Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,775
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

Bab 1

Ilham

Port Dickson


Dunia ini kejam. Kejam. Sekejam-kejamnya. Kata ibu, dunia maya ini hanya sementara, tiada yang abadi. Maka, jangan kita menyalahkan takdir apabila kita kehilangan seseorang yang kita sayang. Mudah kata-kata itu meniti di bibir ibu, memujuk kononnya. Seolah-olah ibu faham apa yang aku rasakan. Walaupun hakikatnya tidak. Tak siapa akan mengerti bebanan yang kutanggung. Ia semakin berat dengan kitaran masa.

Siang merangkak ke malam dan kemudian siang semula, aku tidak boleh tidur. Aku tidak boleh melupakan Warda walaupun untuk sesaat. Mungkin ibu belum sedar atau mata ibu sengaja dipejamkan untuk mengerti makna cintaku buat Warda. Ibu tidak mahu memandang detik perpisahan yang cukup menyakitkan ini dari kaca mataku, dari posisi diriku. Walhal ibu jualah yang menyatukan kami sejak kecil. Ibu jualah yang beriya-iya mengatakan kami telah ditakdirkan untuk bersama.

Aku dilahirkan pada tarikh yang sama dengan Warda. Pada jam yang sama. Cuma putaran minit yang membezakan usia kami. Warda duniaku. Warda cahaya yang menerangi gelitaku. Warda selalu ada di situ, menghulurkan tangannya tiap kali aku terjatuh. Aku membesar bersamanya, aku belajar membaca bersamanya dan aku membilang warna pelangi bersamanya.

Aku dan Warda dilahirkan oleh dua orang sahabat baik yang terlalu akrab, sampaikan kami disatukan sebagai tunangan sejak kami dilahirkan. Aku tidak pernah membantah. Aku selalu percaya kata ibu yang kami telah ditakdirkan untuk bersama sehinggalah ke detik ini. Detik perpisahan yang cukup menyakitkan. Kini, kami berada di dunia yang berbeda. Kami tak mungkin akan bersatu lagi.

Aku cintakan Warda. Hanya Warda, tiada yang lain meskipun Warda tak pernah menganggap aku lebih dari seorang abang. Cinta Warda milik TUHAN. TUHAN yang merampasnya dariku. Kata ibu, ia yang terbaik, dia sudah tidak sanggup melihat Warda menderita lagi.

Lapan belas tahun usiaku. Lapan belas tahun juga aku bersama Warda. Biarpun aku saja yang membilang waktu, menanti hari kami disatukan di jinjang pelamin. Aku mengerti Warda tidak mahu menjadi isteriku. Warda mahukan suami setabah Bilal, seberani Hamzah. Warda tak mahu berada di samping lelaki yang seringkali menangis melihat deritanya sepertiku. Pernah sekali Warda menjerit, meminta aku meninggalkan biliknya sewaktu aku menangis.

Air mata Ilham Kausar menitis. Lagi dan lagi. Kabur pandangannya. Otaknya yang tadi melingkar kenangan bersama Warda tiba-tiba saja bertukar dungu. Dia melangkah bangun dari akar pohon gergasi yang menjadi persinggahannya tadi. T-shirt putih yang dipakai tadi ditanggalkan, dilemparkan ke gigi air.

Dia melangkah lagi, kali ini menuju ke dada lautan. Biarkan kenangannya hanyut bersama tubuh yang mau dihanyutkan. Biarkan cintanya mati bersama roh yang mahu dibunuhnya. Dia tak mahu hidup sendiri tanpa Warda. Biar segalanya pergi, tenggelam di dasar yang tak mampu digali.

Matanya dipejamkan rapat saat kakinya menjijak pasir jerlus yang sudah tidak mampu lagi mengimbangi tubuhnya. Tiada lagi oksigen yang mampu dicedok dari udara. Dia menggelepur sekejap, seumpama ayam yang baru hendak disembelih. Dia tahu tak ada ruang untuk dia mengubah fikirannya. Ilham tidak tahu berenang.

Tak nak! Sakit! Aku tak mau mati! Aku belum bersedia untuk mati. Maut, jangan datang menjemputku! Ibu, tolong Ilham! Ilham tak mau mati lagi, ibu. Ilham menyesal. Tolong Ilham!’ teriak Ilham di dalam hati.

