Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 11: Masni dan Rakan Sekerja dari Neraka

Dia tidak memberitahu Safiah masalahnya sekalipun jelas sekali Safiah ingin tahu. Bukan kerana dia tidak percaya pada Safiah tapi kerana dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya.

Masalahnya bermula enam bulan lalu. Tidak, hal tersebut bermula setahun yang lalu, ketika dia baru bertukar jabatan. Dia yang sebelum ini bekerja di Jabatan Sumber Manusia telah ditukarkan ke bahagian Jualan kerana mereka kekurangan pekerja. Dia tidak mahu, kerana dia bukanlah seorang yang ramah mesra melainkan bila dia bersama rakan-rakan terdekat. Namun begitu, dia menerimanya apabila pengurusnya, Encik Saleh merayu agar dia bersetuju.

“Bolehlah ya, Masni? Kami memang perlukan orang untuk kerja kat sini.”

“Tapi saya tak pandai, encik.”

“Semua tu boleh belajar. Ramai yang masuk bidang ni tanpa ada kemahiran apa-apa. Tapi after a while, diorang semua develop skil tu. Ini bukan saja bagus untuk kerjaya awak tapi juga untuk diri awak sendiri.”

Dia termakan umpan itu. Dia fikir itu perkara yang baik. Dia boleh mengasah kemahiran sosialnya. Dari mana lagi dia akan mendapat peluang melakukan hal tersebut? Pekerjaan tersebut pasti akan membuatkan dia lebih pandai berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Anggapkan saja seolah-olah dia dibayar untuk mengasah skil komunikasi berbanding orang lain yang terpaksa membayar untuk menyertai kelas komunikasi.

Lalu dia menerima jawatan tersebut.

Malang sekali, hanya selepas itu baru dia tahu realiti sebenar kerjayanya. Tidak seperti kerjanya sebelum ini yang hanya memerlukan dia memberikan prestasi yang baik, kini dia perlu bekerja berdasarkan kuota yang diberi dan dia perlu mencukupkan kuota jualan tahunan. Dia perlu menepati tahap piawaian dalam penilaiannya. Malah tidak mudah untuk melakukan kerja tersebut apabila anda bukan seseorang yang ada kemahiran untuk meyakinkan sesiapa apa yang anda ingin jual.

Dalam enam bulan pertama, dia tidak menepati kuota yang sepatutnya. Dari lima klien berpotensi yang ditugaskan kepadanya, dia hanya berjaya membuat jualan kepada sebuah syarikat sahaja. Hal tersebut membuatkan Masni rasa sakit hati bila semua usahanya berakhir dengan penolakan, apatah lagi bila dia bersungguh-sungguh melakukannya.

Bidang tersebut amat sukar untuk ditempuhi. Dia pernah bertemu dengan eksekutif jualan yang lain dan mereka semua tampak sungguh mencabar. Setiap eksekutif memiliki gaya tersendiri. Dengan solekan yang tebal, pakaian yang agak menjolok mata atau berjenama, tumit tinggi yang tidak kurang dari tiga inci, minyak wangi yang harum semerbak sehingga anda boleh hidu dari jarak 100 meter, semuanya punya senjata sendiri untuk menarik perhatian klien.

Masni lihat dirinya sendiri. Dia yang bercermin mata, menyembunyikan matanya yang kecil, diwarisi daripada nenek moyangnya yang berasal dari tanah Siam. Dia yang berkemeja dan seluar sut biasa. Kasutnya sentiasa leper kerana dia tidak suka menyeksa kakinya. Dia yang sejak dahulu lagi suka menyelempang beg tangannya seperti pelajar sekolah, kad matriknya sentiasa diikat di beg dan jarang digantung di leher seperti orang lain. Dia yang pudar di balik gadis-gadis setinggi lima kaki tujuh dengan haruman Elie Saab atau Chanel No. 5.

Dia tidak mahu menjadi si gadis yang menyalahkan kecantikan orang lain sebagai punca dia tidak berjaya. Malah Masni tidak suka spesis wanita yang sentiasa merasakan kegagalan mereka berpunca daripada kecenderungan orang lain memilih seseorang yang tampak lebih seksi atau jelita. Namun begitu, dia juga rasa bengang apabila setiap usahanya tidak membuahkan hasil dan dia rasa lebih mudah untuk meletakkan kesalahan tersebut ke atas bahu eksekutif jualan lain yang suka bermain cinta dengan klien mereka.

