatkan kau aje, Jhaz. Kasihan betul aku tengok Risyam. Kau orang ni memang ada hubungan kasih yang kuat. Sorang cengkung, dua-dua cengkung.” Nisrinah memberikan laporan pada Jhaznarul mengenai diri Husnarisyam sejak jejaka itu ditimpa sakit. Cara Nisrinah melaporkan cukup tegas sehingga tidak nampak perisa sindiran yang diselitkan.

Jhaznarul hanya tersengih mendengar omelan Nisrinah. “Kasihan habibi habib, kan? Maaf habibi sebab semua yang terjadi bukan kehendak habib.” Jhaznarul melayangkan senyuman kasih buat Husnarisyam sebelum gadis itu kelihatan mencebik.

Husnarisyam cukup tidak suka mereka menaruh simpati terhadap dirinya jika rasa simpati itu tidaklah seikhlas mana dan lebih kepada persendaan sahaja. Muncung saja bibir Husnarisyam mendengar suara-suara keji mereka. Huh!

“Kalau benda yang serupa jadi pada buah hati kau orang pun, pasti keadaan diri kau orang macam aku juga. Pasti kau orang akan risau tak bertempat. Jadi, janganlah sindir-sindir aku pula,” lantunan suara Husnarisyam berbaur amaran yang cukup keras sekali. Mendengar lantunan suara itu, terus teman-teman yang lain menetaskan ketawa dari rongga tekak masing-masing.

“Iyalah ...iyalah ... janganlah ambik hati, kami gurau ajelah.” Zunika tidak mahu rajuk Husnarisyam berpanjangan lagi.

“Tapi betul apa yang dia orang cakap tu. Kau dah semakin cengkunglah Risyam. Bertuah Jhaz dapat makwe macam kau yang sentiasakan risaukan dirinya.” Syed Dahuri mengenyitkan matanya.

“Aku risau sebab aku ambik berat dan aku ambik berat sebab aku sayangkan Jhaz. Siapa yang tak sayang buah hati sendiri, kan habib?” sengaja Husnarisyam meleretkan bicaranya untuk melontarkan keromantisan yang tersimpan di dalam dirinya selama ini. Jhaznarul masih lagi menayangkan gusi dan gigi. Bahagia agaknya dengan pengakuan Husnarisyam yang jarang-jarang hendak mengaku akan perasaan hatinya sendiri.

“Tapikan aku macam musyikil sesuatulah. Dah lama aku fikirkan hal ini. Makin lama aku fikir, makin pelik,” tiba-tiba Zunika menetaskan satu persoalan pada malam itu.

“Apa yang kau musyikilkan?” rasa ingin tahu Syed Dahuri menetas juga akhirnya.

“Haah, cuba ney ceritakan pada kami semua,” pinta Khirulnizan pula.

“Cuba kau orang bayangkan, kenapa roh nenek tua itu hanya mengganggu diri Jhaz saja, sedangkan yang menyeru dirinya adalah Firdee? Tak ke pelik namanya tu. Jhaz yang mendapat semua bahana, bukan Firdee,” sesuatu yang tidak diduga oleh mereka semua telah dibukakan oleh Zunika sehingga membuka minda mereka semua.

“Haah kan? Aku sokong sangat pendapat tu. Sepatutnya dia mengganggu Firdee, bukannya aku. Ini, aku pula yang melihatnya di merata-rata tempat, sedangkan Firdee bebas dari segala-galanya. Ini sungguh tidak adil.” Jhaznarul mula meletakkan kesalahan itu di atas bahu Firdee Aqasha semula.

“Amboi, sopannya bahasa. Kau jangan lupa Jhaz, siapa yang menimbulkan kubur tu dulu kalau tak kau. Kita sama-sama salah dalam hal ni, okey. Ternyata dia pilih kau untuk didampingi, bukannya aku. Jadi, apa kata kalau kau terima dengan hati yang ikhlas dan reda?” Firdee Aqasha membangkang kenyataan yang dilakukan oleh Jhaznarul demi menyelamatkan dirinya sendiri. Kemudian, dia membuka pula tawaran yang baru buat sahabatnya itu.

“Amboi, bahasa kau lagi sopan, kan? Boleh pula pas-pas kat aku macam tu? Senangnya kau suruh aku terima dengan reda. Banyak tampan kau. Yang tanggung bebannya aku, bukannya kau. Bolehlah kau cakap macam tu. Kalau kau yang dapat, aku nak tengok bagaimana pula reaksi kau.” Jhaznarul pula memulangkan kata yang agak berbisa buat Firdee Aqasha sehingga menetas sengihan di pinggir bibir jejaka itu.

