Home Novel Seram/Misteri PENUNGGU GUA
PENUNGGU GUA
SITI ROZILAH
1/6/2015 01:43:32
17,828
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

Bab 3

Di sebuah apartmen tingkat 10, pinggir metropolitan Kuala Lumpur

DAZRIN terbaring di kusyen panjang. Matanya terkebil-kebil merenung siling bercat putih. Wajahnya jelas kusut. Saluran tv sengaja dibiarkan terpasang walaupun dia tiada nafsu hendak menontonnya.

Entahlah, mungkin salahnya juga kerana terus sahaja menerima pelawaan adik angkatnya, Fazura, yang merengek-rengek hendak menghabiskan petang Ahad itu bersama-samanya di Taman Suria KLCC dengan alasan mereka sudah lama tidak bersua muka. Sewaktu dia menyatakan persetujuannya, dia langsung tidak menaruh sebarang syak wasangka. Lagipun Meilina sudah sedia maklum akan hubungannya dengan Fazura yang telah lama terjalin. Malah dia mengenali Fazura sebelum berkenalan dengan Meilina lagi. Ketika itu keluarganya tinggal berjiran dengan keluarga Fazura di Taman Keramat Permai.

Pada mulanya pertemuan itu biasa-biasa sahaja. Dia belanja Fazura makan di food court.Fazura yang bersifat ceria itu asyik bercerita tentang pejabat barunya sahaja yang terletak di Jalan Raja Chulan.

“Kenapa, Faz? Dah nak balik ke? Ada dating dengan boyfriend, eh?” soalnya ke arah Fazura seusai makan setelah melihat gadis itu keresahan dan asyik menoleh jam yang tersangkut di lengan kanannya.

Fazura menggeleng.

“Tu... mata tu asyik tengok jam aje?” Dia mempersoalkan sikap Fazura.

“Ala... abang ni, Faz mana ada boyfriend!” Sebuah penafian terlontar dari mulut Fazura.

“Eleh jangan nak tipu abanglah. Macam ni punya cantik, dikerat jaripun abang tak percayalah Faz tak ada boyfriend.

Fazura ketawa. Mersik tawanya membuatkan mana-mana lelaki yang mendengar pasti terpesona. Namun tawa Fazura awal petang itu pendek sahaja. Setelah tawanya terhenti, dia renung wajah Dazrin dengan renungan yang dalam dan panjang.

“Cantik pun tak guna sebab orang tu bukannya sukakan kita pun!” Kedengaran Fazura seolah-olah sedang merungut.

“Apa yang Faz cakap tu? Abang tak dengarlah.” Pintas Dazrin.

“Hmm... tak ada apa-apalah. Bang, temankan Faz jalan-jalan kat taman, nak tak?” Fazura bersuara sambil menoleh lagi ke arah jam yang melekat di tangannya yang mengkal.

Dazrin kerut dahi.

“Kan panas kat luar tu, Faz. Kita tengok wayang ajelah,” usulnya yang malas hendak berjalan-jalan di taman dalam suasana panas terik begitu.

Bagi Dazrin, aktiviti berjalan-jalan di taman bunga sudah berzaman ditinggalkan. Tunangnya sendiripun tidak pernah mengajaknya berjalan-jalan di taman bunga. Di awal-awal perkenalannya dengan Meilina dahulu adalah sekali dua mereka dating di taman bunga. Kemudian setelah masing-masing sibuk dengan kerjaya, aktiviti merancang masa depan di taman bunga terus dilupakan. Kalau ada cuti panjang, mereka lebih suka menghabiskan masa dengan kawan-kawan melakukan aktiviti lasak seperti perkhemahan di tepi pantai dan juga di dalam hutan. Tanpa diduga aktiviti lasak begitulah yang mengeratkan lagi hubungan mereka berdua.

“Tengok wayang?” Fazura kelihatan berminat dengan cadangan itu. Tetapi hanya untuk seketika cuma kerana dia kemudiannya menoleh untuk kesekian kalinya ke arah jam di lengannya.

