MAHU marah tetapi pada masa yang sama, mahu ketawa juga. Tidak
pernah dibuat orang, tapi kalau dah namanya Luqman, mana pernah apa yang
dibuatnya itu masuk dek akal. Semua pun ikut kehendak dia saja. Ketika dia
menolak dengan baik, Luqman tetap tidak mahu menerima keputusannya. Mak Jah
yang menjadi pengadil tanpa gaji itu pula mendesak dia supaya menerima. Teruk
betul. Dua lawan satu, pastilah dia kalah.
“Bukan
ada jampi pun. Makan. Baca bismillah.” Itu pesan Luqman sebentar tadi.
Malu betul. Terasa macam budak-budak pun ada. Mana
tidaknya di halaman rumah, mereka tolak menolak bekas makanan itu.
“Ambik.”
“Tak
nak.”
“Nanti
perut kosong.”
“Saya
beli sendiri nanti.”
“Jangan
tolak rezeki.” Luqman masih tidak mahu mengalah.
Kalau
tolak awak boleh? Tolak jauh-jauh jangan mengacau hidupnya. Soalan itu kuat
berlegar di minda. Suriya memeluk tubuh. Tetap tidak mahu mengambil bekas
makanan yang Luqman bekalkan apabila tahu Suriya mahu ke Kuala Lumpur. Terasa
seperti budak asrama saja dibekalkan makanan untuk perjalanan membuat lawatan
sambil belajar.
“Bas
pukul berapa Suri?” tanya Mak Jah.
Serta
merta Suriya memandang Luqman dan membebel.
“Kalau saya
terlepas bas, saya saman awak.”
Luqman
hanya senyum dan tangan masih menghulurkan bekas makanan itu. Mahu tidak mahu,
Suriya mengambil juga.
ITU kisah sejam yang lepas. Kini, dia sudah di dalam bas.
Bekas makanan itu elok terletak di sebelah tempat duduknya yang kosong. Tadi
dia cuba mengelak juga dengan memberitahu Mak Jah bagaimana kalau tiada tempat
untuk bekas makanan itu diletakkan. Jawapan Mak Jah memang membuat ususnya
sakit. Hempedunya perit. Siku? Rasa sengal.
Mak Jah kata,
bukan Irma yang belikan tiket tetapi Luqman. Mak Jah memberitahu juga, tempat
duduk yang disebelahnya akan kosong kerana Luqman sudah belikan tiket itu juga.
Luqman kata, tidak mahu mana-mana lelaki pun berpeluang menemani Suriya
sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur. Takut Suriya tergoda dan takut Suriya
tidak selesa. Gila sungguh.
“Ada
popia sebagai pembuka selera,” pesan Luqman.
“Ada nasi
lemak dengan sambal udang dan timun. Mak Jah kata Suri suka sambal udang. Tapi
jangan risau, yang ni tak pedas, takut Suri sakit perut pulak.” Itu tambahan
pesanan Luqman.
“Pencuci
mulut, ada sebiji kek cawan. Perisa limau ada biji popi. Suri sukakan?” Itu
menu terakhir yang Luqman umumkan sambil tersenyum.
Waktu itu
memang rasa mahu ketawa. Mak Jah memang suka benar memberitahu segala makanan
yang menjadi kesukaannya. Kenapalah Luqman bersungguh mahu menyenangkan
hatinya? Kenapa Luqman ambil perhatian tentang abdomennya ini? Luqman, jangan
begini. Kebaikan itu ada kalanya boleh menjadi sesuatu yang merbahaya. Kerana
di atas dasar ingatan itu, dia menjawab dengan selamba dan sinis.
“Saya dah
tak suka popia, nasi lemak sambal udang dan kek cawan semenjak seminit yang
lalu.”
Fikirnya
berkata begitu, Luqman akan terasa hati dan mengambil semula bekas makanan itu.
Argh, tanggapan yang salah.
