Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
124,601
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 5

AUNTY Sofie menghulurkan sekeping kad nama. Tanpa memandang ke arahnya, aku mengambil lalu diselitkan di celah diari. Sekejap lagilah telefon. Yang sebenarnya, otak aku dah tepu dengan mesyuarat dari pagi tadi!

“Petang nanti ikut mama pergi KL Festival City. Kita pergi tengok tapak spa tu. Hani tak ada nak pergi mana-mana, kan?” Mama bertanya. Auny Sofie pula sudah hilang dari bilik pejabatnya.

Aku menggeleng perlahan. Sejak tadi aku membelek pelbagai risalah mengenai spa mama. Kadang-kadang membuka pula beberapa buah fail untuk rujukan yang berkaitan dengan pemasaran dan produk. Hish, pening!

Itulah padahnya kalau selama ini tak mengambil tahu perniagaan ibu sendiri. Nampak sangat aku tak pernah pergi spa mama. Lebih tepat, tak pernah pergi spa! Ye, betul! Tak tipu.

“Mama, boleh tak Hani bawa balik saja fail ni? Peninglah nak teliti satu persatu.” Aku bertanya.

Sumpah! Aku rasa macam nak pitam. Budak akaun cuba menguruskan perniagaan? Bunyi macam tak kena walaupun dalam satu dunia yang sama. Selama ini, hanya nombor-nombor yang setia menemani tapi kali ni, akan ditemani dengan pelbagai karenah manusia dan strategi perniagaan.

“Tanya Aunty Sofie yang mana boleh bawa pulang. Ada yang confidential tu, tak semua Hani boleh ambil.” Mama yang masih nampak muda dan anggun berkebaya labuh dan bertudung ala-ala Dato’ Siti Nurhaliza itu bangun dari kerusi kerja Aunty Sofie lalu melangkah keluar.

“Mama nak pergi mana?”

Facial. Nak buat sekali tak dengan mama?” Mama bertanya ketika dia berhenti berhampiran muka pintu.

Aku menggeleng perlahan dan menongkat dagu di meja kerja. Tak naklah buat facial! Wajah aku bukannya penuh jerawat dan memang tak ada masalah pun. Risau kalau produk baru Aunty Sofie tak berapa ngam dengan kulit wajah sendiri.

“Aik, pengurus spa tak nak buat rawatan untuk diri sendiri? Macam mana nak yakinkan klien?” Mama mengusik dan sebelum sempat aku menjawab, dia melangkah keluar dari bilik.

Aku pula mengeluh kecil. Mampukah aku mengendalikan spa mama? Gerun pula rasanya. Cawangan pertama yang terletak di Kuantan mendapat sambutan memberansangkan dan cawangan Mid Valley juga tidak kurang hebatnya.

Kata abah, belum cuba belum tahu. Lagipun, mama dah berjanji, kalau dalam masa beberapa bulan spa ini tak berkembang, mama sendiri akan turun ke Kuala Lumpur untuk menjaganya. Nampak gayanya, aku tak perlulah bimbang sangat, betul tak?

Sebelum mataku naik juling, baik aku berehat sekejap. Lantas, aku bangun dan menuju ke ruang hadapan. Aku mencuri sedikit masa untuk memperhatikan keseluruhan konsep cawangan Mid Valley ini.

Ternyata, ianya begitu kasual dan nampak menyenangkan. Dari dulu lagi memang impian mama mahukan sebuah spa yang khas untuk muslimah saja. Selain rawatan muka, spa ini juga menyediakan rawatan untuk badan, rambut, kuku tangan dan kaki serta persiapan bakal pengantin.

“Hani, datang sini sekejap.” Dari jauh, Aunty Sofie menggamit aku ke arah kaunter hadapan yang berbentuk ‘S’. Aku memberikan senyuman untuk beberapa orang pelanggan yang berada di sekitar ruang hadapan.

Ada yang sedang minum dan ada juga yang sedang berbual-bual. Ehem, bakal pengurus kenalah bersikap peramah. Adoi, rasa pelik saja terpaksa memaniskan muka setiap kali berpandangan. Namun, apa salahnya, kan? Senyum itu sedekah. Mudahnya nak dapat pahala.

“Aunty nak kenalkan kamu dengan Nisa, pengurus pemasaran merangkap pembantu Aunty kat sini. Dia dah 4 tahun bekerja dengan spa ini. Nisa akan ditukarkan ke cawangan baru,” jelas Aunty Sofie panjang lebar.

Mak aih! Cantiknya dia ni! Subhanallah. Adakah kegebuan dan wajahnya yang putih ni disebabkan oleh penggunaan produk Aunty Sofie dan rawatan Safiya Spa? Kalau ya, oh menyesalnya aku tak gunakan perkhidmatan spa mama dari awal!

Eh baru aku perasan dia hulurkan tangan untuk bersalam! Ya ALLAH, janganlah dia fikir aku bukan-bukan sebab lama sangat memandangnya dari atas kepala sampai bawah.

Ikatan selendang yang marvellous dengan baju labuh fesyen fish tail berwarna peach dan dipadankan dengan seluar putih. Make-up sederhana pun nampak cantik! Aish, ini bukan keimanan aku saja tergugat, kalau lelaki agaknya dah melutut kat depannya.

Mujurlah spa ini untuk muslimah. Kalau untuk semua jenis, mahu beratur pelanggan kat luar. Wahai Hani, bila kau nak jadi macam ni? Pengurus pemasaran lagi superb dari pengurus cawangan? Ini tidak adil!

