Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
115,507
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 21

Imbas kembali...

BERBULAN-BULAN keadaan berlarutan begini. Lepas satu demi satu terapi yang dihadiri, belum lagi mengubah apa-apa. Nizam bukan lagi Nizam yang dulu. Nizam yang dulu sudah pergi tanpa pesan.

Pulang dari kerja petang itu, Fauziah pasti akan terus ke bilik Nizam. Pintu bilik itu ditutup rapat seperti hari-hari biasa. Beginilah rutin harian anaknya itu. Memerap di dalam bilik.

“Zam...”

Fauziah mengetuk pintu bilik Nizam perlahan. Tapi tiada sahutan. Lalu dia menguak pintu itu. Nizam dilihat sedang berbaring di atas katil dalam keadaan gelap. Daun tingkap tak dibuka langsung.

“Kenapa tak buka tingkap? Terperuk udara tak keluar. Mak bukakan ya?”

Baru sahaja Fauziah nak menghampiri tingkap, Nizam bangun dan menjerit.

“Tak payahlah! Biar aje tingkap tu!”

Tersentak Fauziah. Tak jadi dia nak bukakan tingkap tersebut. Dia kaku berdiri menghadap Nizam.

Nizam baring mengiring semula. Tak dipandang ke arah emaknya. Tubuhnya terhinggut-hinggut.

Fauziah tahu Nizam sedang menangis. Berdasarkan jeritan Nizam tadi pun, ada nada esakan yang kedengaran. Dia duduk di birai katil. Lambat-lambat tangannya mahu menyentuh bahu anaknya itu. Dia teragak-agak dan berhati-hati.

Apabila bahu Nizam disentuh sedikit dan tiada tindak balas daripada anaknya itu, barulah dibelai-belai penuh kasih.

“Nizam belum makan kan? Mak masakkan ya?”

Nizam tidak respons. Hanya air matanya mengalir dan jatuh membasahi bantal.

“Nizam nak makan apa?”

Nizam masih diam.

Fauziah melepaskan nafas lemah. Begitulah keadaan Nizam. Jadi pendiam. Susah nak diajak berbual.

“Mak nak sediakan makan malam untuk kita. Dah siap nanti, mak bawa masuk ke bilik.”

Melihat Nizam tetap tak mahu respons, dia bingkas berdiri dan keluar dari bilik itu. Barulah dia membuka tudung yang dipakai dan menanggalkan baju uniform kilang yang disarung di luar baju kurungnya. Dicampak ke kerusi kusyen di ruang tamu.

Sambil menuju ke dapur, dia menyingsing dan melipat lengan baju kurungnya ke paras atas siku. Tudung saji di atas meja diangkat. Lauk-pauk yang ditinggalkan di situ sudah berluak. Hanya bersisa sedikit sahaja. Maknanya, Nizam sudah makan masakan yang dia sediakan.

Diambil bekas ubat yang dikhaskan untuk Nizam. Segala ubat yang Nizam perlu makan akan diletakkan ke dalam bekas itu supaya Nizam tahu ubat apa yang perlu di makan di siang hari. Dan bekas itu sudah kosong.

Alhamdulillah... Nizam ikut arahannya. Tapi walaupun ubat sudah dimakan, bagai tiada kesan pada diri Nizam. Namun demi melihat anaknya itu baik, diikutkan saja arahan doktor.

Air matanya bergenang. Dugaan hidupnya masih berlarutan. Ditempuhi juga dengan hati yang redha walau adakala dia rasa mahu mengalah. Nizamlah penguat semangatnya. Dia berazam mahu membuatkan anaknya itu sekurang-kurangnya tak lagi terbaring dan menangis setiap hari.

Dikemas meja makan itu dan mula menyiapkan masakan untuk malam nanti. Dia akan masak sedap-sedap untuk Nizam.

**********

LEBAR senyuman Fauziah menyendukkan nasi dan lauk-pauk untuk Nizam. Malam ini dia menyediakan ikan cencaru masak kari bersama bendi dan ikan kering. Itu saja yang dia termampu. Yang penting mesti ada kicap. Itulah kegemaran anaknya.

Semua diletakkan di atas dulang, lalu dibawa ke bilik Nizam. Nizam dlihat sedang baring dan memejamkan mata. Tapi kali ini dilihat Nizam sudah tak menangis lagi. Barangkali sedang tidur. Lega sedikit hati Fauziah.

“Zam... bangun. Tengok ni, mak bawakan nasi dengan lauk untuk Nizam. Nizam makan ya?” pujuknya dengan nada lembut.

Dulang diletakkan di tengah-tengah tikar di sebelah katil. Kemudian dia duduk di birai katil pula.

“Zam... bangunlah. Kata nak makan. Mak dah masak sedap-sedap untuk Nizam ni. Zam...”

Nizam bergerak sedikit, tapi masih tak mahu bangun.

“Nizam nak makan tak?”

Nizam menggelengkan kepala.

