Bab 4

SEPERTI yang dijanjikan, Lufi Izzar datang juga. Dia membawa beberapa buah buku rujukan yang bakal digunakan untuk menelaah. Alief tersenyum, senang hati dengan kedatangan rakan sekelasnya itu. Semalam dia sudah memaklumkan kepada Ulfah mengenai Lufi Izzar dan kakaknya langsung tidak membantah asalkan mereka tidak masuk ke dalam rumah. 

“Datang pun. Ingatkan kau tak nak datang.” Alief mencebir bibir, memerli Lufi Izzar yang sudah meletakkan buku-buku rujukan yang dibawanya di atas meja batu.

“Dah kau suruh aku datang, aku datang la. Tak datang kang ada yang merajuk pula.” 

“Aku nak merajuk dengan kau? Boleh blah la. Aku bukan perempuan nak merajuk bagai.”

“Jadi, kau nak belajar apa?”

Alief memandang sekilas buku-buku yang ada di atas meja batu itu. “Kau bawa semua subjek ke?”

“Kenapa? Kan nak study? Takkanlah nak study satu subjek aje?” 

Alief tidak pasti sama ada Lufi Izzar sedang menyindir atau mengingatkan dia.

“Yalah. Kita study sampai ke malam la jawabnya. Kau nak stay kat luar sampai malam?”

Zen tidak menjawab soalan itu. Dia sudah menyelak helaian buku Pengajian Am. 

“Sebab aku bagitahu yang kau nak datang, kakak aku tengah siapkan makanan untuk kita. Nanti dia bawa ke sini,” maklum Alief dengan tiba-tiba, sengaja ingin memancing reaksi Lufi Izzar. Namun, rakannya itu hanya buat tidak tahu dan ralit membaca nota di hadapannya. Sesekali tangannya yang kekar mengetuk permukaan meja batu, menzahirkan rasa tidak puas hati dalam diri Alief. Dia memuncungkan bibir. Rasanya dia yang mengajak Lufi Izzar datang ke rumah untuk belajar bersama-sama tetapi mengapa pula Lufi Izzar menghiraukan dia? 

“Amboi. Bila dah menghadap buku, tak ingat aku langsung.”

Lufi Izzar angkat muka. “Katanya nak belajar.”

“Memanglah. Tapi bagilah mukadimah dulu. Ini tak, kau terus baca buku.”

“Mukadimah apanya? Takkanlah kau nak aku bagitahu apa subjek yang kita kena ambil untuk semester ni?” Lufi Izzar menyindir lagi.

Alief terlongong. Eh, mamat ni. Sengaja hendak kenakan dia nampaknya. Dia terus mencapai sebuah buku dan memukul kepala Lufi Izzar dengan buku itu. Lufi Izzar menjeling geram. Dia datang untuk belajar tetapi Alief pula mahu menjadikan dia bengap.

“Kau dah kenapa? Apa yang kau tak puas hati? Kau pukul kepala aku ni, boleh jadi bengap tahu tak?”

“Kau baca buku sorang-sorang. Ajaklah aku!”

Lufi Izzar mengeluh. Perangai Alief ini memang tidak semenggah dengan umurnya. Umur sudah menginjak 19 tahun, apa masih berperangai macam budak tadika ke?

“Eh, tu pun nak kena ajak? Nah, ambil buku ni dan baca. Jangan ganggu aku. Aku nak fokus.” Lufi Izzar dengan selamba menghulurkan sebuah buku ke arah Alief. Bibirnya mengatakan sesuatu tetapi Alief tidak dapat menangkap butir bicaranya. Keningnya naik. 

“Mengata aku la tu,” tuduh Alief lantas membuka helaian buku yang dihulurkan Lufi Izzar itu. 

Lufi Izzar sekadar mengukir senyuman. Alief ini memang pelik. 


HAMPIR tiga jam mereka menelaah, Lufi Izzar berura-ura untuk pulang ke rumah memandangkan dia perlu memasak untuk makan malam nanti. Puan Asiah masih ada di firmanya, menyiapkan dokumen-dokumen penting bagi kes yang akan dibawa ke mahkamah tidak lama lagi. Kesibukannya di firma memang tidak menentu. Pada hujung minggu pun dia terpaksa masuk ke pejabat. Maka, Lufi Izzar perlu pandai menguruskan diri sendiri sekiranya Puan Asiah sibuk dengan tugasnya. 

“Aku balik dululah. Solat Asar pun dah lama masuk ni. Kalau aku belajar sampai ke malam, tak berasap dapur kat rumah. Mak aku balik malam nanti nak makan apa pula kan?” Lufi Izzar mengerling jam di tangan yang sudah menunjukkan angka 5.30 petang. Dia cepat-cepat menutup helaian buku dan menyusun satu-persatu buku yang ada. 

