Home Novel Komedi/Romantik Komedi Terjatuh Hatiku Padamu
Terjatuh Hatiku Padamu
Zan Zarida
25/11/2019 19:33:11
17,837
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 1

Sejak tadi, Zulaikha memerhati gelagat adiknya yang gembira semacam. Sekejap mengukir senyuman, tidak lama kemudian bagai orang angau pun ada juga. 

“Apasal Mar sengih sorang-sorang?” Akhirnya Zulaikha terpaksa juga membuka mulut.

“Bagilah Mar peluang mengenang dan mengimbas kembali detik-detik indah semasa bercuti. Bukan senang nak dapat pemandangan yang cantik.”

“Hmm… apa yang best sangat tu?” Beria-ia Zulaikha hendak tahu. Melihat wajah adiknya yang ceria, pasti sahaja ada sesuatu yang istimewa.

“Nah, tengok sendiri! Ni photo-photo menarik siap ada videonya sekali.” Kamar menghulurkan telefon pintarnya kepada kakaknya.

“Tak nampak apa-apa keistimewaan atau kelainan pun!” komen Zulaikha pula.

Lokasi gambar dan video pemandangan yang adiknya rakam bukanlah asing baginya. Dia juga pernah melancong ke Eropah Timur.

“Tengoklah betul-betul video tu. Jangan sekerat, sekerat.”

“Okey…” Kali ini Zulaikha memberi sepenuh tumpuan pada video yang adiknya maksudkan.

Pada minit ketiga, Zulaikha sudah nampak apa sebenarnya yang adiknya hendak tunjukkan. Dalam hati dia turut gembira dengan perkembangannya. Sudah mula jatuh hati rupanya. Ingatkan apa yang istimewa sangat.

“Perasan tak?”

“Ooo… inilah orangnya? Not bad…”komen Zulaikha sambil tersenyum-senyum.

No bad aje?”

“Okeylah, sangat padan dengan adik akak yang segak ni. Nampak ayu dan cantik sangat dengan tudung yang dia pakai. Hmm… siapa nama dia?”

“Tak berkesempatan pulak nak tanya. Mar dah nak terbang ke sini, dia pulak mungkin dah nak terbang ke tempat lain...”

“Melepaslah jawabnya! Ingat senang nak jumpa dia balik?” 

“Alah, lain kali boleh cari,” jawab adiknya dengan yakin sekali.

“KL mungkin tak seluas mana, tapi Malaysia tu besar, adik sayang. Itu tak termasuk Sabah dan Sarawak!” ujar Zulaikha mengingatkan.

“Kalau ada jodoh,Insya-ALLAH akan dipertemukan jugak. Kerja kita adalah berikhtiar. Tentang ALLAH mahu pertemukan di mana, itu urusan-NYA.”

“Yakin sungguh adik akak ni!”

“Bila hati sudah berdetak, getarannya akan dapat dikesan walau di mana jua berada,” sambung Kamar lagi.

“Amboi! Sejak bila Mar pandai berfalsafah ni?”

“Ada la…”

Tidak berapa lama kemudian, suami Zulaikha menyertai kedua beradik itu.

“Apa yang diborakkan? Bukan main lagi korang berdua abang tengok!” tegur Izhan.

“Tak ada benda pun, saja tunjuk kat akak gambar masa Mar bercuti dengan kawan-kawan.”

“Oh!” Izhan sekadar mengangguk-angguk.

Zulaikha memulangkan telefon kepada adiknya. Saat ini matanya memberi tumpuan pada suami yang duduk di sebelahnya.

“Abang okey?” tanya Zulaikha sambil pegang lengan suaminya. Kelihatan suaminya itu seakan tidak bermaya pula.

“Entahlah! Tak tahu nak cakap macam mana,” keluh Izhan.

“Abang ni macam tak biasa dengan kita orang pulak. Apa yang memberatkan kepala abang tu?” soal Kamar pula.

“Tadi masa kat bilik, ayah abang telefon suruh balik.” Izhan berterus terang sahaja. Dia perlu berkongsi masalahnya. Jika tidak, ia boleh membebankan fikiran dan menyesakkan dada.

“Baliklah. Abang pun dah lama sangat tak jenguk mereka. Saya ada, jangan risau pasal Kak Ika,” suruh Kamar.

“Balik tu memang boleh, tapi nak balik semula ke sini yang susah.”

“Takkan ayah abang tak kasi anak dia balik sini sambung belajar kemudian kerja setahun dua?”

“Betul tu. Hal kita ni pun masih tak beritahu lagi…” Zulaikha pula bersuara.

Izhan senyap. Wajah isterinya dipandang sekilas. Kemudian beralih pada perutnya yang semakin membesar. Beberapa kali juga dia meraup wajah.Sebenarnya dia serba salah dengan permintaan emak dan ayahnya.

“Abang macam ada masalah besar aje. Ceritalah kat kita orang, bukan tak biasa. Tak ada rahsia antara kita,” tutur Kamar sebaik terlihat kegelisahan abang iparnya.