“Kenapa pulak tak nak makan? Mak dah masak. Lauk kari ikan. Nizam suka kari kan? Nanti lepas makan, boleh makan ubat.”

“Tak nak,” balas Nizam sepatah.

“Jangan macam tu. Nizam kena makan, kena makan ubat... barulah cepat baik.” Fauziah masih mahu memujuk.

Nizam kembali membatukan diri.

Hilang dah ikhtiar Fauziah nak pujuk anaknya itu. Dia tahu yang dia tak boleh putus asa. Doktor pernah kata padanya, sokongan daripada keluarga kena kuat. Dan dia satu-satunya keluarga yang Nizam ada. Dialah yang perlu memainkan peranan penting dalam hidup Nizam.

Nafas panjang dihela sambil mencari kata-kata yang perlu diperdengarkan kepada Nizam. Dia menyentuh lengan anaknya itu.

“Zam... Zam kena jugak makan ubat. Mak nak anak emak ni sihat. Mak tak nak Nizam baring aje dalam bilik. Nizam tahu kan keputusan SPM Nizam hari tu cemerlang sangat. Mak bangga dengan anak mak ni. Walaupun mak tak mampu hantar Nizam masuk kelas tuisyen, Nizam dapat 7A. Syukur alhamdulillah...” Ada rasa sayu tatkala Fauziah menuturkan kata-kata itu.

Sudah lama dia ingin katakan begini pada Nizam. Tapi keadaan tak mengizinkan. Malah, keputusan SPM Nizam itu dia datang ambil bersendirian tanpa Nizam di sekolah setelah seminggu keputusan diumumkan.

“Bukan mak tak ada duit nak hantar Nizam pergi kelas tuisyen, tapi duit tu mak simpan sebab nak hantar anak emak ni masuk universiti. Mak yakin Nizam akan dapat keputusan yang baik. Mak teringin sangat nak tengok Nizam belajar tinggi-tinggi kat universiti. Kalau boleh sampai ke peringkat PhD. Mak nak Nizam berjaya. Bukan saja di dunia, malah di akhirat jugak.”

Fauziah diam apabila melihat muka Nizam berkerut-kerut. Kemudian apabila muka Nizam tak lagi berkerut, dia menyambung semula.

“Kawan-kawan Nizam yang lain ramai yang dah dapat panggilan masuk universiti. Ada jugak kawan-kawan Nizam datang bertanya khabar. Tapi mak beritahu Nizam tak sihat, tak boleh keluar bilik.”

Matanya mula terasa panas. Pilu hatinya kerana Nizam tak sihat seperti rakan sebayanya yang lain. Jika tidak, pasti Nizam juga sekarang ini sudah melanjutkan pelajaran di universiti.

“Nizam makan ubat ya? Biar cepat sihat. Nanti boleh belajar kat universiti pulak. Nizam pernah cakap kat mak Nizam nak ambil kursus undang-undang. Nanti boleh jadi peguam. Bila dah jadi...”

Belum sempat Fauziah meneruskan kata-kata, mendadak Nizam bangun dan duduk berlunjur. Mukanya menyinga memandang Fauziah.

“Memekak apa ni?”

“Zam...” Tersentak Fauziah ditengking anaknya itu. Dia menelan liur. Cuak dia melihat Nizam yang bengis.

“Keluar!” herdik Nizam dengan mata mencerlang.

“Bawa bertenang, Zam. Mak cuma nak naikkan semangat Nizam aje.”

“Jangan memekaklah!”

“Zam...”

Serentak dengan itu kaki Nizam menendang Fauziah yang duduk di birai katilnya. Fauziah jatuh terduduk di lantai.

“Arghh...” Fauziah menekan pinggangnya sambil menyeringai kesakitan.

“Berambus kau!” Nizam menuding jari telunjuknya ke luar bilik.

“Zam! Ni mak, Zam. Tergamak Nizam buat mak macam ni. Tak takut dosa ke?” Mata Fauziah sudah bergenang.

Nizam turun dari katil dan terus dihenyak Fauziah yang masih duduk di lantai dengan kakinya beberapa kali. Fauziah terjerit-jerit kesakitan.

“Ya ALLAH... tolong aku, ya ALLAH...”

Tapi Nizam tetap juga menendang-nendang emaknya tanpa belas kasihan.

“Zam! Mak sakit, Zam! Zam!” Fauziah mula menangis.

Puas menendang, Nizam menumbuk muka Fauziah pula.

Dengan bersusah payah Fauziah bangun dan terus berlari keluar dari bilik Nizam. Meluru dia masuk ke biliknya. Nizam mengejarnya, tetapi cepat-cepat dia menutup dan mengunci pintu bilik.

Nizam menggendang pintu biliknya dengan kuat beberapa kali. Dibiarkan sahaja anaknya itu. Tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Menggigil dia menangis. Rasa kecewa dan sakit saling bertingkah melukakan hatinya. 


Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.