“Kau dah nak balik? Mak kau kerja juga hari ni?” soal Alief. Dia turut membantu Lufi Izzar mengemaskan buku-buku yang berselerak di atas meja batu itu.

Lufi Izzar angguk. “Mak aku sibuk memanjang. Peguam kan. Itu yang aku tak nak jadi peguam. Tapi mak aku tu beria-ia benar nak aku masuk firma dia.” 

“Okeylah tu. Sekurang-kurangnya kau ada supporter. Tak payah susah-susah cari kerja. Kau masuk U nanti kau ambil law lepas tu kau chambering kat firma mak kau. Untunglah kau kalau mak kau nak kau ambil alih firma tu.” Alief memberikan pendapatnya. 

“Tengoklah macam mana. Aku tak minat sangat law. Tapi zaman sekarang ni tak boleh memilih sangat kan?”

“Dah nak balik ke?”

Suara Ulfah kedengaran dari muka pintu. Lufi Izzar menoleh ke arah pemilik suara itu. Bibir menguntum senyuman manis.

“Ya, Kak Ulfah. Saya nak balik solat dan masak untuk makan malam nanti.” 

“Pandai Lufi masak?” Ulfah sedikit bangga dengan kebolehan remaja itu. Tidak tahu pula Lufi Izzar pandai memasak. 

“Memang dia pandai masak, akak. Kalau akak kahwin dengan dia, akak tak perlu masak dah.” Alief mencelah, sengaja hendak mengenakan kedua-duanya. 

Ulfah terlopong. Adiknya yang satu itu memang tidak pandai jaga mulut langsung. Sedangkan Lufi Izzar sudah menahan tawa yang ingin meletus. Alief memang suka sangat kenenkan dia dengan Ulfah. Rasa bahagia pula ada yang menyokong. Lagilah bersemangat untuk memikat Ulfah.

“Alief ni tak tahu malu langsung kan? Cakap apa tadi? Kahwin dengan Lufi? Lufi tu budak. Sama macam Alief. Takkanlah akak nak kahwin dengan dia pula?” Ulfah tayang wajah cemberut, tidak senang dengan usikan adiknya.

“Lufi lebih baik daripada mamat tu yang belum tentu pandai masak.” Alief menjuihkan bibir. 

Ulfah tergamam. Dia meletakkan jari telunjuknya di bibir, menegah adiknya daripada terus bersuara. Lagi bersuara, lagi banyak kata-kata yang tidak elok keluar dari mulut itu. Rasa mahu dicili sahaja mulut yang banyak bercakap itu. 

“Aku balik dulu la, Alief.” Lufi Izzar meminta diri.

Alief hanya mengangguk.

“Kak Ulfah, saya balik dulu. Assalamualaikum.”

Ulfah dan Alief menjawab salam itu serentak.


DIA sudah siap memasak. Tinggal hendak hidang sahaja. Jarum jam sudah menginjak ke angka 8 malam. Puan Asiah sudah tiba di rumah dan sedang membersihkan dirinya. Sebentar lagi dia akan turun untuk menikmati makan malam. Zaif pula sedang bersenang-lenang di sofa, menonton drama. 

“Lufi yang masak semua ni?” tanya Puan Asiah sebaik sahaja dia menjengah ke ruang dapur. Zaif mengekori dari belakang sambil menggaru pangkal leher. 

“Ya. Lufi yang masak. Kalau bukan Lufi yang masak, siapa lagi? Nak harapkan along? Along masak megi pun tak reti.” Lufi Izzar sengaja memerli alongnya. Zaif tidak ambil hati dengan sindiran adik bongsunya itu. Memang dia tidak pandai masak pun, mengapa perlu sebuah penafian? Di Australia, dia bergantung sepenuhnya pada rakan serumahnya yang pandai memasak.

“Yalah. Anak mak bongsu mak ni memang pandai masak.” Puan Asiah tersenyum bangga. Dia mencubit pipi Lufi Izzar. Zen menarik muka. Dia paling tidak suka dilayan seperti anak kecil. Tahulah dia anak bongsu tetapi dia tidak memerlukan ‘kad anak manja’.

“Mak, jangan cubit pipi Lufi boleh tak? Lufi bukan budak kecil.” Lufi merungut.

“Bagi mak, Lufi tetap anak kecil mak.” 

Zaif pandang kedua-duanya dengan lagak bersahaja. Perutnya sudah berkeroncong, meminta diisi. Terus kerusi ditarik.

“Mana nasi along? Along dah lapar ni.” 

Lufi Izzar dan Puan Asiah berpandangan sesama sendiri. Nasi di depan mata, masih meminta orang lain tolong cedokkan?

