Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
74,805
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 3

DETIK itu, hari itu, masa itu, segalanya masih segar di ingatannya. Peristiwa yang tidak mampu di kambus dalam memorinya. Peristiwa yang mengubah seratus peratus corak kehidupannya.

“ Kenapa polis datang rumah kita, mama?”

Bertubi-tubi soalan itu di ajukan kepada Puan Ainina. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan membuatkan Amir Rifqi tertanya sendirian. Dadanya berdebar hebat. Takutnya hanya Allah sahaja yang tahu.

Yang lebih menyayat hati apabila seorang anggota polis menuju ke arah ayahnya lalu menggari kedua belah tangan ayahnya. Ya Allah, luluhnya hati ini. Hancurnya hati ini apabila melihatkan ayahnya di gari sebegitu persis seorang penjenayah besar.

“ Mama, kenapa polis gari tangan abah?” tanya Amir Rifqi panik. Dia pandang ke arah Puan Ainina. Namun tiada jawapan yang terlontar. Wajah itu sudah basah dengan airmata. Tetapi kenapa? Di pandang pula kepada Encik Amin.

“ Abah, kenapa ni?”

Encik Amin hanya mampu menggeleng dan menunduk. Amir Rifqi tahu pastinya ayahnya malu dengannya. Ah mengapa anggota polis tidak mahu menjaga airmuka ayahnya? Ya Allah, apakah kesalahan yang telah dilakukan ayahku sehingga dia di gari sebegitu?

Amir Rifqi terus memberi tumpuan kepada Encik Amin. Alangkah sukarnya saat itu. Pada pipinya jelas kelihatan airmata berjuraian jatuh. Tidak pernah sepanjang keremajaannya dia melihat bapa yang menjadi tunjang keluarganya menangis di hadapannya. Adakah kali ini merupakan kali pertama dan terakhir dia melihat ayahnya menangis? Hati Amir Rifqi merintih berat. Sungguh dia tidak sanggup melihat airmata yang jatuh di pipi ayahnya yang tercinta.

“ Abah?” panggil Amir Rifqi.

Encik Amin menggelengkan kepalanya. Perasaannya sungguh tertekan. Ah apakah yang harus dibicarakan kepada anak tunggalnya ini? Bolehkah anaknya memahami situasinya? Ya Allah, kenapa berat sangat ujian yang Kau berikan kepadaku?

Pada saat ini, ketika airmata mengalir laju di pipinya dan kesakitan batin yang tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai, Encik Amin meminta Amir Rifqi datang kepadanya. Ya dia mahu memeluk anaknya selagi dia berpeluang untuk memeluknya. Entah esok atau lusa dia masih diberi peluang ini atau tidak. Atau dia terus terkurung di dalam geriji besi selamanya.

Pantas sahaja Amir Rifqi mendapatkan ayahnya. Sungguh dia ingin mendapatkan ayahnya lebih daripada segalanya. Dia tidak sanggup berpisah dengannya. Mereka terus berdakapan seakan tidak mahu berpisah.

“ Tolong jaga mama elok-elok. Mama sakit. Jangan buat mama susah hati. Abah sudah tiada, jadi Rifqi perlu ambil tugas menjaga keluarga sekarang,” kata Encik Amin dalam sebak yang mencengkam jiwa. Perasaannya terus tertekan. Hatinya terus merintih.

Amir Rifqi menggeleng. Sungguh dia tidak mengerti dengan bicara ayahnya itu. Ya Allah, kenapa keluargaku di uji sebegini?

“ Abah nak pergi mana?” tanya Amir Rifqi.

Ah, pastinya abah akan di bawa pergi oleh anggota polis itu. Tetapi kenapa? Apakah kesalahan yang telah dilakukannya?

Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya seperti mana mereka mendidikku dari kecil hinggalah dewasa.

“ Abah tak bersalah sayang. Abah dianiaya,” kata Encik Amin. Kemudian dia mencium ubun rambut Amir Rifqi. Dan tatkala ciuman berderai, tubuh Encik Amin terus di heret oleh anggota polis.

Amir Rifqi terpaku. Hatinya tersiat dalam. Tidak sanggup dia menyaksikan keadaan itu. Ayahnya dibawa pergi persis seorang penjenayah besar.

“ Abah, abah, jangan tinggalkan Rifqi,” jerit Amir Rifqi.

Namun jeritan Amir Rifqi itu langsung tidak dipedulikan oleh anggota polis tersebut. Mereka terus membawa Encik Amin menuju ke kereta polis yang diparkir di hadapan rumah. Sampai sahaja di hadapan kereta, tubuh Encik Amin terus ditolak masuk ke dalam kereta.

Ya Allah, sakitnya hati ini. Pedihnya. Seorang bapa yang menjadi tunjang kepada sebuah keluarga di bawa pergi dalam keadaan aib begini. Tidak! Tidak! Ayahku bukan seorang penjenayah! Tak mungkin! Hatinya terus menafikan apa yang sedang dilihatnya.

“ Abang! abang!”

Kali ini barulah Amir Rifqi sedar akan kehadiran ibunya di sisi. Ibu yang banyak menyepi sejak dari tadi. Airmata semakin laju mengalir di pipi. Pantas tubuh Puan Ainina dipeluknya erat.

“ Ya Allah, kenapa Kau uji keluarga ku seberat ini?” rintih Puan Ainina dalam dakapan Amir Rifqi.

Previous: Bab 2
Next: bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.