DUDUK seorang diri mengambil
angin di bawah pokok. Di tangannya ada sebuah novel yang sudah dipegang lama
namun muka suratnya langsung tidak berubah. Nampak benar fikirannya entah ke
mana-mana. Bukan salah garapan penulis tetapi dirinya yang tidak tenteram.
“Berangan ya?”
“Mana ada. Dah ok ke kaki Mak Jah?”
Satu senyuman diberikan kepada wanita yang dihormatinya itu.
“Dah letak minyak gamat, eloklah
sikit.” Mak Jah membalas.
“Macam manalah bolehh terseliuh. Mak
Jah ngendap siapa kat kebun tu sampai macam ni sekali.” Suriya mengusik dan
ketawa.
“Amboi ketawakan Mak Jah. Yang Mak
Jah tahu, ada orang tu yang tak cukup tanah lari dari pasar.” Giliran Mak Jah
pula ketawa. Usik mengusik adalah acara tidak rasmi di antara mereka berdua.
Suriya memerhatikan Mak Jah yang
macam menang cabutan bertuah dan hadiahnya adalah tanah lima ekar. Amboi,
sampai bergegar-gegar bahu. Tahap gembira sungguh ini. Mak Jah ada perisik kah?
Pasang cctv? Canggih, Mak Jah memang canggih.
“Macam mana?” tanya Mak Jah dengan
penuh teruja.
“Lauk asam pedas tadi? Sedap gila.
Hirup kuah tadi aduhai...nyaman je rasa. Kerabu tu pun sedapnya. Rangup taugeh
dan kacang botol, enak banget!” Suriya memberi komen dengan penuh semangat. Siap
dengan slanga serupa orang Jawa saja.
“Suri ni buat-buat tak faham atau
saja nak ubah tajuk?” soal Mak Jah dengan serius.
“Mana ada.”
“Suri ni semua pun mana ada.”
Dan jawapan Mak Jah itu membuatkan
Suriya ketawa. Alahai mak ciknya ini. Mahu merajuk pula.
“Ok, apa yang Mak Jah nak tahu?
Cuaca di pasar tadi ya? Kalau tengok termometer memanglah panas membara.”
Mak Jah ketawa. Tidak pandai mahu
marah lama-lama dengan Suriya.
“Kerana Luqman?”
“Tahu pun.”
“Tak baik macam tu Suri. Dia berniat
nak mengajar.”
Suriya menjegilkan matanya. Niat
mahu mengajar?
“Tak betul ke? Dia kata, Suri tak
pasti jadi dia ambil masa mengajar tadi. Dia telefon Mak Jah tadi dan tanya kualiti sayur dan ikan
yang dia belikan. Bagus Luqman tu. Tak ramai anak muda yang elok bahasanya, elok
rupanya...macam dia.” Mak Jah menyambung. Ada unsur-unsur promosi di sini.
Wajah Mak Jah tersenyum simpul
apabila menyebut tentang Luqman. Suriya jadi tidak sampai hati mahu membetulkan
fakta salah yang dikemukakan oleh Mak Jah. Mengajar atau mahu memalukan dia?
Tidak mengapalah. Tidak sampai hati mahu mengambil kegembiraan Mak Jah.
“Dia tu siapa, Mak Jah?”
“Luqman.”
Aduhai, Mak Jah main cak ba!
Memanglah namanya Luqman tapi anak siapa? Berapa umurnya? Mahu bertanya tetapi
terasa malu pula.
“Mak Jah memang selalu beli sayur
dengan dia? Terpikat eh?”
Dan Mak Jah ketawa lagi. Kubur pun
sudah memanggil-manggil. Namun memang pun dia terpikat dengan Luqman. Sayang,
dia tiada anak untuk dijodohkan dengan anak muda itu. Kalau ada, akan dipinang
Luqman. Irma, anak saudaranya itu pula masih muda. Dan dia tahu, bukan dia
seorang berkenan dengan Luqman. Ramai lagi. Ramai hati, baik yang muda atau
yang tua tertawan dengan Luqman.
“Mak Jah ni macam tengah rancang
warna pelamin aje.” Suriya mengusik.
“Kenapa? Suri dah sedia ke?”
“Menangis dengar soalan Mak Jah ni. Mak
Jah lupa ya, Suri ni baru 23 tahun. Diploma pun baru habis dan Mak Jah nak
suruh Suri naik pelamin? Hentikanlah apa saja angan yang ada.” Suriya
senyum-senyum. Baru minggu lepas dia merdeka. Dan yang lebih penting, dengan
siapa pula dia mahu dijodohkan. Bukannya dia ada calon! Masa depannya masih
kabur dan tidak tentu hala.
“Kahwin awal ni banyak rahmat-NYA.”
“Mak Jah tak nak Suri belajar dan
dapatkan ijazah pula?”
Senyuman menghiasi wajah tua itu.
Ada harapan yang tergambar di situ.
“Mestilah mahu.”
Suriya melepaskan keluhan. Sukarnya
membuat pilihan yang terbaik untuk melangkah ke arah masa depan.
“Jangan mengeluh.”
“Suri rasa macam dah penat belajar
tapi...”
Wajah Suriya dikerling sekilas. Mak
Jah merasa belas. Ya, dia tahu Suriya dipaksa belajar kerana memenuhi arahan
Haji Firdaus. Arahan yang berupa hukuman.
“Suri doalah banyak-banyak. Minta
ALLAH lembutkan hati ayah tu.”
Suriya senyum nipis. Bukan mudah.
