Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
66,766
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 3

Sembilan tahun berlalu...

PERJALANAN hidup ini terlalu singkat untuk diratapi. Namun, ia akan berasa panjang andai segalanya disyukuri. Setiap detik amat berharga dan jangan pernah ada penyesalan. Adakala terasa terlalu keras dugaan yang datang menerpa. Tetapi kerana kasih dan sayang, jiwa yang kesakitan tak merasa sengsara.

Itulah yang Fauziah alami selama ini. Walau bersendirian, dia tetap mencurah segala-galanya untuk Nizam. Keringat dan air mata sudah banyak tumpah untuk anaknya itu demi melihat Nizam sihat semula.

Bergenangan air matanya tatkala bergema takbir raya dari televisyen yang dipasang. Hening pagi yang menyentuh hati. Tapi merekah senyuman di bibir melihat anak bujangnya keluar dari bilik. Nizam lengkap berbaju Melayu warna biru muda dan samping warna emas serta siap bersongkok.

"Kacaknya anak emak ni," puji Fauziah setelah menghampiri Nizam. Disentuh wajah Nizam dengan kedua-dua tangannya.

"Anak mak mestilah kacak." Nizam tersengih-sengih.

Ada genangan di mata Fauziah. Bibirnya meleretkan senyuman bahagia. Selepas peristiwa sembilan tahun lalu, inilah kali pertama Nizam tak lagi sakit pada hari raya. Tak lagi terperuk di dalam bilik. Dirasakan seolah-olah Nizam telah dilahirkan semula untuknya.

"Selamat hari raya, anak mak..." ucap Fauziah dengan suara sedikit bergetar menahan sebak.

"Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin," balas Nizam bersahaja.

"Nak duit raya," tambahnya pula sambil menghulurkan kedua-dua tapak tangan.

"Nak duit raya apanya? Ingat budak kecik lagi ke?" Lalu Fauziah menarik telinga kanan Nizam. Menarik manja sebenarnya.

Mengaduh Nizam dengan muka menyeringai dan kemudian dia ketawa. Dia tahu Fauziah bergurau.

"Dah, jom kita makan dulu. Lepas tu kita ke masjid solat raya sama-sama ya?"

Pelawaan Fauziah itu Nizam sambut dengan wajah girang. Berlari-lari dia ke meja makan yang sudah terhidang dengan juadah ketupat, rendang ayam, kuah lodeh dan sambal tumis. Air kopi pun Fauziah sudah sediakan awal-awal lagi.

"Mak masak sedap-sedap ni semua untuk Nizam." Rasa bahagia Fauziah melihat Nizam bersungguh mahu makan.

Nizam tahu apa yang sedang bergelodak dalam jiwa Fauziah. Pasti naluri seorang ibu mengimpikan rasa bahagia yang begini dengan anaknya. Lebih-lebih lagi pada hari yang mulia ini. Dan dia juga tahu emaknya itu selama ini mendoakannya siang dan malam tanpa jemu.

Dinikmati hidangan ketupat bersama rendang ayam masakan Fauziah. Tak pernah tak sedap di tekaknya. Tapi kali ini rasa sedap itu menjulangkan harapannya yang sangat-sangat tinggi.

**********

"JEMPUT makan, Kak Rohana... jangan segan-segan." Fauziah mempelawa tetamu yang datang ke rumah. Hidangan yang ditatang dengan dulang diletakkan di atas meja.

"Makan, Abang Jamil..." Fauziah mempelawa suami Rohana pula. Jamil itu abang kepada arwah suaminya.

"Jomlah, tuan rumah dah jemput tu." Rohana mencedokkan lauk ke dalam pinggan untuk suaminya.

"Irwan, makanlah ketupat dengan rendang mak uda buat ni. Kuah lodeh yang Irwan suka pun ada. Setiap kali beraya rumah mak uda mesti tanya kuah lodeh."

Irwan ketawa. Fauziah sudah hafal makanan kegemarannya.

"Saya kalau boleh setiap kali raya mesti nak balik Muar datang rumah mak uda. Mujur raya kali ni saya dapat cuti. Tu yang bawa mak dengan abah ke mari. Dapat saya merasa masakan mak uda ni."

Meleret senyuman Fauziah dipuji anak saudaranya itu.

"Tambah lagi nanti, Wan. Makan kenyang-kenyang. Banyak lagi ketupat rendang semua tu kat dapur."

