Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
77,968
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 5
5

HISY! Telefon bimbit ni. Bising betul! Rungut Ayumi. Terganggu lenanya dek nada dering yang kian kuat kedengaran. Selagi tidak dijawab selagi itulah telefon bimbit itu berlagu. Entah kenapa bunyi itu terhenti sebelum Ayumi mendapatkan telefon bimbitnya itu. Mungkin orang yang membuat panggilan tahu dia masih tidur. Ayumi mengalih posisi tidur. Baru sahaja matanya hendak kembali terlena bunyi itu menganggu lagi.

“Ish!” bentak Ayumi. Telinga diterkup dengan bantal. Tidur panjang hujung minggunya benar-benar tidak boleh diteruskan lagi.

‘Hadi ke?’ fikir Ayumi dari bawah bantal. ‘Kenapa? Bukan dia tahu ke pagi ni aku tak suka diganggu’ Sabtu hari untuk memanjakan diri. ‘Err... macam mana kalau ada kecemasan?’ Ayumi pantas bangun dan menggesel mata. Risau memikirkan perkara terakhir yang melintasi fikirannya. Telefon bimbit yang terletak atas lantai dicapai. Skrin dilihat. Nombor diperibadikan. Siapa? Ayumi jongket bahu. Dalam keadaan otaknya yang masih belum segar malas dia hendak berfikir. Telefon bimbit dilepaskan atas tilam. Dia berdiri dan menggeliat. Cahaya matahari sudah mencuri masuk ke biliknya melalui celah langsir. Tidak guna juga dia menyambung tidur setelah terjaga. Ayumi menutup mulutnya yang menguap dengan tangan.

Tingkap dihampiri dan langsir diselak. Pandangan dibuang ke luar. Matahari di mana-mana pun tetap indah menerangi alam. Tiada yang berubah tentang matahari. Tapi kalau tentang dirinya... kini memang telah banyak berubah. Ayumi tersenyum sendiri. Biarlah. Dia tidak peduli pun. Selagi hidup harus ceria! Rambutnya yang kusut dirapikan dengan jari. Lupakan tentang kehidupan silam dan hari semalam. Hari ini perlu diteruskan dengan memikirkan esok. Di sini tiada layanan istimewa buat dirinya selain berdikari dan berdikari. Ayumi terus ke bilik mandi.

PERUT yang semakin rancak mendendangkan lagu sedih dari irama Kitaro perlu diisi. Bunyi telefon bimbit sekali lagi menghalang langkah Ayumi ke dapur. Dia berpatah ke bilik untuk menjawab panggilan. Skrin telefon bimbit dilihat. Kenapa dari tadi asyik nombor diperibadikan saja yang keluar di skrin telefon bimbitnya. Siapa tu? Ayumi buat muka kurang senang.

Telefon bimbit ditangan Ayumi bunyi lagi. Buat dia terkejut dan hampir telepas telefon bimbit itu ke lantai saja.

“Moshi moshi, watashi Ayumi san desu ga(Helo, di sini Ayumi bercakap).” Mungkin itu bukan orang yang dikenali. Kalau kenal pasti tidak asing dengan suaranya. “Moshi moshi...”ulang Ayumi.

Panggilan terputus atau mungkin diputuskan. Sah, itu bukan orang yang dikenali.

“Buang masa betul! Tak tahu ke orang dah lapar?” marah Ayumi.

SEMENTARA menunggu bubur yang dijerang masak, Ayumi masukkan dua sudu minyak masak ke dalam periuk kecil yang sudah dipanaskan. Bawang putih dan merah hancur bersama sedikit ikan bilis dicampak ke dalam periuk. Sesudu kecil pes cili dan sekeping asam gelugur pula ditambah, pantas tangannya mengacau campuran yang ditambah dua gelas air itu hingga mendidih. Sawi jeruk dimasukkan. Seketika kemudian dia beralih ke bubur yang siap dimasak. Sedap. Ikan masin digoreng. Barulah hidangan paginya lengkap untuk dinikmati. Jam dinding dikerling. 10.00 pagi.

Kenyang perut Ayumi tersandar senang hati. Minda segarnya melayang mengingati insan teristimewa yang mengajarnya selok-belok dunia dapur. Kalau bukan kerana insan itu pasti dia hanya mengenali bahan masakan secara umum sahaja, bagaimana mahu memasak? Dia tak tahu.

Arigatogozaimashita,” bisik Ayumi pada angin. Wajah Akiko melintasi fikirannya.

BUM!

Ayumi tersentak. Belum pun ingatan menjalar jauh membongkar kotak kenangan bunyi itu mematikan lamunan. Ayumi menoleh ke sisi. Zaki kelihatan berdiri di tepi meja dengan muka baru bangun tidur.

