Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang Awak, Mr. Bear
Sayang Awak, Mr. Bear
Rose Eliza
18/12/2013 21:15:38
32,220
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1

“SUDIKAH awak menjadi isteri saya?” ucap suara itu penuh romantis.

Nur Edleen tersipu-sipu malu. Dia menundukkan muka sambil menguis-nguis kaki di lantai. Jantungnya berdegup dengan kencang. Bagaikan nak meletup jantungnya itu. Mana tidaknya. Lelaki Idaman Malaya sedang melamar dirinya.

“Sudikah awak menjadi isteri saya?” lamar suara itu pula.

Nur Edleen mengangguk laju. Mana mungkin dia menolak lamaran lelaki yang menjadi pujaan hatinya selama bertahun-tahun. Semenjak dia jatuh cinta dengan lelaki itu, seluruh jiwa dan raganya sudah diserahkan kepada lelaki itu. Betapa bertuahnya dia kerana berjaya menambat hati lelaki itu.

“Kalau saya jadi bulan, awak nak jadi apa?”

“Jadi bintangnya!”

“Kalau saya jadi kumbang?”

“Saya jadi bunganya!”

“Kalau aku jadi kuali, kau nak jadi apa?” tanya satu suara sedikit menekan.

“Tentulah jadi sudipnya,” jawab Nur Edleen, tersengih.

“Kalau kau jadi hantu, aku nak jadi apa pulak kali ni?” tekan suara itu.

Nur Edleen berkerut dahi. Kalau aku jadi hantu, dia nak jadi apa ya? Soal hati Nur Edleen sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Erm, nak jadi apa ya?”

“Jadi mak hantulah!” jerit kecil Hajah Norhayati ke telinga Nur Edleen.

Terkejut Nur Edleen mendengar jeritan itu. Serta-merta dia jatuh tergolek dari atas katil.

“Aduh!” rengek Nur Edleen sambil meraba-raba punggungnya yang terasa sakit. “Apa ummi ni? Jerit-jerit kat Leen. Sakit telinga Leen dengarnya. Tak pasal-pasal pekak telinga Leen dibuatkan ummi,” rungutnya pula sambil menggosok lembut telinga.

“Habis tu, yang kamu tersengih-sengih sambil bercakap-cakap tu, kenapa? Dah buang tabiat ke? Kamu tu anak dara, tak baik tidur meninggi hari,” bebel Hajah Norhayati, keras.

Nur Edleen melabuhkan duduk di birai katil. Patung beruang ditarik dan dipeluk erat. Bebelan umminya buat antara dengar ataupun tidak sahaja.

“Tengok tu, boleh pulak dia peluk binatang tu lagi. Hisy, budak ni, tak pernah nak berubah. Perangai mengalahkan budak-budak. Umur dah dua puluh lima tahun, tapi perangai mengalahkan umur lima tahun. Ummi kahwinkan dengan anak Haji Mahmud tu baru tahu,” bebel Hajah Norhayati lagi.

Buntang mata Nur Edleen mendengar bebelan umminya. Kahwin? Hisy, ummi ni. Asyik-asyik ugut kahwin, asyik-asyik ugut kahwin. Cubalah ugut tang lain pulak. Hadiah aku kereta ke, laptop ke, rumah ke tak pun paling mewah, lelaki handsome macam Brad Pitt tu, monolog Nur Edleen dan tersengih.

“Ya Allah, tengok tu, tersengih pulak dah. Tadi tersenyum kambing, sekarang tersengih macam kerang busuk pulak. Tak faham ummi dengan perangai kamu ni, Leen,” geram Hajah Norhayati pula.

“Sengih pun tak boleh ke ummi? Bukan kena bayar pun,” balas Nur Edleen sambil berbaring. Terasa mengantuk matanya itu.

“Amboi, dah pandai menjawab anak ummi ni. Leen jangan ingat yang Leen tu budak-budak lagi. Kalau ikutkan umur Leen ni, dah layak sangat kahwin. Masak pun tak berapa nak pandai, kemas rumah lagilah. Tengok ni, bilik mengalahkan tongkang pecah. Kalau orang lain tengok, terus rejectjadi menantu,” tegur Hajah Norhayati. Lebih kepada bebelan.

