Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
124,262
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 12

"AYAH!!!” Jeritan seorang anak kecil menye-babkan Azeem yang ketika itu sedang mengunci kereta Prevenya tersenyum.

Rindunya dia pada Nafis! Rindunya juga bersarat terhadap anak-anak di rumah tersebut. Azeem membawa sebuah beg plastik yang sarat dengan pelbagai jenis cokelat dan biskut yang sempat dibelinya di pasaraya tadi.

Rumah sebuah milik ayahnya mempunyai tanah lapang yang luas dan terletak di pinggir bandar Kajang atau lebih spesifik, di Semenyih itu sudah hampir berusia 32 tahun.

Riuh pintu hadapan rumah tersebut dengan jeritan suara kanak-kanak. Hilang terus tekanan kerja Azeem apabila disapa oleh mereka.

“Amboi! Bila ayah Azeem balik saja, semua orang suka ya? Bila Kak Husna ada sini, korang buat tak tahu saja eh?”

Azeem ketawa mendengarkan bebelan Husna yang berkain batik, berbaju lengan panjang warna merah jambu, bertudung dan bercekak pinggang di hadapan kanak-kanak tersebut.

Di tangannya ada sebatang senduk. Azeem pasti Husna datang dari arah dapur. Mungkin sedang memasak untuk majlis malam ini. Lelaki itu menyuakan beg plastik berisi coklat kepada Husna. Husna tersenyum meleret.

“Untuk budak-budak ni. Bukan untuk Husna,” usik Azeem seraya mengangkat Nafis yang sejak tadi menghulurkan tangannya untuk didukung.

Husna menarik muka. “Kenapa pula? Abang ni kan, kejam sungguh. Asyik beli kat budak-budak ni saja. Untuk Husna apa pun tak ada ke?”

Azeem ketawa. “Tak boleh. Nanti Husna bulat makan cokelat ni. Siapa yang nak jaga anak-anak kat sini?”

“Abanglah jaga!” Husna mendengus marah lalu melangkah pergi dari situ.

Lelaki itu hanya tersenyum melihat lenggok Husna. Pandangan kini pula beralih ke arah kanak-kanak yang seramai enam orang itu.

“Anak ayah ni kenapa comot semacam?” Azeem mengesat pipi Nafis yang berair dengan sapu tangan miliknya.

“Hanif, Syukur! Jangan bergaduh! Hah! Ayah tak suka tengok kamu gaduh. Siapa gaduh, tak dapat coklat!” Azeem bersuara apabila melihat Hanif dan Syukur yang berusia enam tahun, mula menolak tubuh masing-masing.

Azeem meletakkan Nafis kembali di atas lantai sementara Hanif dan Syukur telahpun berlari entah ke mana. Matanya menerawang mencari Mimi.

Dia mengerling ke arah Ros, Min dan Lia, tiga lagi kanak-kanak yang telah dianggap seperti anak-anaknya itu sedang bermain masak-masak menggunakan permainan yang dibelikannya dahulu.

Azeem melangkah ke dapur dan terhidu aroma masakan kurma. Dia tersenyum lebar pula apabila melihat Mimi yang duduk di dalam kerusi bayi beroda sedang disuapkan bubur oleh Husna.

Ada tiga orang wanita lagi sedang berada di dapur yang luas itu termasuklah salah seorangnya adalah Mak Su Anis, adik ayah Azeem yang selama ini tinggal bersama. Dua orang wanita lain adalah pembantu sambilan untuk Rumah Amal Esfan milik ayahnya ini.

“Husna, bagi mangkuk bubur tu kat abang. Biar abang suapkan Mimi. Husna pergi tolong mak cik. Bidang masak ni bukan kerja abang. Nak tengok kurma hangus, bolehlah...”

Husna yang muda dua tahun daripadanya hanya ketawa besar sebelum menyerahkan bubur nasi yang telah dikisar halus dan dicampur sayur-sayuran itu kepada Azeem.

