Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
384,200
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 2

SELEPAS menghadiri mesyuarat di pejabat klien di Menara Seri Wilayah di Presint 2, Syifa dan Juita singgah di Kementerian Belia dan Sukan pula. Mereka sengaja memilih untuk makan tengah hari di situ walaupun terpaksa ke Presint 4 pula. Semuanya kerana menu masakan kampung yang amat menyelerakan. Namun tidak pula mereka menyangka, ramai juga pelanggan yang berkunjung untuk menjamu selera.

Tidak sampai sepuluh minit duduk di meja makan, Syifa sudah termenung melihat pinggannya yang licin.Terasa menyesal pula kerana mengambil nasi separuh sahaja. Padahal, diri sememangnya lapar kerana pagi tadi tidak sempat bersarapan. Setakat minum air Horlicks, manalah perutnya tahan.

Tadi, dia terpaksa mengambil nasi separuh sahaja. Semuanya gara-gara lelaki yang berbaris di belakangnya handsome sangat. Terasa segan pula andai lelaki itu nampak gadis sepertinya banyak makan. Air muka tetap kena jaga walau di mana jua berada!

Akhirnya Syifa menyesal tidak sudah sebab perutnya masih ada ruang kosong. Mahu bangun semula dan berbaris di bahagian nasi, memang dia tidak akan buat. Lainlah kalau makan secara hidang dan bersama rakan-rakan yang lain. Memang biasalah andai minta nasi tambah dan tiada yang akan mengutuk.

“Tiba-tiba aku rasa kenyanglah pulak. Kau makanlah bubur pulut hitam aku ni,” pelawa Juita yang bagai menyedari perut sahabatnya itu masih berdondang sayang.

“Eh, betul ni?” soal Syifa pula. Memang pucuk dicita, ulam mendatang!

“Entah kenapa rasa tak ada selera pulak. Bila nampak bubur ni, memang teringin sangat,” ujar Juita sambil mengelap bibirnya dengan tisu.

Tadi, selepas mengambil nasi dan lauk, Juita memang ke bahagian bubur pula. Lagipun bukan selalu jumpa restoran yang turut menjual bubur beraneka jenis. Minggu lepas dia memang ada cuba makan bubur di sini. Ternyata ianya kena dengan tekaknya.

“Kau macam tau-tau aje yang aku ni lapar lagi.” Tanpa membuang masa, Syifa telah menarik mangkuk bubur agar hampir dengannya.

“Sebenarnya aku pun pelik jugak. Selalunya kau jarang ambil sedikit nasi bila makan tengah hari. Kalau tak penuh satu pinggan, memang tak sah!”

“Ini mamat handsome tu punya pasallah!” beritahu Syifa kemudian sambung menikmati bubur pulut hitam yang sememangnya sedap. Dia sudah berangan mahu tapau dan simpan dalam peti ais. Apabila menjamahnya ketika sejuk, memang lagi sedap.

“Mamat mana?” Mata Juita sudah melilau mencari mamat yang Syifa maksudkan.

“Wei, janganlah buat perangai budak sekolah menengah pulak!” tegur Syifa.

“La… aku pun nak tahu jugak. Handsome sangat ke mamat tu sampai buat kau bertukar jadi plastik!” gurau Juita kemudian terus tertawa. Namun tawanya tidaklah lama dan kuat. Lebih kepada tertawa sinis sebenarnya.

“Kalau tak silap, dalam minggu ni aje dah masuk dua kali kita makan tengah hari kat restoran ni. Dah tu asyik duduk di tempat yang sama.” Syifa pun baru perasan. Andai ada mesyuarat di Putrajaya, memang di sinilah mereka akan menjamu selera.

“Salah ke? Suka hati kitalah, kan?” balas Juita pula sambil melontar pandangan pada landskap indah di hadapan restoran. Sudah kebetulan mereka lalu di sini ketika waktu tengah hari. Baiklah makan di restoran ini sahaja.

“Salah tu memang taklah.”

“Habis tu, apa yang jadi isu sangat?” tanya Juita seakan pelik pula.

“Maksud aku, dah dua kali jugak aku perasan grup tiga sekawan tu makan kat sini dan duduk di tempat yang sama. Macam berjanji pulak!” beritahu Syifa.

“Hm… entah-entah dia orang tu memang kerja kat sini dan inilah tempat dia orang melepak. Tentulah selalu duduk di tempat yang sama kalau tempat tu kosong.” Juita menjawab malas. Biasalah orang akan makan di tempat yang sama. Takkan itu pun sesuatu yang menghairankan.

“Kita pulak, tak adalah kerap sangat datang ke restoran ni. Peliknya, pusing-pusing dekat sini jugak kita nak duduk. Padahal ada banyak meja kosong yang lain,” komen Syifa pula.

“Kau ni memang tak ada kerja lain ke?” tegur Juita. Perkara remeh begitupun si Syifa ini mahu ambil peduli. Tidak sangka sungguh dia.

“Apa lagi nak buat kalau dah datang tempat macam ni, kan?” sebut Syifa kemudian tersenyum pula.