“Siapa yang nak kahwin ummi? Kak long ke?” tanya Nur Edleen, lurus.

“Leen ni dah buang tabiat ke? Kak long kamu tu kan dah kahwin, dah ada dua orang anak,” jawab Hajah Norhayati.

Dipusingkan badan dan alangkah terkejutnya melihat Nur Edleen yang sudah pun berbaring semula di atas katil.

“Ya Allah, apa nak jadi dengan anak aku ni.”

Tanpa membuang masa, dia segera menapak keluar dari bilik. Lebih lama dia di situ, bertambah geram terhadap anaknya itu. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu bilik, telinganya disapa dengan suara Nur Edleen.

I love you, Brad Pitt!” ucap Nur Edleen, tersengih.

Terjegil mata Hajah Norhayati mendengarnya. Dia menggeleng kecil sebelum beredar dari situ. Entah bilalah Nur Edleen akan berubah perangai, dia sendiri kurang pasti. Jauh di sudut hati, dia berharap agar Nur Edleen menjadi seorang gadis yang bertanggungjawab dan matang.



NUR EDLEEN mengerling jam di tangan. Sudah hampir sepuluh minit dia terlewat untuk berjumpa dengan kawan-kawannya. Jika tidak memikirkan perasaan mereka, mahu sahaja dia membatalkan pertemuan itu dan menyambung tidurnya semula. Alangkah seronoknya berguling-guling di atas katil sambil memeluk ‘Mr. Bear’. Gelaran yang diberi buat patung beruang kesayangannya itu.

“Ummi lah ni, bukannya nak kejutkan Leen. Leen ada temujanji dengan kawan-kawan,” rungut Nur Edleen sambil menyarung kasut ke kaki.

“Ummi pulak yang salah. Kan ummi dah kejutkan Leen tadi, Leen yang malas nak bangun,” bidas Hajah Norhayati.

“Erk, ummi ada kejutkan Leen ke?” tanya Nur Edleen sambil menggaru kepala.

Hajah Norhayati menepuk dahi. Dia menggeleng kecil melihat tingkah Nur Edleen.

“Ummi kejutkan main-main ke betul-betul?” tanya Nur Edleen lagi.

“Hai, kejut pun ada main-main dengan betul-betul ke?” tanya Hajah Norhayati, berkerut.

“Mestilah ada ummi. Nanti Leen ajar ummi ya. Leen dah lambat ni. Assalamualaikum ummi,” balas Nur Edleen dan berlalu pergi.

“Leen.. nanti dulu!” laung Hajah Norhayati dari muka pintu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya itu.

“Leen dah lambat. Assalamualaikum,” ulang Nur Edleen pada ayatnya yang tadi.

“Waalaikumussalam,” sahut Hajah Norhayati, menggeleng.

Matanya menghantar pemergian Nur Edleen. Tanpa berlengah, langkah dibawa menuju ke dapur. Menyambung kerja yang tertangguh sedari tadi.

“Oi mak kau gelak tergolek,” jerit kecil Nur Edleen. Dia terjatuh terduduk di atas lantai akibat tergelincir. “Aduh! Sakitnya punggung aku,” rengeknya pula.

“Mak cik tak ada apa-apa?” tanya seseorang dari arah belakang.

Nur Edleen berkerut dahi. Mak cik? Mak cik dia panggil aku. Aku punya cun-melecun boleh dia panggil aku mak cik? Marah tahap gaban ni. Tak pasal-pasal kena fire dengan aku nanti, geram Nur Edleen dalam hati.

“Mak cik okey ke tidak ni?” tanya suara itu lagi.

“Saya okeylah! Saya yang cun ni pun awak boleh panggil mak cik?” geram Nur Edleen sambil bangun. Diusap lembut punggungnya yang terasa sakit.

“Oh, bukan mak ciklah ni. Kalau bukan mak cik, apa ya?” tanya suara itu pula.