“Alah, dah habis pun. Bagilah Husna berehat sekejap. Rasa nak tercabut pinggang ni, hah. Abang tahu tak, tadi Hanif dan Syukur bergaduh besar sampai terjatuh Syukur dibuatnya. Luka jugalah kat tangan,” cerita Husna sambil berdiri.

Tempat duduknya di kerusi kecil itu sudah diambil alih oleh Azeem. Lelaki itu menyuap Mimi perlahan-lahan dan mengelap mulut bayi comel itu dengan kain kerana comot.

“Budak-budak Husna. Macam tulah. Kita berdua dulu pun sama juga. Husna tak ingat? Siapa yang kena jahit berbelas jahitan dulu sebab berebut pisau?” Azeem mengusik lagi.

Dia masih ingat, kata ayah, mereka berdua bergaduh berebutkan pisau. Azeem memegang di bahagian hulu pisau, manakala Husna yang tiba-tiba datang, memegang hujung pisau yang tajam lalu berlakulah aksi yang tidak diingini.

“Yelah. Tengok ni, masih berbekas tahu. Semuanya angkara abang!” Husna menunjukkan jari manis dan jari kelingkingnya yang mempunyai parut panjang.

Azeem ketawa kecil. Mereka berdua ingat-ingat lupa peristiwa tersebut kerana ketika itu Azeem berumur tiga tahun, manakala Husna pula setahun.

Hubungan mereka akrab sejak kecil walaupun Husna itu bukanlah adik kandungnya. Seingat Azeem, ayah pernah berkata, Husna dijumpai di hadapan pintu rumah mereka sewaktu Azeem berumur dua tahun.

Keluarganya yang tidak bertanggungjawab itu meletak-kan anak yang tidak bersalah itu sehelai sepinggang di situ dengan langsung tidak meninggalkan sebarang tanda ataupun surat.

Amar, ayah Azeem terpaksa menguruskan sendiri bayi tersebut dan dia mengambil keputusan untuk menjaganya, apatah lagi dia hanya mempunyai seorang saja anak dan adiknya juga menyatakan persetujuan.

Pendapatan Amar dengan hanya menjadi pekebun di sekolah menengah yang berhampiran rumahnya mampu menyara mereka anak-beranak. Selain itu, Amar juga mempunyai kebolehan untuk bertukang dan dia menjadikan kerjaya itu sebagai tambahan untuk menyimpan wang simpanannya.

Amar sememangnya mempunyai sifat penyayang yang kuat terhadap kanak-kanak. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk menjadikan rumahnya sebagai rumah kebajikan untuk anak-anak yatim piatu setelah dipersetujui oleh Anis, Azeem dan Husna.

“Husna, nanti senaraikan barang dapur yang nak beli. Esok kita pergi pasaraya. Bawa budak-budak ni sekali. Lama dia orang tak keluar jalan.” Azeem berkata sambil membawa mangkuk yang sudah kosong itu ke sinki.

“Muat ke kereta abang tu?” Husna bertanya seraya mengangkat Mimi yang sudah merengek di dalam kerusinya.

Azeem menoleh memandangnya sambil tersenyum. “Kalau tak muat, Husnalah kena berkorban masuk dalam boot kereta!”

Husna membuat muka untuk kesekian kalinya. Azeem memang gemar mengusiknya. Kadang-kadang sehingga membuatkan dia menangis. Dia sayangkan Azeem, malah kadang-kadang dia sedar bahawa sayangnya melebihi rasa sayang seorang adik kerana dia tahu bahawa mereka bukan adik-beradik yang sebenar.

Azeem mampir dan menghulurkan tangannya ke arah Mimi. Bayi itu tertawa riang sambil cuba mahu pergi ke dalam pelukan Azeem. Husna hanya menggeleng perlahan. Hatinya dijentik rasa aneh dengan keadaan sebegitu.

