2,969
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
2
2

Bab 1

Irika merenung keluar jendela. Seakan baru semalam perpisahan itu terjadi. Mengenali Ridzwan adalah satu rahmat baginya. Dia sedar, perkenalan itu hanya sekali saja. Tidak mungkin akan terjadi berulang kali.

Dia bukan tidak pernah jatuh cinta sepanjang zaman persekolahan. Tapi kali ini cintanya itu memang memberi kesan yang dalam. Sehingga kini dia tidak mampu untuk lupa lelaki bernama Ridzwan itu. Bukan mudah.

“Ha!... baguslah tu, termenung sana… termenung sini… lepas tu anak dibiar. Kalau di tegur melawan.”

Irika berpaling. Memandang tajam wajah Firdaus. Rasa membara dalam hatinya bila ditegur pagi-pagi begitu.

Sudah masuk tiga hari dia dan Firdaus bertegang urat. Masalahnya dan puncanya hanya hal yang sama saja. Duit yang memang tidak pernah cukup setiap bulan.

“Wei… orang tegur tak mahu nak menjawab. Kau ni nak pergi kerja ke tak?”

Irika masih membisu. Dibiar saja Arash menonton rancangan kegemarannya tanpa mandi terlebih dahulu. Pampers yang di pakai juga masih belum di tukar. Dibiarkan saja bau hancing mengisi ruang tamu kecil itu. Biar… biar Firdaus lihat sendiri!

“Huh….. kalau bercakap pandai. Anak sendiri tak reti nak jaga. Cuba kau pergi mandikan Arash tu. Dari duduk tercongok aje kat situ.”

“Aku taulah….. tak payah nak ajar,” Irikan mendengus kecil. Suka betul hatinya bila dapat membuat lelaki itu semakin marah.

“Kau ni kan… eiiii…. Geram aku tengok!” Firdaus menghempas pintu kamar tidur mereka. Sikap Irika pagi-pagi begitu membuatkan marahnya tidak mampu dibendung. Sudahnya pintu itu menjadi mangsa.

“Baguslah tu…. Ingatkan tak reti nak faham!” Irika membalas pandangan Firdaus. Sama tajam dengan mata Firdaus yang galak itu.

“Apa yang kau nak ni… pagi-pagi lagi kau mahu ajak aku bergaduh. Kau memang sengaja nak buat aku marah kan!”

“Ooohh… Awak tahu pulak marah! Habis tu selama ini awak ingat saya ni tunggul. Awak ingat saya ni kuli….Awak buat masalah lepas tu awak hempuk semua benda kat saya. Awak tahu tak, masuk semalam, sudah sepuluh kali tuan rumah ni call. Dah tak tahu nak bagi alasan apa lagi” Irika menahan rasa sebaknya. Kerana rasa marah dadanya sesak.

“Aku dah cakap duit tu minggu depan baru dapat. Habis tu kau nak aku buat apa?” Firdaus semakin bengang. Tak habis-habis minta duit.

“Lepas seminggu.. seminggu.. lepas tu seminggu lagi. Dah banyak kali minta tangguh. Awak tahu tak, duit saya nak beli baju pun tak boleh. Asyik cover awak aje tiap bulan. Bosan betul hidup macam ni.”

“Tahu pun tak mampu…. Hari tu kemaruk sangat nak pakai kereta. Ha, sekarang kau juga yang susah. Elok-elok hari tu kita pakai motor. Senang. Minyak pun jimat.”

Irika mendongak. Kembali memandang Firdaus tajam. Arggh! Tak sudah-sudah mahu menyalahkannya.

“Suka hati kau lah nak cakap apa.”

Firdaus membuka daun pintu. Dia tidak peduli dengan air mata Irika yang merembes membasahi pipi. Semak otaknya melihat kerenah perempuan itu. Tidak sudah-sudah meminta wang. Ingat dirinya cap duit ke?

Irika melopong. Air matanya semakin laju. Semakin sesak dadanya. Pertengkaran tadi belum mampu membuat dadanya lapang. Rasanya banyak lagi yang harus dihamburkan.

Arghhhh! Mahu saja dia menjerit sekuat hati. Pandangannya beralih ke arah Arash. Anak kecil itu seakan tidak kisah dengan pertengkaran yang baru saja berlaku sebentar tadi. Agaknya sudah lali kerana kerap sangat berlaku. Bahkan sering kali anak kecil itu juga menjadi mangsa herdikannya bila Firdaus tidak lagi mahu melayan segala omongannya. Segala kekusutannya.

“Dah.. jom kita mandi. Mama nak pergi kerja ni.”

Arash mendongak. Melihat saja wajahnya Irika sudah tahu anak kecil itu tidak mahu meninggalkan semua permainannya.

“Cepat!”

Arash mendongak lagi. Tidak bergerak walau suara Irika mula meninggi. Malahan anak kecil itu sekadar memandang Irika meraih simpati.

“Heiiii budak ni….. dah lah mama lambat. Kau buat lagi lambat,” Irika sudah naik darah. Tangan kecil Arash di tarik lalu di heret menuju ke bilik air. Kemarahannya kepada Firdaus dihamburkan pula kepada Arash yang masih tidak mengerti.

Arash menangis. Semakin Irika menguatkan genggaman tangannya. Semakin meraung anak kecil itu dibuatnya.

“Sudah, diam!” Irika menarik semula tangan kecil itu. Kini menuju ke bilik pula selepas dijirus dengan air sejuk. Tangisan Arash tidak dipedulikan. Apa yang pasti dia hanya mahu segala-galanya selesai dengan segera.

Arash masih menangis. Namun kini tangisannya tidak selantang tadi. Hanya lebih kepada rengekan mahu Irika memeluk tubuhnya yang kesejukan.

Irika membuntangkan matanya. Benci mendengar rengekan yang semakin membingitkan telinga itu. “Mama kata diam kan!.... Kalau tak diam mama cubit lagi nanti. Nak?”

Arash menggeleng kepala. Segala kudratnya cuba untuk menahan tangisan. Bedak yang bertepek di wajahnya sudah dibasahi dengan air mata. Perlahan saja tangan kecilnya menyeka lelehan tersebut sehingga wajah itu kelihatan lebih comot dengan tompokan bedak.

Pintu rumah dikunci. Irika menapak menaiki anak tangga di bangunan bersebelahan tempatnya tinggal. Rumah flet limat tingkat itu sudah dihuninya selama empat tahun. Seusia perkahwinannya. Penjaga Arash pula tinggal bersebelahan bangunan saja.

Usai menghantar Arash dia berjalan kaki pula menuju ke tempat kerja. Seusia perkahwinannya, begitu juga dia bekerja di kilang yang tidak jauh dari tempatnya tinggal. Memang ramai yang berjalan kaki menuju ke tempat kerja. Bukan dia saja. Dulu juga dia dan Firdaus akan berjalan kaki lalu berpisah di simpang jalan kerana tempat kerja Firdaus lebih jauh lagi. Setahun kemudian, mereka membeli sebuah motosikal terpakai. Tidak lama kemudian dia mengandungkan Arash. Lalu dia mendesak Firdaus untuk membeli sebuah kereta terpakai.

Irika mengenang kembali nasibnya berkahwin dengan Firdaus. Lelaki yang diperkenalkan oleh ibu dan ayah angkatnya. Mereka banyak memuji Firdaus. Tambahan pula lelaki itu banyak membantu kedua orang tua angkatnya berniaga. Kadang-kadang lelaki itu juga yang membantu bila ada kerosakan di rumah. Firdaus…. Lelaki itu kini hanya membuatnya tersiksa!


Previous: 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.