Saat gelembung udara tak lagi lolos dari hidung dan mulutnya, ada kocakan air kedengaran. Ada cahaya yang memancar ke seluruh tubuhnya. Matanya yang tadi dipejamkan dibuka luas-luas. Jantung yang tadi seakan sudah bersedia untuk menamatkan khidmatnya masih setia berdegup.

Ya. Itulah kali pertama Ilham melihat si bidadari syurga. Rambutnya panjang mengurai. Tubuhnya dilitupi kain putih yang tampak beralun cantik di dalam air. Matanya? Eh, kenapa matanya sepet macam orang Jepun? Bidadari versi Jepun? Hidungnya tidak mancung. Mulutnya lebar dengan bibir yang nipis.

Hoi, Ilham! Dah kira baik kalau ada bidadari versi Jepun datang selamatkan kau. Memilih pula. Mentang-mentang kau sukakan perempuan bermata bundar! Pandai pula kau nak merungut melihat bidadari bermata sepet.’

Tapi, takkanlah bidadari syurga nak datang ambil orang yang bunuh diri macam kau? Bukankah ustazah pernah cakap dalam kelas agama dulu yang orang bunuh diri takkan dapat mencium bau syurga!’ Monolog hatinya.

Dah tau, yang kau bunuh diri juga kenapa?’ celah otaknya pula, memotong monolog hatinya tadi.

Tubuh Ilham yang lemah dibawa naik ke permukaan air sebelum diseret ke atas pasir pantai. Sakitnya hanya TUHAN yang tahu. Ilham merasakan kulit tubuhnya seakan disiat-siat. Tulang-temulangnya terasa bagaikan hendak patah. Tetapi si penyelamatnya tidak berkudrat yang kuat untuk mengangkatnya. Tubuhnya diseret lagi, sehingga sampai ke bahagian yang jauh dari sentuhan ombak.

Daijoubu?!” soal gadis tadi. Matanya berkelip-kelip, memandang Ilham yang terbaring lemah, tidak cukup kudrat untuk bangun.

Ayat peliknya memaksa Ilham membuka matanya. Baru kemas imej wanita itu terlukis di retina matanya sekarang. Benar, rambut gadis itu panjang mengurai dan di tubuhnya tersarung dress putih yang sudah kuyup. Dia bukanlah salah satu bidadari syurga yang ditugaskan untuk menjemput Ilham, sebaliknya manusia biasa, khalifah bumi sepertinya.

Nafasnya semput. Dia tahu dia masih hidup kerana rasa sakit yang terkesan seluruh derianya. Matanya masih terarah pada gadis tadi yang bersungguh-sungguh bercakap, tidak sedar yang dia sebenarnya tidak mengerti bahasa yang padanya alien itu.

“Shinpai shita yo,” ucap gadis tadi sambil melurut dada yang masih berombak dengan nafas penat.

Iki o fukaku sutte kudasai,” sambungnya lagi dalam pelat yang tidak Ilham fahami, membuatkan dia makin tercengang-cengang.

Ilham meluah kembali air masin yang seakan sudah sebaldi diteguknya di bawah sana. Dia menempatkan tangan atas dada sambil cuba mengambil nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicaranya.

Daijoubu?” soal gadis tadi lagi.

Apa kau merepek ni?” soal Ilham dalam nada marah, terlupa seketika yang gadis tadi adalah penyelamatnya.

Gadis tadi menampar dahi sekali, menyesal. Dia terlalu terburu-buru sampaikan dia tidak sedar yang dia menggunakan bahasa yang tidak difahami Ilham. Padanlah lelaki itu memberikan pandangan pelik kepadanya.

Maaf. Terlupa pulak awak orang Melayu. Sorry. Sorry. Maksud saya, awak tak apa-apa? Tolong tarik nafas dalam-dalam,” ucapnya dalam Bahasa Melayu pula. Dialeknya berubah secara automatik.