“Abang, dahlah. Tak payah main dengan Mimi lagi. Nanti lepas Isyak orang surau datang rumah. Baik abang pergi siap cepat!” Husna cuba menghilangkan rasa gugupnya.

“Eh la! Abang lupa pula!” Azeem ketawa dan sempat membenamkan bibirnya di pipi Mimi yang mengekek kesukaan.

Lelaki itu terlalu hampir dengan wajahnya lalu membuatkan Husna terus kaku sambil mendukung Mimi yang selalunya menjadi lebih aktif sekiranya berada di samping Azeem.

Gadis itu mengeluh perlahan apabila Azeem telah hilang daripada pandangannya. Dia merenung wajah Mimi yang bersih. Takdir bayi kecil itu seperti dirinya juga. Tidak tahu di mana ibu dan ayah yang sebenarnya berada.

Husna berjanji untuk menjaga mereka dan menyayangi mereka seperti mana yang dilakukan oleh Ayah Amar, Ibu Anis dan Abang Azeem. Namun, perasaannya mula resah apabila dia perasan hatinya kerap merasakan debaran yang tidak menentu apabila bertemu dengan Azeem sekarang.

Gadis itu membawa Mimi menuju ke biliknya. Dia sempat melihat ke bilik tidur kanak-kanak lain dan melihat mereka bergelimpangan di situ. Husna hanya tersengih melihat gelagat masing-masing yang sedang bermain bersama-sama.

Setelah meletakkan Mimi, Husna melihat ke arah buku tempahan jahitan miliknya. Sejak tamat SPM, dia mengambil upah untuk menjahit baju, langsir dan juga pakaian lain untuk menambahkan pendapatan dan membantu rumah amal ini.

Bagi Husna, dia bersyukur kerana ALLAH SWT memberikannya ruang untuk merasai kasih sayang seorang ayah, ibu dan keluarga yang bukan darah dagingnya.

Walaupun dia berasa kesal dan sedih kerana tidak tahu dari mana asal-usulnya, dia tetap berdoa agar dibukakan pintu hati keluarganya yang sebenar untuk mencarinya.

Husna juga mendoakan kebahagiaan ibu bapanya yang sebenar walaupun dia tidak pernah melihat mereka. Kata Ayah Amar, seteruk mana pun mereka, mereka tetap darah daging kita. Husna teringin mahu berjumpa mereka. Jika bukan di dunia, dia mendoakan agar mereka berjumpa di syurga. Itulah doanya setiap hari tanpa jemu.

Justeru, Husna mencari wang pendapatan lebih untuk sama-sama menjaga anak-anak di rumah ini. Kebahagiaan anak-anak tersebut adalah kebahagiaannya juga. Husna masih terus merenung dirinya sehinggalah bilik tidurnya diketuk perlahan.

Gadis itu lantas mencapai tudung dan memakainya sebelum membuka pintu. Azeem yang hanya berkain pelikat, berbaju melayu dan songkok itu tersenyum lebar memandangnya manakala Husna pula sudah mengetap bibir menahan rasa debarnya.

“Abang dah siap ni. Mana Mimi? Husna dah culik ya tak nak bagi abang main-main dengan dia?”

“Ish abang ni. Masuklah, dia ada atas katil tu.” Husna membuka pintu bilik dengan luas.

“Jom kita main kat bilik Kak Husna!”

Jeritan Ros yang tiba-tiba saja muncul di bilik Husna beserta anak-anak yang lain mengejutkan Husna. Mimi yang juga terkejut kerana jeritan tersebut, menangis dengan kuat. Azeem dan Husna berpandangan kerana kekecohan kecil itu.

“Abang! Yang abang bawa askar-askar sekali masuk dalam bilik Husna buat apa?!” Husna menjegilkan matanya.

Azeem mengangkat tangannya tanda orang tidak bersalah sambil tersengih. “Ops! Abang pun tak perasan dia orang ada sini tadi.
Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.