Home Novel Komedi/Romantik Komedi KALAU AKU KAYA
KALAU AKU KAYA
Juea Abdullah
3/2/2016 23:30:29
44,586
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Teaser3

IT HURTS SO DAMN MUCH!


Zakuan… sa… saya…,” bicara Wardah yang tersekat-sekat itu langsung putus bila lelaki itu melangkah laju ke arahnya. Wardah tercengang, tergamam, kecut perut segala.

Tiba-tiba lengannya ditarik kuat dan dia terdorong mengikut jejak Zakuan yang menghayun langkah ke pintu sebuah bilik.

Buntang mata Wardah diheret begitu. Sempat dia berpaling, memandang ke arah Kak Rina dengan pandangan antara minta maaf dan cemas yang sama banyak. Kak Rina terdorong melangkah ke depan seperti mahu menyelamatkannya tapi…

Tubuhnya disentak, terpusing dan terhempas kuat ke dinding. Terpejam mata Wardah diperlakukan begitu. Terasa jantung bagaikan hendak tercabut dan terbuka bibirnya mengaduh kesakitan tanpa suara. Tambah terperanjat lagi bila dia membuka mata, Zakuan berdiri rapat dengan mukanya.

“Why is she here?” bentak Zakuan ingin tahu dengan suara seperti ular berdesir. Helaan nafas kasarnya menyentuh muka Wardah membuatkan jantungnya terasa mahu gugur bila-bila masa saja.

“I asked you, WHY IS SHE HERE?”

Okey! jantungnya dah gugur! Tengkingan lelaki itu bergema serentak dengan sentakan dan cengkaman yang kuat menyakiti lengan Wardah. Terpejam sekali lagi mata Wardah dan kali ini dia benar-benar terlalu takut hendak bernafas. Jantung pun dah tak ada lagi!

Dia tak rasa ada denyutan lagi. Dia berdoa agar dia pengsan saja tapi mungkin terlalu takut, tubuhnya jadi tak bergerak, hanya menggigil di situ. Kaki dan lutut usah dicakap lagi. Sudah jadi agar-agar semuanya. Tapi terlalu takut untuk rebah maka dia seperti separuh terbenam ke dinding itu.

Pantang bagi Zakuan kalau arahannya tak dituruti. Setakat ini tak ramai yang berani membantah kehendaknya kecuali nenek dan gadis yang sedang terpejam mata di hadapannya saat itu.

“You better answer me, Wardah! Before I lose my mind…” Suaranya bertukar lembut kali ini namun kesabaran sudah di penghujung.

Barulah mata Wardah terbuka dan nafas kalut ditarik laju-laju. Oh! Kenapa jantungnya kembali berdenyut?

Zakuan memandangnya dengan mata yang mengecil. Dekat. Dekat sangat.

“Err… ss… saya… ta… tadi… masa saya ambil Anis, Kak Rina dah masak… masak macam-macam untuk ki… kita. Sss… saya… saya tak sampai hati. Dia pun dah bersiap. Saya tahu dia nak ikut... err… nak jumpa awak. Saya… saya ajaklah…”

“Dah berkali-kali saya cakap, saya TAK MAHU JUMPA DIA! Macam mana saya nak buat awak faham, hah?” Meledak tengkingan Zakuan. Serentak itu, tangan kirinya melepaskan lengan Wardah dan dengan berang menghentak penumbuknya ke dinding, betul-betul di tepi telinga gadis itu.

Terpejam sekali lagi sepasang mata Wardah dek menahan hati yang menggigil. Habis kecut perut, jantung segala! Kenapalah begini sekali...

“Awak tak tahu kan betapa sakitnya hati saya bila tengok muka dia? Awak tak tahu apa yang dia buat pada saya selama ni? Awak tak tahu, kan?” tengking Zakuan lagi.

Wardah menggeleng laju. Degup jantungnya berombak kencang. Inilah yang dia mahukan. Rahsia mereka! Rahsia mengapa begini sekali Zakuan terkesan dengan pertemuan ini.

“Kalau awak tak tahu, awak JANGAN campur tangan dalam urusan saya!” Suara Zakuan tiba-tiba berdesis seperti ular meradang.