“Faz tak nak tengok wayang. Lemaslah duduk dalam panggung yang gelap gelita tu. Jomlah bang, kita ambil angin segar kat luar tu.”

Akhirnya, Dazrin mengalah juga dengan desakan Fazura itu.

Ala, apa salahnya kalau setakat temankan Fazura berjalan-jalan di taman tu untuk seketika, fikirnya. Langsung tidak terlintas di fikiran waras Dazrin akibat buruk di sebalik perbuatannya itu.

Pada mulanya semua baik-baik sahaja. Fazura masih lagi galak bercerita tentang kawan-kawan dan pekerjaan barunya sehinggalah mereka sampai ke satu tempat teduh dan melabuhkan punggung di atas sebuah bangku batu.

“Abang serius ke nak kahwin dengan Kak Mei?”

Dazrin menoleh ke arah Fazura di sisinya.

“Dah tentulah! Kami dah bertunang pun.”

Fazura mengeluh. Kemudian terdiam agak lama.

“Kenapa ni, Faz? Selama ni Faz okey aje dengan Mei?” soal Dazrin yang tiba-tiba naik pelik melihat telatah Fazura itu.

“Abang tak pernah cuba nak memahami perasaan Faz selama ni!” Suara Fazura tiba-tiba meninggi.

“Apa yang Faz cakapkan ni?” Dazrin kerut dahi. Dia langsung tidak dapat menangkap apakah yang hendak disampaikan oleh Fazura.

“Kenapa abang bertunang senyap-senyap dengan Mei, hah? Kenapa? Kalaulah Faz tahu tentang rancangan abang nak bertunang dengan dia, Faz akan tentang!”

“Apa hak Faz nak tentang hasrat kami?”

Soalan Dazrin itu membuatkan Fazura terkesima. Dia yang kelihatan teragak-agak hendak memberikan jawapannya segera menundukkan wajahnya. Kemudian seolah-olah didorong satu kuasa, Fazura mengangkat kepalanya lalu merenung ke wajah Dazrin semula.

“Bang, Faz... Faz sayangkan abang. Faz tak dapatkan bayangkan hidup Faz tanpa abang!”

“Hah?” Dazrin terkejut mendengar pengakuan yang langsung tak disangkanya itu. Fazura mengangguk.

“Sebagai seorang gadis, Faz malu nak berterus-terang. Faz ingatkan abang ngerti yang Faz memang ada hati terhadap abang.” Fazura mendedahkan isi hatinya walaupun sudah terlambat kerana Dazrin sudah dua minggu bertunang dengan Meilina dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh saudara terdekat.

Dazrin menundukkan wajahnya, merenung rerumput di hujung sepatu. Sebagai seorang lelaki yang matang dia memang dapat membaca perasaan Fazura terhadap dirinya. Dia juga sayangkan Fazura tetapi tiada sekelumit cintapun di hatinya terhadap gadis itu. Dia cuma anggap Fazura sebagai adik sahaja.

“Abang minta maaf,” ucap Dazrin, lemah. Dia memang tidak mahu menyakiti hati sesiapa.

“Kenapa pulak abang nak minta maaf? Semuanya salah Faz sebab selama ni Faz rahsiakan perasaan sebenar Faz terhadap abang.” Fazura mencelah.

“Faz lupakan ajelah abang ni, ya. Lagipun abang bukannya handsomesangat. Abang yakin suatu hari nanti Faz akan dapat seorang lelaki yang lebih baik dan handsomedaripada abang.” Dazrin cuba memujuk.

“Ni bukan soal handsome ke tak, bang. Kalau hati ni dah suka, nak buat macam mana?”

“Habis tu, abang nak cakap apa lagi? Abang dah jadi tunang orang, Faz! Tolonglah faham!” Giliran Dazrin pula menghentakkan suaranya. Dia perlu bertegas kali ini. Dia sudah bosan bertekak.

“Habis tu, perasaan Faz ni, macam mana? Hati Faz hancur bila dengar abang tiba-tiba aje bertunang dengan Mei. Faz sedih bang, sedih!”