Pandai pula cakap Bahasa Melayu, cetus hati Ilham. Gadis itu fasih berbahasa Melayu meskipun lenggok sebutannya agak laju, bagaikan sedang berbicara dalam Bahasa Jepun. Ilham terpaku, memandang pergerakan bibirnya yang comel ketika menyebut patah-patah bicara. Dia hanya memandang tanpa memproses apa yang cuba gadis tadi katakan.

Kau ni, Melayu ke? Jepun?” soal Ilham sambil menggagahkan diri untuk bangun duduk meskipun badannya masih terasa lemah.

Ilham menghadap gadis tadi, memandang mukanya yang tidak persis orang Melayu. Kulitnya cerah tetapi warnanya agak kemerahan, bukanlah putih pucat. Keningnya tidak kemas, tidak dicantas untuk nampak terbentuk seperti gadis-gadis lain yang selalu ditemui Ilham. Wajahnya tampak ringkas, tidak dirias. Manisnya datang dari kecantikan asli yang tidak dieksploitasi make-up.

Saya ada darah kedua-duanya. Arwah ibu orang Jepun. Ayah orang Melayu,” jawab gadis tadi sambil menguntum senyuman.

Senyumannya membuatkan Ilham terbang sekejap, seakan tidak tersentuh kakinya di muka bumi. Pelik. Tatkala melihat gadis itu tersenyum, segala masalah yang berada dalam uncang fikirannya tadi enyah entah ke mana. Dari mana gadis itu datang? Siapa gerangannya? Bagaimana dia boleh berada di situ di saat Ilham benar-benar berada di titik permulaan kepada pengakhiran hidupnya?

Awak okay?”

Ilham mengangguk.

Nama saya Ilham Kausar,” ucap Ilham, mengharapkan gadis itu juga akan menyebut namanya.

Cahaya,” balas gadis kacukan Jepun tadi. Dia mengesot ke belakang sedikit, memberi ruang kepada Ilham yang kelihatan semakin pulih. Takut nanti rimas pula Ilham kalau dia duduk terlalu rapat dengan lelaki itu.

Cahaya,” sebut Ilham, mengulangi nama gadis tadi. Ia bukan nama yang biasa didengarnya meskipun ramai penduduk Malaysia yang namanya bermula dengan ‘Nur’ yang membawa maksud serupa.

Lain kali jangan mandi kat laut seorang diri. Bahaya terutama masa tak ada orang kat pantai. Tak ada siapa nak tolong,” pesan gadis tadi dalam nada lembut.

Saya bukan mandi. Saya…Saya…”

Gadis itu terkebil-kebil, menunggu Ilham menghabiskan ayatnya. Suara Ilham terketar, takut untuk menghabiskan bicara.

Sebenarnya saya cuba nak bunuh diri,” ucap Ilham dalam nada gagap.

Apa?! Bunuh diri?” ucap gadis tadi, terkejut.

Pang! Satu tamparan melekap ke pipi Ilham yang masih termengah-mengah, cuba bernafas.

Simpati Cahaya menghilang. Perilakunya yang tadi ayu hilang serta-merta, baru tertonjol sifatnya yang asal. Keindahan dan kelembutannya tadi mati. Ya, dia bukanlah gadis lemah lembut yang akan mengiyakan sesuatu yang dirasakan tidak bernas.

Nak bunuh diri rupanya! Otak kau letak kat mana, hah? Kalau iya kau nak bunuh diri, pergilah guna cara yang tak menyusahkan orang. Buat penat aku aje! Bodoh! Kalau aku tau..! Eeee…Geramnya aku dengan orang bodoh macam kau ni!” tempelaknya lagi, garang menyinga, menakutkan Ilham.

Ilham ternganga.

Nak mati kan? Jom, aku tolong,” bicaranya lagi, mengugut sambil menyentap tangan Ilham, mahu menyeretnya ke laut semula.

Hoi! Hoi! Janganlah! Aku dah menyesal!” teriak Ilham sambil menitiskan air mata, bagaikan anak kecil yang kehilangan ibunya. Dia takut kalau gadis itu betul-betul akan mencampakkan dia ke dasar lautan semula. Dia belum bersedia untuk mati. Amalnya belum cukup. Masih ada terlalu banyak cita-cita yang belum dikotakannya. Ilham tahu hakikat yang semua yang hidup akan mati. Tetapi, kini dia juga sedar yang dia belum bersedia untuk meninggalkan bumi ALLAH.

