Home Novel Keluarga DOA CINTA HERSALINA
DOA CINTA HERSALINA
28/1/2014 19:47:48
41,098
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
4

Sedari tadi Rita tidak boleh duduk diam. Bagaikan ada miang rebung rasanya. Sekejap dia ke kiri dan sekejap dia ke kanan. Malam telah lama datang dan menabiri seisi alam tapi tetap dia tidak mampu untuk tidur dengan nyenyak. Sepasang matanya tidak mampu melelap barang seminit pun.

Dia mendengus kasar akhirnya. Suasana di bilik utama itu langsung tidak membuatkan badannya sedikit menggigil. Makin panas dirasakannya. Biliknya bagaikan dikelilingi dengan semilir hangat. Dia semakin kegelisahan. Ketidakteraman jiwanya itu bagai menarik-nariknya melewati kenangan semalam. Aku perempuan tamak. Dia hanya mengaku sendiri dalam hati. Dia setulus hati mencintai lelaki lain dan seyakin hati mengahwini lelaki lain pula. 

Dia ingin menjadi perempuan yang tidak hanya tertakhluk pada seorang lelaki sahaja. Hatinya sudah ada pemilik. Dia hanya mencintai lelaki itu. Tapi dia mengahwini lelaki lain. Lelaki yang tidak dicintainya. Lelaki yang dicintainya itu hanyalah lelaki biasa berbanding suaminya ini seorang yang sangat kaya. Sangat mustahil untuk dia melepaskan peluang yang sudah terhidang di hadapan mata. 

Lebih-lebih lagi suaminya itu sangat menggilainya. Biarlah. Dia sanggup meskipun terpaksa curang di belakang suaminya. Allah ternyata mahu menunjukkan sesuatu. Langit tidak selalunya cerah. Terkadang mendung terkadang hujan. Namun dia langsung tidak menyedari kekhilafannya. Awal-awal lagi lelaki durjana itu sudah mengatakan tidak mahu kepada anak yang mula membenih dalam perutnya. 

Sudah puas dia merayu namun lelaki itu sangat keras dengan pendiriannya. Lelaki itu sungguh ego sekali. Sangat mementingkan diri sendiri.

“Buatlah apa mahumu! Aku tidak mahu anak ini!”

Bicara lelaki durjana menggambarkan manusia bersifat kebinatangan. Rasa murni sudah pupus dari hati yang semakin hitam-kehitaman. Apa lagi yang tinggal pada lelaki itu melainkan kezaliman semata-mata.

“Aku mahu berseronok dengan kau! Bersetubuh dengan kau! Itu sahaja yang aku mahu! Dan anak ini bukan kemahuanku!”

Rasa sedih dan merana bukan kepalang membuatkan dia mulai tekad tidak mahukan anak ini. Mungkin tiada gunanya kalau anak ini lahir sekalipun lelaki durjana itu tidak mahu mengaku kesalahan lalu bertanggungjawab. Ternyata lelaki itu sememangnya tidak berguna dari dulu. Tapi mengapa dia tidak mahu sedar dari dulu? 

Dia tahu bahawasanya dia yang bersalah. Dia yang menduakan suaminya, lelaki yang sangat mencintainya sehingga akhir penghujung nafasnya. Tapi mengapa dia sungguh tegar bertindak sejauh itu? Sedangkan sudah ada lelaki yang sudah mencintai dia apa adanya? Mengapa dia terlalu mengikut nafsu terlarang sedangkan dia boleh menikmati nafsu yang halal malah lebih dari itu? 

Mengapa dia terlalu mengikut rasa hati yang hanya bersifat sementara sedangkan rasa itu dia boleh dia perolehi dari lelaki yang halal disisinya? Kerana aku mencintai dia! Aku sangat mencintai dia! Aku teramat mencintai dia! Dialah cinta pertama dan terakhirku! Dialah cintaku! Kerana cinta yang sering dia agung-agungkan itu, dia bersumpah dalam hati dan akan memaksa anaknya yang dihamilinya itu mengutip dosa yang menjadi bayang-bayangnya kini. 

Dalam diam penuh dendam amarah dosa ini akan dihempaskan ke pundak anak ini. Biarlah dia sengsara seorang diri. Kini, kerana lelaki yang dicintai itulah menyebabkan dia derita begini sekali. Kerana lelaki yang tidak berguna itulah dia menjadi kecewa begini. Menanggung anak haram yang dia sendiri tidak mahu. 

