Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
66,767
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 20

DI DALAM klinik itu, hanya ada beberapa orang saja yang menunggu giliran untuk bertemu dengan doktor. Irwan pula menunggu di situ kerana menemani Nizam. Nizam sudah masuk di dalam bilik dan sedang diperiksa doktor bertugas.

Dia melihat jam tangan. Sudah pukul 2.00 petang. Hampir setengah jam Nizam berada di dalam bilik itu. Dia sedikit gelisah.

Tidak lama kemudian pintu bilik itu terbuka. Nizam keluar sambil dipapah Fauziah. Bersegera Irwan berdiri membantu Fauziah memapah Nizam keluar dari bilik itu. Mereka duduk di kerusi yang disediakan di situ.

Nizam kelihatan sangat tak bermaya. Wajahnya benar-benar pucat dan bibirnya kering. Sebaik saja duduk, Nizam memejamkan mata. Tak berdaya lagi bertahan. Dia ikutkan saja perintah Irwan dan emaknya yang mahu dia ke klinik dalam keterpaksaan.

Empat lapis baju yang dipakai kerana terlalu sejuk. Irwan turut memberinya pinjam baju panas yang dipakai di bahagian luar. Dia sudah berpeluh-peluh tetapi masih berasa sejuk. Stoking yang dipakai tak mampu memanaskan badannya.

Irwan dan Fauziah masing-masing mengunci mulut. Keadaan Nizam ketika ini sangat kasihan. Kalau tak dipapah semasa berjalan, pasti Nizam akan rebah menyembam ke bumi.

Riak wajah Fauziah nampak penat. Dari Muar dia bergegas menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan dan kemudian dengan teksi datang ke sini. Dan sekarang menemani Nizam ke klinik pula. Tak berehat sejak tadi.

Kerusuhan hatinya sedikit lega apabila melihat Nizam di hadapan mata. Sedangkan sepanjang perjalanan di dalam bas, air matanya asyik gugur sahaja. Betapa susah hatinya mengenangkan keadaan Nizam.

“Nizam Tarmizi.”

Kedengaran suara staf klinik itu memanggil di kaunter mengambil ubat.

Fauziah mahu bangun, tapi dihalang Irwan. Irwan berdiri.

“Biar Wan yang ambil, mak uda.”

“Nah, duitnya...” Fauziah mengeluarkan dompet dari beg tangannya.

“Tak payah, mak uda. Syarikat yang tanggung bayaran. Tak perlu bayar.”

Lega Fauziah mendengar penjelasan Irwan. Disimpan semula dompetnya. Dia memandang anak saudaranya itu berurusan di kaunter sebelum menoleh ke arah Nizam di sebelahnya. Nizam masih memejamkan mata dan kelesuan. Sayu hatinya.

**********

NIZAM makan sedikit sangat tadi. Itu pun puas dipaksa Fauziah. Tapi sejurus makan beberapa suap, dia muntah. Lagi pula, tekaknya terasa begitu pahit.

Selepas diberi makan ubat, Nizam dibaringkan ke atas katil. Dahinya Fauziah tampal dengan Cool Fever. Nizam memejamkan mata yang sejak tadi tak tertahan lagi mahu lelap.

Fauziah merenung wajah anaknya itu. Dia jadi hiba. Wajah Nizam sudah cukup untuk menyatakan betapa sengsara keadaan yang harus dilalui ketika ini.

Tak mahu larut dalam perasaan pilu begini, dia menarik selimut menyelubungkan tubuh Nizam sehingga paras bahu. Perlahan-lahan dia keluar dan menutup pintu bilik. Dihempas nafas berat.

Melihat Irwan duduk di sofa ruang tamu, dia menghampiri anak saudaranya itu dan duduk di situ juga.

“Nizam dah tidur ke, mak uda?”

Fauziah mengangguk.

Irwan berasa lega sedikit. Tapi fikirannya sekarang terlalu banyak tanda tanya.

“Semalam dia elok saja, mak uda. Tak sangka pulak hari ni dia boleh demam. Tiba-tiba saja,” keluh Irwan.

Fauziah diam. Tapi akalnya ligat berfikir.

“Apa yang doktor kata?”

Soalan Irwan itu membuatkan Fauziah mengeluh.

“Susah nak cakap, Wan. Mak uda pun tak habis fikir lagi apa yang doktor cakap.”

Nizam menunggu. Dipandang wajah emak saudaranya itu penuh minat.

“Tekanan darah dia rendah. Nadi dia pulak sangat laju. Masa selak dada dia, ada bekas-bekas luka hitam. Lengan dia dua-dua ada kesan lebam. Tapi Nizam tak berdaya nak bercakap apa-apa bila doktor tanya. Dia cuma angguk dengan geleng kepala aje,” cerita Fauziah sambil berkerut dahi.

“Bekas luka hitam? Lengan dia lebam?” Irwan turut berkerut dahi berfikir. Sesuatu yang janggal pada pendengarannya.

“Macam mana boleh ada luka-luka hitam? Sebab apa lengan Nizam boleh lebam?”

Fauziah menjongketkan bahu isyarat tidak tahu. Itulah persoalan yang menghentak akalnya meminta jawapan.

“Entahlah, Wan. Mak uda rasa pelik sangat bila tengok luka-luka tu. Luka-luka kat dada Nizam tu sebaris dengan lebam kat lengan dia.”

Irwan mengeluh.

“Kena tunggu Nizam baik baru kita boleh tanya dia sendiri nampaknya. Kalau kena pukul, saya akan buat laporan polis. Saya takkan biar orang menganiaya Nizam, mak uda.”

“Tapi mak uda tak rasa luka dengan lebam tu sebab dipukul. Lebam tu bukan macam lebam biasa. Dia macam kesan-kesan hitam.”

“Kalau bukan kena pukul, sebab apa?”

Fauziah menggeleng perlahan tanda tiada jawapan untuk soalan itu.

“Apa-apa pun, kita kena tanya dengan Nizam sendiri bila dia baik nanti. Doktor suruh habiskan ubat dulu. Kalau masih tak baik-baik, datang klinik lagi sebab nak ambil darah pulak.”

Irwan mengangguk.

Fauziah menyandarkan belakang tubuh ke sofa dan kemudian memicit-micit dahinya.

“Maknanya, mak uda... sekarang ni Nizam sakit bukan sebab penyakit dia?”

“Bukan.” Fauziah menggeleng yakin.

“Macam mana nak tahu kalau penyakit Nizam datang, mak uda?” Irwan nak sangat tahu sebagai langkah berjaga-jaga.

Fauziah mendongak ke siling sambil berpeluk tubuh. Dia takkan lupa apa yang terjadi sepanjang sembilan tahun sebelum ini. Dia takkan lupa.


Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.