“Kau cakap sorang-sorang apa hal?” tanya Zaki pelik. Dia sempat memerhatikan Ayumi dari pintu dapur.

Ayumi diam tidak menjawab. Penyibuk! Gerutu hatinya.

Zaki berjalan mendapatkan singki. Mereka bukannya rapat, bertegur ketika bertemu begitu saja. Dia tak pernah kisah siapa Ayumi dalam rumah itu. Jika sudah diakui sebagai sepupunya, mungkin benarlah begitu. Ayumi juga tidak pernah menyusahkan dirinya, kira hubungan mereka baik-baik saja.

Ayumi memandang Zaki membasuh muka di singki. Dia menggeleng sebelum mengalihkan pandangan ke mangkuk bubur. Bilik mandi tak ada ke? Tanyanya dalam hati. “Pergi mandi dulu sebelum masuk dapur tak boleh ke?” tegur Ayumi perlahan.

“Apa dia?” Dengan muka basah Zaki menoleh.

“Hmm?” Ayumi pura-pura tercengang. Berani ke dia mengulang apa yang dikatakan tadi? Dalam rumah itu hanya tinggal mereka berdua. Tina sudah keluar memungut duit hasil jualan kilangnya daripada peniaga-peniaga kecil di bandar sana. Manalah tahu Zaki ada niat mahu membulinya.

“Kau cakap apa?” ulang Zaki. Memang suara Ayumi yang didengar, tapi kurang jelas kerana bunyi air paip yang jatuh ke singki.

“Aku tak cakap apa-apa pun,” nafi Ayumi dengan muka bersahaja.

Zaki diam. T-shirt di badan ditarik ke atas. Muka dilap.

Ayumi yang memerhati menjeling ke atas. ‘Gunalah tuala muka. Kau tak belajar guna benda yang betul di tempat yang betul ke?’ tanyanya setakat dalam hati. Kalau tanya betul-betul Zaki makan dia kot.

“Apa yang ada? Aku lapar,” tanya Zaki dengan gaya tuan rumah. Matanya mencari periuk di atas dapur.

“Tengoklah sendiri,” jawab Ayumi separuh hati. Dia dah siap makan. Bolehlah meninggalkan Zaki menjadi tikus menyelongkar dapur di situ. ‘Pandai-pandai kaulah nak hidup abang sepupu. Dalam peti sejuk mak kau tu ada macam-macam makanan segera. Kalau kau malas nak masak atas dapur, kau boleh guna microwave,’ omel Ayumi dalam hati.

Zaki tunjuk muka tidak puas hati. Periuk atas dapur dijengah. “Eh, kau ni tak reti masak benda lain ke? Asyik-asyik bubur. Masaklah piza pulak,” protesnya. Setiap kali Ayumi menyediakan sarapan pasti bubur yang dimasak. Namun mangkuk kecil dari kabinet bersebelahan singki diambil juga. Kalau mahu harapkan diri sendiri yang memasak alamat kebulurlah dirinya. Bubur pun kira okey juga.

“Banyak cakap!” balas Ayumi dengan jelingan menyampah.

“Aku nasihat aje. Kau tahu? Benda-benda macam ni orang sakit dengan orang yang dah tak ada gigi aje makan,” beritahu Zaki sambil mengambil tempat di meja makan. Terasa tua dirinya melihat bubur itu.

Erk? Melihat Zaki mula menyudu bubur ke mulut Ayumi melangkah mahu meninggalkan dapur.

“Hoi, nak pergi mana? Nasihat sikit tak nak dengar,” sergah Zaki.

Ayumi pandang Zaki. Kenapa dia rasa pintu itu terlalu jauh? Lima, enam langkah macam 50, 60 langkah rasanya. Eiee...

“Air aku mana? Buatkanlah secawan kopi ke apa ke dulu,” pinta Zaki. Mana sempurna sarapan paginya tanpa secawan minuman panas.

Ayumi herot bibir. Dia kembali ke kabinet. Gelas diambil dan air dari alat penapis ditadah. Zaki dihampiri. Gelas berisi air kosong diletakkan atas meja.

“Jangan lupa ucap terima kasih,” kata Ayumi sengaja menyindir Zaki. Memang taklah dia nak tolong buatkan sebarang minuman. Karang entah apa lagi yang Zaki protes. Ayumi segera meninggalkan Zaki.

SAMBIL melangkah ke ruang tamu Ayumi tersenyum mengenangkan muka begang Zaki. Masa itu jugalah telefon bimbitnya berbunyi lagi. Ayumi menyeluk saku sebelum skrin ditatap. “Nombor diperibadikan lagi,” keluhnya. Panggilan itu boleh sahaja diabaikan. Tapi bagaimana kalau itu Tina. Manalah tahu kawasan tempat Tina mengutip hasil jualan kilang mereka itu mengalami masalah talian. Nanti dia pula dimarah. Tapi kalau dah banyak kali dijawab, banyak kali juga bisu sudahnya Ayumi geram. Mustahil Tina tak tahu hantar mesej kalau tak dapat bercakap dengannya. Ikon angkat disentuh.