Sudah puas lelaki itu dia cinta dengan sepenuh hati tapi mengapa lelaki itu begitu tegar memperlakukan dia semacam sampah. Dilempar sesuka hati. Dicampak bila merasakan dia tidak berguna dan dikutip balik bila penasaran. Sungguh! Dia tidak mahu menjadi perempuan yang sebegitu. Terasa dirinya begitu murah, hina dan jijik di pandangan manusia bernama lelaki. Aku bukan barang! Bukan juga perempuan pemuas nafsu! Bentak hatinya sendiri. Dia wanita jelita namun sayang hati punya dia sungguh gelap gelita. Jadi apa guna jelitanya itu? 

Cantik namun langsung tidak bermakna bagaikan tiada erti di mata lelaki itu. Dia berhak dan mampu mendapatkan lelaki yang lebih baik dan sempurna daripada itu. Tetapi mengapa dia dengan rela dengan begitu mudah menyerahkan dirinya kepada lelaki itu? Kenapa dengan lelaki itu dia terasa begitu lemah? Rasa ingin dimanjai lelaki itu? Terkadang dia merasakan dia bagaikan kuntuman mawar yang melayu di tapak kaki lelaki itu?

Sungguh dia tidak memahami rasa hatinya sendiri. Mudah benar dia cair dengan lelaki yang sudah dia anggap tidak berguna itu. Baru kini dia merasakan yang dia benar-benar menyesal. Rita sememangnya tidak serik. Dia tetap melakukan hubungan terlarang itu. Walaupun dicurahkan dengan limpahan kasih sayang suaminya itu dia masih merasakan tidak cukup. 

Lelakinya itu hanya tempat dia menumpang kesenangan sahaja. Mengingatkan lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab itu, hatinya kembali mendidih. Hatinya benar-benar dendam akan lelaki itu. Madu yang diberikan tuba yang dibalas! Siaplah! Kau takkan hidup senang kerana menghancurkan hati aku! Kau takkan aman! Hatinya mendongkol marah yang bukan kepalang. Hatinya kini dihuni dendam yang teramat. Lelaki itu memang patut diajar. 

Sampai menderita kau buat aku begini. Kau mahu tinggalkan aku begitu sahaja? Walaupun lelaki itulah yang dicintainya sepenuh hati, cintanya kepada lelaki itu takkan membenarkan dia diinjak sesuka hati. Tahulah nasib kau nanti! Seminggu sudah pergi tanpa dia sedari. Yang hanya tinggal kini hanya kenangan lalu yang merobek-robek dan membuatkan dendam di jiwanya bertambah segar. 

Kepulangan suaminya akan tetap dia sambut dengan baik. Dia sudah merencana apa yang dia mahu lakukan. Seminggu itu juga dia tidak mendengar tentang bayi itu. Ah! Persetankan segalanya. Dia bukan anakku. Dia tidak mahu anak itu lagi. Bayi itu sudah dia serahkan kepada orang gajinya. Pandai-pandailah dia menguruskan. Rita masih tidak mampu berjalan seperti biasa lagi. 

Kesakitan yang dia alami ini buat kesekian kalinya membuatkan dia mahu mencarut sahaja. Lemas sekali dirasakan keadannya begini.

“Timah! Timah!” Dia menjerit nama orang gajinya itu.

Dia hanya mampu mendengus lagi. Dengan berkeadaan begini ternyata amat sukat untuk dia bergerak ke mana-mana. Apatah lagi mahu cantik segala. Terkadang dia sudah bosan asyik terbaring bagaikan orang yang hendak menunggu mati saja. Paling tidak pun dia hanya mampu duduk barang sekejap dan berjalan di sekitar biliknya sahaja.

“Timah!!!”

“Ya Puan,” Sambut Mak Timah yang ketika itu baru sampai di muka pintu bilik majikannya.

Segera Mak Timah menghampiri majikannya yang hanya duduk di birai katil itu. Nasib baik sempat dipesan kepada suaminya supaya menjaga sekejap bayi itu.

“Kau buat apa lambat sangat datang?!” Herdik Rita seperti biasa.

“Saya hidangkan makanan. Sebentar lagi tuan mahu pulang.”

Rita hanya mengangguk. Tentang itu dia tahu. Sekejap saja lagi suaminya akan pulang. Pasti segalanya akan terbongar. Dia mesti memaksa Mak Timah mendengar katanya. Jika tidak kelak segala rancangannya akan binasa nanti.

“Timah, tuan pasti tahu tentang hal aku apabila dia terlihat aku begini,”

Mak Timah hanya mengangguk. Sebetulnya dia tidak mengerti apa yang mahu diperkatakan majikannya itu. Dia hanya menanti manakala Rita sudah menyungging senyum di bibirnya.

“Sekejap lagi Tuan akan balik. Aku mahu kau mengiyakan sahaja kata-kataku!” Kata Rita. 

Rita masih menunggu reaksi Mak Timah tetapi Mak Timah hanya dia terkaku tanpa berkata. Dia masih lagi kebingungan.

