Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 4

MUKA masing-masing letih tapi dipaksa duduk di sofa empuk buatan tempatan seraya menghadap wajah si ibu yang mencuka sahaja. Sesi interrogationbermula sejak pukul 5 pagi tadi lagi sewaktu dua beradik itu cuba menyelinap masuk ke dalam rumah. Sayangnya si ibu bangun lebih awal pagi ini untuk sesi tadarus Al-Quran sementara menunggu solat subuh.

Mendengar bunyi enjin kenderaan memasuki perkarangan rumah, Puan Bahyah segera mengintai. Melihat kelibat anak-anaknya sedang berjingkit masuk, temperature darahnya serentak mendidih. Bila masanya budak-budak bertuah itu keluar, dia sendiri tidak sedar. Tapi melihat Ubek membawa masuk kotak umpan dan joran pancing, dia segera mengerti ke mana kedua-duanya pergi. Tak habis-habis Ubek ni dengan kegilaannya terhadap ikan! Kalau kat rumah, nak suruh goreng ikan seekor pun berkira! Rungut Puan Bahyah.

Sesekali kelibat Encik Nordin muncul. Seringkali lelaki itu berulang-alik dari dapur ke ruang tamu. Setiap kali itu juga Cika dan Ubek menjeling Encik Nordin, cuba meminta bantuan agar dilepaskan dari hukuman yang bakal menanti. Tapi Encik Nordin hanya tersengih. Kasihan pada anak, tapi dia lebih takut pada isterinya. Kalau dia cari fasal, lagi teruk jadinya.

You all berdua sekarang dah pandai melawan cakap umi ya? Dah berapa kali umi pesan? Mujur umi bangun awal nak mengaji, kalau tak sampai bila-bila pun umi tak tahu yang awak berdua ni buat komplot tipu umi.” Getus Puan Bahyah kesal.

Sorrylah umi, Ubek cuma pergi memancing dekat Ulu Yam, itu aje. Cika yang nak ikut Ubek.” Ujar Ubek dengan muka kasihan yang dibuat-buat.

“Yang awak ni Ubek asyik memancing aje kerjanya. Cubalah sesekali pergi berkebun, keluarkan peluh. Tak pun mainlah Paintball, ada juga faedahnya.” Rungut Puan Bahyah.

Cika tersengih. Main Paintball? Amboi umi, sejak bawa anak-anak murid bermain Paintball di pusat reakreasi, asyik-asyik Paintball aje yang umi sebut.

“The Woods adakan pertandingan memancing umi, besar hadiahnya dekat RM10,000. Itu sebab Ubek ke sana semalam.” Alasan Ubek.

“Uih besar hadiah tu. Habis dapat tak ikannya?” Tak disangka-sangka Encik Nordin menyampuk dari belakang. Turut sama teruja mendengar kisah memancing Ubek yang tidak pernah habis.

Puan Bahyah menjeling panjang ke arah suaminya. “You are not helping me, dear.” Ujar Puan Bahyah dengan ton suara yang manja-manja kucing. Encik Nordin menelan liur. Alamak! Lupa pulak!

“Dapat apa bendanya babah, dapat kasut but adalah.” Bisik Cika. Ubek menjeling tajam. Tak habis-habis Cika mengungkit fasal kasut yang membuatkan dia diketawakan kaki-kaki pancing yang lain. Lain yang diharapkan melekat di mata kailnya, lain pula yang muncul. Entah but siapalah yang boleh melekat di jorannya. Samdol betul!

“Sudah! Tiga beranak ni asyik-asyik cakap fasal pancing. Umi bosan tahu asyik dengar benda yang sama. Sekarang ni, umi tak kasi lagi awak pergi memancing malam-malam. Kalau nak memancing, siang-siang sahaja. Itupun pun hanya hari-hari minggu.”

“Ala umi, tapi…” keluh Ubek.

“Tak ada tapi-tapi. Umi makin risau dengan aktiviti awak ni Ubek. Kalau asyik memancing aje, lama-lama semua kawan-kawan awak akan lari. Muka awak pun dah macam ikan todak, umi tengok.”