“Helo, helo, helo. Cakaplah, cakaplah, cakaplah! Janganlah main-mainkan orang macam ni. Tak baik!” marahnya.

“Hah! Betul pun awak. Saya ingatkan perempuan Jepun mana punya nombor telefon awak bagi,” sergah suara seorang lelaki.

Ayumi besarkan mata. Siapa pula tu? Bukan suara Hadi. Bukan juga suara mana-mana lelaki yang dikenalinya. Mana ada lelaki lain kat pulau tu yang ada nombor telefonnya selain Hadi.

“Tak payahlah nak buat-buat lupa sangat. Saya nak tuntut duit dobi!” tekan suara lelaki itu.

Dobi? Mata Ayumi mengendur. Encik Ikan Masin? tekanya. Mulalah muka lelaki itu bermain di mindanya. Ingatkan setelah hampir seminggu berlalu masalah itu sudah dilupakan. Rupanya tidak. Encik Ikan Masin tetap juga mahukan ganti rugi. Sungguh tidak budiman lelaki itu, dengan orang perempuan pun mahu berkira.

HAMPIR 4.00 petang. Tadi Encik Ikan Masin pesan jangan lambat. Tapi dia dah lama menunggu di situ muka Encik Ikan Masin pun tak juga kelihatan. Dirinya dipermainkan ke apa ni? Ayumi meliarkan mata ke sekeliling restoran di Resort Matahari itu.

“Sekarang siapa yang tertunggu-tunggu? Siap ingatkan orang jangan lambat bagai. Tapi dia...” omel Ayumi bengang terpaksa menunggu.

Nasib baiklah persekitaran Resort Matahari itu cukup selesa dan sesuai dikunjungi sesiapa sahaja, kalau tidak sudah lama Ayumi balik. Makanan di situ juga enak, pekerja pun ramah dan mesra. Dia pernah menginap di situ dulu, jadi banyak jugalah tentang resort itu yang dia tahu. Sebelum ini ada seseorang yang dikenali dan menjadi teman rapatnya di situ. Mereka berkenalan sewaktu dia mula-mula sampai dulu. Dari membuang masa menunggu, kenapa dia tidak menjengah masuk ke dapur restoran Resort Matahari dan mencari kawannya itu.

“Maaf, kalau lama menunggu,” sapa Encik Ikan Masin terus mengambil tempat. Tiada alasan diberikan.

Ayumi tidak jadi bangun dari duduk. Encik Ikan Masin dipandang dengan muka sedikit terkejut. Kalau ya pun lambat janganlah terus bersuara di begitu. Pemilik wajah mirip Ashraf Sinclair itu dipandang. Kenapa hatinya terasa seperti melayang? Dia tak boleh nak marah. Ayumi tarik nafas. Rasa macam nak tampar pipi sendiri pula. Biar sedar dari angan-angan nakal.

“Saya ingat awak tak jadi nak tuntut kerugian?” kata Ayumi. Elok saja terus kepada tujuan pertemuan mereka. Kalau tidak nanti lain pula jadinya.

Encik Ikan Masin tidak menjawab. Sebaliknya terus melambai pelayan.

Ayumi memerhati.‘Eh, dia ni. macam tahu pula aku jatuh suka kat dia. Sajalah tu nak ambil masa pancing hati aku lebih-lebih,’ bisiknya dalam hati. Tapi betul... kenapa Encik Ikan Masin nampak tampan dengan gaya melambai pelayan? Encik Ikan Masin yang menggoda atau dia yang mengada tergoda? Arghhh! Matanya dah mula rosak dan dia gagal memahami diri sendiri. Ketika Encik Ikan masin memandangnya Ayumi terus tertunduk memandang tangan sendiri di atas meja.

“Teman saya minum dulu,” pinta Encik Ikan Masin dengan niat mengundang Ayumi sebagai tetamu. Soal duit dobi, itu hanya alasan untuk menyuruh Ayumi ke situ. Dia sekadar mahu menjernihkan suasana tempoh hari. Tidak mahu hal sekecil itu tersimpan sebagai kenangan tidak patut dikenang dalam sejarah kehidupan mereka kelak. Dia tidak rela ditertawakan seumur hidup Ayumi. Cucu-cicit Ayumi juga pasti tergelak mendengar kisah itu nanti. Teruk!

Ayumi pandang Encik Ikan Masin seketika. Macam mana? Sekejap lagi dia ada janji dengan Hadi. Mereka mahu membantu di pusat kitar semula pulau itu. Nampaknya urusan dia dan Encik Ikan Masin takkan selesai dengan segera. Ayumi agak serba salah.