"Yalah... nak malu apa, Fauziah. Walaupun jarang jumpa, kita bukan orang lain. Biras." Rohana ketawa lalu menyuap ketupat yang dicecah dengan rendang ayam. Berselera dia makan.

"Sedap, mak uda," puji Irwan. Ditambah seketul ketupat lagi.

Lebar senyuman Fauziah.

"Alhamdulillah... nanti mak uda bungkuskan bekal bawa balik ke Keratong."

"Hisyhh... tak payahlah susah-susah, mak uda. Tapi kalau tak susahkan mak uda, apa salahnya."

Berderai ketawa mereka dengan jenaka Irwan itu.

Ketika ini muncul Nizam dari dapur membawa satu jag besar berisi air. Diletakkan di atas meja kecil di tepi sudut ruang makan itu.

"Nampak sedap air yang kau buat tu, Zam." Irwan menegur.

"Rasalah air yang saya buat ni, Abang Irwan." Terus Nizam menuangkan segelas air untuk sepupunya itu.

Irwan yang memang dah rasa haus meneguk sehingga separuh gelas.

"Memang powerlah air limau ais yang anak teruna mak uda ni."

Nizam tersenyum dipuji Irwan begitu. Dituangkan air untuk Jamil dan Rohana pula.

"Pak long dengan mak long pun kena rasa air saya ni. Mesti teringat-ingat selalu." Disua gelas minuman itu di hadapan Jamil dan Rohana.

Fauziah hanya memerhati dengan rasa bersyukur. Senyuman Nizam lebih berharga daripada segala-galanya.

"Kau kerja kat mana sekarang, Zam?" Jamil bertanya setelah Nizam duduk di sebelah Fauziah, di hadapan Irwan.

"Kerja kat kedai runcit depan tu aje, pak long."

"Kira kamu dah okeylah ni, Nizam?" Rohana pula yang menyoal.

Hanya senyuman yang menyambut soalan itu. Sukar untuk Nizam nak menjawabnya.

"Tambah lagi, Kak Rohana... Abang Jamil." Fauziah tak mahu topik itu berlanjutan, dialih perhatian mereka pada hal lain.

"Lepas ni nak beraya ke mana lagi?" soalnya pula.

"Balik Keratong terus, mak uda. Sebab lusa saya dah kena kerja," terang Irwan.

"Abang Irwan kerja kat KL lagi kan? Kat Sri Petaling? Dengar cerita Abang Irwan dah jadi bos sekarang." Nizam tumpang seronok.

"Bos jaga security guard aje, Zam." Irwan merendah diri sambil tergelak-gelak. Tapi dia tetap bangga dengan pencapaian yang dia raih sekarang ni. Berkat kesabaran bekerja lama di situ.

Tiba-tiba Nizam terfikirkan sesuatu.

"Kalau saya nak kerja kat tempat abang boleh kan, Abang Irwan?"

Pertanyaan Nizam itu membuatkan semua terdiam. Irwan tak mampu nak berkata apa-apa. Dipandang Fauziah yang kelihatan keresahan.

Fauziah tak sangka soalan itu yang keluar dari mulut Nizam. Bukan soalan sebenarnya, tapi lebih pada permintaan. Malah, dia nampak reaksi Nizam yang bersungguh-sungguh.

"Boleh kan, mak?"

Tertelan liur Fauziah. Dipandang Nizam sambil memikirkan jawapan yang sesuai. Namun, tak terluah apa yang sepatutnya dikatakan.

"Bagus jugak kalau Nizam ni ikut bekerja kat sana. Biar dia nampak dunia ni luas sikit." Jamil bersuara tiba-tiba.

Semua mata tertumpu ke arah Jamil. Terbit senyuman di bibir Nizam. Sedangkan Fauziah, Rohana dan Irwan saling berpandangan sesama mereka. Bagaikan mengerti apa yang bersulit di hati masing-masing.

"Okey... saya nak kerja kat tempat Abang Irwan, mak." Nizam sudah tekadkan hasrat.

Fauziah terkedu nak bersuara. Terlalu sukar baginya untuk menyatakan bantahan.

"Tapi... tapi..." Dia kembali diam. Tak jadi nak meneruskan kata-kata.

Apa yang patut dia buat? Dipandang Nizam, Irwan, Rohana dan kemudian Jamil. Makin tak mampu dia nak menyambung kata.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.