“Kalau
tak sukakan saya, jangan disiksa perut tu Suri. Kalau benci sekali pun,
janganlah membazir. Makanan tu tak berdosa. Baik-baik di Kuala Lumpur. Saya nak
balik dulu. Saya tunggu Suri balik sini...saya janji tak nakal dan baik-baik
juga.”
Erk...sekali
lagi dia kagum dengan lelaki ini. Terpukau dengan kata-katanya yang begitu
penuh dos yakin dan semangat waja. Janji tak nakal? Amboi! Siapa pula yang mahu
menyuruh lelaki itu berkelakuan sebegitu. Rimas. Jika beginilah hari-hari di
masa hadapannya, angan-angan mahu terus duduk bersama Mak Jah tidak akan
tercapai. Suriya meneruskan menungnya. Bas atau pemandu bas, bawa jauh-jauh
dari koordinat yang ada kena mengena dengan Luqman.
DI GERAI, Luqman
duduk termenung. Hari ini, Hairul ada datang membantu maka dapatlah dia berehat
sedikit. Dia menghabiskan masanya pagi ini dengan melihat orang lalu lalang.
Sesekali apabila Hairul tidak menang tangan, dia bangun untuk membantu. Kepada
Hairul, malam tadi dia memberitahu supaya datang menolong hari ini kerana dia
mahu membuat akaun. Yang Hairul tidak tahu, satu nombor pun tidak dikira jauh
sekali dikemaskini.
Apa yang sedang dilakukan oleh
Suriya? Tidur lena? Makan popia? Susah payah dia mengupah jirannya memasak
untuk menu itu. Kalau Suriya membuangnya ke tong sampah, argh sayangnya. Rezeki
lalat? Atau lipas? Tidak mungkin Suriya membuat begitu bukan? Walaupun Suriya
itu buat-buat tidak endah tetapi naluri hati kecilnya memberitahu yang Suriya
suka apabila dia mengusik.
“Adoi, dah parah dah kawan kita ni.”
Latif menepuk bahu Luqman.
“Mana ada kecederaan. Tak ada
apa-apa yang berdarah pun!” Luqman menidakkan kebenaran.
“Senang aje nak tahu kalau
betul-betul Suri ni perempuan yang paling kau suka.” Latif sudah mula mahu
membuka khidmat nasihat versi tidak berbayar untuk Luqman.
“Macam mana?” tanya Luqman.
“Bila kau bangun tidur, siapa yang
kau ingat?”
“Hisy, mestilah kat ALLAH. Syukur,
hari ni masih bernyawa.” Luqman sudah tersengih-sengih.
“Yalah, yalah...lepas tu lah. Kau
ingat siapa?” Latif mendesak mahukan jawapan.
“Ingat kat sayur-sayurlah.” Luqman
membalas lalu ketawa. Seronok mengusik Latif. Mahu menguji kepandaian Latif
dalam ilmu cinta.
“Patutlah kau ni tak kahwin-kahwin.
Ada ke ingat sayur-sayur! Malam-malam musim hujan ni kau peluklah sawi tu. Kau
ciumlah lobak merah tu.” Latif sudah putus asa mahu menolong.
“Ala, buruk rupa lelaki merajuk.”
Luqman menarik tangan Latif dan mengajak lelaki itu duduk semula.
“Ok, kalau katalah aku bangun tidur
je ingat Kak Milah.” Nama jiran gerainya itu disebut dengan gaya selamba. Mahu
menyebut nama Suriya, terasa malu pula. Nanti nampak gelojoh sangat. Lelaki
mesti sentiasa ‘gentlemen’. Dan tiba-tiba dia terasa bahunya didebik dengan
kuat. Mahu luruh jantung.
“Kau dah lupa ke akak dah kahwin?”
tanya Milah sambil bercekak pinggang.
“Erk...contohlah kak.” Luqman
mempertahankan diri. Bukan tidak tahu status Kak Milah tetapi bibir ini
tersebut juga.