Wardah menelan liur yang tiada. Tekaknya kering kontang. Berpasir. Zakuan berpusing membelakangkannya. Bercekak pinggang. Wardah tarik nafas laju-laju. Dia perlu rebut kesempatan ini…

“Tapi awak… awak kena bagi dia peluang! Saya tak tahu apa yang dia buat tapi…”

Tiba-tiba Zakuan berpusing semula mengadapnya membuatkan suaranya hilang dek ketakutan yang kembali mencengkam. Kedua tangan lelaki itu terangkat ke langit sesaat dan jatuh terhayun kembali ke sisi dengan pandangan yang mencerun menghunjam ke arah Wardah yang kelihatan semakin kecil di hadapannya sekarang. Perempuan ini memang tak reti patuh. Mahu bertingkah dalam setiap tindakan dan kemahuannya. Sudah diberi amaran, dimarahi dan ditengking sekalipun, dia masih mahu bersuara!

“Encik Zakuan…”

Diam Zakuan rupanya mengundang keberanian. Halus benar suara Wardah di pendengaran Zakuan saat itu. Namun bila terasa lengannya dipaut, dia benar-benar terperanjat. Pandangannya jatuh ke atas jemari yang menyentuh lengannya yang berlapikkan kemeja-T lengan panjang yang dipakainya. Gadis itu belum pernah menyentuhnya kecuali waktu merawatnya semalam tetapi mengapa kali ini… pandangannya menjalar ke wajah polos yang jelas ketakutan itu.

“Tolong bagi Kak Rina peluang. Tolonglah… saya merayu!”

… tapi kali ini juga kerana kerana orang lain. Semalam kerana bersalah. Malam ini kerana perempuan tak guna itu. Tak pernah dia lakukan apa pun untuk dirinya! Hati Zakuan tiba-tiba sayu dan sedih. Perlahan-lahan dia mendekatkan mukanya dengan gadis yang tak reti mengalah itu.

“Apa yang awak nak saya buat lagi, Wardah?” soalnya dengan rasa letih. Teramat letih. Letih dengan gadis ini yang tak pernah tahu garis sempadan dalam mengkucar-kacirkan hati dan perasaannya.

Wardah jadi kaget dengan perubahan sikap dan nada Zakuan. Perlahan-lahan dia menarik nafas mencari kekuatan.

“Saya… saya harap sangat awak kembali pada Kak Rina…” rayu Wardah dengan rasa rendah hati. “Demi Anis!”

Dia menepis segala rasa hatinya terhadap Zakuan demi Anis. Dia menidakkan segala persoalan dan sangkaannya demi Anis. Dia tak mahu ada anak yang kehilangan lagi. Dia cukup tahu betapa peritnya terpisah dari ibu dan ayah!

Namun nafas Zakuan tersekat mendengarnya. Gadis ini sudah keterlaluan. Anak mata yang kini sedang berkaca itu ditatap dengan rasa tidak percaya.

“Awak ni keterlaluan, awak sedar tak?” Soal Zakuan, sarat dengan rasa kecewa. Zakuan berpaling kerana sudah tidak sanggup memandang… dan sekali lagi tangan itu mendarat di lengannya, meraih tubuhnya kembali mengadap dia. Berani sungguh!

“Awak tak nak tanya sebabnya? Sebabnya saya tahu apa rasanya kehilangan mak dan ayah. Dan saya sama sekali tak mahu orang lain rasa apa yang saya rasa. Saya tak nak Anis kehilangan…”

“Sudah, Wardah! Cukup! Jangan paksa saya lagi. Anis anak saya. Titik. Tapi saya TAKKAN ada apa-apa hubungan lagi dengan perempuan tu!”

Wardah menggeleng. Dia tak sanggup mendengarnya.

Darah Zakuan semakin menyirap. Keputusan DNA yang dia terima siang tadi dari kesan yang tertinggal di cawan yang diminum Anis kelmarin, positif. Dia terima hakikat itu dengan rasa bersalah yang amat. Dan dia memang tekad untuk memberi segala kasih sayang kepada anak itu. Tapi bukan mamanya. Takkan pernah…

“Tapi Zakuan…”

“Tak puas hati lagi? Cuba dengar ni baik-baik! Saya TAKKAN ada perempuan lain selain dari awak, Wardah! Sebab saya terlalu sayangkan awak!”

Wardah terais di situ. Bukan suara Zakuan yang meninggi yang membuatkan dia terkejut. Tapi pengakuan itu!

“Puas hati? I love you! Yes! I love you like crazy but it hurts me so damn much!” pekik Zakuan seraya menghayun penumbuk kirinya ke dinding betul-betul di sebelah pipi Wardah.


*** Karya ini sudah terbit. Hubungi 011-20503481 atau whatsapp [email protected]

Previous: Teaser1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Juea Abdullah