Menyedari yang dia makin lama semakin berubah menjadi golongan yang dia tidak suka itu, Masni membuat keputusan untuk mencuba dengan lebih jitu. Dia pendam semua kekecewaannya dan dia terus berusaha. Jika dulu dia sentiasa pulang pada waktunya, kini dia akan balik lewat. Dia cuba untuk mendapatkan projek daripada kliennya. Dia akan terus menghubungi mereka dan sentiasa menghantar kerjanya secepat mungkin. Dia berusaha untuk bertemu dengan setiap pelanggan, bertanya khabar, mewujudkan hubungan yang baik sekalipun masa, keadaan dan tempat yang dia miliki agak terhad.

Dia tidak boleh melakukan hal yang sama seperti Jane dan Eloise, yang bertemu kliennya di kelab-kelab yang menghidangkan arak. Dia tidak boleh jadi seperti Elina yang boleh merokok bersama-sama kliennya. Dia juga tidak boleh bertindak seperti Hasrin yang boleh bertepuk tampar dengan klien yang sama jantina. Setiap kali mereka bermesyuarat, Masni terpaksa tahan telinga mendengar kejayaan rakan sejabatan yang lain sementara dia masih tidak berjaya memenuhi kuotanya. Dia juga terpaksa tahan sabar mendengar komen-komen mereka.

“Kalau you tak serius, memanglah you tak akan dapat projek,” kata Hasrin.

Dia mempertahankan dirinya. Dia kata dia sedang mencuba dan dia sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Namun rezeki masih belum berpihak kepadanya. Lagipun berbanding mereka berempat yang bekerja dalam dua pasukan, dia masih sendirian melakukan semuanya.

“It’s not about the amount of hardwork, Masni. It’s about the result,” itu yang Jane katakan.

En. Saleh yang kasihan pada Masni. Dia tahu Masni berada dalam kesulitan kerana menerima tawarannya. Kerana itu dia segera mempertahankan gadis itu.

“It’s okay, guys. Masni masih baru. Kita perlu beri dia masa.”

Namun tindakan itu hanya mengundang khabar angin, kononnya Encik Saleh sayangkan Masni. Kononnya En. Saleh dan Masni mungkin lebih dari sekadar ketua dan orang bawahan dan kerana itu Masni membuntutinya ke jabatan tersebut. Masni pujuk diri untuk bersabar dan cuba membuktikan dirinya melalui kerjanya. Namun kejayaan yang dia harapkan masih belum berlaku dan kata-kata belakang semakin menikam.

Itu sebelum kehadiran Badariah.

Masni sangat lega apabila Badariah muncul di jabatan mereka dan diperkenalkan sebagai eksekutif jualan yang baru. Badariah tidak banyak bezanya dengan Masni. Dia budak baru yang tidak tahu politik pejabat. Dia juga tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang jualan korporat, memandangkan sebelum ini dia bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan di sebuah bank.

Encik Saleh menugaskan Masni untuk membantu Badariah dalam menggunakan sistem dan aplikasi yang diperlukan untuk melakukan kerja mereka. Ada beberapa langkah yang perlu dibuat sebelum satu-satu tender itu dihantar. Kerjasama mereka berdua merapatkan hubungan antara Masni dan Badariah. Buat kali pertama Masni merasakan yang dia tidak bersendirian dalam jabatan tersebut. Encik Saleh menjadikan mereka sepasukan.

Namun itu empat bulan yang pertama. Selepas tempoh percubaan Badariah dalam dua bulan pertama, gadis itu mula berubah. Badariah yang baik dan pemalu itu mula menunjukkan sikap sebenar. Pada mulanya dia melakukan perkara-perkara kecil, seperti banyak menghabiskan masanya dengan Elina dan Jane. Kemudian dia mula berpakaian seperti mereka. Tudung bawalnya mula bertukar menjadi turban, baju kurung modennya mula bertukar menjadi gaun dan seluar sendat. Kasut sarungnya mula bertukar menjadi killer heels. Dia juga mula berbau minyak wangi berjenama.

