Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang Awak, Mr. Bear
Sayang Awak, Mr. Bear
Rose Eliza
18/12/2013 21:15:38
32,219
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Prolog

“MACAM mana?” tanya Haji Marwan.

“Masih sama bang haji. Risau Yati tengok keadaan dia,” jawab Hajah Norhayati.

Haji Marwan mengeluh berat. Matanya masih lagi menatap wajah Nur Edleen yang sedang tidur. Kasihan dia melihat anak bongsunya itu. Begitu berat dugaan yang diterima oleh Nur Edleen. Dia sebagai ayah tidak mampu untuk melihat, inikan pula untuk menanggungnya.

“Banyak-banyaklah kita berdoa Yati agar Leen kuat dan tabah hadapi dugaan dari-NYA. Jangan tunjukkan kita lemah walaupun sebenarnya kita sendiri pun tak kuat,” nasihat Haji Marwan berserta keluhan untuk kesekian kali.

“Tapi bang haji, boleh ke Leen terima semua ini sebagai takdir dalam hidupnya? Bang haji sendiri tahu macam mana anak kita selama ini. Yati takut Leen akan memencilkan dirinya selepas ini,” luah Hajah Hayati, risau. Terpancar kerisauan di wajahnya kala itu.

“Insya-ALLAH, banyak-banyaklah kita berdoa pada ALLAH. Semoga dipermudahkan segala urusan kita.”

Hanya itu yang mampu Haji Marwan luahkan. Sungguh, tidak tertanggung dugaan yang terpaksa Nur Edleen hadapi. Hanya iringan doa serta kekuatan yang mampu diberikan pada Nur Edleen ketika ini. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari bilik rawatan. Tidak sanggup untuk menatap wajah pucat Nur Edleen lagi.

“Ummi... ummi...” racau Nur Edleen, perlahan.

Hajah Norhayati yang mendengar bingkas duduk di birai katil. Tangannya menggenggam erat tangan Nur Edleen. Sayu hatinya melihat keadaan Nur Edleen ketika ini. Kemalangan yang dialami oleh Nur Edleen telah meragut segala-galanya.

“Ummi ada ni sayang. Sayang tidurlah dulu,” suara Hajah Norhayati. Cuba untuk menenangkan Nur Edleen yang sedikit meracau. Tangannya masih menggenggam erat tangan Nur Edleen.

“Assalamualaikum,” tegur seseorang menyentak Hajah Norhayati. Pantas, dihalakan mata ke arah suara itu.

“Ummi...” panggil Ezzura, perlahan seraya memeluk tubuh Hajah Norhayati.

“Macam mana dengan Leen, ummi?” tanya Ezzura pula sambil meleraikan pelukan.

“Masih tak sedarkan diri Zura. Ummi risaukan Leen,” luah Hajah Norhayati, teresak kecil. Tangisan yang ditahantahan sejak tadi.

“Insya-ALLAH ummi, Leen tak ada apa-apa. Banyak-banyaklah kita berdoa agar Leen cepat sedar,” pujuk Ezzura, lembut.

Ezzura tahu Hajah Norhayati pasti berasa sedih dengan apa yang berlaku terhadap Nur Edleen. Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak terlantar di hospital. Malah, keadaan Nur Edleen membuatkan sesiapa yang melihat berasa sebak dan hiba. Kemalangan yang dialami oleh Nur Edleen sukar untuk kita yang normal berfikir secara waras.

Kereta yang dipandu Nur Edleen terbabas melanggar sebatang pokok. Hampir separuh badan kereta Nur Edleen terbakar. Mujurlah orang ramai yang melihat kemalangan itu datang menghulurkan bantuan. Jika tidak, sudah pastilah Nur Edleen maut di dalam kemalangan itu.

“Abah mana ummi?” tanya Ezzura tatkala menyedari ketiadaan Haji Marwan.

Tiada batasan di antara Ezzura dengan keluarga Nur Edleen. Semenjak dari sekolah menengah, Haji Marwan yang banyak membantu keluarganya dari segi kewangan. Selepas kematian kedua-dua orang tuanya, Haji Marwan telah mengambilnya sebagai anak angkat.

“Abah ke kantin agaknya,” jawab Hajah Norhayati, lemah.

“Ummi dah makan?” tanya Ezzura, prihatin.

Hajah Norhayati hanya menggeleng. Dia bingkas bangun dari duduk dan menapak ke sofa. Keluhan berat terlepas daripada bibir.

“Kalau ummi nak makan, Zura boleh tolong belikan untuk ummi,” pelawa Ezzura turut sama melabuhkan duduk di sofa.