Laluan hidupnya penuh pancaroba. Semakin meningkat usia, semakin beratur
masalah yang tiba walaupun sebaik mungkin dia berusaha untuk hidup baik-baik
sahaja.
“Tak mahu fikirlah Mak Jah.
Sementara ada masa kat sini, Suri nak ringankan otak.”
“Kalau macam tu, esok kita pergi
pasar lagi!” Laju saja Mak Jah memberikan cadangan.
“Mak Jah!”
“Ok, ok. Tapi kalau esok makan ikan
kering sebab Suri tak nak ke pasar, jangan salahkan Mak Jah.”
Suriya mencebik. Pasar lain kan ada.
Kedai runcit pun banyak. Ke gerai Luqman? Tak payah. Entah apa pula yang akan
lelaki itu sekolahkan dia nanti.
IRMA yang baru
balik dari sekolah menjengah bilik Suriya. Dia mengetuk pintu.
“Dah balik?”
“Ya, letih.”
“Pergilah mandi. Bau masam.” Suriya
menegur. Dengan Irma, memang dia berani menegur apa saja. Irma adalah anak
saudara Mak Jah maka sudah dianggap seperti adiknya juga.
“Abang Luqman kirim salam.” Irma
memberitahu sambil tersengih-sengih.
Suriya meletakkan novel yang dibaca
ke ribaan.
“Siapa tu? Tak kenal pun.”
Dan Irma ketawa mengekeh.
“Anak dara jangan nak mengilai macam
langsuir,” tegur Suriya. Menyampah pula apabila mendengar nama lelaki itu. Rasa
geram disekolahkan terasa masih membuak-buak. Bukan salah dia jika tidak pandai
atau tidak arif dengan nama sayur. Ingat dia ambil diploma di Mardi?
“Akak pun anak dara jugak dan Mak
Jah kata tak baik menipu tau.” Irma membalas.
Amboi. Apasal hari ini semua orang
pun nak sekolahkan dia. Suriya menolak bahu Irma. Umur baru 16, jangan nak
lawan orang umur 23. Namun dia tahu, Irma bergurau saja.
“Yalah, akak tahulah siapa Luqman
tu. Penjual sayur yang bermulut laser. Ngeri ok. Ngeri.” Suriya mengulang
perkataan itu sambil menggosok-gosok lengannya. Konon-konon nama Luqman itu
kalau disebut, mampu menaikkan bulu roma.
“Dia ada taring kak. Sweet!” Irma tersengih lagi.
La, ada orang suka Luqman
rupa-rupanya. Suriya pun ketawa.
“Oh, candy crush eh?” usik Suriya.
Irma ketawa senang hati.
“Dia suka akak. Bukan Irma.”
Suriya memandang Irma. Ingat ini
kisah cinta pandang pertama? Berlokasikan pasar dan pelakon sampingannya segala
jenis sayur-sayuran? Argh, anak remaja. Semua pun nampak indah. Nampak mudah.
Semua pun romantik. Huh!
“Suka apanya. Jangan beranganlah.”
“Serius kak. Dia kata, balik nanti
kirim salam bakal surirumahtangga abang tu ya. Tak jelas lagi ke tu kak?” jawab
Irma. Tadi ketika pulang dia berpapasan dengan lelaki itu.
“Pergi mandilah.” Suriya malas mahu
melayan.
“Nanti kalau dia datang pinang bawa
tujuh dulang...”
“Isi dengan sayur eh?” Suriya
memintas kata-kata Irma dan ketawa. Bergegar bahunya. Alam dongeng manakah yang
sudah kakinya melangkah hingga sebegitu fantasi anganan Irma untuk dirinya? Dia
melihat Irma bangun dan termenung. Serius wajah anak gadis ini. Macam rupa mahu
ambil peperiksaan Matematik Tambahan saja.
“Kenapa?”
“Kalau hantaran sayur pun, akad
nikahnya tetap halal kak.”
Erk, terasa macam kena baling dengan
batu. Bukan batu selemban yang kecil-kecil comel itu. Tapi batu granit saiz besar
yang boleh buat halang pasir runtuh dan dinding roboh.
“Dan jangan lupa kak, kemewahan tu
bukan jaminan kita akan bahagia. Ustaz Irma kata, sebaik-baik majlis
perkahwinan adalah yang memudahkan pihak lelaki dan tidak membebankan. Betulkan
kak?”
Perlahan-lahan tanpa rela namun
kerana malu, Suriya mengangguk.
“Irma nak mandi dulu kak.” Irma
keluar meninggalkan Suriya sendirian.
Suriya menyambung menung. Berdesing
telinga kerana disekolahkan Irma pula. Aduh, malu sungguh. Niatnya memang hanya
mahu bergurau namun gurauannya tidak bertempat pula. Argh, ini semua salah Luqman.
Esok lusa, kalau bersua lagi biar giliran dia pula menyekolahkan lelaki itu.
Pelajaran yang pertama adalah, jangan suka-suka mahu ambil orang jadi
surirumahtangga sedangkan dia ada wali. Kedua, dia...Suriya Hanum tidak percaya
pada cinta pandang pertama, cinta pandang kedua atau cinta pandang ke sejuta.
Cinta itu hanya menyusahkan. Satu keluhan dilepaskan. Potret ibu di atas meja
solek itu diambil. Wajah ibu yang suram. Wajah seorang isteri yang dikecewakan
oleh suami kala cinta yang disanjung rupanya hanya rasa yang menipu minda saja.