“Issey Miyake. Sedap tak?” tanya Badariah sambil menghulur tangannya ke arah muka Masni. Mungkin sedap bila dihidu dari jarak 100 meter. Bila di depan hidung, baunya tak ubah seperti bahan kimia yang boleh membunuh.

“Boleh tahan,” jawab Masni pendek. Dia tidak faham keperluan untuk menyembur minyak wangi macam menyembur Ridsect, tapi demi menjaga hati Badariah, dia bersetuju sahaja.

“El yang cadang kat Bad untuk beli yang ni,” jelas Badariah tanpa dipinta.

Masni cuma membalas dengan senyuman.

Namun hubungan mereka semakin lama semakin menjauh, apatah lagi Masni mula merasakan dirinya dipergunakan oleh Badariah. Pada awalnya dia tidak sedar. Masni sangka Badariah memang tidak tahu apa-apa kerana bidang tugasnya yang dahulu amat berbeza dengan pekerjaannya sekarang.

Masni tidak mahu menjadi seperti empat rakan sejawat yang lain. Mereka tidak membantu Masni melakukan apa-apa ketika pertama kali dia dipindahkan ke jabatan tersebut. Masni perlu belajar menggunakan sistem dan cara menghantar tender sendirian. Bila En. Saleh ada masa lapang, pengurusnya yang akan datang membantu, itu pun hanya mengakibatkan desas-desus dari mereka berempat mengenai hubungan baiknya dengan En. Saleh.

Jadi Masni tidak mahu melakukan hal yang sama dengan Badariah. Bila gadis itu tidak tahu, Masni mengajarnya dengan sabar. Bila Badariah tersilap, Masni yang akan membetulkan kembali kerjanya. Badariah sangat menghargai jasa baiknya dan sentiasa memuji Masni. Namun begitu, kini Masni rasa mungkin dia hanya ditipu gadis itu. Dia mula merasakan Badariah mempergunakan kebaikannya untuk kepentingan sendiri.

Contohnya seperti apa yang berlaku hari ini yang menyebabkan Masni lambat pulang dan tidak dapat berjumpa dengan bakal penyewa baru mereka.

Usai makan tengah hari, dia menghadiri mesyuarat dengan semua pekerja di bahagian jualan. Masni muncul bersama Encik Saleh selepas mereka bertembung di parkir. Melihatkan mereka masuk ke bilik mesyuarat bersama, para eksekutif yang lain mula berpandangan sesama sendiri, ada senyuman menyindir di bibir mereka.

“Mana Bad?” tanya En. Saleh.

“Bad call I tadi, En. Saleh. Dia kata dia ambil half day hari ni. Malam tadi dia duduk ofis sampai pukul 11 malam. Dia rasa tak sihat,” jelas Elina sambil berpeluk tubuh.

“Kenapa dia duduk ofis sampai 11 malam?” tanya En. Saleh.

Apparently dia kena siapkan sorang-sorang tender yang sepatutnya dihantar pagi ni. And here I thought we all have our team,” perli Elina, memperlahankan suaranya pada ayatnya yang kedua, tapi cukup kuat untuk didengari Masni.

Memang benar. Masni tidak nafikan bahawa Badariah telah pulang lewat kerana menyiapkan tender. Tapi itu disebabkan dia tidak pulang ke pejabat pada waktu yang sepatutnya. Masni dan Badariah telah keluar bertemu klien pagi sehari sebelum itu dan mereka sepatutnya pulang selepas waktu makan tengah hari.

Tapi entah bagaimana, Badariah tidak sampai ke pejabat pada waktunya. Masni harus bertemu dengan klien lain petang itu, jadi dia tidak dapat membantu Badariah menyiapkan tender. Usai bertemu klien, jam sudah pun menunjukkan pukul 7 malam. Masni telah menghubungi Badariah dan bertanya sama ada Badariah perlukan pertolongannya, tetapi Badariah kata dia boleh lakukan sendiri.

“Salah Bad sendiri sebab balik lambat,” ujar Badariah pada malam dia pulang lewat tersebut.

Oleh sebab itu, Masni membuat keputusan untuk pulang dan membiarkan Badariah menyiapkan kerjanya.

Dia baru hendak membuka mulut untuk menjawab tetapi Encik Saleh terlebih dahulu bersuara.

