Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
102,281
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3



Jauh di belakang rumah Melah terletak rumah yang disewa oleh dua orang guru muda. Faizul dan Khairil. Sudah empat tahun mereka berkhidmat di Kampung Kemboja. Seorang masih bujang trang tang tang. Seorang lagi sudah ada isteri.

Dua hari lagi sesi persekolahan tahun baru akan bermula. Itu bermakna rutin mereka berulang-alik dari rumah ke sekolah akan bermula lagi. Tamat sudah cuti panjang mereka walaupun mereka tak bercuti dengan sebenar-benarnya.

Petang itu Faizul atau lebih suka dipanggil Ejul menghabiskan hampir satu jam di bilik belakang. Bilik itu sudah dijadikan stor oleh Ejul dan Khairil. Ejul yang rajin mengemas bilik itu.

Dia juga yang lebih suka keluar masuk bilik itu berbanding Khairil. Kadang-kadang Khairil hairan melihat Ejul, apalah yang dibuatnya dalam bilik yang panasnya macam oven itu.

“Ejul... badminton jom!” laung Khairil daripada ruang tamu.

“Main dulu!” Cuma suara Ejul yang terdengar. Mukanya yang handsomemasih belum nampak lagi.

“Tak sudah lagi ke gila kau tu? Badminton tu main berdua, bukan sorang-sorang. Lainlah kalau aku ni ada saka yang boleh teman aku main.” Khairil sudah menyarung kasut sukannya di muka pintu depan.

“Hoi, hoi!... gila kau jangan sebut ya! Kau ingat aku ni Jelan ke?” Terpacul Ejul dari dalam stor. Bilik stor ditinggalkan dan dikunci dari luar. Biar pun khazanah di dalam bilik itu tak seberapa tapi itulah harta Ejul yang ada. Harta kesayangan!

“Bukan kau kembar Jelan ke? Nak marah pulak.” Sakat Khairil lagi.

“Yalah! Kau menanglah.” Ejul bercangkung di muka pintu sambil merenung Khairil yang sedang beria-ia bersenam di depan rumah.

Malas pula hendak memenuhi keinginan Khairil. Dalam keadaan angin yang agak kuat mana boleh bermain badminton. Sebenarnya dia kurang berminat pada permainan yang satu itu. Ejul lebih menggemari takraw tapi jarang bermain sebab tak cukup kaki.

Kalau boleh pun dia hendak bermalas-malas sebelum sekolah dibuka semula. Ejul mahu menyimpan tenaganya untuk berdepan dengan murid-murid lelaki yang nakal dan tak dengar kata.

Dalam hembusan angin yang nyaman itu mulalah Ejul terbayangkan Melah. Mata Melah, hidung Melah, bibir Melah dan apa-apa saja yang ada pada Melah. Bertuahnya siapa yang dapat memikat hati Melah.

Sudahlah cantik, baik pula orangnya. Bukan tak pernah Ejul cuba mengurat Melah tapi janda itu jual mahal. Setiap kali dia menegur, Melah cuma menjawab dua tiga patah. Kadang-kadang dia lebih suka membalas dengan senyuman. Cair Ejul dibuatnya.

Lagi Melah jual mahal, lagilah Ejul jatuh hati. Eh! Jatuh hati? Bertepuk sebelah tangan boleh berbunyi?

Itulah yang menjadi masalah nombor satu Ejul. Usahanya memikat Melah masih tak berjaya. Dia tak suka memujuk rayu sebab baginya cara macam itu sudah lapuk. Tak jantan langsung.

“Hai, bertuah kalau jadi Jelan...”

“Bila-bila masa boleh bercakap dengan Melah, boleh jalan dengan Melah, boleh ketawa-ketawa dengan Melah. Jelan! Jelan!... ermmm, Melah suka Jelan.” Pejam celik mata Ejul bila menggambarkan senyuman Melah.

“Sengih... sengih. Seksa betul aku tengok orang ni.” Sindir Khairil sambil membaling bulu tangkis ke muka Ejul. Pantas Ejul menepis lalu bulu tangkis jatuh ke tanah.

“Serius aku cakaplah Ril... best woo jadi Jelan. Kau bayangkanlah, cuma Jelan satu-satunya yang ada peluang berdua-duaan dengan Melah tu. Untung!”