“Kenapa? Menyusahkan ke?” Muka Ayumi yang keberatan buat Encik Ikan Masin bertanya. Dia bukan mahu mengambil kesempatan. Hanya mahu berkawan.

“Takut boyfriend marah ke? Kenapa tak ajak dia sama?”‘perempuan dengan muka macam tu kalau bukan sebab takut kena marah dengan mak, mesti takut kena marah dengan teman lelaki,’ teka Encik Ikan Masin dalam hati.

“Eh, taklah... saya mana ada boyfriend,” jawab Ayumi. Pandai-pandai saja Encik Ikan Masin ni buat tekaan rambang.

Encik Ikan Masin tersenyum. Lurus juga gadis itu. “Jadi tak ada masalahlah, kan?” tanyanya sedikit mendesak.

Ayumi cuba senyum dan mengangguk. Hati yang kurang selesa cuba didamaikan. Kalau sesekali buat-buat terlupa ada janji dengan Hadi hari itu tak apa kot. Dia pujuk diri lagi.

“Kenapa hari tu awak pakai kot?” tanya Ayumi memecah kesunyian. Setelah agak lama mereka diam kerana menikmati nasi dagang yang dipesan Encik Ikan Masin.

Encik Ikan Masin tidak menjawab. Nasi penuh dalam mulutnya.

“Biar saya teka,” kata Ayumi.

Encik Ikan Masin pandang Ayumi.‘Nak main teka-teka pulak dia ni. Hmm, tekalah asalkan kau bahagia.’ Minuman disedut bagi memudahkan nasi yang ditelan terus ke perut. Manalah tahu gadis itu bakal buat dia tergelak, mahu tersembur segala yang ada dalam mulut nanti.

“Awak lari dari pentas perkahwinan, kan?” teka Ayumi. Tidak mungkin Encik Ikan Masin sengaja bersantai di tepi laut dengan memakai kot. Nak kata lelaki itu baru pulang dari pejabat, lagilah mustahil. Di pulau tempat tinggalnya itu hanya ada pejabat Pak Hamid. Duduk dalam pejabat kecil itu Pak Hamid pun tak pakai kot.

Encik Ikan Masin merenung Ayumi. “Awak rasa saya ni perempuan ke? Orang perempuan aje yang suka larikan diri pada hari perkahwinan,” kata Encik Ikan Masin sempat saja mahu menyindir.

Ayumi mencebik. Ingat orang lelaki tak buat macam tu ke? Dia tak puas hati dengan kata-kata tu.

“Okey, kalau bukan... sebenarnya awak ni model. Awak kat situ sebab ada sesi photoshoot.” Ayumi masih belum putus asa mahu meneka. Tapi kemudian Ayumi pelik sendiri. “Eh, tapi kenapa tak nampak rakan kerja awak yang lain kat situ?” kali ni Ayumi rasa dia salah teka lagi dan dia memang tiada bakat bermain teka-teki.

Encik Ikan Masin menggeleng. Gadis yang kelihatan kemas dengan gaya rambut digulung rapi itu memang tidak pandai meneka.

“Tekaan awak tak mengenai sasaran. Yang sebenarnya saya melawat kawasan dengan beberapa orang pegawai. Lepas tu dia orang balik dan saya ambil sikit masa untuk bersiar-siar kat pulau sana tu. Sebab tu terjumpa awak dan awak dengan berani telah kotorkan pakaiansaya,” kata Encik Ikan Masin senafas. “Sebab hal tu kita berjumpa lagi kat sini. Jelas?” Encik Ikan Masin tersenyum pada Ayumi. Mesti Ayumi gerun melihat dia bercakap dengan gaya seorang bos. Sebenarnya sewaktu insiden itu berlaku dia baru selesai melihat kawasan yang dirancang untuk pembinaan resort akan datang. Baru seketika mengambil angin di tepi laut, bakul berisi ikan pula terbang dan mendarat tepat di atas kepalanya. Nasib baik dia sudah selesai menghadiri perbincangan. Jika tidak, habislah dia termalu.

Ayumi senyum comel. “Ooo... macam tu. Sekarang apa kata awak beritahu saya berapa kos dobi tu?” pintanya Ayumi. Dia tidak peduli pun gaya apa yang digunakan Encik Ikan Masin untuk bercakap dengannya. Dia biasa melihat seorang bos bercakap senafas begitu.

“Hmm, awak kejar masa ke?” tanya Encik Ikan Masin. Mereka baru saja selesai makan takkan Ayumi sudah terburu-buru mahu pergi.

Ayumi menggeleng perlahan. Macam mana ni... kenapa kemahuan hati dan fikirannya berbeza? Hatinya masih mahu di situ, sedangkan fikirannya memikirkan Hadi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.