Nur Edleen mengangkat muka. Tajam matanya ke wajah lelaki itu. “Saya muda lagi dan belum berkahwin. So, awak kena panggil saya cik. Muka saya ni ada rupa mak cik ke?”

Edzuary Safuan membisu. Matanya menjamah wajah Nur Edleen.

Hello!” panggil Nur Edleen sambil tangannya di awang-awangkan di hadapan mata Edzuary. Gila ke mamat ni? Macam tak pernah tengok orang saja. Cun sangat kut aku ni sampai terbeliak mata dia tengok aku.

Edzuary tidak membalas. Wajah Nur Edleen masih lagi menjadi tatapan matanya.

“Saya ni cun sangat ke sampai nak terkeluar bijik mata encik tu tengok saya,” kata Nur Edleen, tersenyum malu. Dicuit lengan lelaki itu sambil tersengih-sengih.

Tersentak Edzuary dengan cuitan Nur Edleen. Senyuman nipis diberikan pada gadis itu. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Jika berlama, hatinya akan menjadi tidak tenteram.

“Sah! Memang gila mamat tu,” komen Nur Edleen. Dikerling jam di tangan. “Aduh! Lambat dah ni. Mengamuklah dia orang dengan aku nanti,” rungutnya pula dan beredar dari situ.

Punggung yang terasa sakit dibiarkan sahaja. Kemarahan kawan-kawan lagi merisaukan daripada kesakitan itu.



EDZUARY menyandarkan tubuh ke kusyen kereta. Mata dipejam rapat sambil cuba mententeramkan jiwa dan perasaan yang sedang berkocak hebat. Pertemuannya dengan gadis tadi membuatkan degupan jantungnya tidak stabil. Kenapa? Apa yang pasti, wajah gadis itu mengingatkan dirinya pada seseorang. Seseorang yang pernah membuatkan jantungnya berdegup dengan pantas. Sehingga ke saat ini, wajah gadis itu sentiasa mengisi ruangan mata. Sukar untuknya menghapus bayangan gadis itu. Adakah gadis itu yang dicarinya selama ini?

Deringan telefon menyentak lamunan Edzuary. Dia segera menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Butang hijau ditekan dan dilekapkan ke telinga. Menanti sapaan dari hujung talian.

“Ya mama, kenapa?” tanya Edzuary, lemah.

Sudah pastilah Puan Jaslina hendak mengingatkan dia tentang temu janji mereka dengan Datin Zainab. Sungguh, dia tidak menyukai pertemuan itu. Dilirikkan mata ke jam di tangan. Masa sudah menginjak ke satu petang.

“Ary kat mana? Dah lama mama tunggu Ary kat restoran ni,” rungut Puan Jaslina.

Sorry mama, Ary terlupa. Ary baru balik dari klinik. Tak sihat sikit,” bohong Edzuary.

Sengaja mengelak daripada menghadiri pertemuan itu. Sudah tentulah Puan Jaslina mahu memperkenalkannya dengan anak Datin Zainab.

“Ary tak sihat? Kenapa tak bagitau mama awal-awal? Itulah, degil sangat. Mama suruh duduk dengan mama, Ary tak nak. Sakit, demam Ary, ada juga yang ambil berat. Kalau dah duduk seorang-seorang, siapa yang nak tengok-tengokkan Ary?” bebel Puan Jaslina pula.

“Ary demam sikit saja ni. Mama tak perlulah risau. Ary nak tidur mama. Nanti Ary callmama balik,” beritahu Edzuary dan mematikan talian. Jika tidak berbuat begitu, entah apa lagi yang akan dibebelkan oleh mamanya itu.

Nafas dihela berat. Ingatannya ligat memutarkan pertemuan sebentar tadi. Siapa gadis itu? Seakan pernah melihatnya dahulu. Tetapi di mana? Kenapa jantung aku berdegup kencang bila berhadapan dengan dia? Adakah dia yang aku cari selama ini? Soal hati Edzuary.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari kawasan parking kereta itu. Dia perlu berjumpa dengan kawan baiknya, Aimanuddin. Hanya Aimanuddin tempat untuk meluahkan segala apa yang terbuku di hatinya selama ini.