“Nasi dah ada kat depan mata along. Pandai-pandailah along cedok sendiri.” 

“Tak salah kan kalau Lufi tolong cedokkan?” Zaif menopang dagu.

Lufi Izzar merengus. “Tak mahu la. Lufi bukan isteri along nak cedokkan untuk along. Kalau nak sangat dilayan orang bak putera, kahwin aje la dengan Kak.Ulfah. Nanti dah ada isteri, tak payah minta, dia sendiri yang akan cedokkan nasi untuk along. Kan, mak?” Lufi Izzar melirik Puan Asiah yang mengangguk, mengiakan. 

Zaif menghentak tapak tangan ke meja. Dia sudah muak mendengar perkataan ‘kahwin’. Bukankah dia sudah membuat keputusan yang dia tidak akan sesekali berkahwin dengan Ulfah? 

“Lagi-lagi cakap pasal kahwin. Along balik bercuti seminggu ni boleh tak lapangkan dada along? Jangan semakkan kepala along dengan isu kahwin. Along kan dah cakap along memang tak nak kahwin dengan perempuan tu. Mak tak faham ke?” Intonasi suara Zaif berubah.  

Darah Lufi Izzar mendidih. Dia mendekati Zaif. Kolar baju alongnya dicekak dengan kasar, memaksa alongnya bangun.

“Along tinggikan suara tu pada siapa? Pada mak kan? Jangan jadi anak yang menderhaka, along!” 

“Lufi, Lufi jangan masuk campur.” Zaif merenung tajam. Bebola matanya bagaikan ingin terkeluar dari soketnya.

“Along tak nak kahwin sebab along tak suka perempuan kan?” 

Zaif menepis tangan Lufi Izzar. “Apa Lufi cakap ni? Jangan tuduh along sembarangan. Along tak cakap pun along tak nak kahwin dengan perempuan tu sebab along tergilakan kaum sejenis!” 

Lufi Izzar melepaskan tawa kecil. Masih mahu berdalih padahal kebenaran sudah terbukti. Tanpa bukti, dia tidak akan menuduh. Dia tahu memfitnah itu satu dosa besar. Tetapi, rahsia along sudah terbongkar dan dia adalah saksi.

“Tak payah berlagak along innocent sangat. Macam la Lufi tak tahu yang along sebenarnya ada teman lelaki kat sana kan? Siap kiss bibir lagi. Geli la, along. Itu lelaki. Sama jantina dengan along. Bawa bertaubat la, along. Kita tak tahu bila ajal kita.” Lufi Izzar mengambil peluang membongkarkan rahsia Zaif. Biar alongnya tahu bahawa perbuatannya itu satu dosa dan boleh dilaknat Allah s.w.t.

Darah Zaif berderau. 

“Lufi jangan tuduh along.” Dia mengetap bibir. Bagaimana mungkin adiknya tahu mengenai hal itu?

“Tuduh apanya? Lufi sendiri nampak wallpaper along. Ada gambar along cium mat saleh kat bibir. Kat bibir! Along masih nak cakap itu kawan along? Takkanlah kawan sampai cium bibir bagai? Nak kata ukhuwah? Ukhuwah apanya dengan mat saleh tu?!” Kesabaran Lufi Izzar benar-benar menipis. Dia sudah tidak mampu pekakkan telinga dan butakan mata. Kali ini, andainya hubungannya dengan Zaif berantakan dia sudah tidak kisah. Perkara yang tidak baik seharusnya ditegur dan dicegah, bukan dibiarkan. Dia menegur bukan kerana dia marah. Dia menegur kerana dia sayangkan alongnya. Dia tidak mahu Zaif terpesong dari landasan. Tetapi Zaif masih tidak mengerti. Dia terlalu menurut kata hati dan naluri sendiri.

Zaif terpana. Bibirnya bergerak mahu mengatakan sesuatu namun dipintas oleh Lufi Izzar. “Along dah tak payah berdalih lagi. Lufi dan mak dah tahu pasal ni tapi kita orang diamkan. Sebab nak bagi along peluang untuk bertaubat. Sebab tu la, mak beria-ia nak along kahwin. Supaya along boleh tinggalkan perbuatan terkutuk tu. Tapi nampaknya along masih nak hidup dengan cara macam tu.”

“Mak kecewa dengan along. Mak sangat kecewa,” luah Puan Asiah yang pegun di sisi meja makan. 

Zaif terus bangun dan berlalu dari ruang dapur. Temberangnya sudah pecah. Mana mungkin dia mampu duduk di situ bagaikan tiada apa-apa. Cuti masih berbaki dua hari namun dia akan bertolak esok pagi juga. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.