Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 3: Bila Masni kata...

“Kenapa kau nak pening kepala fikir? Dia orang yang kahwin,” tanya Masni sebaik sahaja aku menyampaikan berita tersebut kepadanya sepuluh minit kemudian. Aku menemui gadis itu di biliknya, gigih bermain Candy Crush di tablet PC yang baru dibelinya selepas mengalami tekanan perasaan di tempat kerja sejak akhir-akhir ini. Dia bertanya soalan padaku, tetapi matanya tidak beralih daripada skrin gajet kesayangannya itu.

Oleh sebab yang demikian, demi menjawab soalan Masni itu, aku terpaksa menggunakan kaedah penjajahan melalui ketakutan, ala tentera Yamashita. Sila perhatikan.

“Kalau dia kahwin, mesti dia akan pindah dari sini. Nanti margin sewa bertambah woh.” Ujarku.

Masni menghentikan permainannya sejenak dan memberi perhatian kepada aku. Penjajahan melalui ketakutan merupakan cara tentera Jepun cuba meyakinkan penduduk di tanah jajahannya bahawa penjajah Barat akan menindas dengan lebih teruk berbanding mereka, bangsa Jepun yang kecil dan comel. Siapa yang akan meragui mereka, bukan? Mereka cuma bangsa Asia yang hidup melalui sektor pertanian seperti orang lain, tidak mungkin akan menumpahkan begitu banyak darah di negara orang.

Kaedah tersebut juga boleh digunakan apabila anda tahu ketakutan utama rakan penyewa ialah sewa yang naik.

“Bila dia kata dia nak kahwin?” tanya Masni.

“Hujung tahun ni. Satu di kampung Helmi, satu lagi di KL,” aku mengulang ayat Iza awal tengah hari tadi.

Masni mengangguk-angguk sendiri.

“Tapi aku rasa mungkin dia akan keluar dari rumah sewa lebih awal kot. Keluarga dia pun duduk KL dah sekarang. Mesti dia nak habiskan masa dia duduk dengan famili sebelum kahwin.”

Aku tidak dapat membayangkan Iza yang adakalanya kaki suka buat sepah itu hidup serumah dengan Helmi yang pembersih orangnya. Pembersih, tidak tahu main gitar, mulut celopar. Tidak satu pun sifat tersebut melambangkan lelaki melayu sejati.

Masni menggaru kepalanya. Sewa rumah baru sahaja dinaikkan enam bulan yang lalu. Kenaikan yang mendadak itu dilakukan atas alasan harga diesel naik. Tiada siapa pun antara Masni, Jis dan Iza cuba melawan tuan rumah yang jelas sekali mengaitkan dua perkara yang tidak ada kaitan sama sekali. Namun hal tersebut menyebabkan aku juga terpaksa membayar sewa dan berpindah terus ke rumah itu secara rasminya. Lagipun sejak aku rasmi menjadi teman wanita Roul, aku belum bersedia untuk membiarkan lelaki itu menghantar atau mengambil aku dari rumah ibu bapa aku.

Jadi, sekiranya Iza berpindah dari situ, kami pasti akan mengalami kesukaran untuk membayar sewa yang sudah pun perit untuk dibayar sekarang.

“Kita cari penyewa lain,” ujar Masni, selepas lama berfikir.

Mudah sungguh penyelesaian itu. Kenapalah aku tidak memikirkannya ya? Oh, mungkin kerana aku bukan mencari penyelesaian untuk masalah rumah sewa!

Tapi bagaimana hendak aku nyatakan dilema sebenar aku kepada Masni? Lagipun dia bukan jenis suka bergosip. Seingat aku, punca sebenar dia menghadapi masalah di pejabat ialah kerana dia tidak suka menghabiskan masa menjaga tepi kain orang lain. Bila di rumah, dia suka berpura-pura seperti dia ingin tahu cerita orang lain, tapi sebenarnya dia tidak ambil pusing tentang gosip terkini. Masni lebih suka menyiapkan kerjanya dengan tenang dan pulang bila tiba masa untuk pulang. Bagi golongan cerdik pandai, dia dianggap sebagai seorang yang sangat praktikal. Bagi golongan makcik kepoh, dia dianggap anti-sosial dan memandang rendah orang lain.

Dunia memang aneh. Jika anda tidak mengumpat orang lain, anda dikira berlagak dan perasan hebat. Kemudian anda pula menjadi bahan fitnah di pejabat. Mungkin anda dikatakan seorang yang cuba membodek majikan, atau diam anda itu kerana anda mempunyai skandal yang lebih teruk dan tidak mahu rahsia anda terbongkar. Atau mungkin kedua-duanya sekali.

Aku menunggu saat Masni untuk menceritakan masalahnya kepada aku. Aku boleh lihat di dalam riak wajahnya. Tekanan yang dialaminya itulah yang menyebabkan dia yang selama ini tidak pernah pedulikan gajet terkini telah membeli sebuah tablet PC.

Jika anda tidak suka gajet tetapi membeli gajet yang bukan keperluan hanya kerana anda sakit hati dan tidak boleh berfikir dengan tenang, itu bermakna anda tertekan.

Ada orang menghilangkan tekanan dengan pergi bercuti, ada orang hilangkan tekanan dengan membaca buku motivasi, dan ada pula orang yang membeli gajet terkini. Masni sudah pergi bercuti di Langkawi baru-baru ini bersama rakan-rakan alumninya. Kini dia membeli gajet pula. Aku pasti jika masalahnya tidak juga selesai, dia akan mula membaca buku “La Tahzan”.

Kalaulah dia mahu menceritakannya kepada aku...

Namun siapalah aku di dalam plot ceritanya? Dalam plot cerita aku, Masni adalah rakan rumah sewa. Kami berjumpa di waktu pagi ketika dia hendak ke pejabat dan aku hendak masuk tidur, dan kami berjumpa di waktu malam, ketika dia pulang dari tempat kerja dan hendak masuk tidur, sementara aku hendak keluar menikmati roti canai di restoran mamak. Kami cuma berbual panjang di hujung minggu jika tiada aktiviti lain boleh difikirkan.

Namun jiwa novelis aku ini, yang sentiasa terpikat pada masalah orang lain dan kesengsaraan hidup manusia secara amnya, sangat ingin cuba menyelesaikan masalah Masni. Aku umpama mak cik kepoh di pejabat. Cuma bezanya aku tidak bekerja di pejabat dan aku tidak menabur fitnah. Aku juga rasa aku lebih cool kerana baru-baru ini seorang pengulas buku di akhbar mengatakan aku ini “penulis yang mengolah isu social alienation, randomness dan rutin yang bosan menjadi satu hiburan dan pengajaran kepada umum”.

Pengulas. Suka menjadikan benda yang rutin dan bosan seperti ulasan buku menjadi satu laporan akademik yang menyebabkan penulis seperti aku yang tidak peduli pun dengan maksud istilah ‘social alienation’ merasa dirinya sangat intelektual.

Kembali kepada topik!

“Ya. Mungkin kita kena cari penyewa lain,” balasku, selepas agak lama mengelamun.

Kemudian aku meminta diri untuk kembali ke bilikku sendiri dan memikirkan situasi Iza dan Helmi ini. Masni hanya membuat bunyi ‘hmm’ tanpa mengangkat mukanya daripada tabletnya.

Aku akan pastikan aku dapat mengupas masalah gadis ini. Aku pasti!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.