“ZURA, kau kata Leen nak datang, mana dia?” tanya Eka Farisha. Melilau matanya melihat kelibat manusia yang berada di dalam pasaraya Juscoitu.

“Memang dia kata nak datang. Kau ni, macam la tak kenal dengan Leen tu. Kita kata pukul satu, dia kata pukul dua. Nak tak nak, tunggu ajelah,” terang Ezzura, mengeluh ringan.

“Kau call la dia. Nanti lambat pulak kita nak tengok wayang,” arah Eka Farisha.

“Ala, kau la call. Creditaku tak cukuplah. Tinggal seringgit aje,” balas Ezzura, tersengih.

Eka Farisha mencebik. Setiap kali bab telefon keluar, Ezzura lah orang pertama yang pantas mengelak. Memang pandai kawannya itu.

“Azie ni mana? Dari tadi pergi tandas, tak balik-balik. Takkan tolong mak cik cleanercuci tandas kut,” bebel Ezzura sambil mengerling jam di tangan.

Eka Farisha ketawa kecil mendengar bebelan Ezzura. Gelengan kecil diberikan sambil tangannya ligat mencari nombor telefon Nur Edleen.

“Ha Leen, kau kat mana? Lama dah kita orang tunggu kau,” sergah Eka Farisha sebaik sahaja talian bersambung.

Hello, mau perkhidmatan apa?” balas suara di hujung talian.

“Aik, kau jangan nak main-main Leen. Bila masa pulak kau offer perkhidmatan ni?”

Hello, mau perkhidmatan apa?”

“Leen!” jerit kecil Eka Farisha, panas.

“Kau ni kenapa Eka? Meroyan tiba-tiba pulak,” tegur Ezzura, berkerut.

“Leen ni main-main kan aku. Ada ke dia tanya aku, mau perkhidmatan apa? Tak ke hangin aku dibuatnya,” ulang Eka Farisha, geram.

“Bak sini telefon kau tu. Telefon punyalah canggih mengalahkan tok imam kat kampung aku. Takkan call pun tak betul,” bebel Ezzura seraya mengambil telefon dari tangan Eka Farisha.

“Amboi, sedapnya mulut mengutuk telefon aku. Tok imam kau tu pakai phone apa? Ipad? Iphone? Samsung Galaxy? Sony Xperia?” geram Eka Farisha.

“Erk, tok imam tu pakai Nokia 3310 aje,” ujar Ezzura, tersengih. “Aduh! Sakitlah!” rengeknya kemudian tatkala Eka Farisha mencubit lengannya.

“Padan muka kau. Azie ni mana? Takkan dari tadi tak habis cuci tandas kut?” tanya Eka Farisha pula sambil melilaukan mata.

“Patutlah tak dapat. Yang kau pergi call rumah urut ni, kenapa?” kata Ezzura ketawa kecil. “Kau pergi rumah urut ya,” tebaknya sambil mengangkat kening.

“Rumah urut?” ulang Eka Farisha, berkerut.

Ezzura mengangguk. Telefon dilekapkan ke telinga dan menanti panggilan berjawab.

“Bila masa pulak aku save nombor rumah urut ni?” soal Eka Farisha sambil menggaru kepala. Otaknya ligat berfikir.

Ezzura hanya menjungkitkan bahu. Masih menanti panggilan dijawab.

“Ni mesti adik aku punya kerja. Tak pun nombor tu lebih kurang sama dengan nombor Leen,” duga Eka Farisha mendengus geram. “Ha.. yang kau ni lama sangat ke tandas tu kenapa? Kau jadi cleaner ke kat tandas tu?” tegurnya tatkala terlihat kelibat Azie.

Cleaner?” ulang Azie, berkerut.

Eka Farisha sekadar mengangguk.

“Muka punya cun-melecun, kau kata aku cleaner? Nak kena fireke?” geram Azie seraya menunjuk sebiji penumbuk ke arah Eka Farisha. Marah sungguh dia di waktu itu.