“Kau tu memang! Makan tepi longkang sekalipun, mata tu tak reti nak diam. Asyik nak perhatikan orang,” komen Juita pasal perangai Syifa yang satu itu.

“Kau macam tak faham pulak. Bunga yang cantik sememangnya untuk dipetik dan dicium keharumannya. Mamat yang handsome,tentulah untuk dipandang dan kalau boleh untuk dipikat!” ungkap Syifa dengan senyuman manis.

“Habis tu, Abang Norman kau nak letak kat mana?” Pening Juita dengan perangai sahabat ini. Sudah ada tunang, masih ada hati mahu mencari yang lain.

“Selagi ijab dan kabul belum diakad, aku bisa aje buat pilihan,” balas Syifa selamba.

“Hampeh kelapa punya kekasih!” kutuk Juita sambil menggeleng kepala. Semakin menjadi-jadi pula perangai sahabatnya ini.

“Kau ni… aku gurau ajelah! Cintaku hanya untuk Abang Norman seorang. Tiada sesiapa di hati ini melainkan encik tunang tu,” balas Syifa sambil mengangkat kening. Kalau kekasih hatinya tahu, habislah dia kena ceramah berjela-jela.

“Kalau dah macam tu, mata tu kawal sikit. Yang sibuk-sibuk tengok jantan lain tu, buat apa?” tegur Juita lagi. Bagi dirinya, Norman memang amat sepadan dengan Syifa. Walaupun jarang bersua muka, dia sememangnya lelaki yang baik dan bertanggungjawab.

“Sebab aku perasan yang mamat handsome tu asyik perhatikan kau!” sebut Syifa.

“Yang mana satu?” Tiba-tiba Juita pula yang terlebih teruja. Dia segera menoleh. Memang ada tiga orang jejaka tampan di situ. Tampan ke? Tidak sempat pula dia hendak teliti betul-betul.

“Yang terlebih handsome tulah! Nak kata Melayu, tak Melayu. Nak kata Cina pun, tak Cina.” Syifa memberikan pendapat dari pemerhatiannya sejak tadi.

“Hish, Kau ni! Sampai ke situ kau belek wajah mamat tu?” Terkejut Juita dengan penjelasan Syifa. Tengah sibuk makan pun sempat juga dia buat kerja.

“Tengok kulit dia, sah-sah berjemur kat site. Bila aku perhatikan jenama pakaian dia, tentu dia seorang jurutera atau arkitek.” Begitulah mengikut penilaian Syifa yang suka sangat terlebih prihatin.

“Pandailah kau, Syifa! Macamlah jenama baju yang dia pakai, kau boleh nampak?”

“Tengok jenis kasut yang dia pakai pun, aku dah boleh agak.” Tidak habis-habis Syifa memberi komennya.

“Sudah-sudahlah Syifa. Bawa mengucap. Dibuatnya tiba-tiba encik abang sayang terpacak kat sini, kau jugak yang susah,” tegur Juita.

Padahal, dia pun mahu tengok juga mamat handsome yang Syifa maksudkan. Kedudukannya membelakangi mereka buat dia tidak dapat memandang dengan lebih jelas. Kalau asyik menoleh, nanti dicop gatal pula. Tiba-tiba Juita perasan sesuatu.

“Eh, tadi kau kata mamat handsome tu asyik perhatikan aku. Apa yang dia perhatikan kalau nampak belakang aku aje?” Juita segera bertanya.

“Maksud aku hari-hari sebelum ni. Memang aku perasan dia asyik curi-curi tengok kau.”

“Huh!” Juita mendengus. Buat dia saspens sahaja.

“Alah, orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat! Mata dia orang tu boleh aje membayangkan macam-macam walaupun dia tak nampak muka kau tu.” Tidak habis-habis si Syifa ini membuat andaian sendiri.

“Kau dah siap, kan?” soal Juita pula sambil mencapai beg kerjanya yang diletak di kerusi bersebelahan.

Selepas ini Juita ada kerja yang mahu diselesaikan. Kalau asyik melayan kerenah Syifa, mahu sampai petang dia duduk di restoran ini. Kelak dia juga yang susah sebab banyak kerja tertangguh. Walaupun sebagai bos Juita boleh sahaja beri arahan kepada stafnya, ada juga perkara tertentu yang dia kena buat sendiri.

“Yalah bos! Kau tunggu kat kereta, aku ada benda nak beli,” beritahu Syifa dan terus bangun. Seperti biasa dia mahu membeli bekalan untuk dimakan di pejabat pula.

Tanpa membuang masa, Juita melangkah perlahan menuju ke kereta yang diparkir di seberang jalan. Hari ini Syifa yang terpaksa memandu kereta kerana si Izuddin bercuti pula.

Ketika melepasi meja tiga orang jejaka tampan itu, sempat juga Juita mencuri pandang. Dapat jugalah dia melihat wajah mamat handsome yang Syifa sebutkan tadi. Memang kriteria lelaki idaman kebanyakan wanita masa kini. ‘Eh! Bukan ke lelaki tu yang aku nampak di Restoran Sharifah tempoh hari?’ detiknya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.