“Aku pun salute kat Jelan. 10 bintang aku bagi kat dia. Tapi sayang kan Ejul... Jelan tu tak akan dapat Melah... maklumlah orang gi...”

“Heh! Heh! Cukup! Jangan kau sebut banyak kali. Aku cukup alergik dengan perkataan tu, tau tak?” pintas Ejul lalu sengih-sengih.

Disebabkan Ejul tak ada hati untuk bermain badminton, Khairil pun membatalkan niat yang satu itu. Dia duduk di sebelah Ejul yang sedang melihat jiran tetangga lalu- lalang di jalan depan rumah sewaan mereka.

Ejul mengharap-harap juga kalau-kalau Melah lalu di situ. Bolehlah dia melepaskan rindunya pada janda itu. Rindu orang yang bertepuk sebelah tangan memang menyedihkan. Ejul nekad tak akan berputus asa untuk menawan hati Melah.

“Apa pandangan kau kat Melah tu?” Khairil hendak menguji.

Nasib baik dia sudah berkahwin walaupun terpaksa meninggalkan isterinya disebabkan tuntutan tugas. Berkali-kali isterinya yang turut bekerja meminta pertukaran tempat kerja tapi masih gagal. Terpaksalah mereka saling berjauhan.

“Aku respect dia! Dia tak ligat... senang cakap dia tau dirilah sebab tu aku syok kat dia. Satu lagi, dia berdikari orangnya.”

Ejul berhenti sekejap lalu ketawa kuat. Mentertawakan diri sendiri yang macam Burung Pungguk. Angau tak sudah.

“Ketawa pulak.”

“Ketawakan nasib untung badan. Kau pun tau kan sejak aku kematian tunang, hati aku dah macam tertutup untuk perempuan... tapi dengan dia aku rasa lain macam pulak.” Akui Ejul jujur.

“Tapi dia tu janda, kawan!”

Khairil menguji lagi. Seronok pula dia. Bukan apa, kalau Ejul gembira, dia pun tumpang sekaki. Dalam umur Ejul sekarang memang dia sudah layak berkahwin.

“Rasulullah pun kahwin dengan janda. Apa hinanya? Aku rasa lagi berpahala apa.”

“Bagus... bagus. Aku sokong!”

“Tau pun kau.” Ejul senyum.

Semasa Ejul menoleh dia nampak Zara sedang membelok masuk ke halaman rumah sewaan mereka dengan basikal birunya. Huh! Burung Jampuk sudah datang! Sebalnya. Dari jauh sudah nampak tompokan warna-warni pada muka Zara.

Tebal betul solekannya. Ejul yakin Zara tak pernah lupa meletakkan tahi lalat palsu di tepi bibirnya. Bulu matanya juga palsu. Panjang melentik dan hitam pekat warnanya. Kalau Melah yang menggunakannya tentu cantik. Zara?... hmmm.

Bukan dia benci pada Zara, cuma kurang suka. Zara dan Pak Sood sama saja. Anak-beranak itu memang terkenal dengan gatalnya. Khairil tenang saja. Maklumlah tak akan ada orang yang mahu menggodanya.

Sudahlah rupanya kurang, suami orang pula. Khairil cuma kasihan melihat Ejul, lain yang dipancing lain pula yang hendak makan umpannya. Yang hendak memakan umpan pula tak pernah mengira pancing itu untuk siapa.

“Ril... buah hati kau datang tu.” Usik Ejul.

Punggung mereka masih lagi melekat pada muka pintu. Duduk di situ memang nyaman. Angin petang memang menyegarkan. Tak payah menggunakan penyaman udara pun sudah cukup segar tiupan angin ciptaan Tuhan.

Tak ada sebab untuk mereka melarikan diri dengan kedatangan Zara. Sepatutnya anak dara yang mesti malu datang ke rumah orang bujang dan separuh bujang. Inilah dunia! Semua sudah tunggang terbalik.

“Hah, iyalah tu.” Sahut Khairil.

“Dah makin dekat tu. Bersiaplah apa yang patut, Ejul. Peluang tu... bila ikan dah datang menyerah pada kucing, apa lagi? Ngap ajelah!” sakat Khairil.

“Gila... eh bukan gila.” Cepat-cepat Ejul menarik balik perkataan itu. Khairil menyiku pinggang Ejul.

“Tak senonoh kau!” Ejul mengganti perkataan yang selesa untuk lidahnya menyebut.