Dazrin mula lemas dengan situasi itu. Dia kurang pandai berhadapan dengan perempuan yang beremosi. Dia tidak pernah bertengkar hebat ataupun melihat Meilina menangis sepanjang perhubungan mereka.

“Faz boleh tak bertenang?”

“Bertenang? Faz nak bertenang macam mana kalau lelaki kesayangan Faz dah terlepas ke tangan orang lain?”

Adjustsikit fikiran Faz tu. Selama ni abang anggap Faz macam adik aje, tak lebih daripada tu.”

“Abang kenal ke siapa Mei tu? Dia bukan perempuan baik, bang!”

“Hey, engkau tu siapa, hah? Boleh tak kalau kau jangan buruk-burukkan Mei? Dia tunang aku sekarang ni, ada faham!” Dazrin mula hilang kesabarannya sebaik-baik sahaja Fazura berani mengutuk Meilina gara-gara cintanya tidak berbalas.

Akibat tidak dapat menahan kemarahannya, Dazrin segera bangkit. Waktu itulah Fazura bertindak nekad dengan memeluk pinggangnya sambil merayu-rayu agar Dazrin memaafkan dirinya. Dan mungkin ketika itu jugalah Meilina terlihat drama sebabak tersebut lalu segera disalahanggap.

Sudahlah Dazrin kurang arif berdepan dengan situasi yang beremosi, kini dia terpaksa pula berdepan dengan kerenah dua orang perempuan sekaligus. Sebaik-baik sahaja terlihat susuk tubuh Meilina di depannya, dia segera menepis tangan Fazura yang masih melilit di pinggangnya.

Ah, sudah! Bala apakah ini? Bagaimana Meilina boleh tiba-tiba berada di situ? Setahunya, KLCC bukanlah tempat Meilina selalu melepak. Argh, ini bukanlah masanya hendak berfikir panjang. Dia harus menerangkan situasi yang sebenar kepada Meilina.

“Mei! Tunggu dulu, Mei!” Dia memanggil sambil mengejar Meilina yang sudah mengatur langkah laju.

Meilina berdegil. Walaupun Dazrin terkejar-kejar mengekori langkahnya, dia langsung enggan berhenti sehinggalah tangannya direntap Dazrin. Mata mereka bertentangan. Meilina menghunjam renung ke arahnya; satu renungan yang tidak pernah dilemparkan Meilina selama ini.

“Go ahead... explain!” Meilina menengking Dazrin untuk pertama kalinya.

“Apa yang you lihat tadi semuanya tak benar! Percayalah cakap I, Mei. Percayalah!” jelas Dazrin dengan harapan agar Meilina memberi ruang kepadanya untuk memberikan penjelasan.

Setelah Dazrin melihat mata Meilina tidak lagi terfokus ke arahnya, dia segera berpaling. Fazura berdiri selang beberapa langkah di belakangnya.

“Faz, akak nak tanya ni.” Meilina bersuara.

“Ya, kak?”

“Betul ke Faz sukakan Dazrin?”

“Mei!” Dazrin bersuara, cuba membantah.

“Ya, kak.” Fazura kedengaran menjawab sebelum Dazrin sempat berbuat apa-apa.

“Kalau Faz bagitau awal-awal kan senang cerita.” Tingkah Meilina sambil mengatur langkahnya yang tadi terhenti.

Dazrin tahu dia tidak mampu memujuk Meilina ketika itu. Adalah lebih baik dia membiarkan sahaja tunangnya itu berlalu pergi.

Dazrin menghempas keluh. Dia mengakui kelemahannya dalam bab pujuk-memujuk. Tetapi dia tidak mahu kehilangan Meilina apatah lagi mereka baru sahaja bertunang. Kata orang, pasangan yang sedang bertunang berdarah manis. Banyak dugaan yang bakal bertandang dalam tempoh pertunangan ini. Dugaan yang didatangkan untuk menguji sejauh mana hubungan mereka mampu bertahan.

Mungkinkah ini dugaan hebat pertama yang sedang aku dan Meilina hadapi, soal hati Dazrin.

Dia mencapai telefon pintarnya lalu cuba menghubungi Meilina untuk kesekian kalinya.

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.