“Aku main-main ajelah. Gurau pun tak boleh ke?” tegur Eka Farisha, tersengih. “Macam mana Zura? Dapat contact Leen tak?”

“Tak dapat. Handphonedia off. Aku rasa minah ni tidur lagi. Kejap aku telefon ummi,” jawab Ezzura dan mendail nombor telefon Hajah Norhayati.

“Kirim salam kat ummi sekali,” pesan Eka Farisha dan Azie serentak.

Ezzura hanya mengangguk. Telefon dilekapkan ke telinga dan menanti panggilan berjawab. Berkerut dahinya tatkala terlihat kelibat seseorang yang sedang menghampiri.

“Tu ha… cik adik kita dah sampai,” ujar Ezzura sambiil mengunjuk ke arah Nur Edleen.

Azie dan Eka Farisha yang mendengar segera menoleh. Berkerut dahi mereka melihat gaya jalan Nur Edleen.

“Kenapa dengan kawan kita tu? Lain macam saja jalannya,” kata Eka Farisha.

“Adalah tu yang terjadi,” sambung Azie.

“Huh! Gila punya mamat. Aku punya cun-melecun, boleh pulak dia panggil aku mak cik? Memang nak kena sekeh betullah!” bebel Nur Edleen berserta dengusan geram.

Berkerut dahi Ezzura, Azie dan Eka Farisha mendengarnya. Masing-masing menjamah wajah tegang Nur Edleen.

“Kau ni kenapa Leen? Marahkan siapa?” tanya Ezzura, prihatin.

“Ada la seorang mamat ni, dia langgar aku. Pastu, boleh pulak dia panggil aku mak cik? Apa muka aku ni ada rupa mak cik ke?” cerita Nur Edleen, bersungguh.

“Memang rupa kau macam mak cik pun,” kutuk Azie, selamba.

“Mulut kau jaga sikit Azie. Aku cili baru kau tahu,” marah Nur Edleen.

Tersentak Azie mendengar kemarahan Nur Edleen. Seminit kemudian, dia ketawa dan menggeleng. Ezzura dan Eka Farisha turut sama ketawa. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka melihat kemarahan Nur Edleen. Mereka tahu, Nur Edleen sekadar marah-marah manja dan tidak serius. Selama mereka berkawan, jarang sekali mereka melihat kemarahan Nur Edleen. Jika ada pun, ketika di universiti dahulu sewaktu seorang lelaki cuba mengambil kesempatan terhadap Nur Edleen. Tak pasal-pasal makan penampar daripada Nur Edleen.

“Leen, cuba kau tengok diri kau tu dulu. Manalah mamat tu tak panggil kau mak cik. Baju yang kau pakai ni, adui, mengalahkan mak cik,” terang Ezzura dan masih ketawa.

Nur Edleen berkerut dahi. Dihalakan mata pada baju dan seluar yang dipakainya. Dia menepuk dahinya sendiri dan ketawa. Blouse warna kuning cair tersarung di tubuh manakala seluar berwarna merah cantik dipakai. Tudung berwarna hijau, elok tersarung di kepala. Dah macam traffic light dirasakannya.

“Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? Patutlah ummi aku tahan tadi sebelum aku keluar. Rupa-rupanya ummi aku nak tegur pakaian aku la tadi tu,” beritahu Nur Edleen tatkala mengingati tingkah umminya tadi.

“Korang punya pasallah ni. Nak juga jumpa hari ni. Esok-esok tak boleh ke?”

“Aik! Kita orang pulak yang salah?” kata Azie kurang mengerti.

“Sudahlah, benda dah nak jadi. Jomlah kita pergi tengok wayang. Ada cerita baru tayang ni,” tegah Eka Farisha, lembut.

Nur Edleen hanya mengangguk. Senyuman terbias di wajah. Ingatannya ligat memikirkan peristiwa tadi. Pandangan lelaki itu tadi seperti menceritakan sesuatu padanya. Seakan sudah lama mengenali lelaki itu. Tetapi di mana? Siapa dia?

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.