“Alah... dia dah suka kau. On ajelah. Bukan ada siapa tau pun.” Semakin galak Khairil menyakat.

Lelaki dengan lelaki memang begitu. Gurauan mereka lepas dan bebas. Bukan niat hendak menghina perempuan, cuma itu satu kebiasaan dalam gurauan mereka. Sepatutnya Zara yang berasa malu sebab dia perempuan. Perempuan kampung pula.

Ah! Tak ada bezanya. Perempuan kampung atau perempuan bandar sama saja. Mereka akan nampak hina kalau diri sendiri yang membuat orang lain menilai mereka seperti itu. Mereka tak menjaga saham diri sendiri. Macam mana orang lain hendak tabik pada mereka?

“Assalamualaikum Abang Ejul!” suara Zara lunak mendayu. Ejul menjawab perlahan.

“Ejul aje? Saya ni?” Mulut Khairil masih mahu bergurau. Ejul cuma ketawa.

“Cantik nampak, Zara.” Khairil menegur Zara.

“Nak jumpa Abang Ejul mestilah cantik-cantik. Cantik tak Zara ni, Abang Ejul?”

Zara meletakkan basikal di bawah pokok nangka. Sesudah basikal ditongkat dia mendekati kedua-dua anak muda itu. Dia langsung tak memandang Khairil sebab matanya sudah melekat pada badan Ejul yang cuma bersinglet putih. Zara tergoda.

Hangat perasaannya bila dapat merenung muka Ejul. Dalam hatinya ada taman. Taman yang makin subur dengan bunga tahi ayam.

Apa taknya, isyarat memanggil Zara tak pernah mendapat balasan. Ejul tak pernah membalas rasa hatinya. Kadang-kadang sakit jiwa juga tapi dia mesti bersabar kalau hendak takluk hati Ejul.

“Semua orang nampak cantik sebab Tuhan memang dah jadikan cantik... sempurna.” Sahut Ejul seadanya tapi itulah hakikatnya.

Bagi Ejul, apa guna cantik kalau akhlaknya kurang. Samalah macam Bunga Dedap yang nampak cantik tapi baunya tak wangi, malahan beracun. Perempuan selalu terlupa betapa berharganya diri mereka.

Kalau semua perempuan macam Zara, akan kucar-kacir hati lelaki. Sedangkan Ejul mahu hatinya sentiasa aman tanpa ada amaran berjaga-jaga. Godaan kaum perempuan lebih teruk daripada ombak Tsunami.

“Zara tau Abang Ejul segan nak kata Zara cantik... kan Abang Ril?” Zara tak puas hati.

Sudah penat bersolek takkan masih tak mampu menggugat kelakian Ejul. Dia berharap sangat Ejul memandangnya. Bolehlah dia mengenyitkan mata.

Kelopak mata yang sudah berat dengan bulu mata palsu itu pasti akan mencairkan hati lelaki Ejul. Tentu lelaki idaman hati itu akan tergoda. Itulah perkiraan Zara.

‘Isyyy... tak pandang jugak!’ bisiknya yang sudah penat menunggu. Berpeluh mukanya yang berwarna-warni itu.

“Cantik.” Sahut Khairil sepatah. Kedatangan Zara membuat dia turut merasai bahang panasnya. Tak selesa.

“Puji macam tak ikhlas aje!” rajuk Zara.

‘Memang tak ikhlas pun!’ balas Khairil dalam hati.

‘Tau tak apa,’ bisik Ejul pula.

Memikirkan Zara sudah berdiri lama macam tugu negara, Ejul tak sedap hati. Hendak berbual-bual rasa tak manis pula. Mereka berada di kawasan kampung yang terlalu banyak mata mengintai dan mencari salah.

Lebih-lebih lagi dia dan Khairil bukan anak jati kampung itu. Lebih besar ruang untuk orang kampung mengukur keburukan mereka. Mereka datang ke kampung itu sebab hendak mendidik anak bangsa. Bukan untuk melayan semua perempuan.

“Zara, saya rasa elok awak balik. Dah kerap sangat awak datang ke mari.” Teguran Ejul ikhlas.

“Apa salahnya? Bukan buat apa-apa pun. Nak jumpa kekasih hati takkan salah?”

Erkkk! Terasa ada orang yang sedang menjerut batang lehernya. Terkejut betul Ejul. Beraninya Zara mereka-reka cerita sensasi macam itu.