“Kata-kata tentang apa Puan?”

“Segala apa yang aku katakan kau mesti iyakan sahaja. Membenarkan segala kata-kata aku!” Ulang Rita lagi kepada orang gaji yang dirasakan paling bodoh itu.

“Semuanya mengenai pembalasan!” Rita mengulas lagi. 

Seketika Mak Timah hanya diam. Dia benar terperangah dengan apa yang mahu dilakukan oleh majikannya itu. Tidak jemu-jemukah majikannya melakukan dosa lagi? Dosa lama belum tentu terhapus ini mahu menambah dosa lagi.

“Saya tak mahu lakukannnya puan. Tolong jangan libatkan saya.”

Rayu Mak Timah. Dia tidak mahu melibatkan dirinya dengan masalah yang dicipta oleh majikannya. Cukuplah apa yang selama ini berlaku.

“Aku tak peduli! Nak tak nak, kau mesti dengar cakap aku? Selama ni siapa yang bagi kau makan untuk hidup hah?!” Tengking Rita.

Hangat betul hatinya mendengarkan kata-kata orang gajinya itu. Dasar perempuan tak sedar diuntung! Geram semakin menimpa-nimpa relung rasanya, ditahankan sahaja. Kalaulah dia berdaya sudah lama dia mengerjakan orang gajinya yang berlagak alim dan bagus itu.

“Jangan puan, ingat Allah puan. Taubatlah, berdosa puan.” Kata Mak Timah lagi, mahu menyedarkan majikannya itu.

Serasanya dia sudah tidak sanggup melihat majikannya ditenggelami dosa. Cukuplah dosa-dosa yang selama ini majikannya ini kerjakan. Dia tidak mahu melihat majikannya hanyut bersama dosa- dosanya.

“Kau diam perempuan!! Kau jangan nak ajar aku apa itu dosa! Aku tahu apa yang aku buat!”

Tengking Rita sepenuh hatinya.

Benar-benar tercabar rasanya hari ini. Perempuan ini benar-benar menggugah kesabaran aku. Sekarang sudah berani mengajar aku dosa dan taubatlah. Bengkak betul hatinya kini. Mak Timah terngadah seketika. Gerun memandang wajah majikannya yang mulai membengis itu. Adakah dia sudah terlajak kata? Tapi dia hanya menyatakan yang benar sahaja. 

Dia ingin menyedarkan majikannya dari melakukan kesilapan lagi. Rita sudah lelah kembali. Bercakap dengan orang gajinya yang banyak mulut itu benar-benar membuatkan darahnya mendidih sahaja.

“Kalau kau tak nak tak apa, tapi tahulah nasib kau laki bini! Takkan senang! Sama juga anak haram itu, aku akan buat dia menderita!” Ugut Rita.

Ternyata dia bukan main-main dengan setiap patah katanya itu. Akan dikotakan juga andai apa yang dia hajati tidak termakbul. Biarlah, asalkan hatinya puas. Terbata-bata seketika dia mendengarkan ugutan majikannya yang suka mengugut itu. Dia takut andai apa yang diperkatakan majikannya itu benar-benar akan dikota. Harus bagaimana lagi? 

Seboleh-bolehnya Mak Timah tidak mahu dirinya dan suaminya mengalami kesusahan. Apatah lagi tidak mahu menggadaikan bayi yang sudah dia anggap sebagai anaknya itu. Mereka semua amat bemakna di dalam hidup Mak Timah kini. Sendat salur kerongkong untuk menyedut nafas seketika. Senak fikirannya memikirkan ugutan majikannnya yang langsung tak boleh dipandang enteng. Dia benar-benar tersepit. 

Kalau mahu diluah mati emak, kalau mahu ditelan mati bapak. Kalaulah suaminya mengetahui hal ini pastinya dia takkan bersetuju jika Mak timah mengikut rancangan majikannya ini. Belum sempat Mak Timah mahu berbicara dia sudah terdengar deruman enjin di laman banglo. Tuan rumah sudah kembali dari perantauan. Bisik hatinya.

“Aku anggap kau bersetuju. Jangan berani kau mencabar aku kalau kau sekeluarga nak hidup selamat!” Ugut Rita di akhir bicara.

Mak Timah sudah meneguk liurnya. Dia bimbang dengan ugutan majikannya itu. Ya Allah bantulah hamba-Mu ini.

“Dah, aku turun ke bawah! Aku nak sambut laki aku.” Arah Rita sambil cuba bangun perlahan-lahan.

Mak Timah kehadapan sedikit memapah majikannya itu turun. Dadanya kini bagai ditumbuk-tumbuk dengan rasa bersalah. Kalaulah boleh memilih tentu dia tidak mahukan semua ini.


Previous: 3
Next: 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.