“Tak kisahlah kalau rasa tak sihat atau apa pun. Tapi sepatutnya dia beritahu saya dulu, bukannya keluar sesuka hati. Kalau bukan saya pun, dia sepatutnya beritahu Masni.”

“Kenapa Masni pulak?” tanya Eloise pula, tidak puas hati dengan apa yang Encik Saleh katakan. Masni bukannya pengurus ataupun eksekutif kanan.

“Dia satu pasukan dengan Badariah. Dia patut tahu apa-apa yang Badariah buat,” jelas Encik Saleh.

Mereka berempat diam membatu, namun Masni nampak rasa ketidakpuasan yang jelas tertera di muka masing-masing.

Selesai sahaja mesyuarat, Masni kembali ke tempat duduknya. Dia baru sahaja hendak memulakan kerjanya apabila dia mendapati tender yang sepatutnya dihantar oleh Badariah tidak ada dalam senarai emelnya. Bagi setiap tender yang dibuat, eksekutif yang bertanggungjawab sepatutnya menghantar laporan penghantaran kepada emel umum bahagian jualan. Namun begitu, Masni tidak menemui emel tersebut. Dengan rasa tidak sedap hati, dia memeriksa sistem. Nama Badariah dan nama syarikat tidak ada. Dia terus ke meja Badariah dan mendapati kotak berisi dokumen yang sepatutnya dihantar gadis itu masih berada di atas meja.

Masni segera menghubungi Badariah.

“Helo?” suara Badariah menunjukkan dia mengantuk. Pasti dia sedang tidur ketika panggilan itu dibuat.

“Bad, ni Masni ni.”

“Ada apa Mas?” tanya Badariah.

“Bad tak hantar tender ke?”

“Tender apa? Kan Mas yang sepatutnya hantar?”

“Bad tak cakap pun.”

“Bad dah cakaplah semalam. Bad kata biar Bad yang siapkan. Esok pagi, Mas hantar.”

Masni mengerut dahi. Seingat dia, Badariah tidak ada mengatakan apa-apa, kecuali yang dia boleh menyiapkan tender itu sendiri.

“Bad tak cakap.”

“Bad cakaplah,” suara Badariah mula meninggi.

“Kalau Bad ada cakap pun, kenapa Bad tak letak atas meja Mas atau ingatkan Mas pagi tadi?”

“Mas, Bad tak sihatlah. Lagipun Bad memang dah beritahu Mas semalam. Bad assume jela Mas tahu dan dah ambil.”

Masni mengurut dahinya. Ini tidak mungkin berlaku. Tender tersebut amat penting dan mereka sepatutnya menghantar semua dokumen tersebut pada awal pagi tadi.

“Tak apalah kalau macam tu,” ujar Masni.

“Eh, jangan salahkan Bad tau. Mas yang tak dengar apa Bad cakap,” ujar Badariah. Suaranya lembut, tapi bernada menuduh.

Masni terus mematikan panggilan. Dia segera kembali ke mejanya. Tender tersebut perlu dihantar dalam dua cara. Salinan digitalnya perlu dihantar melalui portal rasmi e-Perolehan di internet sementara dokumen salinan cetaknya perlu dihantar ke pejabat klien. Jika satu daripada salinan tersebut tidak dihantar, tender tersebut akan dianggap tidak sah dan ditolak. Tempoh untuk menghantar hanya dibuka sehingga 12 tengah hari sahaja.

Masni menemui kotak dokumen di meja Badariah pada jam 3.35 petang.

Dia segera bangun. Beg tangannya disangkut ke bahu dan kotak berisi pelbagai jenis fail dan dokumen tender yang perlu dihantar itu terus dimasukkan ke dalam beg. Ketika itulah Elina muncul sambil tersenyum-senyum.

“Masni, boleh tolong I tak? Tolong check my grammar,” ujarnya.

“Kemudian ya, Eli?” pinta Masni sebelum tergesa-gesa keluar dari pejabat. Dia ada terfikir untuk memberitahu En. Saleh, tetapi Masni tidak fikir dia punya masa yang cukup untuk itu. Dia tidak fikir dia punya masa langsung untuk menghantar tender tersebut, tetapi dia perlu mencuba. Apa gunanya dia menghadiri taklimat tender dan menghabiskan wang syarikat untuk membeli perisian akses e-Perolehan sekiranya akhirnya mereka tidak menghantar dokumen mereka.