Mujur tak ada wartawan Melodi. Kalau tak, sudah tentu akan ada gossip panas hujung minggu nanti. Kalau tadi dia kasihan, sekarang rasa geram pula. Berani-berani Zara hendak mengambil tempat Melah dalam hatinya. Mana boleh!

“Abah awak tak marah ke awak datang sini?” tanya Ejul lagi.

“Eh! Takkk... abah sporting. Ibu je yang suka bising-bising bila Zara keluar rumah. Abah lagi suka kalau Zara jumpa abang. Abah kata, selamattt.” Jelas Zara suka.

Ejul dan Khairil berpandangan. Macam tak percaya dengan apa yang didengar. Ada rupanya makhluk macam itu. Tak kisah tentang anak daranya.

Nasib baik mereka orang baik-baik, kalau tak sudah tentu Zara yang akan ‘selamat’ bersama mereka. Hendak salahkan siapa kalau anak dara ditebuk tupai?

Kalau macam inilah keadaan anak bangsanya, alangkah sedihnya. Bangsa entah ke mana, agama ditolak entah ke mana. Pelik juga bila memikirkan sikap Pak Sood yang terlalu terbuka sedangkan orang tua itu merupakan edisi lama.

Bak kata orang, sudah terlebih banyak makan garam. Sepatutnya dia lebih menitik beratkan tentang soal moral anak muda. Apatah lagi anaknya sendiri.

Agaknya disebabkan garam yang ditelan Pak Sood sudah berlebihan maka dia sudah hilang rasa. Mungkin juga disebabkan orang tua itu sudah bosan dijajah pada zaman mudanya maka dia mahu membebaskan pemikirannya.

Sayangnya kebebasan fikiran itu membuat Pak Sood bertambah mundur akalnya. Rugi betul! Yang menjadi mangsa ialah Zara. Dia gagal menjadi anak yang baik untuk ibu dan ayahnya disebabkan asuhan yang kurang baik.

“Kenapa Abang Ejul diam? Kagum dengan abah ya? Abah memang macam tu. Abang Ejul nak tau tak, sekarang abah tengah bercinta dengan janda Melah!” jelas Zara bangga.

Serta-merta Ejul terbatuk-batuk keras. Tersedak! Ejul dapat mengagak, perkara itulah yang membuat Pak Sood sporting. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.

Sudah tentu rahsia orang tua itu sudah banyak memenuhi kocek Zara. Tidak mahu rahsia terbongkar, Zara ditutup mulutnya dengan kebebasan. Kehendaknya dituruti saja. Busuk betul Pak Sood!

‘Mintak-mintak dia percaya. Tak adalah dia nak pikat Melah lagi.’

Doa Zara dalam hati. Sengaja dia membuat cerita semata-mata hendak memiliki Ejul. Baginya, dia lebih berhak ke atas diri Ejul berbanding Melah yang sudah bertaraf mak janda.

“Baguslah kalau abah awak bercinta dengan Melah, senang sikit ibu awak belasah abah awak tu. Saya tak nak tolong leraikan macam dulu kalau dorang perang besar lagi. Kan, Ril?”

“Betul, betul. Aku ingat lagi tu. Seminggu sakit-sakit badan aku ni kena pelangkung Pak Sood.” Cepat saja Khairil mengiakan.

Kejadian yang masih tak dapat dilupakan itu kadang-kadang menjadi bahan ketawa mereka berdua bila masing-masing sedang bosan. Pak Sood romeo tua Kampung Kemboja pernah membuat gempar sebab hendak kahwin seorang lagi.

Niatnya dihalang keras oleh Mak Biah, isterinya. Bukan Mak Biah membenci poligami tapi dia mahu Pak Sood sedar diri. Paling menggelikan hati bila Mak Biah mengejar Pak Sood dengan parang.

Hendak membelikan gigi palsu Mak Biah pun masih belum mampu, inikan pula untuk kahwin lagi satu. Itulah padahnya bila suka sangat makan telur ayam kampung mentah campur madu. Panas saja darahnya. Disangka diri masih muda padahal sudah senja.

“Tak baik abang berdua cakap macam tu kat abah Zara!” bentak Zara marah.

“Sebelum kami cakap macam-macam lagi lebih baik Zara balik. Bukan apa, kadang-kadang macam ada benda je yang masuk dalam badan kami ni.”