Berderai ketawa Cika dan Encik Nordin mendengar Puan Bahyah menyamakan muka Ubek dengan ikan todak.

“Dan awak Cika..” Tumpuan Puan Bahyah kini beralih ke arah Cika pula.

Ketawa Cika mati. Dia berdebar-debar menunggu hukuman apa yang bakal dilaksanakan ibunya kali ini.

“Lain kali umi tak benarkan awak ikut abang awak memancing jauh-jauh malam. Ini kerja orang lelaki, bukan kerja orang perempuan. Umi lebih suka awak belajar menjahit atau belajar memasak. Kalau awak berumahtangga nanti, tidaklah suami awak nanti kelaparan atau pakai baju koyak.”

Cika terkedu. Aduh umi! Dia dah startbalik dah! Ini yang aku malas nak dengar ni. Kalau Ubek yang salah, dia yang akan diungkit soal kahwin. Kalau Ubek terlupa menutup lampu dan kipas di biliknya, dia juga yang dileter soal kahwin. Kalau Ubek tak basuh kereta pun, dia juga yang kena tempias soal kahwin. Tak aci betul!

“Awak dengar tak apa yang umi cakap ni?” Puan Bahyah menjegilkan anak matanya.

“Dengar.” Jawab Cika acuh tak acuh.

“Jangan cakap sahaja, buatnya tidak. Awak berdua ni bukan budak-budak lagi, dah besar panjang. Cubalah matang sikit. Fikir sebelum buat.” Leteran Puan Bahyah masih berterusan.

Cika hanya mampu menjeling Ubek yang diam sahaja tidak berkutik. Almaklum sudah dilarang dari pergi memancing malam-malam, itu sebabnya muka abangnya betul-betul dah jadi muka ikan todak. Muka tak ada semangat!

“Dahlah, pergi masuk mandi dan lepas tu turun makan. Awak Cika, tunggu sini sekejap. Umi nak cakap lagi dengan awak.” Arah Puan Bahyah. Perlahan-lahan Ubek bangkit dari kerusi lalu meninggalkan Cika bersama ibu dan ayahnya.

“Umi nak cakap apa? Cika dah tahu salah Cika. Lain kali Cika tak akan ikut lagi abang. Tapi semalam Cika pergi sebab Cika tak dapat tidur.” Ujar Cika sebelum sempat wanita itu membuka mulutnya.

“Umi tak nak cakap lagi fasal hal tu. Yang umi nak cakap sekarang ni ialah fasal esok. Umi nak awak pergi esok dan jumpa dengan anak saudara Makcik Sapiah awak tu.” Ujar Puan Bahyah.

“Ala umi, Sapiah mana pulak ni?’ Cika mengeluh panjang.

“Hai takkan dah lupa. Makcik Sapiah, jiran mak long awak yang duduk kat Taman Buntal tu. Dia yang asyik tanya-tanya fasal awak untuk anak saudaranya Zain dari bulan lepas lagi.”

“Sapiah ke? Zain ke? Apa kena mengenanya dengan Cika umi? Cika rimaslah. Masuk yang ini dah 13 orang umi aturkan blind date untuk Cika. Cika tak suka.” Rungut Cika.

“Dan dah 12 orang awak kenakan teruk-teruk sampai semuanya fobia bila sebut fasal anak umi ni. Umi tak kira. Selagi awak kantoikan semua usaha-usaha umi, selagi itulah umi akan terus buat macam ni sampailah awak bertemu calon yang paling sesuai untuk dijadikan suami. Esok pergi ke restoran Jumbo Jeep tu dan jumpa dengan Zain.” Tegas Puan Bahyah.

Cika mengeluh kesal. Umi…umi..perlukah Cika buat semua ini umi? Cika ni perempuan, Cika ni masih ada harga diri. Cika malu kalau asyik diaturkan temujanji dengan lelaki-lelaki yang Cika sendiri tidak kenal. Nampak sangat Cika sudah terdesak mahu bersuami! Keluh Cika, tapi hanya di dalam hati. Yang pasti dia bukan seberani itu untuk berterus-terang dengan uminya. Nak mampus?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh