Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
47,842
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

            Adira menuam pipi Ain yang kemerahan bekas dilempang oleh ibu siang tadi dengan telur yang direbus dan masih suam-suam kuku.  Sesekali adiknya merengek kesakitan.  Ali pula entah kemana perginya.  Sebaik sahaja makan malam terus menghilangkan diri.  Ke sekolah juga sudah jarang-jarang.  Waktu sehariannya banyak dihabiskan membantu ibu di kebun.

            “Sakit ya?  Ain jangan marahkan ibu ya?  Ibu tak sengaja.  Kan akak dah pesan, jangan campakkan  mainan merata-rata.  Dah kena kaki ibu, tentulah ibu marah,”  ujar Adira. Dia menahan sebak di dada  Airmatanya boleh gugur bila-bila masa sahaja. Tidak tertahan melihat wajah adiknya yang bersahaja, masih boleh bermain lagi. Bagaikan tidak berlaku apa-apa kepadanya siang tadi.  Padahal pipinya sedikit membengkak.  Kuat agaknya lempangan ibu tadi.  Kelihatannya, marah sangat ibu dengan Ain.

            “Ibu?” kata Ain perlahan.

            Adiknya itu juga lambat bercakap.  Hanya sepatah-sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Lebih banyak mendiamkan diri. 

            “Ibu ada, tidur agaknya,” jawab Adira sambal tersenyum. Senyum dalam tangisan. Ya, hatinya sedang menangis sendiri.  Sejak siang tadi, ibu tidak keluar-keluar dari biliknya.  Adira mengusap wajahnya.Mampukah dia menghadapi ujian hidup ini berterusan?  Ibu! Adira mendengus kasar.  Kami masih perlukan ibu, luah Adira dalam hati.  Sejak arwah ayah meninggal, kehidupan mereka sekeluarga seperti anak ayam kehilangan ibu.  Ayah sudah lama meninggal.  Ibu tiba-tiba melahirkan Ain,sedangkan ketika itu ayah sudah tiada. Adira menekup mulut.  Dadanya berombak. Nafasnya berhembusan kasar. Air matanya mula mengalir.  Wajah Ain menjadi santapan matanya tidak berkedip. Ain… Ain bukan anak arwah ayahnya? Dia mengira usia Ain. Terketar-ketar bibir Adira menahan gelora dilubuk hatinya. 

            Terasa membahang kepanasan suhu badannya  Dia menjarakkan dirinya daripada Ain yang leka bermain.  Ain seperti berada dalam dunianya sendiri. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa ibu membenci Ain?  Adakah kerana Ain bukan anak arwahayah?  Jadi, anak siapa?  Ibu melahirkan anak siapa?  Siapa ayah Ain?  Adira memandang wajah Ain sayu.  Kasihan kau dik, detik hati kecil Adira.Siapapun kau, kakal tetap sayang, bisik hati Adira lagi.

            Tapi kenapa ibu benci sangat dengan Ain? Adakah kerana kelahiran Ain bukan kehendak ibu?   Selama ini, Adira  sering mendengar sindiran orang kampung terhadap ibu, mereka kata ibu jual maruah sampai dapat anak cacat.  Itu balasan Allah kepada ibu.  Benarkah?  Adira mengerut dahi.  Permasalahan orang dewasa yang sukar difahami. 

            Suara cengkerik  jelas kedengaran.  Suara katak sesekali menyapa, mungkin memanggil hujan turun. Kata ustaz di sekolah, setiap yang dijadikan Allah swt,tiada satu pun sia-sia.   Adakah kejadian Ain satu yang sia-sia?

            “Ain, kita pergi gosok gigi dan lepas itu tidur ya,” ajak Adira. Tiada secubit kebencian pun di hatinya terhadap adik bongsunya itu.  SiapapunAin, dia tetap adiknya.  Adira mendekati Ain semula. Diraih dalam pelukan.  Diciumubun-ubunnya berkali-kali.  Air matanya gugur lagi. 

            “Ada dosa kau dik, sehingga kau dibenci?”  soal Adira.

            Ain memandang wajah Adira lalu tersenyum.

            Semakin gugur jantung Adira.  Ain terlalu kecil untuk memahami.

            Adira menarik Ain ke dalam pelukannya. Diangkat dan diletakkan di atas katil bersaiz queen. Dibaringkan kepala adik  berlapik bantal yang sudah mengempis, kekabunya sudah mampat. Ditarik selimut yang berlipat kemas di atas bantalnya.  Ain diselimutkan, ditepuk-tepuk punggungnya agar cepat tidur.  Perlahan-lahan Ain memejamkan mata.  Adira mengelap airmata dengan hujung t-shirt muslimah yang dipakai. Dia bergerak turun dari katil dan keluar dari bilik itu.  Adira memandang ke  arah bilik ibu yang bersebelahan biliknya.  Tertutup rapat.Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam Takkan ibu tak keluar mandi atau makan? Fikir Adira sendiri.

            Perlahan-lahan langkah diatu rmendekati pintu bilik yang berkunci rapat daripada dalam.  Adira berdiri seketika.  Mencari ruang untuk memulakan gerak kata,bimbang juga ibu menerpa dan marahnya belum reda.  Takut amukan ibu kembali semula, dan Adira tidak mahu Ain menjadi mangsa kemarahan ibu.

            Adira tidak mahu beban persoalan dalam diri yang sedang berlegar-legar difikiran mengganggu jiwanya.  Dia perlu jawapan segera. Hanya ibu yangboleh menjawabnya.  Ruang tamu yang hanya bertikar getah, tidak berperabut dipandang kosong.  Lima belas tahun hidup dalam keadaan serba kekurangan. Celik-celik mata kehidupannya sudah begitu, serba tiada.  Sedikit pun tidak merisaukan hatinya.  Sudah terbiasa tidak punya apa-apa. Tiada televisyen, tiada radio, tiada telefon bimbit seperti sesetengah kawan-kawannya di sekolah. 

            Sudahlah tiada ayah, tiada pula harta benda.  Hidup ada-ada sahaja.    Ayah meninggal kerana serangan jantung. Meninggal ketika tidur.  Usia muda atau tua, bukan penentu seseorang itu tidak jatuh sakit kata ibu kepadanya.  Mereka sudah cukup redha akan kehilangan itu.

            “Ibu!  Ibu!” panggil Adira sedikit kuat.

            Daun pintu dibuka  perlahan-lahan.  Sebaik terbuka, terpacul ibu dengan rambut kusut masai, mata yang membengkak.  Baju kurungnya sedikit terangkat, dibiarkan. Tuala berwarna kelabu tersandang dibahu.  Adira berundur ke belakang sebaik sahaja ibu berjalan keluar dari bilik. 

            “Siapa ayah Ain?” tanya Adira.  Pertanyaan itu keluar spontan sebelum sempat dia berfikir akan tindakannya itu.

            Maria berhenti mengarut langkah.Wajah anak sulongnya dipandang agak lama. Bibirnya terkumat-kamit seperti ingin mengatakan sesuatu.  Dia meneruskan langkahnya untuk ke bilik air.

            “Ibu!  Benarlah kata orang kampung, ibu membuat onar sehingga melahirkan Ain?”  Adira tidak mampu bertahan lagi.  Suara-suara sumbang yang sering kedengaran menyapa telinganya. Ingin saja dia membiarkan suara itu berlalu seperti angin lalu.  Tetapi tidak mampu, orang yang dikata oleh mereka di luar sana, adalah ibu kandungnya sendiri.

            Maria memusingkan tubuhnya.   Wajah Adira yang muram dan beriak keruh ituditenung lama. 

            “Kau tuduh ibu?  Tergamak kau tuduh ibu!?”  Maria mengetap bibir.  Dia masih boleh bertahan kalau tuduhan itu daripada orang lain, tetapi bukan daripada anaknya sendiri.

            “Dira bukan sengaja nak tuduh!  Dira nak kepastian!”  jawab Adira. Air matanya sudah pun bersedia di tubir matanya. Hanya menunggu waktu untuk mengalir keluar.

            “Siapa pun ayah Ain, bukan urusan Dira!” tengking Maria.  Fikirannya sudah cukup kusut dengan apa yang telah berlaku dengannya selama lima tahun ini.  Tidak cukupkah lagi penderitaan yang ditanggung selama ini?  Kenapa Allah berterusan menduganya? Bisik Maria dalam hati. Dia sudah tidak sanggup lagi menerima cemuhan dan umpatan orang sekeliling yang tidak berhenti bercakap tentangnya. Ingatkan setahun dua ini akan berlalu dan mereka melupakannya. Tetapi tidak, ia masih dinyanyikan setiap waktu.  Penat untuk menafikannya.

            Adira terdiam mendengar tengkingan ibu.  Dia mengetap bibir dan hanya memerhatikan ibunya berjalan menuju ke bilik air.   Sampai bila agaknya ibu nak berahsia daripadanya?  Adira mendengus kasar.  Dia kembali ke biliknya.  Tubuh kurusnya dibaringkan bersebelahan Ain yang lena tidurnya.  Wajah itu dipandang lama sehingga matanya terlelap.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.