Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
384,804
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 12

KINI, bulan telah bertukar tahun. Hari demi hari terus berlalu. Juita semakin mahir selok belok dalam perniagaan. Dia semakin matang dalam menangani masalah atau apa jua situasi yang melanda syarikat. Dia memang beruntung kerana ada sahabat seperti Syifa dan staf yang sentiasa menyokongnya.

Masing-masing tahu tanggungjawab tanpa perlu dipantau. Apatah lagi apabila Juita memberi sepenuh kepercayaan kepada stafnya dalam menjalankan projek tertentu. Apabila Juita sentiasa bersangka baik, semua kerja juga berjalan dengan lancar. Itulah pentingnya memupuk kepercayaan kepada yang telah memberi sepenuh jiwa dengan tugasan yang diberikan.

“Kenapa orang kaya bertambah kaya dan orang miskin tak senang-senang jugak?” tanya Syifa pada suatu hari. Entah kenapa dia ingin bertanyakan soalan itu kepada Juita. Ia bukanlah isu yang menarik sangat, namun dia mahu tahu juga pandangan sahabatnya ini.

“Apasal tiba-tiba kau nak tahu pulak? Selama ini, bukan ke kau dah kaya-raya? Anak orang kaya, duduk dan berkawan dengan orang kaya!” gurau Juita pula. Dia juga turut tergelak dengan pertanyaan itu.

“Kau ni… ke situ pulak? Aku serius nak tahu ni,” balas Syifa sambil menyiku lengan Juita.

“Orang kaya, takkan beritahu orang kaya yang lain bagaimana nak jadi lebih kaya. Tapi, dia mungkin akan beritahu pada orang yang tak mungkin akan kaya,” beritahu Juita sambil angkat kening.

“Pandai ajelah kau ni.” Syifa sudah tertawa mendengarnya.

“Tengok, bila aku cakap, kau gelak. Kau tak percaya ke, apa yang aku cakap tu?” Bagi Juita, itulah jawapan yang dia ada walaupun tidak seratus peratus betul.

“Tak fahamlah aku dengan kau ni!” komen Syifa. Sahabatnya ini kadang-kadang berlagak seperti seorang yang naif. Namun, ada ketikanya otak Juita tersangatlah bijak menyelesaikan masalah yang dia sendiri sukar mencari jalan penyelesaiannya.

“Kaya yang sebenarnya bukan dengan memiliki harta berjuta. Kita dikategori sebagai kaya andai apa sahaja yang kita nak buat, semuanya boleh dilakukan,” terang Juita. Ia hanyalah pendapat peribadinya sahaja. Orang lain belum tentu bersetuju dengan pandangannya.

“Apa maksud kau?”

“Kalau kau nak makan beriani kambing satu talam, cakap aje sudah terhidang. Itu maknanya kau memang kaya. Kalau duit kau berkepuk tapi nak makan ayam tak boleh, nak makan daging kena berpantang, itu miskin dalam kaya. Ada banyak duit pun tak bahagia!” terang Juita.

“Kau ni buat aku peninglah!”

“Itu pun nak pening ke? Yang kau nak tahu sangat ni, kenapa?” soal Juita pula.

“Yalah, kadang-kadang hidup ini bagai tak adil pada golongan tertentu. Ada yang berusaha bagai nak rak, tetap hidup susah. Ada tu pulak, duduk goyang kaki tapi duit masuk setiap bulan.”

“Kenapa nak pertikaikan rezeki yang ALLAH bagi kat kita? Sebenarnya ALLAH tak pernah berkira dalam memberi rezeki. Kau tak mintak pun, ALLAH tetap bagi,” tutur Juita.

“Bukan itu maksud aku. …”

“La… kau ni macam tak tahu pulak. TUHAN beri pahala pada usaha yang kita lakukan dan bukannya pada hasil yang kita perolehi. Takkan itu pun kau tak tahu?” sebut Juita mengingatkan Syifa yang mungkin terlupa.

“Iya ke?” Syifa cuba memikirkan kata-kata Juita dengan dahi berkerut. Macamlah perkara itu susah sangat untuk difahami.

“Tak payah fikir sangatlah pasal semua tu. Ni, macam mana temu duga hari ni?” Juita mengingatkan temu duga jawatan arkitek yang telah diiklankan. Semalam sesi temu duga sudah bermula, tetapi masih belum berjumpa calon yang berkelayakan.

“Pukul 2.30 nanti ada dua tiga orang lagi datang temu duga. Yang datang pagi tadi memang hampehlah. Gaji nak banyak, tapi bila tanya benda senang pun tak reti nak jawab,” beritahu Syifa.

“Aku nak staf yang tahu buat kerja. Jenis yang tak kisah aku campak dia dekat projek mana sekalipun, tetapi sanggup buat kerja. Kalau banyak songeh, tak payah ambil,” tegas Juita.

“Aku tahu kriteria pekerja yang kau nak. Kalau tak dapat jugak, kita terpaksa iklankan lagi.”

“Petang ni aku free, tengoklah macam mana. Kalau sempat aku akan jumpa dia orang ni dulu. Kadang-kadang syok jugak kenakan bebudak muda ni.” Juita sudah tersenyum-senyum.

“Kau ni… tak baik tau!” tegur Syifa.

“Dah syarikat aku, suka hati akulah nak buat apa. Temu duga cara formal ni kadang-kadang banyak yang plastik!” komen Juita.

“Aku tak boleh cakap banyaklah, kan? Yang penting semua projek okey dan aku dapat apa aku nak,” balas Syifa. Petang ini sah-sah ada yang terkena dengan Juita. Nasib koranglah! detiknya.