“Kali ini sangat berat. Ayah abang bukan nak abang balik aje.” Kedengaran lemah sekali nada suara Izhan.

“Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Kita yang kena berani hadapi semuanya,” sambung Kamar.

“Itulah kelemahan abang. Abang tak berani, abang tak sampai hati! Lebih-lebih lagi abang tak sanggup nak lukakan hati Ika,” ujar Izhan kemudian mengenggam erat jari-jemari isterinya.

“Serius bunyinya, bang…” Zulaikha mula berasa tidak sedap hati.

“Memang sangat serius dan berat!” tekan Izhan.

“Kalau abang tak bersedia, take your time. Kita orang tak paksa untuk abang kongsikan.” Kamar cuba memberi sokongan.

“Tulah! Tapi abang kena balik jugak, lagipun mak abang tak berapa sihat.”

Then, baliklah! Nak fikir apa lagi?” Kamar tiada masalah tentang hal itu. Dia ada untuk tengok-tengokkan kakaknya.

“Kalau abang balik, abang takut abang tak cukup kuat nak tolak permintaan mak dan ayah. Itulah masalahnya…” beritahu Izhan sejujurnya.

“Apa maksud abang?” Kali ini Ika pula yang bertanya. Dadanya mula berdebar-debar.

“Sebenarnya mak dan ayah abang nak abang kahwin dengan gadis pilihan mereka…” Akhirnya terluah juga masalah yang membelenggu dirinya.

Suasana terus hening. Kamar dan Zulaikha terkedu. Tidak tahu mahu respons bagaimana. Ia sesuatu yang mereka tidak jangka sama sekali!

“Sekarang Mar dan Ika faham,kan? Betapa beratnya masalah yang abang hadapi.”

“Abang baliklah dulu.Bincang elok-elok dan beritahu apa yang terjadi kat sini. Mereka mungkin akan faham,” tutur Zulaikha perlahan.

“Kalau mak dan ayah nak jugak abang kahwin, macam mana?” soal Izhan. Wajah isteri dan adik iparnya dipandang bersilih ganti.

“Terpulang pada abang. Jujurnya saya tak kisah…”

“Tapi abang kisah! Abang tak sanggup nak duakan Ika semata-mata nak tunaikan permintaan mak dan ayah.” Izhan menyatakan pendiriannya.

“Kalau TUHAN dah tentukan Ika perlu berkongsi dengan perempuan lain, nak buat macam mana? Nak tak nak kena terima juga.”

“Tak semudah itu, Ika.”Izhan menggeleng. Dia juga tidak menyangka isterinya begitu mudah memberi kata balas.

“Kita kahwin ni pun tanpa pengetahuan dan restu mereka…” jawab Ika sambil memandang cincin perkahwinan di jari manisnya. Biarpun cuma cincin biasa, ia tetap istimewa di hatinya.

“Itu juga bukan alasan untuk abang terus tunaikan permintaan mereka. Tidak sama sekali!” tegas Izhan.

“Macam mana pun abang kena balik jugak dan selesaikan perkara ni,” sampuk Kamar pula.

“Betul kata Mar tu. Abang tak payah risau pasal saya. Saya akan sokong setiap keputusan yang abang ambil.”

“Ika tak kisah kalau akhirnya Ika terpaksa bermadu?” Tunak mata Izhan memandang isterinya.

“Andai itu yang ditakdirkan,saya takkan menolaknya…”

“Cakap memang senang Ika, tapi hendak melaluinya tidak semudah seperti yang disangka.”

“Kita dah lalui macam-macam bang. Abang masih tak kenal saya lagi?”

Izhan tidak membalas apa-apa. Dia berat hati hendak balik kerana ketika ini isterinya sedang sarat mengandungkan anak sulung mereka. Dia amat mencintai Zulaikha dan tidak sanggup menduakannya meskipun isterinya merelakan.

Kamar juga sudah hilang bicara apabila kakaknya seakan tiada halangan andai abang iparnya terpaksa memenuhi permintaan keluarga. Mulut boleh sahaja berkata apa jua demi menjaga perasaan orang lain.Tapi dalam hati, hanya diri sendiri sahaja yang tahu kebenarannya.

Tiba-tiba telefon pintar Izhan berbunyi, ternyata WhatsApp daripada ayahnya. Mereka bertiga saling berpandangan.

Perlahan-lahan Izhan buka dan tatap coretan dan photo yang ayahnya kirimkan. Rupanya gambar terkini calon pengantin perempuan. Tanpa bicara, dia hulurkan telefonnya kepada Zulaikha.

Zulaikha menyambutnya. Hendak tak hendak, dia membaca coretan ringkas ayah mentua yang tidak pernah dia temui. Tiba-tiba wajahnya berubah.

Kamar yang menyedarinya pantas mengambil telefon di tangan kakaknya. Berkali-kali dia mengamati photo yang dikirimkan. Terasa luluh hatinya!

 

 

Previous: Blurb
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.