“Tak mengapalah Zura, ummi tak lapar lagi. Ummi nak tunggu Leen sedar. Ummi takut Leen akan meracau bila sedar nanti. Tambah-tambah dengan apa yang berlaku akan menambahkan lagi kekecewaan Leen.”

“Insya-ALLAH ummi. Zura yakin, Leen akan tabah untuk hadapinya nanti,” ujar Ezzura yakin, tersenyum. Cuba untuk mengusir kerisauan di hati Hajah Norhayati.

“Ummi pun harap macam tu lah Zura. Harap Leen dapat terima dengan reda,” sokong Hajah Norhayati, tersenyum hambar.

Ezzura hanya mengangguk. Ini merupakan ujian yang perlu dihadapi oleh Nur Edleen dan keluarganya. Semoga ummi dan abah serta Leen tabah dalam menghadapi segala ujian dari-NYA, doa Ezzura dalam hati.



HAJI Marwan mengeluh untuk kesekian kali. Mi goreng di hadapan dipandang dengan pandangan kosong. Hilang seleranya tatkala terkenangkan Nur Edleen. Bagaimana keadaan Nur Edleen sebaik sahaja sedar nanti? Adakah Nur Edleen dapat menerima kenyataan dengan apa yang terjadi? Sedangkan dia sebagai ayah tidak sanggup atau mampu untuk menghadapinya, inikan pula Nur Edleen. Ya ALLAH, tabahkan hati anakku, doa Haji Marwan dalam hati.

Tanpa menjamah mi goreng, Haji Marwan bingkas bangun dari duduk. Hatinya kurang enak dengan tiba-tiba. Adakah sesuatu akan berlaku terhadap Nur Edleen?

“Abah!” panggil Ezzura, tiba-tiba.

“Zura!” balas Haji Marwan, lemah.

Ezzura segera menyalami tangan Haji Marwan. Wajah Haji Marwan ditatap kasih. Ada riak kerisauan dan kesedihan di wajah itu. Mungkin disebabkan Nur Edleen, Haji Marwan beriak begitu. Hatinya menjadi sayu dan sebak dengan tiba-tiba.

“Abah dah makan?” tanya Ezzura, ramah. Matanya terpahat ke arah sepinggan mi goreng yang belum dijamah.

“Abah tak ada selera Zura. Abah risaukan Leen,” beritahu Haji Marwan.

“Abah, kita semua risaukan Leen. Tapi, abah dengan ummi kena jaga kesihatan. Kalau abah dan ummi sakit, siapa yang nak tengokkan Leen? Mesti Leen lagi sedih kalau abah dan ummi sakit,” kata Ezzura berbaur nasihat.

Haji Marwan sekadar mendengar. Ada benarnya kata-kataEzzura. Kalau mereka berdua sakit, siapa yang akan menjaga Nur Edleen?

“Abah betul-betul tak ada selera Zura. Abah nak ke bilik Leen,” ujar Haji Marwan, perlahan dan berlalu dari situ.

Ezzura hanya memandang. Keluhan terlepas daripada bibir. Apa yang perlu dibuat agar semangat Haji Marwan dan Hajah Norhayati kuat dan tidak lemah?

Tanpa membuang masa, dibawa langkah ke tempat hidangan makanan. Mencari-cari makanan yang sesuai buat Hajah Norhayati dan Haji Marwan.



“TIDAK!Tak mungkin! Tak mungkin!” raung Nur Edleen.

“Leen, sabar nak. Semua ni dugaan dari-NYA,” pujuk Hajah Norhayati.

“Leen tak sanggup ummi. Leen tak sanggup,” esak Nur Edleen.

Hajah Norhayati segera memeluk tubuh Nur Edleen. Diusap lembut belakang Nur Edleen dan cuba untuk menyabarkan anaknya itu.

“Kenapa ummi? Kenapa Leen kena hadapi semua ini?” luah Nur Edleen, menangis.

“Ummi tahu nak. Banyak-banyakkan bersabar. Leen perlu bersyukur kerana Leen masih lagi bernafas,” pujuk Hajah Norhayati.

“Leen!” panggil Haji Marwan seraya duduk.

“Abah!” seru Nur Edleen, sayu.

Tubuh Haji Marwan didakap erat.

“Leen tak sanggup nak hadapinya abah. Leen tak sanggup.”

“Abah tahu Leen. Abah jugak tahu yang anak abah ni seorang yang kuat,” pujuk Haji Marwan pula sambil mengusap lembut belakang Nur Edleen.

Nur Edleen hanya membisu dan mendengar. Hatinya sebak dan pilu ketika ini. Kenapa seberat ini ujian yang diterimanya? Sungguh, tidak tertanggung dugaan yang ALLAH berikan terhadap dirinya. Semoga dia tabah dalam menghadapi semua dugaan itu.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.