“Hai, selamat bekerjasama.” Genggaman tangannya erat, disertai senyuman yang manis. Ye, memang banyak aku puji, kan? Aku tahu. Nak buat macam mana? Segala pujian itu hanya untuk-NYA, Pencipta kita.

Nisa segera meminta diri selepas itu apabila seorang pelanggan yang duduk di sofa berwarna peach memanggilnya. Aku melihat kepetahannya berbicara. Banyak betul ni aku nak kena belajar.

Setelah melihat ruang bilik rawatan, sauna dan sekitar spa, aku kembali ke bilik pejabat Aunty Sofie. Tiada sesiapa di situ dan aku pasti, mama masih dalam bilik rawatan facial. Aku menjeling jam dinding.

Jam dua! Padanlah perutku menyanyi riang. Pukul berapalah agaknya mama nak pergi KL Festival ni? Aku melabuhkan punggung ke atas kerusi dan membelek kertas cadangan spa.

Ah! Lupa pula nak telefon! Cepat-cepat aku mengambil kad nama yang Aunty Sofie bagi sebentar tadi dan membeleknya. Hmm, syarikat TheBuilt Sdn Bhd.

Azeem Hafiz. Pengurus projek. Tanpa sedar, aku mengangguk perlahan dan menyebut namanya berulang kali. Seperti pernah aku dengar namanya. Emm, ada tertengok kat Facebook kot?

Aku mengambil telefon bimbit dan mendail nombor telefonnya. Sekali. Mesin operator yang menjawab. Kali kedua. Minah operator glamor tu juga yang jawab! Aku mendengus perlahan lalu memutuskan untuk menelefonnya lagi petang nanti.

----------------------------------------------------------

MATAKU menerawang ke segenap pelosok ruang KL Festival City. Seronok okey! Banyak tempat makan! Banyak kedai baju! Banyaknya tempat boleh shopping!

“Hani, kawal nafsu tu sikit.” Kata-kata mama membuatkan aku terus tersedar ke alam nyata.

Alamak baru nak berperasaan lebih tapi dah kena syarahan. Takpe, masanya akan tiba untuk aku menikmati panorama indah nanti seorang diri.

Kami berdua melangkah menaiki eskalator untuk ke tingkat dua. Sampai saja di tingkat tersebut, aroma bau laksa menerjah deria. Hui, syurga makan!

Di tengah-tengah kawasan lapang berhadapan dengan eskalator, terletak deretan kiosk yang menjual pelbagai jenis makanan. Bau laksa itu rupanya datang daripada kiosk yang menjual pelbagai jenis mee.

Mama mengheret aku menghala ke belakang kawasan kiosk dan di situ ada sebuah kain rentang yang menutupi sebahagian kedai.

“Kat sinilah tapak kedai kita. Mama dah dapatkan pelan lantai. Nanti Hani bincang dengan kontraktor tu. Minta dia bagi cadangan pelan dan konsep,” ujar mama.

Aku mengangguk perlahan. Kedai kami terletak bersebelahan dengan tempat pelangsingan badan rupanya. Baguslah tu, dunia yang sama tetapi perkhidmatan yang berbeza.

Paling teruja, spa betul-betul terletak di hadapan deretan kiosk makanan! Wow! Soal makanan sudah tidak menjadi masalah pada aku. Keseronokan untuk bekerja mulai datang sedikit demi sedikit apabila melihat kawasan kerja.

Selesai mendengar serba sedikit cerita mama mengenai undang-undang pengurusan kompleks membeli belah ini, kami terus melangkah.

“Hani dah telefon ke belum kontraktor tu?” Mama tiba-tiba bertanya semasa kami berhenti di hadapan kiosk Takoyaki.

Aku menjawab sambil memandang poster-poster filem yang ada di hadapan MBO Cineplax, “tadi dah telefon tapi tak dapat.”

“Hani telefon pejabat ke atau telefon bimbit dia?” tanya mama lagi sambil duduk di kiosk tersebut untuk menunggu pesanan Takoyaki.

“Pejabat belum telefon lagi.” Aku menjawab ringkas. Bunyi lagu yang kuat dari arah pusat karaoke berhampiran menyebabkan aku terpaksa bercakap dengan nada kuat.

“Telefonlah dulu. Jangan lambat-lambat. Orang lain pun banyak kerja.”

Alahai mama ni memang tak bagi aku peluang rehat langsung. Nak buat macam mana, begitulah sikap seorang ketua. Sentiasa mahu buat kerja secara pantas untuk tidak membuang masa.

Sambil menelefon pejabat lelaki tersebut, aku melangkah ke arah yang lebih tenang sedikit suasananya.

“Selamat petang, TheBuilt Sdn Bhd. Boleh saya bantu?” Suara seorang perempuan menjengah ke cuping telinga.

“Selamat petang. Boleh saya bercakap dengan Encik Azeem?” Aku bertanya sambil melihat ke arah kad namanya.

“Sebentar.”

Oh sungguh tipikal apabila terpaksa mendengar muzik selingan yang mendayu. Cubalah letak lagu yang up-to-date sikit. Tak lah bosan klien yang menunggu.

“Maaf ya, Encik Azeem keluar mesyuarat. Siapa ni? Boleh tinggalkan pesanan?” kata perempuan tersebut yang aku pasti adalah seorang penyambut tetamu ataupun staf di bahagian pentadbiran.

“Saya, Safiya Thihani dari Safiya Relaxing Spa. Boleh minta dia telefon saya semula?”

“Ya boleh.”

Lantas, aku memberikan nombor telefon aku untuk dihubungi. Alhamdulillah. Selesai satu masalah! Balik nanti, ada masalah lain lagi. Masalah nak fahamkan struktur perniagaan dan strategi pemasaran!

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.