Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Abang Driver!
bab 19

Mak Seri memandang wajah anaknya. Dari anak lelakinya itu pulang wajah keruh itulah yang diperhatikan. Salamnya tidak seceria selalu. Ceritanya pun sudah mula jarang di perdengarkan. Sebagai ibu dia takut anak lelakinya itu kembali seperti dulu. Dia takut hidup mereka kembali sunyi seperti dua tahun lalu. Dulu dia pernah diuji. Kehilangan anak lelaki ketika berusia 5 tahun. Cukup perit rasanya. Dia tidak mampu ingat lagi cerita itu.

Namun bukan sekali itu dia di uji. Zulqarnain juga begitu. Dua tahun hilang tanpa arah tujuan. Dua tahun terlantar di depan mata bagai mayat hidup. Dia pernah berputus asa. Hanya Zulqarnain harapannya. Namun suaminya begitu teguh memberi kata-kata semangat. Sehingga dia mampu melihat Zulqarnain tersenyum semula.

Sehabis saja kenduri di rumah adiknya tempoh hari anak lelakinya itu berubah. Dia sendiri takut bertanya. Tapi dia gagahkan juga mendekati Zulqarnain yang baru saja melabuhkan punggungnya di sofa.

“Qar… dah makan?”

“Kenyang bu…tadi makan dengan kawan”

“Qar… ada masalah ke?”

Zulqarnain memandang wajah ibunya. Aduh, lembutnya wajah si ibu. Dia berharap suatu hari nanti isterinya seperti ibunya lembut dan bijak melayan emosi suami dan anak-anaknya.

“Tak lah bu…. Penat aje bu”

“Qar…” Lembut suara Mak Seri selembut tangannya mengusap bahu si anak.

“Qar cuma tak boleh tidur beberapa malam ni…. asyik mimpi yang sama aje”

Mak Seri memandang tajam wajah si anak. Aduh! Haruskah dia menghadapi sekali lagi. “Qar mimpi apa?” Dia sengaja bertanya. Walau dia takut untuk mendengar jawapannya.

“Mimpi fasal kejadian hari tu bu…. Mimpi fasal anak kecil yang tidak berdosa. Qar…. Argh… susah nak cakap bu”

Al-Fatihah dibaca lembut di dalam hati sambil tangan tuanya mengusap lagi bahu Zulqarnain. Itu yang selalu di amalkan selama Zulqarnain kembali. Setiap kali cerita itu timbul, dia akan bacakan ummul kitab itu untuk memberi ketenangan pada anak lelakinya. Dia harap lelaki itu kuat kali ini. Dia tidak pernah putus berdoa.

“Qar… rajin-rajin sedekahkah Al Fatihah untuk arwah…. Kalau boleh sebenarnya ibu nak sangat Qar jumpa dengan budak dua tu. Ibu nak kenal dengan budak-budak tu. Ibu dengar dia tinggal dengan mak ciknya sekarang, itu pun Amirul yang cerita kat ibu. Mungkin rasa bersalah Qar akan terubat dengan melihat mereka. Bawalah mereka datang ke sini. Jadikan mereka sebahagian dari kita.”

“Entahlah bu… takut pun ada. Tempoh hari Amirul datang. Dia selalu pergi jenguk budak tu kalau kebetulan balik kampung. Alhamdulillah, sihat katanya. Cuma… Qar ini saja yang belum bersedia bu” Terbayang wajah sepasang suami isteri yang ceria. Entah kenapa, dia terlalu berat dengan kehilangan mereka berdua. Dia rasa bersalah, apatah lagi bila dia tahu mereka ada sepasang anak yang comel. Hatinya sayu.

Mak Seri menghela nafas panjang. Dia menyandar tenang di sofa. “Qar, kuatkan semangat. Ibu tak nak Qar hilang lagi macam dulu. Cukuplah sekali itu Qar…. Ibu sentiasa berdoa semoga Qar kuat, kembali seperti dulu”

“Insya ALLAH bu… Ibu doakan Qar, semoga Qar dapat lalui segala-galanya dengan mudah” Zulqarnain bangkit dari duduknya. “Qar masuk ke bilik dulu bu”

Mak Seri sekadar mengangguk. Pandangan tidak dilepaskan dari tubuh si anak sehingga hilang di sebalik daun pintu. Pintu tertutup rapat. Hati tuanya semakin gundah melihat Zulqarnain. Hatinya tercari-cari kalaulah ada penawar untuk segala mimpi buruk anaknya. Dia tahu Zulqarnain di hambat rasa bersalah. Di hurung segala sesal. Tapi bukan salahnya. Cuma ketika kejadian, dia ada di situ, dan dia tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya dia yang tinggal membawa segala kedukaan.

“Lama awak termenung… dari tadi abang balik dari surau. Awak tak sedar pun abang masuk”

Mak Seri tersentak. Suaminya sudah duduk di sisinya sambil menggenggam tangannya. Wajah Suaminya. Di pandang. Lelaki itu tersenyum. Sekejap saja senyumannya hilang melihat wajah isteri muram.

“Kenapa?”

“Fasal Qar bang… saya risau lah”

“Kenapa dengan Qar? Abang tengok ok aje, kawan-kawan abang pun suka dengan dia, tidak pernah berkira”

“Itu kawan abang cakap, orang tengok dia dari luar bang, saya ni ibu dia, saya tengok dia guna hati”

Pak Man kewata kecil. Itulah orang perempuan bila berbicara. Banyak guna hati, kadang-kadang masalah kecil pun jadi besar. “Tak payahlah risau sangat. Dia dah sedar, dia dah banyak berubah. Janganlah terlalu desak sangat”

“Abang tak faham” Mak Seri merajuk.

Pak Man memandang wajah isterinya sekilas, masam mencuka! Dia merapatkan duduknya dekat dengan si isteri. Tangan kanan isterinya di ambil lalu di usap perlahan. “Apa yang awak risaukan?”

Wajah muncuka Mak Seri beransur hilang. Perlahan-lahan dia menarik nafas cuba menyisihkan perasaan marah tadi kepada si suami. Dia harus meyakinkan suaminya bahawa anak lelaki mereka ada masalah sekarang.

“Sudah banyak kali saya tengok dia termenung. Tadi pun macam tu. Abang jarang jumpa dia kebelakangan ini. Itulah sebabnya abang tak perasan. Tadi saya tanya, lama baru dia jawab. Katanya dia selalu bermimpi. Dia mimpi kejadian tu semula. Saya takut bang… saya takut dia kembali trauma macam dulu. Bukan senang dia nak pulih dan kembali bekerja macam sekarang ni. Tadi katanya Amirul datang, cerita fasal anak arwah.” Mak Seri memandang wajah suaminya.

“Saya Cuma cakap, kalau dah sedia pergilah jumpa dengan budak-budak tu. Saya rasa sudah sampai masa dia kembali ke dunianya bang. Kita sama-sama tahu bukan ini kerjaya Qar, sampai bila bang dia nak jadi driver bas. Lagipun hati saya ini teringin nak jumpa anak arwah tu bang” Mak Seri menyambung lagi.

Pak Man mengangguk perlahan. Cuba mengingati peristiwa dua tahun lalu. Dia bersyukur kejadian itu banyak membuatkan Zulqarnain berubah. Banyak mendekatkan anaknya itu kepada ALLAH. Kejadian itu merapatkan kembali hubungan mereka sekeluarga. Anaknya itu sentiasa ada di depan mata. Tapi sampai bila. Sampai bila anaknya itu menjadi pemandu bas macam dia.

“Tak apalah… nanti abang cari masa sesuai berbincang dengan dia. Alhamdulillah kalau dia terbuka hati nak jenguk anak-anak arwah tu. Abang pun nak dia kembali macam dulu lagi. Tapi biarlah masa menentukan segala-galanya. Abang yakin suatu hari nanti dia akan kembali ke sana”

Mak Seri mengangguk lemah. Kegusarannya sedikit terubat. Hatinya sedikit lega bila si suami meyakinkannya. Dua tahun kehilangan Zulqarnain bukan mudah baginya. Cukuplah dia di uji ketika itu, rasanya kalau dia di uji sekali lagi dia pasti tak akan mampu.

Zulqarnain masih berteleku di sejadah. sehabis Isyak tadi sempat dia membaca Surah Yaasin untuk disedekahkan kepada arwah. Air matanya menitis perlahan. Pedih hatinya. Sakit jiwanya mengenangkan peristiwa itu kembali. Memang benar, dia bersyukur kerana ALLAH memberinya peluang sekali lagi untuk menghirup udara ciptaanNya. Sekali lagi melihat dunia yang indah kurniaanNya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.