SELEPAS makan tengah hari, Juita masuk semula ke pejabat, Sebaik ternampak dua orang calon yang menanti untuk ditemu duga, dengan selambanya dia duduk di ruang tengah antara mereka berdua.

Di sebelah kanannya calon lelaki yang segak berkemeja dan siap pakai tali leher. Sebelah kiri pula seorang yang agak biasa dan hanya berbaju T lengan pendek dengan seluar jean. Masing-masing membawa fail yang dalamnya sudah tentu ada sijil-sijil yang diharapkan dapat membantu mereka mendapatkan jawatan yang dipohon.

Juita mencapai surat khabar dan terus membelek-belek berita utama. Kemudian ke halaman belakang pula untuk mengetahui perkembangan sukan. Seketika dia menoleh memandang kedua-dua pemuda yang setia menanti untuk ditemu duga.

“Ada temu duga ke?” tegur Juita pada pemuda sebelah kanannya.

Pemuda itu mengangguk. Tidak ada keinginan pun untuk melemparkan senyuman kepada Juita.

“Masa belajar dulu, adik ambil kursus seni bina peringkat diploma ke ijazah?” selidik Juita sambil pura-pura membaca artikel di surat khabar.

“Kenapa akak nak tahu sangat? Tak ada kena mengena dengan akak pun, kan?” balas pemuda itu. Wajahnya memang menggambarkan betapa dia tidak suka dengan pertanyaan Juita.

“Mana tahu, akak boleh rekomen adik kat bos syarikat ni,” ujar Juita. ‘Hai, baru datang temu duga sudah berlagak tak bertempat pulak!’ keluhnya.

“Saya pelajar cemerlang di kolej, tak perlu sesiapa rekomen untuk dapat kerja,” balas pemuda itu dengan berlagaknya. Dia turut memandang sinis ke arah Juita. Mentang-mentang Juita berpakaian sempoi sahaja.

“Baguslah kalau adik punya keyakinan yang tinggi. Ni kalau kena kerja dekat site, boleh handle kerenah klien dan pekerja asing ke?” Juita masih mahu menduga.

“Jadi arkitek kena turun site jugak ke? Bukan duduk ofis buat kerja-kerja mereka bangunan?” soalnya.

“Kalau kerja dengan syarikat bapak you, bolehlah duduk kat ofis aje! Goyang kaki pun tak ada yang marah.” Selamba rock Juita bercakap.

Pemuda itu terdiam dan wajahnya telah berubah kerana terkejut dengan kata-kata Juita.

Juita sendiri sudah mahu tergelak melihatnya. Belum pun masuk bilik temu duga, sudah memberi gambaran negatif tentang diri sendiri. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan orang yang kerek dan berfikiran sempit begini? Patutnya ketika sesi temu duga inilah masa untuk menjual kelebihan yang ada pada diri.

“Kamu pulak, dah tahu nak datang temu duga, apa pasallah pakai macam ni?” tegur Juita pada lelaki yang seorang lagi. Nasib baik tidak pakai kasut boot. Kalau tidak, siang-siang sudah kena halau dengan Juita.

“Sebenarnya hari ni saya bekerja. Baru dapat tahu di sini ada kerja kosong, tu yang terpaksa ambil cuti setengah hari. Nak tukar baju memang tak sempatlah,” beritahu pemuda itu.

“Dah elok-elok ada kerja, kenapa nak kerja kat sini pulak?” soal Juita, menduganya.

“Kerja dan gaji tempat kerja sekarang memang okey. Tapi, saya kurang selesa bila majikan saya tetap mengambil PATI walaupun tahu risikonya. Saya pulak kena memantau pekerja PATI ni, kalau apa-apa terjadi susahlah saya,” terang pemuda itu.

“Sekarang ni memang susah ke nak dapat pekerja yang ada permit?” soal Juita lagi.

“Ada tu memang ada. Tapi kalau melibatkan orang tengah dan kena bayar itu ni, memang lecehlah.”

“Rasanya dari dulu sampai sekarang, nak dapatkan orang tempatan buat kerja di tapak pembinaan memang payah pun,” komen Juita pula.

“Nak buat macam mana? Dah orang kita tahunya nak memilih kerja yang senang aje. Gaji nak mahal, tapi suruh buat kerja berat sikit dah merungut.” Tenang sahaja pemuda itu memberi pandangannya.

“Ni kalau dapat kerja kat sini, berapa bulan notis kena beri kat syarikat sekarang?”

“Kena beri sebulan notis, tapi biasanya boleh aje berhenti awal,” jawabnya.

“Okey. Kalau macam tu you terus masuk ke bilik depan tu. Kalau bos tu tanya, cakap Cik Juita yang suruh jumpa dia. You boleh bincang pasal gaji dengan dia,” arah Juita.

Pemuda itu terkebil-kebil memandang Juita. Dia seakan tidak percaya dan serba salah untuk mengikut arahan yang diberikan.

“Awak tak nak kerja kat sini ke?” soal Juita apabila pemuda itu masih tidak berganjak.

“Nak, nak…” balasnya. Dalam ragu-ragu, dia bangun dan menuju ke bilik yang Juita maksudkan.

Juita tersenyum melihat pemuda itu, kemudian beralih memandang pemuda poyo yang turut mendengar sesi temu duga versi Juita. “Maaf ya, saya dah dapat calon yang sesuai untuk jawatan yang syarikat saya iklankan. So, awak boleh balik,” ujar Juita dan terus bangun meninggalkan pemuda itu terpinga-pinga!

Previous: Bab 10
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.