Cahaya mengetap bibir. Nak ketawa? Bunuh diri bukanlah sesuatu yang melucukan. Tetapi, riak wajah Ilham terlalu lucu di matanya. Lelaki itu tinggi lampai orangnya tetapi pemikirannya singkat. Adakah dia benar-benar terfikir yang gadis seperti Cahaya mampu membunuh orang? Ah, gila!

Cahaya mengalami kesukaran untuk menahan tawa sehinggalah dia terfikir tentang ajal, tentang nyawa manusia yang singkat. Dia memikirkan betapa bodohnya sifat manusia yang memilih jalan singkat. Meletakkan noktah sendiri dalam hidup. Adakah mati itu senang? Tak takutkah mereka pada seksaan kubur? Cahaya yang cetek ilmu agamanya sendiri tahu konsep syurga dan neraka, tahu balasan bagi mereka yang membunuh diri.

Riak wajahnya bertukar serius semula. Dia marah. Dia benci pada pengecut. Apa gunanya bertubuh tegap dan besar andai otak yang dihadiahkan TUHAN tidak digunakan sebaik-baiknya. Sejak bila membunuh diri boleh menyelesaikan masalah? Bukankah Ilham orang Melayu, orang Islam. Cahaya yang selalu dihujani masalah sendiri tidak pernah cuba membunuh diri.

Biarpun Cahaya selalu dilanda badai kesakitan, tak pernah sekali dia terfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya. Baginya, manusia yang memilih mati adalah manusia yang tewas. Manusia yang kalah. Selagi roh dan jasadnya disatukan TUHAN, dia tidak akan sesekali memilih jalan mati. Dia mahu terus hidup, terus berjuang untuk mencari bahagia meskipun titi hidup yang dilaluinya bersimpang-siur dengan onar derita.

Kau tau tak? Orang yang dah mati, akan mati! Dah tak boleh hidup! Tak kira macam mana dia rindukan hidup dan orang-orang yang masih hidup, dia tak boleh hidup semula! Kau ingat mati tu senang sangat?!” marah Cahaya.

Tatkala itu dia teringatkan mama. Dia kepingin untuk bertemu mama semula. Wajah mama terbayang dalam ingatannya. Sekejap sungguh dia tidur dalam pelukan suam mama. Dia tidak puas. Dia mahukan mama kembali ke alam nyata, meninggalkan barzakh.

Ilham terdiam. Dia berhenti menangis. Dia tinggi lampai, berbanding gadis di depannya yang barangkali tinggi lebih kurang 156cm saja. Dia jauh lebih tegap dari gadis kurus itu. Dia tampak lebih tua, lebih matang. Tetapi dia pula yang dileteri oleh Cahaya. Dia pula yang terpaksa mendengar dengan penuh hormat. Ah, bodohnya aku! Kenapalah budak kecil ini lebih matang dariku? Cetus hati Ilham.

Orang yang dah mati akan terus pergi, dilupakan. Hanya nisan aje yang ada untuk temankan kau dengan ulat-ulat tanah,” tambah Cahaya, menakutkan Ilham.

I’m sorry. Saya menyesal,” ucap Ilham.

Dude, life is full of pain... and death is not easy. Either way, you’re going to hurt yourself,” balas Cahaya.

Aya, hayaku! Doko ni iru no?!” jerit suatu suara. Gemanya kedengaran kuat, umpama tempikan gajah mengamuk.

Nasib baik aku dah lambat. Kalau tak, mati kau aku kerjakan! Bongok! Eee…Geram aku dengan kau!” marah Cahaya sebelum sempat Ilham bersuara.

Cahaya melangkah dalam keadaan tergesa-gesa. Dia menarik beg silang yang diletakkan di antara akar-akar pokok gergasi di belakang sana. Tanpa menoleh ke belakang, dia berlari ke arah suara yang melaungkan namanya.

“Eh, cik!” panggil Ilham sambil melambaikan tangannya.

Langkah Cahaya terhenti sekejap. Dia berpusing untuk memerhatikan wajah lelaki yang ditempelaknya dengan gelaran bodoh tadi.

Jangan bagi aku nampak muka kau lagi kalau kau nak terjun laut lepas ni. Kalau aku jumpa, siaplah kau!” ugut Cahaya sambil mengibas-ngibas kain dressnya yang masih kuyup dan melekat dengan butiran pasir. Dia menjelirkan lidahnya, mengejek.

Ilham terkebil-kebil sekejap. Dia memaksa diri untuk bangun berdiri. Namun, lututnya yang lemah menggagalkan niatnya untuk mengejar langkah Cahaya. Dia terduduk semula di atas pasir pantai.

Kau tinggal aku macam ni aje?! Aku tak larat nak jalanlah! Tolonglah aku! Hoi! Mana kau?!” jerit Ilham.

Matanya masih terpanah ke arah yang sama yang ditujui Cahaya tadi. Hatinya berdoa agar Cahaya kembali. Bukan kerna dia memerlukan bantuan. Tetapi, kerna matanya masih mahu memandang wajah Cahaya. Telinganya masih mahu mendengar bebelan Cahaya. Tak pernah jantungnya berdegup sepantas ini.

Adakah ini sebenar-benarnya cinta pandang pertama? Kalau benar ini cinta, apa yang dirasakan buat Warda selama ini? Ah, semua ini tak masuk dek akal. Tidak logik. Tetapi, bukankah hidup selalu begitu. Life is full of surprises.

Pandangan mata Ilham masih terpanah di tempat yang sama. Seminit. Dua minit. Tetapi, tidak. Cahaya tidak kembali untuk membantunya. Barangkali gadis itu marah. Ataupun barangkali dia sudah lambat untuk ke destinasinya. Dia tidak peduli Ilham yang masih lemah di sana, masih tidak mampu berjalan ke keretanya.

Dalam payah, Ilham mengesot atas pasir pantai sambil memaut akar-akar pokok tua yang berada di sekitarnya. Tangannya terpegang objek keras di atas pasir sewaktu dia mahu merangkak ke perdu pokok untuk bersandar.

Objek petak tadi diangkatnya, diperhatikan lama. Ia sebuah buku catatan yang pelik. Kulitnya berupa kulit pokok yang keras, terikat dengan riben coklat. Helaian-helaian kertas di dalamnya berwarna coklat kekuningan. Garis-garis di atasnya kelihatan pudar tetapi dakwat pen di atasnya masih terang, senang untuk dibaca.

Di celah kulit dan helaian pertama terselit sekeping gambar seorang wanita dengan fesyen rambut yang pelik, mengembang di sebelah bawah. Wajah wanita itu bujur sireh dengan mata sepet dan mulut yang kecil.

“Cahaya Iris Binti Fauzan,” baca Ilham.

Nama yang tercatit dengan dakwat pen basah itu masih terang untuk dibaca. Ilham menyelak ke helaian yang mengandungi catitan.

Dari sehelai ke sehelai muka surat buku catatan lama itu dibacanya. Dalam kuyup, dia menelaah isi kandungan buku catatan Cahaya, mengintai rahsia hati gadis kecil molek yang bermata sepet tadi. Dia duduk di situ, tidak berganjak walaupun sedikit. Bajunya sudah hampir kekeringan, ditiup bayu.

Setelah hampir separuh isi buku tadi dibaca, dia kembali memerhatikan kawasan sekitarnya, mencari lagi kalau-kalau kelibat gadis tadi muncul semula. Tetapi, tidak. Kawasan pantai yang tadi lenggang kini sudah dikerumuni para pengunjung. Rasa hangat memanggang kulitnya yang tidak disapu dengan sunblock. Iyalah, nawaitunya ke situ adalah untuk membunuh diri. Siapa sangka dia akan tersangkut bersendirian di sana, bersama buku lama yang ditinggalkan seorang gadis misteri.

“Mana kau, Cahaya?” luah Ilham sendirian.

Matanya masih mencari. Hatinya masih berdegup kencang. Dia sedar, gadis itu tak ada lagi di sana. Tetapi, entah mengapa, hatinya tak mampu berhenti mengharap. Pandangannya masih meliar, mencari. Lagi dan lagi. Namun, Cahaya tidak kembali.


* * * * * *













Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.