“Haa .... satu lagi yang aku pelik.” Zularman tiba-tiba bersuara untuk menamatkan segala sengketa yang bakal meletus dengan hebat jika dibiarkan Jhaznarul dan Firdee Aqasha berbalah kata.

“Apa dia?” tanya Husnarisyam dan Era Kasmiran serentak.

“Kenapa Jhaz juga yang sering melihat Mamu Arries? Apa kaitannya Mamu Arries dengan kita dan kenapa pula Mamu Arries hanya berdiri di bawah pokok sana dan hanya melihat pada Jhaz tanpa berbuat apa-apa?” satu kenyataan yang cukup mengejutkan serta mengelirukan terutama sekali pada kaum Hawa kerana mereka tidak pernah tahu-menahu akan kemunculan Mamu Arries di tempat kediaman mereka.

“Apa kau kata Zular? Mamu Arries ada di sini? Tahu di mana kita tinggal?” tanya Era Kasmiran sekali lagi untuk mendapatkan kepastian yang nyata.

Zularman mengangguk mengiakannya. “Kami tak bagi tahu kau orang ya? Mamu Arries selalu saja berdiri di bawah pokok sana dan hanya merenung pada Jhaz. Kami pun tak tahu apa motifnya?” Zularman menunjukkan di bawah pokok mana yang selalu Jhaznarul dakwa melihat Mamu Arries.

“Eh, kejap-kejap. Bagaimana Mamu Arries tahu di mana kita tinggal sedangkan Mamu Arries tak pernah tanya pun tempat tinggal kita. Apatah lagi nama kita. Aku pelik dalam hal ni?” Nisrinah mengutarakan rasa keraguannya.

“Kalau kau orang pelik, aku lagi pelik. Aku sendiri tak faham. Mamu Arries hanya merenung ke arah aku setiap malam. Manakala nenek tua tu pula selalu munculkan dirinya di hadapan aku. Persoalannya sekarang kenapa aku?” Jhaznarul sendiri keliru dengan apa yang sedang berlaku pada dirinya. Semuanya terjadi sebaik sahaja mereka pulang dari perkhemahan itu.

“Mustahil Mamu Arries sanggup datang jauh-jauh semata-mata untuk tengok Jhaz. Kalau Jhaz ni perempuan lainlah, tapi Jhazkan lelaki. Macam pelik aje lelaki tenung lelaki. Takkanlah Mamu Arries ni gay pula ya?” Aziham tergelak kecil dengan andaiannya sendiri.

“Huish, nauzubillah Mamu Arries pandang aku dengan niat yang serong. Aku yakin, bukan itu niatnya sebab bila aku pandang mata dia, tak ada sebarang nafsu pun terhadap aku. Dia cuma tersengih, kemudian menghilang. Pelik tau.” Terang Jhaznarul pada apa yang dia rasa.

“Tapi kenapa Mamu Arries nak buat begitu ya? Aku tak nampak motif Mamu Arries untuk menakut-nakutkan Jhaz atas alasan apa?” Husnarisyam juga semakin pelik dengan kejadian demi kejadian yang mereka alami. Sungguh di luar pemikiran yang biasa.

“Ada sesiapa lagi yang nampak Mamu Arries selain Jhaz?” tanya Aziham sekadar ingin tahu.

“Sebenarnya aku pernah nampak bayang Mamu Arries sekali di bawah pokok sana dan dia tak tengok ke arah lain selain bilik Jhaz saja. Bila aku jerit nama dia, dia terus menghilangkan diri. “ Khirulnizan membuka cerita yang disimpannya selama ini.

“Jadi, aku bukan berhalusinasikan tentang Mamu Arries? Memang dia sering ke sini. Atas alasan apa aku memang tak tahu.” Jhaznarul berasa gembira kerana apa yang dilihatnya kini mendapat sokongan.

“Bila kau nampak Mamu Arries tu?” tanya Firdee Aqasha.

“Beberapa minggu yang lalu. Aku takut kau orang tak percaya, jadi aku diamkan saja.” Khirulnizan menjawab dalam nada yang agak seriau.

“Perkara penting macam ni, kau tak patut sembunyi Nizan. Kalau kau beritahu kami, mungkin kita boleh kejar Mamu Arries dan tanya dia sendiri kenapa dia buat begitu pada Jhaz. Apalah,” bengang sungguh Syed Dahuri dengan Khirulnizan yang telah melepaskan suspek penting sahaja lagaknya.

“Maaf.” Khirulnizan tidak menyangka bahawa ia akan menjadi satu isu.

“Aku masih berfikir, apakah motif Mamu Arries ke sini semata-mata untuk tengok Jhaz.” Aziham masih berfikir. Teman-teman yang lain juga agak buntu. Mereka sendiri tidak dapat mencari jawapannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.