“Masa tu mulalah kami tak sedar sangat apa yang kami cakap. Kami takut nanti, apa kami buat pun dah tak sedar.”

Seronok betul Khairil dapat bercakap panjang lebar. Dia sudah penat asyik diam dari tadi. Selalunya macam itulah, setiap kali Zara datang dia cuma jadi penonton.

Zara akan bercakap dengan Ejul saja. Ejul pula geli hati bila mendengar apa yang kawan serumahnya karutkan. Bagus juga, sekurang-kurangnya akan membuat Zara meluat. Bagi Ejul, Khairil merupakan kawan yang sangat memahaminya. Tau apa kehendaknya.

“Yang Abang Ril sibuk ni kenapa? Zara bukan nak jumpa abang pun!” Merah padam muka Zara menahan marah. Khairil mencebik meluat.

29

“Adik manis, boleh saya cakap sikit?”

Kembang hati Zara bila mendengar Ejul memanggilnya adik manis. Tergeliat-geliat badannya dek kesukaan. Senyumnya jangan dikata lagi. Dari telinga kanan sampai telinga kiri. Tak sia-sia dia bersolek tebal, akhirnya Ejul mengakui juga dia manis orangnya. Tak rugi dia datang ke rumah pujaan hatinya.

“Mestilah boleh Abang Ejul,” lalu dia mengenyitkan mata. Ejul serius saja, sebaliknya Khairil yang sengih-sengih. Bukan sebab suka tapi geli hati melihat Zara yang macam belut.

“Tak kiralah siapa yang Zara nak jumpa, masih tetap tak manis. Kena hati-hati dengan kami ni. Kami bukan malaikat. Ada nafsu, ada keinginan.”

“Kalau kami bawak Zara masuk dalam bilik dah tentu tak ada jiran-jiran yang nampak. Tak takut ke kalau kami buat yang tak elok pada Zara?” Ejul cuba menakut-nakutkan Zara supaya dia cepat-cepat pergi.

Zara tersipu-sipu. Merona mukanya. Senyuman masih berbaki. Hairan betul Ejul dan Khairil melihatnya. Ada juga anak dara macam Zara. Kalau tak ingat Tuhan, mahu saja Khairil membawa Zara masuk ke bilik.

Sekurang-kurangnya kerinduan pada isterinya akan berkurangan. Nasib baik imannya masih boleh dijadikan pendinding diri. Khairil takut kalau mati nanti akan dijilat api. Dia juga tahu buat jahat tak akan dibalas dengan baik. Ada kitab yang dicatat untuknya.

“Tak apalah... bila kena tangkap basah, kita terus nikah.”

Kata-kata Zara membuat kedua-dua anak muda itu berpandangan sekali lagi. Sesak nafas mereka. Bahana akhir zaman memang menakutkan!

Ejul bukan tak bernafsu bila melihat Zara begitu tapi dia masih sedar yang hidangan syaitan tak akan kekal manisnya. Biarpun darah muda bergelora, dia mesti mempertahankan terunanya daripada dirampas oleh Zara. Tidak sekali-kali! Dia masih suci! Ejul tak rela dinodai. Terunanya akan disimpan untuk Melah.

‘Nekadnya dia ni... huh!’ keluh Ejul dalam hati.

‘Ya Allah, selamatkan aku dari dinodai.’ Diikuti doa senyapnya pula.

‘Parah dah budak ni,” bisik Khairil pula.

Diam-diam Khairul bersyukur sebab berjodoh dengan isteri yang setia. Kalaulah isterinya macam Zara, alamatnya dia akan menjadi macam Jelan senget.

“Adoiii... perut ni dah memulas pulak. Ril, kau layanlah Zara, aku nak beraklah.” Ejul dapat akal.

‘Eiii, nak berak pun cakap,’ sungut Zara tanpa ada yang mendengar.

Terkocoh-kocoh Ejul berlari masuk. Zara terlopong bercampur geram. Hatinya bengkak dengan sikap Ejul. Bertambah bengkak bila melihat sengihan Khairil yang seakan mengejek. Tak sudah-sudah dia memaki-maki dalam hati.

Tanpa membuang masa, Zara berjalan laju menuju ke pokok nangka untuk mengambil basikal birunya. Dia terus menunggang basikal itu lalu dikayuh laju. Khairil geleng tak sudah. Ejul yang pura-pura hendak buang air, mengekek di dalam rumah.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.