“Cakaplah yang kau mabuk kepayang
dengan Suriya, kan senang. Kami sokong kau tanpa apa-apa bantahan. K.P.S.”
Milah menyebut huruf-huruf itu satu persatu.
Latif dan Luqman berpandangan.
“Kempen Pikat Suri.” Milah ketawa.
“Kak Milah ni main-mainlah.”
“Kita buat mesyuarat. Kita susun
strategi. Kita bina masjid.” Milah mengangkat tangan seolah-olah mengisytiharkan
akujanji di musim pilihanraya.
“Pak Halim sokong.”
“Aku pun sokong.” Latif mengangkat
tangan.
Luqman melihat sekeliling. Pak Halim
mengangkat ibu jarinya. Sham juga menjerit mengatakan setuju. Amirul
tersengih-sengih. Amboi, mereka ini termakan sarapan apa? Luqman menggeleng.
“Apsal pulak?” Milah bertanya. Tidak
berpuashati dengan Luqman yang tidak mahu menerima cadangan geniusnya itu.
Tanya dengan Latif buat apa? Bukannya Latif itu tahu tentang hati naluri
seorang perempuan. Tanya dirinya ini. Wakil perempuan yang berjaya di dalam
kumpulan mereka ini.
Luqman tetap menggeleng.
“Jual mahal pulak. Aku nak tanya ni,
kau jawab dengan jujur...kau suka ke tak dekat Suri ni?” Sham pula menghampiri.
Bahu Luqman dipeluk erat.
“Aku jual sayur je. Mana ada mahal.”
“Rendah diri pulak. Kau ingat kita
orang tak tahu yang kau ni...”
“Ops, cukup.” Luqman memotong
kata-kata Sham.
“KPS.” Milah mengulang semula.
“KPS.” Latif bersetuju.
Melihat kesungguhan mereka, Luqman
mengangkat kedua-dua tangannya. Sampai nak berkempen-kempen, dia merasa kelakar
pula. Macamlah mereka semua tiada kerja hingga mahu meluangkan masa untuk
membantu dia,
“Bos...popia, nasi lemak sambal
udang dengan kek cawan tu bukan bukti bos suka Kak Suri ke?” Tiba-tiba Hairul
yang dari tadi diam kini bersuara. Ketika itu Luqman terasa mahu menunjal
kepala Hairul dengan kayu snooker. Biar sakit.
“Popia?” tanya Milah.
“Nasi lemak sambal udang?” Sham
ketawa sambil mengusap perut.
“Ok, ok...kek cawan.” Luqman
memberitahu sebelum ada lagi seorang yang bertanya. Cis, Hairul membuka rahsia.
Memanglah Hairul tahu kerana dia menempah semua itu dengan emaknya Hairul. Huh!
Potong gaji 20 peratus.
“Bagi dekat Suri ke?” tanya Latif.
Perlahan-lahan kepala dianggukkan.
“Kau dah jampi ke?”
Serta merta laju tangan Luqman
menolak bahu Latif. Ingat dia manusia yang percaya pada perkara syirik?
Dijauhkan. Dia masih belum terdesak. Dia masih ada harga diri dalam usaha
memikat Suriya.
Latif ketawa. Luqman ikut ketawa.
Tidak jadi mahu marah.
“Amboi, macam tu pun masih tak nak
mengaku?” Milah menegur.
Dan tanpa diduga, dalam sekelip mata
Milah telah menjadi ratu yang berkuasa. Lepas pasar tutup hari ini mereka ada
mesyuarat tergempar. Jumpa di Kafe Melati. Luqman akan belanja makan tengahari.
Hairul akan menulis minit mesyuarat.
Arahan yang laju dan penuh berkuasa.
Apabila Luqman mencuba untuk mengelak, semua bersurai dan balik ke gerai
masing-masing. Luqman memerhatikan keadaan sekelilingnya. Kenapa dia merasakan
seolah-olah jeritan mereka lebih kuat? Wajah lebih bersemangat? Semangat Kempen
Pikat Suriya?