“How rude!”

“Mana dia nak pergi tu?”

Itu ayat terakhir yang dia dengar dari Elina dan Hasrin sebelum dia menolak pintu cermin dan terus berlalu.

Dia tiba setengah jam selepas itu, sekalipun kaunter penghantaran telah lama ditutup. Masni merayu-rayu agar dokumennya diterima, sekalipun kerani yang berada berdekatan kaunter tidak mampu melakukan apa-apa.

“You bukan lambat seminit dua tau. You lambat beberapa jam,” ujar kerani tersebut, sebelum meninggalkan Masni sendirian, masih tercungap-cungap sambil memeluk kotak yang agak berat.

Dengan sebegitu saja, semua hasil kerjanya musnah.

Dia tiba semula ke pejabat pada jam lima petang. Masni hanya mahu berehat seketika memandangkan dia sudah penat naik turun tangga untuk menghantar tender yang bukan menjadi tugasnya. Kerjanya sendiri masih banyak yang terbengkalai. Namun begitu, Elina muncul sekali lagi di depan mejanya.

“Kenapa tadi you blah macam tu je? Biadap tau,” ujar gadis itu.

“Maaflah, Eli. Tadi I tergesa-gesa hantar tender,” Masni jujur.

What? You baru hantar tender? Apa yang you buat dari pagi tadi?”

Elina tidak perlu menguatkan suaranya kerana pejabat itu cukup sunyi. Namun dia sengaja melakukannya agar rakan-rakan sejawat lain mendengarnya. Serentak dengan itu, ketiga-tiga eksekutif yang lain menoleh ke arahnya.

“You baru hantar tender?” Eloise mengerut dahinya.

Di bahagian jualan ini, mengumumkan penghantaran tender yang lambat tidak ubah seperti mengumumkan bahawa anda baru sahaja membunuh seorang kanak-kanak...

...yang miskin...

...kurang upaya...

...dan tinggal di Palestin.

“Bukan I saja hantar lambat. Bad tak beritahu I yang dia belum hantar,” dia ingin menjelaskan dengan lebih lanjut, tetapi kata-katanya dipotong oleh Elina.

“Mas, you satu team. You tak boleh salahkan Bad. Lagipun dia penat siapkan tender tu sepanjang malam sampai demam. Janganlah lepaskan tangan macam tu je,” ujar Elina. Nadanya selamba, tidak ada bunyi menuduh atau menghina, tetapi Masni tetap terasa hati.

Bagaimana pula tidak? Kini mereka sedang memandangnya seolah-olah dia gadis yang tidak punya perasaan dan hanya mementingkan dirinya. Pada akarnya, dia tahu dia tidak bersalah. Tapi kata-kata orang sekelilingnya kini mula mempengaruhi fikirannya. Masni mula rasa yang dia memang bersalah dan dia telah menyusahkan Badariah. Dia mula berfikir yang sekiranya syarikat tidak mendapat projek tersebut, dialah puncanya.

Dia tidak membalas kata-kata rakan sejawatnya. Dia terus diam dan menghidupkan semula komputer ribanya yang berhibernasi sejak dia meninggalkan pejabat tadi. Ada beberapa emel baru daripada Elina yang meminta dia untuk memeriksa dokumennya. Ini bukan tugas Masni. Kalau Elina perlukan bantuan dengan kerjanya, dia patut memintanya dari Hasrin. Namun begitu, Masni tidak mahu mencari gaduh. Dia tidak sukakan konflik. Oleh itu dia membuat keputusan untuk melakukannya.

“Masni, about the documents, siapkan hari ni tau. Esok I kena hantar. Jangan pukul empat petang esok pulak baru you nak buat,” sindir Elina.

“Okay,” ujar Masni, tidak faham kenapa dia membenarkan dirinya dibuli, tetapi tidak tahu caranya untuk menghalang hal tersebut daripada berlaku.

Kerana itu dia hanya tiba di rumah pada jam sebelas malam dan kini sedang makan maggi tomyam sambil menonton ‘Peep Show’ di komputer riba seorang novelis.

Tapi Safiah tidak perlu tahu tentang itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.